Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Saturday, August 17, 2013

Asmira Ke Asmara? Bab 31

          “Maafkan saya Asmara…” Keluhan berat terlepas dari celah bibirku. Apalagi hendak aku katakan apabila semuanya telah aku tuturkan satu-persatu. Berat untuk meluahkan, namun tiada gunanya lagi untuk disimpan. Waktu semakin berdetik, hari semakin berlalu, bimbang andai lebih lama lebih dalam luka di hati Asmara.

            Asmara meraup wajahnya yang nampak kusut. Rambut juga sudah tidak rapi seperti awal-awal tadi. Matanya berkaca namun masih dibendung agar tidak tumpah menitis ke pipi. Sesekali dia mencari anak mataku dengan pandangan penuh mengharap. Berharap aku menelan semula keputusan yang telah bulat di hati. Aduhai…begini hebatkah dugaan buatku?

            Asmara meraba dan mencari tanganku yang dari tadi kaku memeluk tubuh. Diciumnya bertalu-talu dengan harapan aku akan berubah hati. Maafkan diri ini wahai sayangku….terlalu kejam menghancurkan sekeping hati yang tulus mencintai….

            “Sayang, please saya merayu…jangan batalkan perkahwinan kita…demi Tuhan, cinta saya hanya satu untuk awak…” Suara itu meruntun sayu memecah kesunyian. Sendu dan berlagu hiba kedengaran di pendengaranku. Tergamak aku?!

            Aku menggeleng lemah. Nafas yang seakan pendek untuk ditarik apatah lagi tidak cukup untuk dihembus menjadikan aku semakin tidak keruan. Bimbang aku kalah sebelum berjuang. Bimbang aku lari dari medan peperangan. Sejauh ini aku melangkah untuk mematahkan hati Asmara, mampukah aku mengubahnya? Aku membetulkan kaca mata hitam yang kupakai. Mata ini sentiasa berkaca sejak dari dalam kereta lagi.

            “Baik! Kalau sayang dah nekad tidak mahu menjadi isteri saya, biarlah saya mati! Itu yang sayang nak kan?” Asmara bingkas bangun dari tempat duduknya.

            Bibirku bergerak-gerak seakan ingin menahan Asmara tetapi entah kenapa seakan kelu seribu bahasa. Asmara memanjat tembok besar untuk terjun dari jambatan ini.

            ‘Asmara, jangan!’ Ayat itu hanya bergema di dalam hati. Aku cuba menjerit namun suaraku masih juga tidak kedengaran. Aku ingin segera bangun mendapatkannya tetapi punggungku pula seakan terlekat di atas kerusi batu.

            Dalam suasana petang yang hampir melabuhkan tirainya, aku hanya memerhati dengan pandangan yang kabur dek kerana airmata yang tidak henti mengalir. Asmara menoleh sekilas dan pandangan mata kami bertemu.

            “I love you Asmira…” Bibirnya menuturkan ayat tersebut perlahan sebelum dia nekad melompat terjun dari jambatan ini. Air sungai besar yang mengalir deras menghanyutkan tubuh kurus Asmara. Kedengaran jeritannya semakin lemah.

            “ASMARA!!” Aku menjerit sekuat hati. Ikutkan hati aku mahu terjun sekali untuk menyelamatkannya. Namun semuanya telah terlambat.

            “Asmara!!! Jangan tinggalkan aku!!” Laungku lagi setelah yakin suaraku mula kedengaran semula.

            “Sayang! Sayang kenapa ni? Sayang?” Terasa badanku digoncang bertalu-talu.

            “Astaghfirullahalazim…” Aku meraup wajah setelah mataku terbuka luas. Bermimpi aku rupanya! Namun kecut perut mengingatkan mimpi ngeri seperti itu.

            “Are you okay sayang?” Bahuku disentuh lembut.

