Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, August 20, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 58



         Aku duduk di tepi Tasik Jitra sambil menikmati udara segar. Sesekali keriuhan kanak-kanak berlari menggamit aku untuk menoleh. Senyuman mekar menghiasi bibir. Alangkah riangnya mereka tanpa dilanda sebarang masalah seperti orang dewasa. Seraut wajah mula terbayang kembali. Seorang kanak-kanak lelaki yang aku berikan panggilan Thaariq. Kenapa? Nama itu adalah nama salah seorang pejuang Islam yang terhebat suatu ketika dahulu. Menurut kata Hadif, janin itu masih belum cukup sifat dan doktor sendiri mengesahkan masih belum mempunyai jantina. Tetapi kanak-kanak yang muncul di dalam mimpi aku adalah lelaki. Mungkin jika umurnya panjang, bayi di dalam kandunganku adalah lelaki.

            Benarlah kata pujangga, kemaafan itu adalah dendam yang terindah. Setelah memaafkan Zati beberapa bulan lepas, aku kembali meneruskan kehidupan seperti sediakala. Hati aku menjadi lebih tenang dan bersyukur atas limpahan kasihNya. Ujian itu tarbiyah dari Allah, semakin dekat padaNya semakin kuat taufan melanda. Pasti ada hikmah yang tersembunyi, pasti ada bahagia yang hakiki kerana janji Allah itu pasti. Kini aku semakin tabah melalui hari-hari yang mendatang.

            “Sayang, air…” Hadif melabuhkan punggung disisiku sambil tangannya menghulurkan air kotak.

            “Terima kasih.” Air itu bersambut dan bertukar tangan.

            “Menungkan apa?” Soal Hadif yang menebarkan pandang ke tengah tasik.

            “Semalam sayang mimpikan Thaariq.” Aku menyedut minuman untuk membasahkan tekak. 

            Hadif pantas menoleh. “Sayang okey tak ni?” 

            Aku mengangguk perlahan. “Mungkin itu mimpi terakhir kerana sayang dapat peluk dia.”

            Hadif memaut bahuku mesra. Kemudian aku melentokkan kepala ke bahunya pula. Suasana menjadi sepi buat seketika. Masing-masing melayan perasaan sendiri.

            “Insyaallah rezeki kita akan ada nanti.” Bisik Hadif lembut. Aku tersenyum manis disisinya. Aku sentiasa berdoa agar segera dikurniakan cahaya mata pengikat kasih kami suami isteri.

            Zati kini sedang menjalani hukumannya akibat kes langgar lari. Mudah-mudahan tiada lagi gangguan jiwa yang dialami olehnya. Aku juga mendoakan yang terbaik buat Zati setelah dia selesai menjalani hukuman itu nanti. Perjalanannya masih panjang dan kesilapan dulu boleh dijadikan sebagai iktibar untuk dia terus melangkah. 

            “Macam mana dengan rumah anak yatim tu?” Soal Hadif lagi setelah lama aku mendiamkan diri.

            “Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar. Dana yang sayang sumbangkan itu pun masih mencukupi. Ayah dan mak selalu juga datang membantu kat sana pada hujung minggu.” Jelasku sambil mengangkat wajah dan memandang seraut wajah suami yang kusayangi.

            Baru sahaja sebulan lebih rumah anak yatim tersebut dibuka. Semuanya atas kerjasama mak dan ayah kerana aku sekadar memberikan dana yang diperlukan. Duit yang papa berikan itu ingin aku serahkan kepada ayah dan nenek tetapi seperti yang dijangka mereka menolak. Hasil perbincangan keluarga, kami sepakat untuk membuka sebuah rumah anak yatim di Batu Pahat. Setakat ini sudah hampir mencecah tiga puluh orang penghuninya. Semuanya adalah anak yatim yang datang dari keluarga miskin. 

            “Tercapai juga hasrat nak buka rumah anak yatim tu kan?” Hadif tersenyum puas. Duit yang diberikan papa nampaknya tidak digunakan secara sia-sia. Apa salahnya kita membantu mereka yang memerlukan.

            Aku pantas mengangguk. “Berkat doa semua orang juga dan Allah telah mempermudahkan jalannya.”

            “Betul tu sayang. Kita jangan fikirkan apa yang kita tiada. Tetapi fikirkanlah apa yang kita ada. Kita ada keluarga yang sayangkan kita, kawan-kawan yang baik, pendidikan, duit yang mencukupi, sedangkan ramai lagi orang yang tidak bernasib baik seperti kita di luar sana.”

            “Yelah, abang. Bukan main lagi nak berceramah dengan sayang.” Aku tergelak kecil.

            Hadif semakin petah berkata-kata demi untuk memujuk hati aku yang pernah dilanda duka. Malah dia sangat mengambil berat akan perasaan aku. Mungkin Hadif tidak mahu aku berasa apa-apa kekurangan lagi.

            “Tak sanggup abang tengok sayang sedih-sedih lagi. Maafkan abang kerana lalai dalam menjaga sayang.” Tanganku diraih dan dikucup penuh rasa cinta.

            “Semua yang berlaku sudah suratan. Maafkan sayang juga sebab gagal mengawal emosi dan membuatkan hubungan kita jadi berantakan.” Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku tidak mahu menangis lagi.

            “Jangan cakap macam tu. Abang ampunkan semua dosa sayang sejak bergelar isteri abang sampai bila-bila. Abang faham perasaan sayang waktu tu. Bukan mudah untuk menghadapi sebuah kehilangan nyawa. Lebih-lebih lagi tanpa sempat kita menatap wajahnya.” Pandangan mata Hadif menikam tepat anak mataku. Agak lama pandangan kami bertaut membiarkan hati terus berbicara.

            “Terima kasih abang, untuk segalanya. Bukan sayang tak sedar, setiap malam masa sayang tidur, abang akan membaca Yasin dan ayat-ayat suci Al-Quran di tepi katil. Sayang tersentuh walaupun saat itu sayang rasa tak perlukan abang lagi.” Aku meraih tangan Hadif dan aku kucup lembut. Sungguh, aku menyesal memperlakukan Hadif sebegitu rupa.

            “Amboi, jangan nak mengada ye! Perlukan atau tidak, abang tak akan pernah tinggalkan sayang. Biarlah macam mana sekalipun, abang nak hadapinya sama-sama.” Hadif menarik sedikit hujung hidungku.

            “Oh, kira paksa lah ni?” Aku mengerutkan dahi.

            Hadif mengangguk. “Tak kira. Kahwin dulu pun paksa, jadi sekarang abang nak paksa sayang ada disisi abang sampai akhir hayat kita.”

            Aku menggelengkan kepala sambil tergelak lucu. Ada-ada sahaja suamiku ini. Semuanya nak dipaksanya. “Okey, sayang rela dipaksa.”

            Jawapan aku menambahkan bilangan sepitan di hidung! “Jadi, tiap-tiap malam sayang sedarlah ye abang mengaji tepi katil tu?”

            “Mestilah sedar, suara abang sedap sangat bila mengaji. Lunak dan sejuk telinga mendengar, meresap jauh ke dasar hati. Mungkin masa itu, sayang sengaja berkeras. Nak juga salahkan abang atas apa yang berlaku. Sekali lagi sayang minta maaf ye.” Luahku jujur dan ikhlas. 

Aku menatap tepat anak mata Hadif. Betapa berdosanya aku sebagai seorang isteri. Mujurlah Hadif mampu bersabar menghadapinya dan tidak berputus asa. Aku bertuah memiliki suami seperti Hadif.

“Shhh…kalau minta maaf lagi, ada juga yang kena cium kat sini.” Gurauan Hadif membuatkan aku ketawa besar. Kemudian aku memberikan isyarat jari bahawa aku akan mencubitnya jika perkara itu berlaku. Akhirnya ketawa kami semakin kuat sambil sama-sama menikmati keindahan suasana petang yang mendamaikan.



“Klik! Klik!” Bunyi kamera yang dipetik untuk mengabadikan gambar kami berempat. Sesudah itu, semuanya ketawa melihat aksi yang dirakamkan oleh jurugambar tidak bertauliah yang masih berdiri menunggu arahan.

            “Aku belum senyum lagi kau dah tangkap! Fayyad, aku tak kira. Kau ambil lagi sekali.” Muncung Akma panjang sedepa sambil menyerahkan kembali kamera tersebut ke tangan Fayyad.

            “Yelah, mulut tu jangan senyap je. Kira satu, dua, tiga!” Ema pula menambah untuk menyokong kenyataan Akma tadi.

            “Kesian Fayyad…kau orang janganlah buli dia.” Wawa tersengih membela lelaki itu.

            Selain merangkap sepupu kepada Hadif, Fayyad kini telah dinaiktaraf menjadi sahabat aku. Hubungan kami tidak lagi menjadi kekok kerana dia sudah berhenti menagih kasih. Fayyad dapat menerima kenyataan bahawa aku benar-benar cintakan Hadif. Setelah apa yang kami lalui, Fayyad yakin Hadif adalah lelaki terbaik untuk aku.

