Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, August 20, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 56



             Mata aku buka perlahan. Silau! Aku pejamkan kembali. Kemudian aku memaksa diri untuk membuka mata seluasnya. Aku berada di dalam sebuah bilik berwarna putih. Diatas katil yang juga bercadar putih. Segalanya nampak bersih dan serba putih. Kenapa aku sendirian disini? Mana Hadif? Dimanakah aku? 

            “Bonda…” Tiba-tiba ada satu suara dihujung bilik. Berhampiran pintu yang juga berwarna putih, seorang kanak-kanak kecil tersenyum.

            “Bonda…” Serunya lagi buat kali kedua. Wajahnya suci bersih, memakai jubah berwarna putih dengan kopiah di atas kepala juga warna serupa. Siapa dia?

            “Adik ni siapa?” Soalku dalam keadaan lemah. Namun aku berusaha memberikannya senyuman yang manis.

            “Selamat tinggal bonda. Kita pasti bertemu lagi.” Kata-kata yang lahir dari mulut kecil itu membuatkan aku bertambah bingung. 

Rasanya aku tidak pernah melihat wajah itu sebelum ini. Saudara-mara? Anak kepada sepupuku atau mungkin pertalian sebelah keluarga Hadif? Kanak-kanak itu membuka pintu dan kelihatan satu cahaya putih yang amat silau. Aku tidak mampu untuk terus melihat dan aku menutup muka dengan kedua belah tapak tangan. 

“Sayang, bangun. Kenapa tutup muka macam ni?” 

Suara Hadif! Aku pantas membuka mata dan tangan aku jatuhkan kebawah. Kelihatan seluruh ahli keluarga berada disini. Kedengaran suara mak yang sudah mula menangis mendapatkan aku. Pelukan mak sangat erat seperti sudah bertahun kami tidak bersua muka. Lambat-lambat aku membalas juga pelukan mak walaupun masih tidak mengerti apa yang sedang berlaku.

Mama dan papa kelihatan sedang bercakap-cakap dengan ayah. Wajah mereka sugul dan sedih. