Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, October 15, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 6


Barang-barang hantaran aku susun kemas di atas meja panjang yang terletak di sudut butik. Pakaian pula aku gantungkan di rak yang berdekatan. Apa lagi ya? Aku mengurut dagu cuba berfikir. Malam tadi aku tidak mampu melelapkan mata setelah dihantar pulang oleh Hazriq. Semuanya bermain-main di dalam minda yang semakin sempit dengan pelbagai bayangan. Antara realiti dan juga impian. Mana satu harus aku pilih?

Aku sedar untuk mencari lelaki yang baik zaman sekarang ini merupakan satu cabaran yang hebat. Tapi kalau mencari si hidung belang memang mudah. Entah berapa kali aku menolak lamaran Datok tua yang menginginkan aku menjadi yang kedua, ketiga, cuma yang keempat belum pernah. Tan Sri pun ada juga seorang dua yang aku kenali melalui majlis perkahwinan yang dikendalikan. Mentang-mentanglah aku berwajah pan asia, mereka ingat aku gadis tipikal yang mengejar kemewahan.

            “Ha, payung. Syaza, bawa payung warna silver!” Teriakku sedikit kuat. Bimbang tidak didengari oleh pembantuku itu.

            “Okey! Selendang yang Cik Dean jahit manik semalam tu mana? Dah letak dalam kotak belum?” Syaza menyahut dari belakang. Kasut pengantin di tangannya diletakkan di dalam kotak dan dibawa ke meja panjang.

            Aku menepuk dahi. “Nasib baik awak ingatkan saya. Kalau tidak, habislah pengantin bernikah tak pakai selendang!”

            Aku berlari anak mendapatkan selendang yang telah siap dijahit manik. Selendang yang aku letakkan di atas penyangkut kayu itu aku capai dan diberikan kepada Syaza. “Nah, tolong letakkan dalam kotak ye. Saya nak salin baju sekejap. Lepas tu kita dah boleh gerak.”

            Aku berlalu ke bilik persalinan untuk menukar pakaian. Seluar jeans dan kemeja yang aku pakai aku gantikan dengan sepasang baju kurung moden berwarna coklat tua. Setelah berpuas hati dengan penampilanku di hadapan cermin, aku keluar mendapatkan Syaza.

            “Jom, barang-barang tu sekejap lagi Fizal ambil untuk dibawa ke rumah pengantin. Kita gerak dululah. Nanti lambat pula nak make up pengantin.” Arahku sambil mencapai beg solekan yang besar ini.

            “Okey, saya tunggu dalam kereta.” Jawab Syaza yang ayu berbaju kebaya merah jambu.

Dia kemudian melangkah keluar dari butik untuk masuk ke dalam kereta. Aku telah beberapa tahun mempunyai lesen memandu tetapi masih tidak berani untuk memandu kereta. Pergi dan balik dari butik dihantar oleh daddy atau Mama Anis dan kadangkala pula oleh Syaza. Terasa menyusahkan semua orang di sekelilingku tetapi aku betul-betul takut untuk memandu. Mungkin sikap aku yang agak kelam-kabut ini membuatkan aku tidak yakin untuk memandu sendiri.

            Setelah menutup suis lampu dan alat penghawa dingin, aku terus keluar dan mengunci pintu butik. Fizal pembantu lelaki yang sering membantu pada hujung minggu mempunyai kunci pendua bagi butik ini. Dia yang akan membawa van syarikat untuk membawa barang-barang ke rumah pengantin. Hari-hari biasa pula dia bekerja sebagai pemandu van rokok.

            Kami bergerak ke rumah pengantin perempuan dengan menaiki kereta Syaza. Lebih kurang empat puluh lima minit perjalanan akhirnya kami tiba ke destinasi. Perkarangan rumah yang agak sibuk dan penuh, membuatkan Syaza terpaksa meletakkan kereta dihujung jalan. Agak jauh juga untuk berjalan kaki. Namun demi tugas, aku dan Syaza tetap memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan.

            “Assalamualaikum.” Ucapku ketika menjenguk ke dalam bilik pengantin.

            “Ha, dah sampai pun mak andam. Masuk, masuk! Budak-budak tunggu kat luar ye. Pengantin nak bersiap.” Riuh ibu pengantin selaku tuan rumah yang turut berada di dalam bilik.

            “Farah pakai inner ni dulu ye. Lepas siap disolek baru pakai baju pengantin. Lagipun baju tak sampai lagi. Nanti pembantu saya hantarkan.” Kataku sambil mengeluarkan inner dari dalam beg kertas yang kubawa.

            “Cantik hiasan bilik pengantin ni, Dean! Makcik suka betul. Nanti ada saudara-mara nak kahwin makcik rekomen datang butik Dean ye.” Ramah ibu pengantin yang bernama Makcik Fauziah ini.

            Aku tersenyum senang. “Terima kasih makcik. Semalam Dean sibuk sangat tak dapat tengokkan budak-budak tu hias bilik pengantin. Jangan lupa rekomen ye. Dean bagi harga special jugak kalau saudara-mara makcik nak buat majlis kahwin.”

