Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, October 1, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 24


        “Tidur bawah. Saya nak tidur atas.” Hadif membaling bantal ke bawah bersama sehelai selimut selepas aku menutup pintu bilik.

            Aku agak terkejut dengan perbuatan Hadif. Amboi tadi sesedap rasa aje peluk aku sekarang main baling bantal dengan selimut pulak. Aku mengetap bibir menahan geram. Namun aku tidak larat untuk bertekak dengannya malam-malam buta begini. Silap haribulan mama dan papa boleh tahu perhubungan kami yang sebenar.

            Apatah lagi badan dan otak yang terasa amat letih hari ini. Semuanya suasana baru untuk aku tempuhi. Aku perlukan rehat saat ini untuk kembali tabah menghadapi hari esok yang entah apa akan terjadi sepanjang aku duduk disini. Apabila mama dan papa telah pulang bolehlah aku kembali duduk di bilikku bersama Ema. Sudah pasti tidak tertekan macam sekarang.

            Aku mengambil bantal dan selimut kemudian berbaring di atas permaidani bulu yang bercorak polka dot. Permaidani ini aku sendiri yang pilih semasa kami membeli kelengkapan rumah tempoh hari. Ah, selesa juga baring atas bulu-bulu ni. Aku sudah mula memejamkan mata dan berdoa agar mimpi indah sebentar lagi.

            “Awak dah tidur ke?” Tiba-tiba satu suara mengganggu pendengaranku. Aku malas untuk membuka mata kerana aku tahu siapa pemilik suara itu. Siapa lagi kalau bukan Hadif. Aku berpura-pura sudah tidur.

            “Bukk!” Aku pantas membuka mata dan bingkas bangun. Terkejut aku! Ingatkan apa tadi rupanya Hadif membaling badanku dengan bantal. Aku memandang geram kearah Hadif. Dia ni memang nak kena.

            “Nak apa lagi? Orang nak tidur pun tak senang!” Aku membentak kasar. Kemudian aku berbaring semula seperti tadi tanpa menunggu jawapan Hadif. Tak kuasa nak melayan. Buat sakit hati betul!

            “Tutuplah lampu tu. Macam mana nak tidur kalau terang macam fun fair?” Hadif menjawab dengan wajah yang selamba. Nada suaranya sahaja sudah cukup membuatkan aku semakin sebal.

            Aku mendengus geram kemudian bangun menuju ke suis lampu. Aku menekan suis lampu dan keadaan menjadi gelap. Aku mengatur langkah perlahan sehingga kakiku terpijak bantal barulah aku kembali berbaring semula. Gelap-gelita sungguh! Lupa nak beli lampu tidur untuk bilik ini. Akhirnya aku dapat melelapkan mata dengan aman dan tenang.



Aku membuka mata perlahan apabila mendengar jam penggera yang aku kunci di telefon bimbitku berbunyi. Lantas tanganku menyusup di bawah bantal untuk mengambil telefon bimbit. Enam setengah pagi. Aku terus bangun dan berlalu ke bilik air. Selepas solat subuh barulah aku membangunkan Hadif pula untuk bersolat. Kemudian aku menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan.

            Aku bukanlah pakar dalam bab masak-memasak. Setakat menu yang ringkas aje aku sediakan. Setelah selesai menggoreng nasi goreng kampung, aku membuat telur hancur untuk kami berempat. Kemudian aku membasuh semua peralatan yang digunakan untuk memasak tadi. Aku juga mengelap dapur dan kabinet yang terkena percikan minyak semasa memasak.

            “Sedapnya bau. Sayang masak apa ni?” Mak datok! Terkejut beruk aku sampai terlepas kain lap di tangan. Hadif yang segak berbaju kemeja jingga itu nampaknya sudah bersiap untuk ke kampus.

            Aku menghadiahkannya dengan satu jelingan tajam dan aku tunduk mengambil kain yang terjatuh di hujung kaki. Aku sebenarnya agak malu dilihat dalam keadaan yang masih belum mandi dan bersiap ini. Jadi lebih baik aku beredar cepat dari sini.

            “Lain kali jangan sergah orang macam tu.” Aku masih meneruskan kerja yang tertangguh sebentar tadi. Tanganku lincah melakukan kerja secepat mungkin.

            “Orang apa?” Soal Hadif tanpa rasa bersalah.

            “Orang tu maksudnya sayalah.” Aku mengerling sekilas sambil tanganku mengelap pinggan pula. Aku tidak mahu mama dan papa nampak aku tidak mampu membuat kerja-kerja di dapur walaupun aku adalah isteri yang berusia dua puluh satu tahun.

            “Saya apa?” Hadif menyoal lagi dan menarik kerusi untuk duduk. Kemudian dia membuka tudung saji untuk melihat sarapan yang aku sediakan.

            “Sayalah.” Jawabku sepatah. Aku menyusun pinggan dan gelas di atas meja makan.

          “Bukan saya, tapi sayang. Mama dan papa dengar nanti baru tahu.” Hadif cuba menggertak aku walaupun aku tidak nampak kelibat mama dan papa sejak tadi.

            “Saya nak mandi sekejap.” Aku terus berlalu tanpa menunggu jawapan Hadif. Makin dilayan nanti makin lambat aku nak bersiap ke tutorial pagi ini. Aku nak bersiap pula akan mengambil sedikit masa untuk berdandan dan mengenakan sedikit solekan ringkas. Aku tidak mahu Hadif menunggu terlalu lama nanti.

            “Eh, kenapa tak makan lagi ni?” Aku mengerutkan dahi kemudian duduk di sebelah Hadif. Rasanya adalah dalam setengah jam aku mengambil masa untuk mandi dan bersiap. Aku ingatkan mereka semua dah selesai bersarapan.

            “Kami tunggu Aida. Mama dan papa tak ada nak pergi mana-mana pun hari ini. Jadi tak ada nak dikejarkan.” Mama menjawab sambil menuangkan air teh panas ke dalam cawan.

            “Maaf buat semua menunggu.” Ucapku sambil tersenyum malu. Segan pula rasanya ditunggu oleh suami dan mertua. Tetapi aku rasa mungkin mama dan papa juga baru keluar dari bilik. Hanya Hadif yang menunggu lama di meja makan.

            “Tak apa Aida. Kamu dah buatkan sarapan ni pun cukup bagus. Patutnya tak payah susah-susah. Kami boleh sarapan di luar aje.” Papa berkata sambil tersenyum padaku. Baiknya mertua aku ini. Rasa berbunga di dalam hati walaupun anak tunggalnya bukan seteru dengan aku.

            “Aida tak sempat buat air tadi mama. Tengok Hadif dah siap pakai baju Aida pun kelam-kabut nak mandi.” Aku mencedokkan nasi goreng kampung ke dalam pinggan kemudian dihulurkan satu persatu menerusi Hadif. Apabila tangan kami bersentuhan hati aku dilanda getaran yang sukar dimengertikan. Yelah, tangan lelaki mana lagi yang aku pernah pegang selain ayah dan Adli. Tetapi ini lain sebab Hadif adalah suami aku. Perasaan yang menyalurkan tenaga elektrik setiap kali aku melihat atau tersentuh dengannya memang sukar untuk dimengerti.

            “Jangan risaulah. Mama bukan mertua fesyen lama.” Mama tergelak kecil cuba berjenaka. Mama sebolehnya tidak mahu menimbulkan perasaan kurang selesa antara aku dengannya.

            “Betul tu sayang. Awak bertuah dapat jadi menantu mama dan papa.” Hadif merenung aku dengan pandangan menggoda. Tak perlu rasanya saat nak bersarapan pun Hadif nak tunjuk lakonan mantap ala-ala Aaron Aziz dalam drama romantik. Nanti hilang pula selera makan aku.

            Melihatkan mama dan papa makan dengan berselera sekali membuatkan aku senang hati. Aini adikku juga suka sangat kalau aku sediakan nasi goreng kampung untuk bekalan ke sekolah waktu dulu-dulu. Dia kata nasi goreng kampung aku ada umpph! Perencah asli buatan sendiri.

            Setelah mengisi perut ala kadar aku bersiap sedia untuk pergi ke kampus. Aku tak boleh makan banyak-banyak takut perut meragam sewaktu di dalam kelas. Aku memang tidak keluar ke tandas sewaktu kuliah berlangsung melainkan sudah terdesak sangat seperti cirit-birit. Ah, kalau ada anugerah siapa yang tidak keluar sewaktu kuliah aku pasti akan merangkulnya setiap semester berturut-turut.

            “Mama, papa, Aida nak gerak dah ni. Takut lewat pula nanti.” Ujarku sambil bangun untuk bersalaman dengan mama dan papa.

            “Kamu tak pergi dengan Hadif ke?” Soalan mama itu membuatkan pergerakan aku terhenti seketika sebelum memandang Hadif dengan penuh tanda tanya. Ikutkan hati aku boleh pergi sendiri sebab masing-masing ada kereta seorang satu. Tapi aku kena ikut apa yang akan dikatakan oleh Hadif. Tidak mahu dimarahi dan dituduh memandai-mandai pulak nanti.

            “Kami pergi sekali lah ma. Mana tahu mama nak guna kereta pergi mana-mana.” Hadif bingkas bangun dan turut bersalaman dengan mama dan papa. Setelah mendengar jawapan Hadif aku segera masuk ke bilik mengambil beg tangan dan fail di atas meja belajar.

            Terlupa pula aku yang mama dan papa datang menaiki kapal terbang. Maklumlah aku tidak mengikut Hadif untuk menjemput mereka di lapangan terbang semalam. Bukan tak nak ikut tapi Hadif langsung tak mengajak aku. Betul juga mungkin mama dan papa akan memerlukan kereta semasa ketiadaan kami ke kampus. Aku mengambil kunci keretaku dan aku gantungkan di tempat kunci yang tersangkut di dinding ruang tamu.

            “Kunci kereta ada kat sini ye mama.” Aku melaung sedikit kepada mama yang masih berada di ruang makan.

            “Okey sayang. Take care.” Mama juga turut bercakap dengan nada yang kuat sedikit. Aku tersenyum sendiri kemudian terus menuruti langkah Hadif yang sudah keluar dari rumah.

            “Alamak!” Kataku sambil menepuk dahi.

            “Kenapa sayang?” Hadif segera merapati aku yang berada di muka pintu. Erm, wanginya dia! Aku sempat mengelamun apabila melihatkan reaksi Hadif seperti seorang suami yang cukup prihatin. Aku terlupa bahawa kami masih lagi dalam babak lakonan. Namun aku segera mengingatkan diri agar berpijak di bumi yang nyata.

            Aku menjuihkan bibirku ke arah kasut yang berada di hadapan pintu. “Semalam datang pakai kasut tumit tinggi. Saya terlupa bawa sandal. Hari ni ada tutorial dan kuliah sampai petang. Habis melecet kaki saya nanti.” Rungutku sambil menyarungkan juga kasut tumit tiga inci ke kaki. Tiada pilihan lain lagi nampaknya.

            “Ada gap ke tutorial dengan kuliah? Abang hantar sayang balik bilik.” Hadif menekan kunci kereta dan kami berjalan memasuki perut kereta. Hati aku sedikit berbunga apabila dilayan baik seperti ini. Indahnya orang yang berumahtangga atas dasar suka sama suka. Bilalah aku dapat merasainya? Aida Nasuha, sekarang bukan waktunya untuk soalan rumit sebegitu.

            “Ada tu memanglah ada. Tapi tak lama. Cukup-cukup nak makan tengah hari aje lah.” Aku menarik tali pinggang keledar dan memasangnya. Kemudian aku menggigit bibir menahan rasa malu. Kenapa aku bercakap seperti orang mengadu dengan buah hati sahaja lagaknya? Hadif pun entah ikhlas entahkan tidak menawarkan diri. Maklumlah masih berlakon. Eh, kami kan dalam kereta sekarang ni. Mana ada mama dan papa untuk kami berlakon sebagai pasangan bahagia?

            Kereta keluar dari tempat parkir dan laju membelah jalanraya menuju ke kampus. Hadif sesekali mengerling ke arahku yang hanya tegak memandang di hadapan. Aku tidak selesa berdua-duaan bersamanya selepas apa yang terjadi kepada kami. Kalau aku jadi Suha tu lain pula rasanya.

            “Nak jemput pukul berapa nanti? Kat mana?” Soal Hadif sambil memakai kaca mata hitamnya. Aku mencuri pandang untuk menikmati ketampanan yang ada pada wajahnya. Patutlah buah hati dia tu susah nak lepaskan dia walaupun dah tahu Hadif kini suami orang. Aku aje yang tak sedar diuntung! Taste aku tetap yang aneh-aneh. Hehehe!

            “Sudah-sudahlah tu tengok muka saya! Soalan saya awak tak jawab lagi.” Hadif menjeling aku tajam. Alamak! Dia perasan ke aku curi-curi tengok dia? Malunya….kenapa aku buat perangai pelik-pelik di depan dia? Tak pandai cover line betullah aku ni!

            “Mana ada. Saya tengok cermin mata awak tu. Mesti mahal kan?” Aku menafikan tuduhan Hadif sebentar tadi dengan alasan yang entah logik entahkan tidak. Aku main belasah aje untuk menyelamatkan diri.

            “Jawab soalan saya!” Hadif bersuara tegas dengan riak muka yang serius. Aku menelan liur. Nampak sangat ini bukan masanya aku nak main-main atau buat lawak dengan lelaki garang macam ni.

            “Kuliah terakhir habis pukul lima kat FE.” Jawabku perlahan. Kemudian aku membuang pandang ke tepi melihat pokok-pokok yang menghijau di sepanjang jalan. Pagi-pagi dah kena marah, memang buat rosak mood aje.

            Suasana sunyi sehinggalah kereta membelok ke dalam perkarangan kampus. Hadif memberhentikan kereta dihadapan fakulti aku di FPSM. Aku menyangkut beg tangan ke bahu dan fail aku peluk kemas didada. Segera aku membuka pintu kereta untuk turun. Hadif kulihat hanya membatukan diri tanpa menoleh mahupun bersuara. 

            Aku menutup pintu kereta dan terus berjalan menuju ke dewan kuliah....
            

10 comments:

Unknown said...

Salam, Tak sabar-sabar nak baca n3 baru... buka kali ke-5 baru ada..hehehe

Sedih plak tengok Aida sebab Hadiff masih tak berubah walaupun dah tahu kenapa mereka dinikahkan. Rasanya Aida mesti berubah dulu dan tambat hati Hadiff tu mungkin marah Hadiff pada Aida masih belum surut sebab kena tipu. Egolah katakan, tapi rasanya Aida boleh tawan hati suaminya ni...yang penting jagan putus asa. Saya masih tertanya-tanya siapa gf Hadiff ni. Mesti ada konflik lagikan?

Unknown said...

best la mertua aida ni..sporting giler... moody sungguh hadif ni..kena bg makan gula byk2 bg jadi sweet2 sikit ..

Unknown said...

hehehe...akhirnya adae jugak entry ni...keluar jugak...geram betul dgn hadif...dah suka tu ckp aje la...nak bersayang2 pulak :)

Anonymous said...

hadif ni dalam diam suka isteri dia, tapi sbb ego, tu yg dia dok wat pangai cam tu eh akk sue ? hhehe :D

Shizukaz Sue said...

Seri Ayu: hehe tQ sudi tunggu & sorry sbb lewat sikit..yup GF hadif akan muncul..pastinya membawa konflik..=)

Sharifah: hehe nanti Shiz pesan kat aida ye =)

Azian: hehe hadif ngada2..cubit jek!

Nurul: suka memang suka, tapi ada penghalang. Hadif lum dapat buat keputusan lagi tu ikin..

Unknown said...

tu la hadiff...
mengada sgt lah...
dlm diam suka kat isteri die,tp xnak mengaku...
eiii geram betul la...
lelaki kan,mmg mcm tu...
tak sabar nak tunggu next episod...
bile akak nak wat entry next episod lak?

Yin Areesa said...

Erm..dalam hati ada taman. Tapi, ego sungguh.

Unknown said...

erm tiap2 kali bukak blog,
mesti nak tgk blog akak..
kot2 ade entry baru...
rindu kat hadif dan aida nasuha :)

kak ida said...

salam..kejamnya Hadif..ada ke patut membuli isterinya supaya tidur dilantai beralaskan carpet sedangkan dia enak enaknya tidur diatas katil..

Tapi akak respect Aida..kerana sayangkan kedua mertuanya sanggup ditelan segala perbuatan suaminya yg tak masuk akal tu..

Tidakkah Hadif melihat Aida dari sisi yg berbeza dan tidak kah dia jatuh hati pada seorg isteri sebaik Aida yg pandai mengambil hati familinya..pandai memasak..pandai menjaga maruahnya didepan familinya..dan yg penting tidak mengediks ..tidak penuh kepura puraan dan kaki mengadu..apatah lagi kaki mengikis duit dia..kan..
rasa macam nak jetus jetus saja kepala si Hadif..tu..kan..

Teruja nak tahu..adakah mereka akan terkantoi..dengan perlakuan mereka ini..

khadijah said...

ksian kat aida..huuhu..sggup hadif wat mcm 2 kat aida.....tp aida 2 sggup jgk layan laki 2 yg ego 2..hehheeh..aida baik sgt....sygkan mertua dia....mertua dia pown baik sgt2......