Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Friday, September 7, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 3


           Tanganku pantas mencapai bungkusan sandwich yang hanya tinggal satu itu. Namun apabila tanganku hampir sampai, tiba-tiba zapp!! Bungkusan itu disambar oleh seseoang. Eh, lajunya tangan dia. Ini tangan orang atau tangan hantu? Aku menoleh dan mengangkat wajah untuk melihat siapa gerangannya si penyamun tarbus ini. Sudahlah perut berasa lapar sejak pagi tadi akibat tidak sempat bersarapan bersama daddy. Apabila tiba waktu rehat pula, Cikgu Rohaniah minta aku membantunya di bilik guru. Tinggallah lima minit lagi sebelum waktu rehat tamat, baru aku dapat pergi ke kantin untuk menjamah makanan.

            “Asmara?” Aku terkejut. Tapi buat apa nak terkejut ye tak? Kami sekelas dan hari-hari aku nampak muka dia. Tetapi mungkin aku terkejut kerana tanganya pantas macam penyamun!

            Asmara tersenyum sinis. “Kenapa sebut nama aku macam tu? Kau suka nama aku?”

            Aku terkedu. Apa kena dengan lelaki otak tiga suku ini? Serius, kalau aku masuk kelas tambahan untuk mengenali Si Asmara ini pun belum tentu aku faham perangainya. Entah-entah dia makhluk asing yang datang menyamar kat bumi tak? Possible….

            “Hey, kenapa kau tengok aku macam tu? Mesti dalam otak kuning kau tu, fikir aku lebih sedap dari sandwich ni kan?” Asmara tergelak-gelak macam orang gila terlupa makan ubat. Siap menekan perut lagi, lagaknya.

            Aku menggeleng perlahan. “Bagilah sandwich tu kat aku. Dari tadi aku belum makan lagi. Nak makan nasi dah tak sempat, waktu rehat tinggal lima minit aje.” Walaupun dalam otak aku ni merapu menyumpah dia macam-macam tetapi lain pula yang lahir di bibir. Aku bercakap penuh hemah untuk mendapatkan sandwich yang sebungkus itu. Mungkin terlalu lapar membuatkan aku jadi seorang penyabar? Lagi sekali, possible….

            Mata Asmara menikam mataku tajam. “Kesiannya nak makan sandwich ye? Tak boleh!” Asmara menghulurkan wang RM2 kepada pakcik kantin dan terus berlalu dengan wajah selamba.

            Aku menelan liur sambil terkulat-kulat memerhatikannya sehingga hilang dari pandangan. Aku nak makan sandwich tu, rintihku di dalam hati. Macamlah Asmara peduli rintihan hatiku yang menjerit pilu ini.

            “Kringgg!!!”

            Bunyi loceng menandakan waktu rehat telah tamat. Aku melepaskan nafas berat dan perlahan-lahan melangkah untuk kembali ke dalam kelas. Sabarlah wahai perut kosongku. Dalam kelas nanti kita minum air masak ye, aku ada bawa air masak dalam botol. Nanti balik rumah, kita makan puas-puas. Kalau tak cukup makanan kat rumah, aku boleh order pizza untuk kau. Asalkan kau tak meragam dan bersabar dengan dugaan ini, wahai perut kosongku!

            “Kenapa monyok aje muka ni?” Laila menegurku apabila aku melabuhkan punggung di sisinya. Buku rujukan untuk subjek yang bakal bermula aku keluarkan dari dalam beg. Begitu juga kotak pensil serta kertas A4.

            “Aku lapar tak dapat makan tadi. Tolong Cikgu Rohaniah kat bilik guru.” Jawabku perlahan tanpa memandang wajah Laila. Tiada hati untuk bercerita pasal si penyamun tarbus itu. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu sesekali menoleh kesini. Mesti dia puas jika aku mengadu nasib dengan Laila. Sorry lah, aku bukan kaki mengadu.

            “Laaa kesiannya kau! Tapi, bawah meja kau ni ada orang letak sebungkus sandwich. Agaknya Cikgu Rohaniah yang bagi tak?” Laila menyeluk ke dalam ruangan bawah mejaku.

            Eh, betullah! Sebungkus sandwich dikeluarkan dan diletakkan di atas meja. Betul ke Cikgu Rohaniah yang bagi sebab aku menolong dia tadi? Bungkusan itu aku pegang dan aku belek-belek seketika.

            “Belek apa lagi tu? Makanlah cepat! Tadi kata lapar. Nanti Cikgu Noraini dah masuk, langsung tak dapat makan.” Gesa Laila yang pelik dengan sikap aku.

            Aku mengerutkan dahi. Ini macam sandwich yang aku berebut dengan Asmara tadi. Kalau betul Cikgu Rohaniah nak bagi, lepas aku tolong dia tadi tentu dia dah bagi. Lagipun dari bilik guru, aku terus ke kantin. Tak nampak pula cikgu beli sandwich di kantin itu. Sandwich  ini pula betul-betul tinggal sebungkus, tetapi telah direbut oleh Asmara.

            “Makanlah, tadi kau kata nak sandwich tu kan?” Tiba-tiba satu suara datang dari arah belakang. Lantas aku menoleh.

            Kelihatan Asmara dengan wajah selamba sedang berdiri di belakang kerusiku. Sebelah tangannya siap berpegang pada kerusi. Apa kes pulak mamat ni? Bingung aku dibuatnya.

            “Tak naklah. Tadi kau berebut dengan aku. Lepas tu kau bagi aku pula sandwich ni. Entah-entah kau nak dajalkan aku tak? Kau letak apa dalam ni, ha?” Membulat mata aku memandangnya. Hati aku tidak dapat membendung lagi amarah ini. Geram dengan segala perbuatan Asmara yang otak itik ini.

            Asmara masih berwajah selamba. Nampaknya dia tidak gentar dengan ‘angin’ aku saat ini. “Aku letak nama aku dalam tu. A.S.M.A.R.A. Lepas kau makan sandwich  tu ibarat macam kau dah telan akulah. Kau kan selalu tengok aku macam nak telan aje?” Sinis sungguh kata-kata yang keluar dari mulut lelaki ini. Semakin membuatkan aku ‘terbakar’ dengan perilakunya. Mana tidaknya, siap eja nama dia seketul-seketul.

            Aku mengetap bibir. Lantas aku bangun dan menuju ke penjuru kelas bersama sandwich di tangan. Setibanya aku di tong sampah berwarna hitam itu, sandwich di tangan aku lepaskan ke dalamnya. Kemudian kedua belah tangan aku tepuk-tepuk sedikit tanda berpuas hati dengan tindakan yang telah aku lakukan terhadap sebungkus sandwich yang tidak bersalah. Yang bersalah adalah Asmara!

            Aku duduk semula di kerusiku tanpa mempedulikan Asmara yang telah pun kembali ke tempatnya. Mata Laila dan teman-teman yang lain hanya memerhati tanpa berani membuka mulut. Siapa lagi yang gemar berperang di dalam kelas ini kalau bukan Asmira dan Asmara? Nama aje macam kembar tetapi kami adalah musuh. Kedatangan Cikgu Noraini yang masuk ke dalam kelas untuk mengajar subjek Pengajian Perniagaan membuatkan situasi tegang sebentar tadi hilang begitu sahaja. Masa untuk belajar, wahai anak-anak bangsaku!

                                                *******************************

Ya, Allah! Siapa punya kerja ni? Aku menutup mulut yang terlopong. Rasa seperti mahu tersembul keluar biji mata aku melihat lukisan kanvas yang aku tinggalkan di belakang kelas telah bertukar wajah. Aku tunduk dan mengambil kanvas tersebut. Aku terbalikkan untuk melihat nama setiap pelajar yang wajib ditulis di bahagian belakang. Asmara Binti Mohamad. Betul nama aku tetapi lukisan pada kanvas ini bukan lukisan aku!

            “Apa dah jadi ni, Laila. Apa aku nak buat dengan kanvas ni?” Aku meletakkan semula kanvas tersebut di atas rak yang disediakan di belakang kelas. Kelihatan tersusun kemas hasil-hasil kerja tangan pelajar kelas ini yang mengambil subjek Seni Visual.

            “Nak buat macam mana lagi? Hantar ajelah esok. Dah, jom! Kita kena jaga library ni. Silap-silap hujung tahun tak dapat sijil karang.” Omel Laila yang telah menarik tanganku untuk beredar.

            “Hish, kau ni! Asyik fikir nak sijil aje. Kalau result STPM tak bagus, banyak sijil pun tiada gunanya. Buat pameran kat rumah kau, bolehlah. Aku ni tengah risau tahu tak?” Aku membentak sedikit sambil menarik semula tanganku dari pegangan Laila.

            Aku membaca satu persatu nama yang terdapat di belakang setiap kanvas. Daly Asmara Bin Azman. Ha, ini pun si otak itik punya. Aku membelek pula kanvas tersebut untuk meneliti hasil kerja tangannya. Cantik, sangat cantik! Dia memang berbakat dalam lukisan kanvas. Tetapi lain hasilnya dengan aku punya. Mungkin bukan dia yang buat, teka akalku.

            “Apa kau nak risaukan? Lukisan kau sebelum ni lagi buruk dari tu. Tiba-tiba aje boleh jadi cantik. Entah siapa makhluk Tuhan yang paling baik telah selamatkan kawan aku ni dari melakukan ‘kerosakan seni’. Dia boleh warna semula menggunakan cat akrilik atas kanvas kau. Kagum aku!” Laila berceloteh sambil tangannya menyentuh kanvas milik aku. Memang makhluk Tuhan itu telah mewarnakan semula lukisan aku kerana dapat dirasa dengan tangan kanvas aku menjadi sedikit timbul dan tebal.

            Tapi siapa? Ah, aku tak peduli lukisan aku cantik atau tidak! Aku memang tak pandai dalam seni lukis atau segala bagai seni-meni dalam dunia ni. Buruk-buruk pun, hasil kerja tangan aku juga. Kalau aku hantar lukisan kanvas ni dah sah-sah Cikgu Hashim tak percaya aku yang buat. Maklumlah guru lelaki separuh abad yang mengajar Seni Visual itu telah banyak kali menegur hasil lukisanku sebelum ini. Aku tidak pandai bermain warna, tangan aku keras sangat apabila melorek lukisan, lukisan aku nampak macam tidak ‘hidup’ dan pelbagai lagi komen tak berapa membina diberikan. Tiba-tiba aku mampu menghantar lukisan kanvas secantik dan seindah ini? Tak logik!

            “Orang tua tu tentu tak percaya aku buat semua ni.” Keluhku perlahan. Aduhai…lukisan tak cantik pun susah, lukisan cantik lagilah susah.

            “Hantar ajelah. Esok pagi dia dah nak kumpulkan semua kanvas ni untuk markah kerja kursus. Jangan fikir banyak-banyak tetapi berdoa yang kena banyak tau! Mudah-mudahan dia percaya kau dah pandai melukis sekarang. Cakap aje kau masuk kelas lukisan kat luar.” Laila menepuk bahuku lembut. Dia masih cuba menghilangkan segala resah yang membelit hati aku saat ini.

            “Jomlah kita jaga library.” Ujarku lantas terus melangkah keluar dari dalam kelas. Laila turut mengekoriku dari belakang.

            Petaka apa lagi yang akan berlaku selagi aku berada di sekolah ini? Nama aje sekolah premier tetapi sekolah ini seakan mempunyai ‘badi’ tersendiri terhadap aku. Lepas satu, satu lagi masalah yang melanda hidup aku sejak masuk ke sini. Mujur ada Laila yang sentiasa disisiku, kalau tidak memang dah lama aku pindah sekolah.

            “Maaf, akak terlewat sikit hari ni dik.” Aku menghadiahkan senyuman buat Nazira.

            Laila pula setelah meletakkan beg di dalam kaunter, terus ke belakang untuk menyusun buku-buku. Tugas aku pula duduk di kaunter untuk melakukan urusan peminjaman dan pemulangan buku di perpustakaan sekolah. Namun nampaknya masih belum ada pelajar yang datang untuk berurusan.

            Nazira membalas senyumanku dan menyandang begnya ke bahu. Bersedia untuk beredar dari sini. “Tak apa kak. Lewat sikit aje. Saya masuk kelas dulu ye.”

Nazira meminta diri untuk menjalankan kewajipannya menuntut ilmu. Gadis kecil molek yang menuntut di tingkatan dua itu akan bertugas pada waktu pagi sehingga sesi persekolahannya bermula pada waktu petang.  Manakala aku pula akan bertugas pada waktu petang setelah sesi persekolahan pagi tamat. Namun hari ini semua pelajar tingkatan enam telah pulang sejak jam sebelas pagi tadi. Setelah tamat bengkel menjawab kertas soalan peperiksaan, kami semua dibenarkan pulang. Kemudian aku dan Laila datang semula ke sekolah pada jam dua petang.

Aku duduk termenung di kaunter memikirkan masalah yang masih belum selesai. Apa sahaja masalah yang berlaku pasti otak aku menuduh angkara Asmara. Tetapi kali ini perkara baik. Walaupun perbuatannya salah tetapi pasti niat si pelakunya baik terhadap aku. Lukisan aku yang tak berapa seni itu telah menjadi hasil seni yang indah. Silap-silap boleh dapat markah paling tinggi antara pelajar di dalam kelas tingkatan enam Dahlia. Tetapi apa motif si pelaku itu hendak menolong aku? Peminat misteri ke? Syok juga ye ada peminat misteri, walaupun dia pasti malang kerana meminati gadis tak ayu seperti aku. Aku mengekek di dalam hati.

“Akak, saya nak pinjam buku ni.” Suara seorang pelajar lelaki mengejutkan aku.

Pantas aku mencapai buku yang telah diletakkan di atas kaunter dan aku rekodkan di dalam komputer.

“Sila beri kad pelajar ye.” Pintaku sambil memandang sekilas wajah pelajar lelaki di hadapan kaunter ini.

Tanganku masih ligat mencari judul buku yang berada di dalam sistem komputer perpustakaan sekolah ini. Setelah mendapatkan kad pelajar, aku rekodkan pula butiran peribadi untuk membolehkan pelajar tersebut meminjam buku selama seminggu. Selesai merekod, aku memberikan semula kad pelajar beserta buku yang telah berjaya dipinjam oleh pelajar lelaki ini.

“Tarikh pemulangan akak dah catat dalam kad belakang buku tu ye. Kalau lewat, sehari berharga lima puluh sen.” Terangku pula.

Pelajar tersebut hanya tersenyum dan mengangguk sebagai jawapan. Kemudian terus berlalu dari kaunter. Aku duduk menyambung termenung semula. Ligat otak aku berfikir dari pelbagai arah. Namun hanya jalan mati. Idea untuk memikirkan siapa pelakunya tidak membuahkan hasil. Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

            “Sudah-sudahlah tu Asmira. Jangan difikirkan sangat benda yang tiada jawapannya sekarang. Yang penting, esok kau hantar lukisan tu pada Cikgu Hashim. Lepas tu, selesai!” Laila yang datang dari arah belakang masuk ke dalam kaunter untuk duduk.

            Ditangannya memegang sebuah buku rujukan Pengajiam Am untuk dibaca. Begitulah rutin kami apabila tiba giliran hari bertugas sebagai pembantu perpustakaan. Selain ingin mendapatkan sijil, kami juga dapat mengulangkaji pelajaran sementara berada di perpustakaan. Kalau dirumah, waktu-waktu begini akan aku isikan dengan dengkur dan air liur basi. Tidur sampai ke petanglah jawabnya.

            Aku hanya memandang kosong Laila yang telah mula membuka buku dan membacanya. Salah satu sikap Laila yang berguna sebagai seorang sahabat, dia seorang yang rajin belajar. Malah dia mampu membawa aura positif ke dalam diri aku untuk sama-sama berjaya. Lalu aku bangun menuju ke belakang untuk mencari buku rujukan karangan MUET di rak buku. Aku perlu belajar dengan bersungguh-sungguh agar tidak sia-sia masa aku selama setahun setengah ini nanti. Kalau tidak dapat menjejakkan kaki ke universiti awam, masuk universiti swastalah nampak gayanya. Walaupun daddy lebih dari mampu untuk menghantar aku sehingga ke luar negara, tetapi entah kenapa aku tetap mahu bersaing mendapatkan tempat di IPTA.

            Aku kembali semula ke kaunter dengan buku yang diingini. Setelah melabuhkan duduk di sebelah Laila, aku mula mengulangkaji dengan membaca contoh-contoh karangan yang terdapat di dalam buku rujukan ini. Semakin asyik aku membaca sehingga terlupa seketika perihal lukisan kanvas yang telah bertukar wajah.

Menjadi indah dan mempersonakan….

1 comment:

Anonymous said...

NB - good (^_^)teruskan berkarya..