            “Alah, budak-budak tu bagus semuanya buat kerja. Cekap aje makcik tengok. Tapi masih muda lagi ye?”

            “Budak-budak tu baru lepas SPM makcik. Dean ambil mereka untuk bantu hias bilik pengantin dan meja makan beradab aje.” Terangku lagi. Empat orang gadis sunti itu adalah anak-anak jiran aku yang berminat untuk bekerja separuh masa. Setelah dilatih dan diajar, mereka mampu menjalankan tugas dengan baik mengikut kehendak pelanggan.

            Makcik Fauziah mengangguk beberapa kali. “Tinggal dulu ye Dean. Makcik nak ke dapur ada kerja nak buat. Siapkanlah pengantin tu.” Makcik Fauziah meminta diri.

            Aku tersenyum dan mengangguk. Kemudian beralih pandang kepada Farah yang telah sedia menanti untuk disiapkan. Aku membuka beg solekanku dan dengan lafaz Bismillah, aku melakar seni ke wajah Farah untuk menaikkan seri pengantinnya.


                                                ******************************


“Akhirnya selesai majlis nikah ni.” Syaza mengemas bantal besar yang dihias indah untuk upacara akad nikah sebentar tadi.

            “Bantal tu letak dalam kereta ye. Jangan macam hari tu termasuk sekali dalam van habis ditindih.” Arahku kepada Syaza. Bantal yang seringkali disewa oleh pengantin untuk duduk sewaktu akad nikah ini perlu dijaga dengan elok. Maklumlah, sarungnya berwarna putih bersih dan sangat mudah dicemari oleh kotoran.

            “Kita kena tambah lagi bantal ni Cik Dean. Bulan ni ada majlis pernikahan yang bertindih.” Beritahu Syaza sambil mengelap dahinya dengan tisu.

            “Yeke? Nantilah awak beritahu saya pelanggan nak warna apa. Esok ingatkan saya semula.” Aku duduk di atas kerusi di bawah khemah. Memantau Syaza dan Fizal yang sedang memasukkan peralatan kami.

            “Saya masuk dalam sekejap. Jumpa Farah dengan Fuad. Nak ingatkan mereka perancangan majlis persandingan esok.” Ucapku sambil terus berlalu masuk ke dalam rumah.

            Kelihatan Farah dan Fuad sedang bersalaman dengan tetamu yang masih tinggal. Aku menghampiri mereka. Tiba-tiba aku terlanggar seseorang yang sedang meluru keluar dari arah dapur dengan membawa segelas minuman.

            “Oppss!” Aku mengelak air minuman yang tertumpah dari terkena kakiku.

            “Maaf, maaf! Saya nak cepat, tak perasan awak.” Suara itu berkata sambil memandang tepat ke wajahku.

            Aku terdiam. Kaku tidak berkutik. Mata bertentang mata. Hati di dalam celaru bagai nak gila. Betulkah si dia? Entah-entah aku silap orang. Tapi rasanya aku masih ingat lagi sepasang mata itu. Rambutnya yang sedikit berubah, begitu juga wajahnya yang nampak matang, tetapi tubuhnya tetap macho seperti dulu. Asmaraku?

            “Excuse me, awak ni Asmira kan?” Soal lelaki itu yang juga kelihatan terkejut sepertiku.

            Aku menelan liur. Asmira. Sepotong nama yang telah aku tinggalkan sejak lima tahun lalu. Sejak aku tamat STPM dan menuntut di IPTA. Aku tinggalkan nama itu bersama hatiku. Bersama Asmaraku. Betapa aku rela menggunakan nama Dean walaupun nama ini dibenci olehku sebelum ini. Benci aku terhadap perempuan Inggeris itu dan namanya tidak sedalam apa yang dilakukan oleh Asmara. Mungkin kerana aku tidak pernah mengenali ibu kandungku itu tetapi Asmara adalah lelaki yang wujud dalam diari hati ini.

            “Maaf, awak salah orang. Saya Dean.” Jawabku dan terus berlalu mendapatkan Farah dan Fuad.

            “Guys, esok saya datang jam dua belas tengahari. Kalau ada apa-apa lagi yang tak cukup, call saya awal-awal ye. Malam ni rehat cukup, tidur cukup, nanti esok nak bersanding kena segar.” Kataku sambil tersenyum kecil. Sedangkan di dalam hati tidak sabar ingin melihat kembali seraut wajah tadi. Macam mana dia boleh ada kat sini?

            “Thanks Dean. Jangan risau, rasanya setakat ni semua berjalan lancar atas bantuan your team. Jumpa esok mak andam cun melecun!” Fuad berjenaka dan disambut gelak tawa oleh orang yang ada disekelilingnya.

            “Awak tu dah selamat jadi suami orang, Fuad. Jangan nakal-nakal lagi. Jumpa esok, goodnight. Tahniah dan selamat pengantin baru Farah dan Fuad.” Ucapku sambil bersalaman dengan kedua mempelai.

            Setelah melambai kepada mereka, aku terus melangkah keluar. Namun mataku melilau kekiri dan kanan tercari-cari kelibat yang dirindui selama ini. Tetapi mengapa aku tidak mahu mengaku sahaja tadi? Adakah aku malu? Sedih? Kecewa? Tertipu? Hati ini meronta masih mahukannya tetapi akalku menegah untuk berbuat begitu.

            Mataku akhirnya dapat menangkap sesusuk tubuh yang sedang bersandar pada pintu pagar utama yang terbuka luas itu. Buat apa dia berdiri kat situ? Tunggu aku ke? Hatiku bergelut dengan pelbagai rasa.

            “Asmira.” Walau hanya sepatah. Walau hanya menyebut sepotong nama. Tetapi hatiku bergetar hebat. Benih cinta yang tersimpan jauh di dasar hati seakan menggelegak menjadi gunung berapi. Hidup dan hangat semula.

            “Maaf, encik. Saya Dean. Encik salah orang.” Aku terus melangkah laju untuk pergi. Selama ini aku mengharapkan detik pertemuan yang kedua kali. Tetapi apabila doaku telah termakbul, aku menjadi sasau tidak keruan. Apa yang aku inginkan saat ini sebenarnya?

            “Tunggu!” Langkahku terhenti. Degupan jantung juga terasa ingin berhenti.

            “Jangan tipu saya Asmira. Walaupun awak dah jauh berubah, tetapi saya yakin saya tak silap. Wajah anak mat saleh yang awak miliki membuatkan awak tidak mudah dilupakan oleh sesiapa yang memandang.” Suara yang telah lama hilang, kini menyapa lagi ke dalam telingaku.

            Penuh nostalgia antara pahit dan indah. Aku dah jauh berubah? Apalah maknanya perubahan kalau setakat rambutku yang dulu pendek kini panjang separas pinggang, wajahku yang makin dewasa, sikapku yang lebih feminin dan aku meminati kerja seni berbanding dulu. Tetapi perubahan Asmara lebih menyakitkan. Meninggalkan kesan sehingga bertahun lamanya.

            Aku menutup mata seketika. Ada air jernih yang ingin berlumba turun. Aku langsung tidak mampu menoleh ke belakang lagi. Aku yakin aku pasti akan berlari mendakap Asmaraku. Erat dan jitu. Tak mungkin dilepaskan lagi. Tetapi perlukah aku buat begitu setelah apa yang dilakukan Asmara terhadapku? Berfikir menggunakan akal, Dean. Jangan turutkan rasa hati yang menggila. Kerana rasa itu yang telah menjerat kau selama ini. Terhenti dalam kenangan yang tiada kesudahan!

            Derapan langkah kaki dari arah belakang semakin menghampiri. Aku menarik nafas dalam-dalam. Mataku buka semula. Kemudian aku berjalan sepantas yang boleh untuk menjauhi lelaki itu. Setibanya di kereta, aku terus membolos masuk tanpa berlengah. Syaza yang terpinga dan terkejut memandang pelik.

            “Eh, kenapa ni Cik Dean? Kenapa Cik Dean menangis?” Syaza cemas melihat pipiku basah dilinangi air mata.

            “Jalan cepat Syaza.” Kataku tidak bernada.

            Mengikut arahan, Syaza terus memandu meninggalkan rumah yang telah melakar sejarahnya malam ini. Menjadi tempat pertemuan antara jasad Asmira dan Asmara, tetapi bukan perasaan mereka. Kerana masing-masing mempunyai rasa yang berbeza.

            Perjalanan pulang hanya ditemani suasana sunyi sepi. Syaza seakan memahami aku tidak mahu diganggu saat ini, dia juga turut mendiamkan diri. Radio juga tidak dipasangnya. Aku menatap langit malam. Perkara yang aku sering lakukan selepas ketiadaan Asmara. Menghitung jumlah bintang dengan harapan penantian aku akan segera berakhir. Akan lena tidurku diulit wajah Asmara. Tetapi semua itu satu kebodohan yang tidak mampu ditebus kembali.
           
Aku menyeka air mata yang masih turun laju. Syaza yang sesekali mencuri pandang tidak aku pedulikan. Biarlah apa yang difikirkan Syaza apabila melihat aku menangis seteruk ini. Aku tidak kisah. Biar habis airmataku malam ini juga tidak mengapa.

 Asalkan segala rasa yang menjerut perasaan ini pergi!

4 comments:

Unknown said...

Salam, ni post yang barukan, tapi macam pernah terbacalah bab ni sebelum ni dik.

Dean, dalam hati ada Asmara tekadkanlah hati untuk memaafkan antara satu sama lain...

Shizukaz Sue said...

Seri Ayu: wsalam a'ah kak bab 6 ni pernah dipost tapi salah tulis bab 5. Pastu saya delete dan bagi BIP jalan dulu...heee ingatan akk mmg kuat =)

Unknown said...

Hehehe....ingat saya peminat AKA...=)

Anonymous said...

~NB~ wahhhh dan2 terjumpa semula yea.....hehehe like it..