            Aku hanya terdiam seribu bahasa. Mengangguk pun tidak, menggeleng pun bukan. Melihatkan aku masih dalam keadaan terkejut, terkumat-kamit mulutnya membaca ayat-ayat suci Al-Quran kemudian ditiup di ubun-ubunku. Kemudian diambil gelas yang berisi air kosong disisi katil dan dihembus ke dalamnya. Air tersebut direnjis sedikit ke mukaku yang kelihatan agak pucat. Setelah selesai, dirangkul kemas aku kedalam pelukannya. Begitu sekali kasih dan cintanya terhadap seorang isteri. Hati mula dipagut sayu.

            Tanpa dapat menahan perasaan, aku menangis tersedu-sedan didadanya. Kedua-dua tangan memeluk erat pinggang Asmara. Perasaan bersalah masih merantai hatiku walaupun telah hampir sebulan kami diijabkabulkan. Sesekali perasaan itu hadir pula dalam bentuk mimpi-mimpi ngeri seperti yang aku alami sebentar tadi.

            “Syyy…istighfar sayang banyak-banyak. Jangan diikutkan sangat perasaan tu. Tak baik tau.” Asmara mengusap lembut rambutku dan tidak lama kemudian tangannya beralih pula mengusap belakangku.

            Aku mengangkat wajah setelah tangisan mulai reda. Terasa kurang sedikit bebanan perasaan yang aku tanggung saat ini. “Maafkan saya, sayang. Sebab dah rosakkan semuanya.”

            Asmara menggelengkan kepala. Pandangan matanya redup dan mendamaikan jiwa. Dia tidak pernah cepat melatah dalam melayani kerenahku. “Semua tu dah tak penting. Sayang dah jadi isteri saya dan saya sentiasa berdoa jodoh kita sampai ke akhir hayat.”

            Aku menarik tangan Asmara dan aku kucup berkali-kali. Betapa murninya kasih sayang yang diberikan namun hanya aku yang terburu mengikut rasa. Masih terbayang diruangan mata setiap apa yang berlaku sebulan lepas. Tergamaknya aku mendustai janji setia kami yang akhirnya memakan diri. Bodoh! Aku menyumpah diri sendiri.

            “Sayang nak apa-apa? Saya boleh buatkan minuman panas.” Asmara mengesat sisa airmata di pipiku menggunakan lengan baju tidurnya.

            “Terima kasih sayang. Saya nak tidur semula.” Kataku perlahan dan tersenyum tawar.

            “Okey, sayang cuba lelapkan mata. Kalau tak boleh tidur, kejut saya. Bolehlah saya temankan sayang berbual.” Asmara mengucup lembut dahiku dan kemudian membantu aku untuk baring semula. Tangannya menepuk perlahan punggungku seakan mahu menidurkan bayi.

            Asmara adalah ubat ketenangan yang Allah kurniakan kepada aku. Walaupun dugaan yang diberi amat berat, tetapi masih ada ruang untuk aku menikmati kebahagiaan di dunia ini. Terima kasih Ya Allah….tidak henti-henti aku mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi sehingga akhirnya aku sendiri tidak sedar mataku mula terlelap.  


                                    ***************************************


Pagi ini aku bersemangat untuk ke tempat kerja. Selain mendapat projek besar beberapa hari lalu, aku juga nekad melupakan sejarah pahit yang terjadi dalam hidupku. Aku tidak mahu membuat suamiku susah hati dan bersedih lagi keranaku. Cukuplah semua yang telah berlaku. Cukup!

                “Mee hoon goreng!” Asmara Nampak teruja setelah merapati meja makan.

            “Your favourite sayang. Duduklah.” Aku tersenyum manis kearahnya dan tangan mula lincah menceduk mee hoon ke dalam pinggan. Setelah meletakkan pinggan tersebut di hadapan Asmara, aku menuangkan pula teh ke dalam cawan.

            “Thanks my wife.” Asmara segera mencapai garfu dan membaca bismillah.

            “Welcome sayang.” Aku turut mengambil tempat dihadapannya.

            “Hari ini saya pergi butik sendiri boleh?” Soalku sambil mengerling sekilas raut wajah Asmara yang telah bertukar riak. Alamak! Salah soalan ke?

            “Tentunya tak boleh.” Tegas jawapan Asmara walaupun mukanya tidak memandang wajahku.

            Aku mengangguk lemah. Walaupun soalan tersebut telah berhari-hari aku fikirkan, baru pagi ini aku berani tanyakan. Ternyata jawapannya tetap menghampakan. Tak apalah, semuanya demi keselamatan diri aku juga. Lagipun memang tanggungjawab suami menjagaku dengan sebaik mungkin. Ah! Silap aku juga semua ini jadi begini. Itulah pesan orang-orang tua ikut hati mati, ikut rasa binasa. Kehidupan aku berubah serta-merta sejak sebulan yang lalu. Bukan kerana menjadi isteri kepada suami yang aku cintai ini tetapi terpalitnya sejarah hitam yang tidak mampu kami lupakan seumur hidup. Peristiwa yang menyesakkan dada dan membuatkan aku berpeluh cemas setiap kali teringatkannya. Ternyata aku masih belum pulih sepenuhnya.

            “Sayang makan cepat ye. Nanti kita lambat pulak.” Teguran Asmara membuatkan lamunanku terhenti setakat itu.

            Senyuman manis aku pamirkan dan fokusku terarah untuk menghabiskan mee hoon di pinggan. Setelah selesai makan, aku mengemas secepat mungkin sebelum mengunci pintu dan masuk ke dalam kereta.

            “Lunch nanti saya datang jemput sayang kat butik. Jangan keluar selagi saya belum sampai.” Kebiasaannya inilah pesanan yang keluar dari mulut Asmara semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Aku sudah biasa mendengarnya sejak sembilan hari lalu aku mula bekerja semula.

            “Okey sayang. Jangan bimbang sangat.” Tuturku manja dan memaut lengan kiri Asmara yang tekun memandang ke jalanraya. Kasihnya aku kepada lelaki ini semakin meluap-luap setelah apa yang terjadi. Ternyata cinta mampu mengatasi segala-galanya.

            “Mestilah bimbang keselamatan isteri tersayang. Malam-malam pun saya bimbang tengok sayang mengigau dan mimpi ngeri. Kalau tak menjerit, sayang akan menangis masa tidur.” Serius bunyi intonasi suaranya. Kerutan yang muncul di dahi mempamirkan riak risau yang tidak mampu disembunyikan.

            Aku tertawa kecil sekadar untuk menutup suasana daripada menjadi tegang. Kalau berbicara serius pastinya akan melukakan kedua-dua hati. Aku menarik nafas panjang sebelum menjawab.

            “Okey, okey. Malam ni saya janji saya mimpi indah dan senyum aje tau.” Aku cuba berjenaka. Harap-harap menjadi.

            Terukir senyuman lucu di wajah Asmara. “Sayang ni nakal ye. Malam nanti kalau tak senyum masa tidur, siaplah! Saya nak rekod dalam kamera.”

            Aku menampar lembut lengan Asmara. Geram dengan usikannya. “Eeee teruknya! Siap nak rakam segala bagai. Tak nak masuk dalam you tube ke?”

            Pecah tawa Asmara yang kuat kedengaran di dalam kereta. Suasana menjadi ceria dan menghiburkan. “Tak naklah. Nanti ramai tengok isteri saya yang cun-melecun ni terus sangkut. Saya jugak yang susah.”

            Aku menjulingkan mata keatas dan kedua tangan ke dada tanda mengejek. Tak kuasa mak nyah! Namun akhirnya kami sama-sama ketawa dan saling berbalas usikan.

            “Jaga diri baik-baik sayang. Ingat semua pesanan saya. Lagi satu, sentiasa ingat yang saya sayangkan sayang walau apa pun. Sumpah, cinta saya ikhlas hanya untuk sayang seorang. Jangan susah hati, jangan over thinking, sentiasa positif okey?” Panjang betul pesanan penaja tetapi setiap hari pesanan inilah yang paling aku tunggu.

            Pesanan ini yang meniupkan aku semangat baru. Pesanan ini yang menenangkan aku dan mengingatkan aku betapa bertuahnya aku memiliki suami sebaik Asmara. Aku mengangguk dan bersalaman sebelum turun dari kereta.

            Lambaian aku dari dalam pintu butik dibalas sebelum kereta bergerak dan hilang dari pandangan. Aku segera ke kaunter untuk melakukan apa yang patut. Kedengaran bunyi cawan dan sudu berlaga di bahagian belakang.

            “Syaza…” Panggilku lembut seperti selalu.

            “Ye kak! Syaza tengah bancuh air ni.” Jawapan dari pembantuku itu melegakan hati.

            Bimbang sungguh jika bukan Syaza yang berada di belakang tu. Anything can happen anytime kan? Macam apa yang terjadi sebelum ini. Huh! Aku mengepal penumbuk seperti mahu melepaskan geram. Namun segera aku menarik nafas panjang dan mengira kiraan satu hingga sepuluh sebelum perlahan-lahan meleraikan penumbuk padu.

            Begitulah antara cara yang diajar oleh doktor yang merawat trauma yang aku alami. Malah aku masih meneruskan sesi kaunseling bersama kaunselor di bahagian jenayah wanita dan kanak-kanak. Aku mahu segera pulih dan bangkit sebagai seorang manusia yang mampu berfungsi sepenuhnya. Bukan jasad yang telah lumpuh jiwanya.

            “Mana doktor gigi kesayangan akak tu?” Syaza yang muncul dengan secawan Nescafe membuatkan aromanya semerbak memenuhi ruang.

            Aku mengangkat sebelah kening. “Kerjalah.”

            Pantas tanganku membuka buku log untuk menyemak sesuatu. Projek besar yang baru sahaja aku dapat beberapa hari lalu memerlukan beberapa orang pekerja tambahan. Memang tak menang tangan kalau menggunakan khidmat pekerja sedia ada.

            “Boleh tak nanti akak buatkan temujanji dengan doktor kesayangan tu?” Suara Syaza yang ala-ala malu kucing itu membuatkan aku membulatkan mata memandangnya.

            “Syaza sakit gigi ke?” Soalku yang masih merenung kearahnya.

            Pantas dia menggeleng. “Bukan Syaza lah kak. Tapi Idris.” Jawab Syaza malu-malu.

            “Ohhh…” Aku menggangguk faham. Mataku beralih semula ke buku log diatas meja kaunter.

            “Boleh, Insyaallah. Nanti ingatkan akak semula.” Sambungku lagi.

            “Syaza kagum dengan akak.” Ayat itu membuatkan aku tersentak. Terus aku mengangkat wajah yang berkerut seribu.

            “Maksud Syaza?”

            “Akak masih berjuang untuk kehidupan akak. Yelah…walaupun setelah apa yang berlaku…Kalaulah jadi pada Syaza, entahlah kak…” Syaza menekup muka. Aku yakin semua wanita tidak mahu perkara sebegini terjadi tetapi inilah suratan yang harus aku telan.

            “Syaza, ketabahan kita menghadapi dugaan itulah menunjukkan kita mempunyai iman. Hidup ini memang satu perjalanan yang panjang. Adakala laluannya makin payah, sedangkan kaki kita mula lelah dan langkah semakin lemah. Hanya hati yang sarat dengan keyakinan terhadap janji dan rahmat Allah sahaja yang akan kekal kuat dan tidak pernah merasa sendiri. Insyaallah pasti ada jalannya dan dipermudahkan.” Hujahku sambil menyeka tubir mata yang mula berair.

            Syaza pantas memelukku seeratnya sebelum berbisik di telingaku. “Syaza akan sentiasa disisi akak. Syaza doakan akak bahagia dan dilindungi Allah setiap masa.”

            “Syaza…” Hanya itu yang mampu aku ucapkan sebagai balasan. Mata kupejam rapat-rapat.


2 comments:

Anonymous said...

Salam... Shiz syg... awk buat saya tertnya2.. apa yg terjd kat Dean?? Any connection to mamat xserupaumur31 tu ke?? Adeeehh... merana jiwa ku menunggu cerita mu tau Shiz!! Atlast bila ada N3 baru nie... terubat rindu!! Anyway...Slmt hari raya..minal aidil wal faizin... Keep on writing!!

Unknown said...

apa yang terjadi .