            “Dah siap bergambar belum? Tetamu dah makin ramai tu. Semua nak jumpa sayang.” Hadif yang kelihatan santai dengan seluar pendek separas lutut, t-shirt berjenama Ralph Lauren dan gaya rambut terpacak-pacak datang mendapatkan aku.

            Aku tersengih sambil menggeleng. Jari telunjuk aku angkat tegak menunjukkan angka satu. “One more. Tadi Fayyad tangkap kita orang muka tak ready.” 

            “Nasiblah Fayyad, kena layan semua mak datin wanna be ni!” Hadif menepuk bahu sepupunya sambil ketawa kecil. 

            Setelah selesai, aku duduk di atas kerusi batu berhampiran para tetamu yang seramai dua puluh orang itu. Semuanya teman-teman kuliah yang terdekat sahaja. Jamuan makan ini sebagai meraikan aku yang bakal menghadiri kuliah seperti biasa pada minggu hadapan. Rindu untuk menuntut ilmu dan kehidupan yang sibuk dengan tugasan membuatkan semangat aku berkobar-kobar untuk memulakan sesi pembelajaran.

            “Semua sampah boleh kumpulkan disini ye. Kebersihan adalah amalan kita.” Ema memberitahu teman-teman yang kebanyakannya sedang menjamu selera sambil duduk di atas tikar yang disediakan. Beg plastik besar digantungkannya pada sebatang pokok.

            “Okey, beres!” Sahut satu suara.

            “Baiklah, cik kebersihan!” Satu suara lagi berkata.

            Pecah ketawa semua yang ada disini. Tidak disangka-sangka ketika kami bersiar-siar mengambil angin petang itu, tiba-tiba idea untuk mengadakan jamuan makan diutarakan oleh Hadif. Katanya selain meraikan aku yang akan kembali menyertai rakan-rakan seperjuangan, jamuan ini juga sebagai tanda menghargai mereka yang sudi datang melawat aku ketika ditimpa kecelakaan. Malah lebih penting lagi, Hadif ingin aku bergembira.

            Lebih membuatkan aku terkejut, lokasi pilihan Hadif adalah di Tasik Jitra. Hadif inginkan suasana santai sambil dapat bersuka-ria bersama teman-teman. Jika dirumah, perlu mengubah perabot dan berkemas apa yang patut. Banyak pula kerjanya sedangkan sebelah kakiku masih bersimen. Bagaimanalah aku bertongkat untuk ke kuliah nanti. Pasti menjadi perhatian mata-mata yang memandang.

            “Betul-betul dah sihat ni?” Faiz menegurku sambil memegang secawan minuman.

            “Alhamdulillah, sihat sepenuhnya. Kaki ini pun lagi dua bulan dah boleh datang buka.” Aku menjatuhkan pandang kearah kaki kiriku.

            Faiz mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. “Aku minta maaf sebab tuduh kau yang bukan-bukan dulu. Lepas semua perkara ni terjadi, baru aku dapat tahu cerita sebenar.”

            “Benda dah lama, tak perlu ungkit lagi. Aku pun dah maafkan kau, sebab tu kau salah seorang teman yang dijemput hari ini. Terima kasih sudi datang.” Jawabku sambil sesekali menebar pandang kearah tetamu-tetamu lain. Bukan main seronok lagi mereka semua bermain permainan ‘kotak beracun’. Dah macam jamuan hari jadi pula namun oleh kerana semuanya idea Hadif, aku setuju saja. 

            “Memang baik hati kau, Aida. Bertuah Hadif. Mulanya aku tertanya-tanya kenapa kau lama tak datang kuliah. Aku pergilah jumpa Wawa dan Akma. Akhirnya mereka ceritakan semuanya pada aku. Tak sangka Zati sanggup buat macam tu sekali.” Faiz mengeluh perlahan. Air di tangan diteguknya sedikit.

            “Memang anak kami tak panjang umur. Allah lebih sayangkan dia. Aku redha….” Aku menarik nafas dalam dan melepaskannya perlahan. Walaupun ada sisa kesedihan yang bertandang, tetapi aku mampu mengawalnya. 

            “Aku doakan kebahagiaan kau, Aida. Itulah gunanya kawan, betul tak?” Faiz cuba menceriakan kembali suasana.

            “Betul. Terima kasih Faiz.” Aku mengangguk dan tersenyum senang. Keluarga dan kawan-kawan adalah sebahagian dari dunia kita.

No comments: