Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, August 20, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 57



           “Sayang, makan ubat.” Hadif meletakkan dulang kecil berisi beberapa jenis ubat dan segelas air suam. Aku masih diam membatu seperti selalu. Langsung tidak ingin memandang seraut wajah itu. Wajah yang menjadi punca segala musibah yang menimpa. 

            “Abang keluar dulu. Kalau perlukan apa-apa, panggil abang tau.” Ucapan itu yang dituturkan setiap hari. Namun reaksi yang diterima tetap sama. Aku tidak sekali-kali meminta pertolongan Hadif. Semuanya aku lakukan sendiri walaupun perlu bersusah payah. Tidak mampu berjalan, aku boleh mengengsot. Tidak mampu juga, aku boleh merangkak. Apa sahaja akan aku lakukan agar tidak menerima bantuan daripada Hadif.

            Aku berbaring sambil mengiring. Perlahan-lahan aku keluarkan sekeping gambar 3D dari bawah bantal. Aku kucup berkali-kali dan kemudian aku bawakan ke dada. Ketika ini dia masih terlalu kecil. Cuma besar sedikit dari biji kacang bentuknya. Namun hanya inilah satu-satunya gambar yang aku dapat sewaktu melakukan scan di sebuah klinik swasta satu waktu dulu. Kaki yang patah langsung tidak aku kisahkan. Patah kedua-dua belah pun tidak mengapa asalkan nyawa bayi aku dapat diselamatkan. Tetapi apakan daya…yang pergi tetap kan pergi…tanpa sempat dilahirkan kedunia ini….

            Aku menangis lagi. Letih dan lesu akibat kehilangan banyak tenaga. Makanan yang masuk ke dalam perut sudahlah sedikit, kemudian tenaga yang dihabiskan untuk menangis lebih banyak daripada itu. Walaupun mak dan mama berkeras ingin menjaga aku sehingga sembuh, tetapi aku lebih selesa begini. Biarlah aku bersendirian buat sementara waktu. Aku perlukan ruang. Untuk meratapi dan berkabung atas kehilangan nyawa si kecil. Pelbagai kata-kata nasihat penguat semangat yang diberikan sebelum mereka semua mengambil keputusan untuk pulang. Semuanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tiada satu pun yang melekat dalam kepala.

            “Sayang, sudahlah tengok gambar tu. Insyaallah rezeki kita mungkin lain kali.” Entah bila Hadif menyelinap masuk ke dalam bilik ini aku sendiri tidak sedar. 

Semenjak aku pulang, aku tidur bersendirian disini. Aku tidak mahu berdekatan dengan lelaki itu. Pedih yang menjalar di segenap ruang rasa bertambah perit apabila memandangnya. Makin berganda-ganda rasa sedih yang bertandang. Hadif seakan memahami, dia mengambil keputusan untuk tidur di ruang tamu. Ingin tidur di bilik belakang, bimbang tengah-tengah malam aku perlukan bantuannya. Itulah yang dikatakan oleh Hadif. Berusaha sebanyak mana pun untuk menjaga aku, tiada ertinya lagi. Kerana dia anak kami mati!

“Tolong keluar.” Pantas aku menyembunyikan gambar tersebut di bawah bantal. 

Keluhan kecil terlepas dari bibirnya. “Abang tak tahu apa dosa abang pada sayang. Abang dah cuba buat yang terbaik. Tetapi sayang tetap dingin macam ni.”

Aku memejam mata. Badan masih mengiring tidak berganjak untuk memandang Hadif yang berdiri di tepi katil. Aku berharap agar dia segera keluar dan menamatkan perbualan kami. Aku tidah betah dia berlama-lama disini.

“Zati dah ditangkap. Abang dengan dia pun dah lama tak ada kena mengena. Kenapa perlu sayang menghukum abang?” Hadif masih terus mendesak. Hari-hari yang berlalu sebelum ini dia mengikut sahaja rentak aku. Nampaknya malam ini Hadif seakan tidak bertahan lagi.

“Dia buat semua tu sebab abang kan?! Sebab dia masih tergila-gilakan abang. Dia boleh ambil abang kalau dia nak. Tapi tak perlu sampai sanggup membunuh anak saya.” Aku sudah menangis teresak-esak. Emosi aku masih terasa kucar-kacir.

“Itu pun anak abang, sayang. Anak kita. Sayang pentingkan diri sendiri. Sayang fikir hanya sayang seorang sahaja yang berasa kehilangan. Abang juga rasa yang sama. Mak, ayah, mama dan papa juga bersedih atas keguguran tu. Kita semua terseksa! Kita semua sayangkan bayi tu. Kenapa sayang tak cuba faham?” Hadif terduduk disudut bilik. Dia menekup wajahnya dengan kedua belah tangan. Bahunya terhinjut-hinjut tidak sekata.

“Tolonglah keluar dari bilik ni.” Ucapku bercampur-baur dengan tangisan yang semakin menggila. Hadif boleh katakan apa sahaja tetapi hati ini tetap sakit. Tetap terasa kelam dan suram. Pemergiannya telah meragut seluruh kebahagiaan aku di dunia ini. 

“Sampai bila sayang nak hidup macam ni? Nak hukum abang, hukum diri sayang sendiri. Sayang bersikap kejam sampai diri sendiri pun terabai. Sayang tak kisahkan malam dan siang. Sayang hidup dalam dunia sendiri.” Hadif bangun dan melangkah keluar setelah selesai menuturkan kata. Dia tahu, kalau menunggu lebih lama mungkin jawapan yang dikehendaki belum pasti akan keluar dari mulut aku.



Hari ini aku bangun sendiri memasak bubur nasi. Hidangan sarapan yang disediakan oleh Hadif langsung tidak aku sentuh. Hadif sesekali menjeling pandang aku yang berada di dapur. Dia duduk sambil menghadap komputer riba untuk membuat kerja. Dia masih menjaga aku di rumah walaupun dilayan seperti tidak diperlukan. Entah sampai bila Hadif mengambil cuti untuk tidak ke kuliah juga aku tidak pasti. Aku masih tiada hati untuk bercakap dengannya.

            “Pagi tadi kawan-kawan semua datang nak melawat. Tapi sayang pernah berpesan belum bersedia untuk menerima kunjungan daripada sesiapa. Jadi abang tak kejutkan sayang pun. Abang minta mereka datang lain kali.” Kata Hadif semasa aku sedang makan di dapur. Suaranya sengaja dikuatkan sedikit agar aku dapat mendengar dengan jelas.

            Kawan-kawan? Terasa lama benar aku tidak bersua muka dengan mereka terutamanya Wawa, Akma dan Ema. Rindu itu sentiasa singgah tetapi seperti kata Hadif aku lebih suka hidup dalam dunia sendiri. Dalam tidak sedar, aku turut semakin menjauhi mereka. Pesanan ringkas atau panggilan langsung tidak aku layan. Apabila mereka ke sini, aku pula tidak mahu keluar. Akhirnya mereka memberikan aku waktu untuk bertenang. Setelah agak lama akhirnya mereka datang juga ingin melawat sekali lagi.

            Setiap kata-kata Hadif aku biarkan sepi tanpa balasan. Setelah selesai makan, aku bergerak untuk masuk semula ke dalam bilik. Bukan aku tidak perasan mata Hadif yang tidak lepas melekat di wajahku. Lebih memilukan, pandangan matanya yang redup itu saling tidak tumpah seperti kanak-kanak di dalam mimpi. Walaupun aku ingin sekali melihatnya tetapi hati yang terluka tetap menegah.

            Aku membelek majalah yang berada di bawah rak kecil. Majalah Pa&Ma keluaran dua bulan lepas aku capai. Selalunya aku membaca sekali lalu dan akan mengulang baca apabila mempunyai masa terluang. Setelah menyelak helain demi helaian tiba-tiba mata terpaku pada sebuah artikel yang bertajuk ‘Bagaimana Bangkit Setelah Keguguran’. Leka aku membaca ayat demi ayat sebelum Hadif masuk ke dalam bilik dengan keadaan yang mencemaskan.

            “Sayang! Kita kena pergi sekarang. Zati…Zati…buat hal!” Hadif kelihatan kelam-kabut dengan wajah yang berkerut seribu.

            “Pergilah. Abang kan bekas kekasih dia. Saya tak masuk campur.” Kataku dengan wajah yang beriak selamba. Zati buat hal? Langsung tiada kaitan dengan aku. Kalau boleh nama itu jangan disebut-sebut lagi di hadapan aku. Dasar pembunuh! Kejam!

            “Zati, dia nak…bunuh diri! Tolonglah….kita kena selamatkan dia.” Sebaris ayat Hadif itu membuatkan aku tersentak. Majalah yang berada di tangan aku tutup.

            “Bunuh diri?” Soalku tidak percaya. 

            “Nanti abang jelaskan. Jom, cepat!” Tanpa menunggu jawapan Hadif terus mendukungku untuk di bawa masuk ke dalam kereta.

            Aku dibawa entah kemana. Puas aku bertanya tetapi Hadif lebih menumpukan perhatian terhadap pemanduan. Tidak pernah Hadif memandu terlalu laju sebelum ini. Akhirnya kami tiba juga ke destinasi. Ternyata rupa-rupanya Zati memang tinggal di negeri ini. Aku sahaja yang tidak pernah ambil tahu.

            Akibat hendak cepat, aku terlupa untuk membawa tongkat. Hadif terpaksa mendukungku sekali lagi untuk naik ke tingkat atas sebuah bangunan tinggal. Apa Zati buat disini? Hati kecil aku rasa tidak sedap. Jangan Zati sengaja membuat helah, sudah! Kes ini masih berjalan dan Zati telah dibenarkan untuk diikat jamin. 

            “Turun Zati….ingat Tuhan….jangan buat macam ni nak.” Seorang wanita berusia lingkungan enam puluhan sedang menangis teresak-esak. 

            Zati yang kelihatan kusut-masai dan comot sedang bermain-main di atas palang besi yang menjulur dari tingkat atas bangunan ini. Dia ketawa terbahak-bahak kemudian wajahnya bertukar sedih. Pertama kali aku memandang wajah bekas kekasih suamiku. Orangnya boleh tahan juga cuma keadaannya nampak agak teruk. Inilah juga wajah si pembunuh! Tegarnya dia melanggar aku yang sedang berbadan dua. Kau kejam Zati, hati aku berbisik sendiri.

            “Tolonglah nak. Makcik merayu pujukkan Zati. Selepas ditahan reman dulu, dia jadi macam ni. Jiwanya tak tenteram dan sudah beberapa kali dia cuba nak bunuh diri dirumah. Hari ni tengok-tengok dia datang kesini pula.” Rayuan wanita tua itu menyentuh hati.

            Mungkin dia adalah ibunya, teka akalku. Aku yang berada disisi Hadif sambil memaut lengannya untuk berdiri tegak kembali memandang Zati. Gadis itu langsung tidak mengendahkan kami. Dia bermain seperti seorang kanak-kanak. Hati yang selama ini keras menyimpan kemarahan, kesedihan, kelukaan dan pelbagai rasa yang membunuh jiwa tiba-tiba menjadi sayu. Raut wajah Zati aku tatap seketika.

            “Tolong nak…Zati dari tadi nak terjun dari situ, katanya. Makcik risau!” Wanita tua itu menggoncang tubuhku.

            Aku berjalan perlahan menghampiri palang besi itu dengan bantuan Hadif. “Zati, jom turun dulu. Kita cakap elok-elok.” 

            Kataku lembut. Namun nafas turun naik melawan rasa. “Kenapa Zati berdiri kat situ, bahaya. Zati turun ye.”

            “Zati nak terjun dari sini. Hari-hari dia ganggu Zati sampai Zati dah tak tahan….budak kecil tu bencikan Zati.” Zati ketawa mengekek.

            “Budak kecil?” Soalku mengerutkan kening. “Siapa?”

            “Mana Zati tahu dia siapa. Tapi dia kata Zati bunuh dia. Zati tak tahu pun Aida sedang mengandung. Itu anak kaulah Aida! Anak syaitan.” Zati ketawa lebih besar lagi.

            Astaghfirullahalazim…aku mengurut dada yang terasa mahu pecah! Hadif memaut lebih erat apabila terasa kakiku semakin lemah untuk berdiri. Sudahlah membunuh, dia menghina pula janin aku. Tergamak kau Zati. Airmata aku mula bergenang. Hati ibu mana yang sanggup mendengar anaknya dihina sebegitu. Walaupun dia masih dalam kandungan tetapi dia tetap anak aku, darah daging aku.

            “Zati, itu bukan anak saya. Anak saya dah selamat di alam sana kembali kepada Penciptanya. Itu hanya syaitan yang ingin menyesatkan kita. Zati turun ye. Nanti saya bagitahu jangan kacau Zati lagi.” Pujukku dengan esakan yang tertahan. Bukan mudah berperang dengan diri sendiri saat ini. 

            “Zati tak sengaja bunuh dia. Aida cakap pada dia ye. Jangan kacau Zati lagi. Zati cuma niat nak bunuh Aida aje. Tak sangka Aida sedang hamil. Zati tak sengaja….” Rengeknya seperti kanak-kanak.

            “Sanggup kau Zati?! Kau memang dah hilang akal sampai nak membunuh orang!” Hadif sudah tidak mampu bertenang. Pandangan matanya penuh amarah. Selama ini dia bersabar agar tidak berdepan dengan Zati kerana sentiasa mahu menjaga aku. Atas pujukan ahli keluarga yang lain, Hadif membiarkan undang-undang sahaja membuat perhitungan.

            “Abang….” Aku menjeling kearah Hadif. Kemudian aku menaikkan tangan agar Hadif tidak bersuara lagi. Aku tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. 

            Zati semakin mendekati hujung palang besi tersebut. Kadang-kadang dia sengaja berjalan dengan menggunakan sebelah kakinya. Aku bimbang dia akan terjatuh dari tingkat yang tinggi ini. Palang tersebut bukanlah sebesar mana.

            Aku meleraikan pegangan tangan Hadif. Walaupun riak wajah Hadif menunjukkan reaksi kurang senang tetapi aku meyakinkannya bahawa aku akan selamat. Aku berjalan terumbang-ambing sambil berpaut pada dinding. 

            “Zati rasa bersalah sangat. Zati rasa berdosa. Tapi semua itu tak akan dapat putarkan masa. Sebelum kejadian, dah beberapa hari Zati perhatikan Aida. Zati sakit hati dengan dia sebab rampas buah hati Zati. Tiba-tiba hari tu, rezeki Zati sampai tanpa diduga. Mengikut perancangan asal Zati nak langgar kereta Aida biar terbabas tapi dia turun pula nak melintas jalan. Tanpa berfikir panjang Zati terus tekan minyak laju-laju dan langgar dia.” Zati beriak sedih pula. Kemudian kedengaran tangisannya yang seperti berlagu.

            “Zati, mari sini pegang tangan Aida. Aida dah maafkan Zati untuk semua tu. Aida tahu Zati tak sengaja. Zati bukan orang jahat.” Airmata aku seka dan aku tersenyum padanya.

            “Betul!  Zati tak jahat. Aida yang rampas Hadif dari Zati.” Katanya yang kembali ketawa.

            “Zati, jodoh itu rahsia Allah. Sekeras mana kita bertahan, sekuat mana kita bersabar, seteguh mana kita mencintai, kalau bukan jodoh kita, tidak akan mampu kita miliki. Tetapi andai sudah ditakdirkan dia adalah jodoh kita, sehebat mana kita mengelak, sesulit apa pun jalannya, dia tetap akan jadi milik kita tanpa ada sesiapa yang dapat menghalangnya”. Aku yang merangkak semakin hampir menaiki palang besi. 

            Zati mencangkung sambil menangis setelah mendengar kata-kataku sebentar tadi. Dia meraup wajahnya berkali-kali. “Zati dah lama dengan Hadif. Zati tak mampu lupakan dia. Zati tak boleh buang dia dalam hati Zati.”

            Aku mengucapkan syukur kerana dari segi suara dan percakapannya, Zati telah menjadi seperti dirinya sendiri. Bercakap seperti seorang yang dewasa. Aku menyentuh tangannya lembut. Aku mengusap kepalanya penuh simpati. Kenapalah sampai begini jadinya, Zati….

            “Maafkan saya Zati. Saya tak berniat melukakan awak. Tetapi saya juga manusia biasa yang banyak kekurangan. Ini sudah takdir dan jodoh saya bersama Hadif. Saya doakan Zati akan bahagia dan menemui seseorang yang lebih baik.” Aku masih cuba menyalurkan ketenangan pada Zati yang hilang arah tuju. Walaupun hati aku sendiri berkecamuk.

            “Zati tak mungkin boleh cintakan orang lain….” Esakannya semakin kuat bergema di bangunan kosong ini.

            “Zati, Zati dengar sini ye. Kuasa Allah itu lebih hebat. Dia mampu meniupkan rasa cinta dalam hati kita. Perasaan itu kurniaan Allah, boleh datang dan hilang dengan izin-Nya. Zati harus banyak berdoa. Zati tak boleh macam ni….” Menitis lagi airmataku. Aku juga perempuan dan mempunyai hati yang sama. Aku tidak sanggup membiarkan Zati hanyut dalam rasa kecewanya yang tidak bertepi.

            “Zati tak tenang sejak kehilangan Hadif. Sekarang Zati dah jadi pembunuh! Zati tak boleh tidur sejak peristiwa tu berlaku. Zati takut!” Zati memelukku erat.

            Lantas peluang ini aku gunakan sebaik mungkin untuk menariknya ke belakang. Walaupun terasa berat dan sukar sekali dengan sebelah kaki yang patah. Namun aku gagahi jua. Ya, aku terlalu sedih dan marah. Tetapi nyawa diganti dengan nyawa bukanlah apa yang aku mahukan. Naluri keibuan aku sudah cukup menderita, dan aku tidak akan biarkan wanita tua itu merasai hal yang sama. Zati perlu diselamatkan.

Wanita tua itu memeluk Zati dan mencium pipi anaknya berkali-kali setelah kami berdua selamat turun dari palang besi tersebut. “Terima kasih nak!” Ucapnya sambil memandang wajahku.

Aku mengangguk dan tersenyum tawar. Airmata aku seka lagi. Syukurlah semuanya selamat. Hadif juga meluru mendapatkan aku. “Sayang tak apa-apa?”

Aku menggeleng sahaja sebagai jawapan. Baru sahaja aku ingin membuka mulut untuk meminta diri, wanita tua itu menyambung kata. “Zati jadi macam ni sebab dia dihantui oleh rasa berdosa. Dia jadi takut pada bayang-bayang sendiri. Setiap hari dia menjerit-jerit kata ada roh budak kecil datang mengganggu. Makcik ingat nak pergi bawa berubat jumpa ustaz. Maaflah menyusahkan kamu tetapi makcik rasa Aida sahaja yang dapat berikan apa yang Zati perlukan.”

“Eloklah tu makcik. Saya tak minta nyawa Zati sebagai pengganti.” Aku jadi bertambah sedih sehingga tidak mampu meneruskan kata. Dada terasa ketat dengan sejuta rasa.

“Apa maksud makcik tadi? Apa yang Zati perlukan?” Soalan Hadif membuatkan aku berpandangan dengannya.

“Sebuah kemaafan….” Ucap wanita tua itu perlahan tetapi penuh hiba. 

“Makcik minta ampun banyak-banyak nak. Makcik sedar kesalahan Zati itu amat berat untuk diterima oleh kamu sekeluarga. Tetapi makcik merayu, ampunkanlah dia dunia akhirat. Makcik rela dia dihukum oleh undang-undang tetapi makcik tak sanggup dia meracau-racau sebegini.” Semakin deras air jernih yang keluar dari mata tua itu.

Perlahan aku mendekati Zati. Bahunya aku paut dengan kedua-dua belah tangan. Dagunya aku angkat sedikit agar dia melihat wajahku. Airmata Zati aku sapu dengan jari. “Saya maafkan Zati ikhlas dari hati. Zati bertindak sejauh itu kerana Zati tak dapat terima kenyataan. Zati akan jumpa orang yang lebih baik, lebih sayangkan Zati berbanding Hadif. Yang menenangkan perasaan gelisah itu adalah redha….” Ucapku perlahan membisikkan ayat terakhir itu di telinga Zati.

            “Aida….” Serunya dan memeluk aku erat. Dia menangis semahu-mahunya seperti terlalu lama menyimpan bebanan perasaan yang tidak mampu terbawa dek badan. Adegan itu cukup meruntun kalbu bagi yang melihat. Ibu Zati dan Hadif turut terbawa dalam kesedihan yang serupa.

No comments: