Peluh
membasahi belakang T-Shirt Giordano
yang aku pakai. Seluar pendek separas peha berwarna merah jambu ini juga
kelihatan lembap dibasahi air. Setelah hampir setengah jam aku membanting
tulang membasuh baju menggunakan tanganku yang mulus ini akhirnya hasil basuhan
tadi dapatku sidai pada ampaian di belakang bilik mandi. Ini yang paling aku
tidak suka lakukan sendiri setelah hidup berjauhan dengan mak. Membasuh bukan
dalam bidang kepakaran aku. Hal lain? Memasak bolehlah setakat mengisi perut
sendiri tetapi bab mengemas dan menghias rumah memang aku pakar.
“Belum siap membasuh ke kak?”
Pertanyaan seorang pelajar junior yang berkongsi tandas paras empat ini
menegurku.
“Dah siap. Akak tengah sidai kain
kat belakang ni. Berus, sabun dengan softlan
akak tu kamu masukkan dalam baldi merah. Letak dulu kat tepi kalau kamu nak
basuh kain.” Aku memberikan arahan.
Hanya
di dalam tandas dan bilik mandi sahajalah masa yang ada untuk bertegur sapa
dengan penghuni lain di paras empat ini. Nak harap berborak panjang
masing-masing sibuk kuliah. Selepas habis kuliah, pasti berehat dalam bilik dan
membuat tugasan. Jarang sekali dapat bersua muka.
“Okey. Kenapa akak tak guna mesin
basuh aje? Nanti tak lembut lagi tapak tangan akak tu…” Pelajar junior yang
bernama Siti ini mengusikku. Mungkin pernah melihat aku menggunakan mesin basuh
yang berada di paras dua sebelum ini.
“Alah, malaslah nak tunggu turn lambat. Mana tidaknya, sebiji mesin
basuh tu aje untuk satu bangunan. Kita ada empat paras. Bayangkanlah berapa
ramai yang nak guna mesin tu.” Bidasku sambil menggelengkan kepala walaupun
tidak dapat dilihat oleh Siti. Yelah, aku berada di ampaian bahagian belakang
manakala Siti disinki tempat membasuh baju.
“Saya pula jimat duit kak. Sekali
basuh aje dah tiga ringgit duit syiling masuk dalam mesin basuh. Kalau basuh seminggu
sekali, sebulan dah dua belas ringgit. Baik buat beli makanan duit tu daripada
membazir kat mesin. Saya bukan orang senang.” Luah siti pula. Kata-katanya
membuatkan aku mati akal untuk menjawab. Aku bukan boleh dengar orang bercerita
tentang kesusahan, mula emosi nak sedih.
“Tak ape Siti. Basuh baju pakai
tangan pun boleh dikira exercise
jugak. Boleh lebih sihat dan kuat!” Aku cuba berseloroh sambil tanganku ligat
menyidai kain yang separuh berbaki di dalam bakul.
Hambik
kau! Suka sangat mengumpul baju kotor banyak-banyak kemudian apabila tiba waktu
membasuh dan menyidai mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan. Penatnya.
Siti tergelak kecil menandakan lawak
yang aku ucapkan tadi menjadi. “Akak balik bila? Esok dah mula cuti.” Soal Siti
lagi kepadaku.
Kedengaran bunyi air dan berus
menandakan dia sudah mula melakukan tugas-tugas membasuh di sinki. Mungkin tadi
dia mula merendam pakaian sebelum menyentalnya.
“Esok malam naik bas kat Changlon.
Esok pagi sempatlah berkemas. Malam ni nak lepak dengan kawan-kawan sebelum
semua balik bercuti.” Jawabku lembut. Tanganku pula mengibarkan baju kurung
sebelum digantungkan pada hanger. Tujuannya
adalah tidak mahu terlalu berkedut dan susah digosok apabila sudah kering
nanti.
“Sama lah. Siti pun balik esok malam.
Rindu dengan keluarga…tak sabar nak sampai rumah.”
Kata-kata Siti membuatkan aku
tersenyum sendirian. Itulah ayat yang sering aku ucapkan apabila musim cuti
hampir tiba. Namun itu hampir dua tahun yang lalu. Kini aku lebih bersikap
tenang dan tidak terlalu mengikut perasaan rindu. Tidak lari gunung dikejar.
Balik rumah tetap ada mak, ayah dan Aini yang menanti. Tempoh bercuti pula
tidak sesekali kurang sehari mahupun lewat sehari dari tarikh yang telah
digariskan. Semuanya berjalan mengikut paksinya walau sedalam laut pun rindu
yang menggamit untuk segera pulang ke rumah.
Aku mengangkat bakul apabila baju
yang terakhir telah selesai digantung. Aku menuju kearah sinki untuk mengambil
baldi dan kelengkapan membasuh yang aku tinggalkan sebentar tadi.
“Okey lah Siti. Akak dah selesai ni.
Masuk bilik dulu. Selamat bercuti and
take care.” Aku tersenyum memandangnya yang sedang sibuk memberus ‘baju
kecil’. He he he….
Siti mengangkat wajah dan membalas
senyumanku. “Akak pun sama. Jumpa lagi nanti.”
Tiba-tiba hatiku dipagut sayu.
Selepas pulang dari dua minggu bercuti kelak, aku bukan lagi Cik Aida Nasuha.
Aku adalah Puan Aida Nasuha. Isteri yang sah kepada lelaki misteri yang bernama
Hadif. Lelaki atau gelaran yang sering aku gelarkan untuk dia iaitu En.Tunang
yang langsung aku tidak pernah nampak batang hidungnya. Mancung ke tidak
hidungnya itu pun aku tidak tahu!
Jumpa lagi nanti….
Kata-kata Siti tadi telah membuat
otakku ligat berfikir. Adakah selepas pernikahan nanti aku masih dibenarkan
tinggal disini? Atau akan membuat permohonan tinggal di kolej kelamin untuk
pasangan yang sudah berkahwin di kolej Maybank? Atau mama dengan papa akan
minta kami tinggal menyewa di luar? Siti….akak tak tahu kita dapat jumpa lagi
atau tidak….
Lantas
aku berlalu menuju ke dalam bilikku yang terletak di hujung paras berhampiran
dengan balkoni. Kunci pintu aku keluarkan dari dalam poket seluar pendek dan
aku cucuk ke dalam tempat kunci. Tombol pintu kupulas.
“Sekejap lagi kita turun makan ye?”
Ema menegurku sambil melihat aku meletakkan kelengkapan membasuh tadi di ruang
bersebelahan almari.
Aku sekadar mengangguk dan terus
menghempaskan badan di atas katil. Jari jemari aku patah-patahkan untuk
melegakan sedikit rasa lenguh yang menjalar.
“Penat ye? Aku suruh basuh dari
semalam kau tak nak.” Ema tersenyum sumbing. Matanya masih lekat menonton drama
Korea di skrin komputer riba miliknya.
“Tak sempatlah. Lagi pun semalam aku
sakit kepala.” Bidasku jujur. Mata aku pejam untuk mendapatkan rasa lega
berbaring di atas katil.
“Leceh kolej kita ni pakai pintu
automatik macam kat hotel. Keluar masuk kena bawa kunci kemana-mana.” Keluhku
pula.
“Baguslah, itu selamat namanya. Bila
pintu tertutup dari luar bermakna pintu automatik terkunci. Tak macam kolej
lain yang masih gunakan pintu bilik biasa.” Ema menjawab dengan penuh yakin.
“Yelah, kalau kita dua-dua keluar
tak bawa kunci satu hal pula nak turun pergi office pinjam kunci. Kalau buatnya masa aku pakai macam ni, mampus
nak turun macam mana?” Kataku lagi walaupun mata masih tertutup.
Ema ketawa. “Pergi bilik yan pinjam
baju lah. Tak kan itu pun aku nak ajar…”
Belum sempat aku membalas kenyataan
Ema itu dia mula membuka mulut.
“Lagi lawak aku tengok budak-budak
junior gantung kunci kat leher masa nak pergi toilet. Takut benar budak-budak tu tertinggal kunci dalam bilik.”
Aku pula tersenyum lantas membuka
mata dan memandang Ema.
“Betul ke? Aku tak pernah nampak
pun.” Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
Ema menganggukkan kepalanya. “Yelah.
Selalu aje aku perasan bila bertembung dengan mereka kat tandas.”
“Sampai macam tu sekali…” Aku
menggelengkan kepala pula. Memang mencuit hati betul perlakuan budak-budak
junior jika diperhatikan. Seingatnya masa aku freshie dulu tidak pula melakukan perkara-perkara lucu dan pelik.
“Kolej YAB still guna pintu biasa. Ada dengar cerita nak tukar pintu macam
kolej kita ni tapi sampai sekarang belum tukar. Kesian hari tu aku dengar Wawa
cerita ada budak hilang duit. Padahal dia keluar sekejap aje pergi tandas.
Malas nak kunci pintu agaknya.” Aku mula bercerita pada Ema tentang peristiwa
yang diceritakan oleh Wawa tempoh hari. Kalau sikit tak apalah juga, ini
melibatkan kecurian sebanyak tiga ratus ringgit. Jumlah sebesar itu cukup
bermakna dalam hidup pelajar sepertinya.
Kolej YAB adalah singkatan daripada
nama Yayasan Al-Bukhary. Nama-nama kolej kediaman dalam universiti ini adalah
diberikan atas nama penaja kepada setiap kolej berkenaan. Mengikut ceritanya
dulu, kolej yang aku duduki sekarang pernah ingin ditaja oleh Pos Malaysia.
Tetapi entah macam mana kolej ini ditaja oleh SME Bank pula.
Setiap
pelajar yang masuk menduduki sesebuah kolej kediaman akan diberi cenderahati
berbentuk sehelai T-shirt mengikut
nama penaja. Siap boleh pilih saiz lagi. T-Shirt
SME Bank berwarna hitam yang aku miliki memang cantik dan seringkali aku
memakainya. Namun hati ini lebih terpikat pada T-Shirt YAB yang dipakai Wawa warna kuning berbelang hitam seperti
harimau Maybank itu.
“Yeke? Teruk betul belajar kat
universiti pun masih nak buat perangai mencuri tu kat sini. Ishh…” Ema
memandang aku sambil mencebikkan bibirnya.
Aku sekadar menjongket bahu dan
bangun mencapai tuala untuk pergi ke bilik mandi. Kemudian kucapai juga bakul
comel berisi kelengkapan untuk mandi. Terasa melekit badan dengan peluh yang
sudah kering dan aku ingin segera menyegarkan badan.
“Jangan lupa gantung kunci kat leher
kau Aida!” Sempat lagi Ema bergurau dengan aku.
Aku menghadiahkan Ema isyarat tangan
yang berbentuk penumpuk. Ketawa besar nampaknya Ema menerima isyarat tersebut.
Aku turut geli hati melihat telatah Ema lalu tersenyum. Kemudian daun pintu
kututup rapat dan kaki mula melangkah menuju ke bilik mandi.
***********************************
Entah
untuk keberapa kali aku menggaru kepala yang tidak gatal. Kemudian aku
mencebikkan bibir pula tanda tidak berpuas hati. “Yelah mak. Berapa ratus kali
mak nak pesan?” Aku akhirnya meluahkan rasa.
“Kamu tu bukan betul sangat Aida.
Nanti lain yang mak pesan, lain pula yang kamu buat!” Tegas kata-kata mak
dihujung talian.
Eleh, tak betul konon! Habis tu
kalau dah tahu Aida ni tak betul sangat, buat apa mak nak kahwinkan Aida?!
Bentakku di dalam hati. Bibirku ketap geram. Lantas tanganku menolak pinggan
yang berisi Nasi Pattaya ke tepi. Hilang selera makan.
“Tapi akak dah cakap yang tiket bas
tu akak dah beli dari minggu sudah lagi. Tujuh puluh ringgit tau dari sini
balik Batu Pahat tu!” Terangku sedikit kasar. Mungkin benteng kesabaran sudah
semakin nipis dengan sikap mak.
“Mak boleh ganti balik berapa kali
ganda kamu nak duit kamu tu. Asalkan esok kamu balik dengan Hadif. Dia dah
janji dengan mak nak tumpangkan kamu esok. Lagipun keluarga mereka memang nak
datang hantar duit hantaran kamu seminggu sebelum akad nikah.” Terang mak lagi.
Nampaknya mak memang tak nak faham.
Cakap banyak pun buat kering tekak sahaja. Aku menarik nafas dalam-dalam.
“Keluarga dia aje yang datang kan?
Takkan dia tu muka tak malu nak datang jugak tunjuk muka sebelum nikah. Apalah
mak ni…” Suaraku sedikit kendur. Aku mahu berlembut agar mak termakan dengan
kata-kataku ini.
“Apa salahnya? Bukan ada siapa pun
masa mereka nak datang tu. Cuma mak jemput nenek kamu aje. Lagipun Hadif tu
selalu call bersembang dengan mak.
Jadi mak nak juga tengok dia secara empat mata sebelum kamu bernikah.” Bidas
mak laju.
Aku tergamam. Hadif selalu berhubung
dengan mak? Kenapa dengan mak saja dia mahu berbaik-baik. Namun dengan aku
langsung tak pernah cuba nak berhubung langsung! Bukan ke sepatutnya dia cuba
berkenalan dan mengambil hati aku sebelum kami bernikah? Ah, dia ni nak
bernikah dengan mak atau dengan aku? Sakit hati pula memikirkan sikap Hadif
yang langsung tidak berniat untuk mendekati aku padahal dia ada sahaja dalam
universiti ini.
“Whatever!”
Dengan rasa yang bercampur-baur aku menjawab. Lagipun aku tahu mak cukup kenal
dengan sikap aku yang suka berterus-terang dan kadangkala memberontak.
Terdengar keluhan mak. “Akak ni
susah sangat nak dengar cakap mak. Percayalah mak dan ayah mana yang tidak mahu
lihat anak mereka bahagia dan berjaya.”
“So?”
Dengan rasa tidak puas hati yang masih bersisa aku menyoal.
“Percaya dengan pilihan kami. Selama
ini akak bercinta dengan Adli dari zaman sekolah lagi mak dengan ayah restu.
Kami layan Adli macam anak sendiri. Tapi dah begini jadinya…”
Belum sempat mak menghabiskan ayat
aku terlebih dulu memotong tanda tidak mahu mendengar bebelan mak lebih lama lagi.
“Cut
it short mak…” Bukan aku bersikap kurang ajar dengan mak tapi aku memang
dibesarkan dalam suasana yang berterus-terang. Mak dan ayah memberi kebebasan
kami adik beradik untuk bersuara. Tapi aku sebagai anak tahu batas-batas yang
perlu dipatuhi.
“Mak dan ayah yakin ini pilihan yang
tepat buat kamu. Sebagai seorang mak pun, mak dah buat solat istikharah dan
gerak hati mak yakin ini jalan terbaik untuk kamu. Mereka orang baik-baik nak.”
Terasa nada suara mak bergetar semasa menuturkan ayat tersebut. Mak sebak,
mungkin.
Hati aku juga turut terasa sebak.
Kedengaran suara mak begitu tulus dari hati kecil seorang mak kepada anak
gadisnya. Mungkin mak benar dalam perkara ini.
“Erm…nampaknya akak memang tiada
pilihan lain selain percaya sepenuhnya pada mak. Yelah, akak ikut cakap mak.”
Aku menjawab perlahan. Menahan rasa getar yang semakin tidak dapat ditahan. Aku
ingin menangis saat ini! Cuma aku tidak pasti untuk apa tangisan itu. Tangisan
kerana aku dikahwinkan dengan pilihan mereka tanpa aku dapat menolak atau
tangisan syukur kerana hati aku telah semakin redha dengan ketentuan ini?
Setelah meneruskan perbualan tentang
perkara-perkara yang tidak berapa penting, akhirnya aku menamatkan talian
setelah menjawab salam yang diberikan oleh mak. Telefon bimbit aku letak di
atas meja. Air neslo yang berada di hadapan aku sedut sampai berbaki setengah
gelas. Membasahkan tekak yang kering akibat bertegang urat seketika dengan mak
sebentar tadi.
“Dah tu apa keputusan kau?” Ema
seperti dapat meneka topik perbualan antara aku dengan mak tadi bertanya. Dia
masih lagi selera menghabiskan bihun lagna di dalam pinggan.
Aku mengangkat bahu. Sekilas aku
membuang pandang ke segenap kafe yang terletak bersebelahan pejabat kolej
kediamanku ini. Kafe yang luas ini dirasakan semakin sempit ingin menghimpit
aku.
“Wait
and see,” ujarku kepada Ema tanpa memberikan dia sebarang jawapan.
“Macam tu pulak?” Soal Ema lagi
tidak puas hati dengan jawapan yang aku berikan.
Aku menyedut lagi air neslo sehingga
habis sebelum membuka mulut. “Mak aku kata dah buat solat istikharah dan gerak
hati dia yakin ini pilihan yang tepat untuk aku.”
Ema berhenti menyuap makanan dan
membetulkan duduk menghadap aku. “Serius? Kalau macam tu baik kau ikut aje.
Insyaallah pasti kau akan bahagia dan berkat.” Mata Ema bercahaya seperti
memberikan satu harapan buat aku.
“Amin…aku akan cuba. Redha dan
menerima semua ni dengan hati yang terbuka.” Aku tersenyum tawar.
Nampaknya Ema tidak pula bertanya
tentang aku yang bertekak dengan mak soal balik kampung. Mak menyuruh aku
menumpang kereta Hadif untuk pulang ke rumah esok pagi. Gila! Barang satu apa
pun belum kemas lagi kerana tiket bas aku untuk perjalanan waktu malam.
“Dah habis makan kan? Jom! Aku nak
balik bilik packing barang-barang.”
Aku bingkas bangun dari kerusi plastik ini dan berjalan untuk naik ke bilik.
Ema pula berlari-lari anak untuk
menyaingi langkah kakiku yang semakin meninggalkan dia. “Tunggulah! Jangan
jalan cepat-cepat!” Teriakan Ema hanya membuahkan senyuman dibibir.
1 comment:
erm nice lah...makin lama baca,makin tak sabar nak taw last2 mcm mne...
Post a Comment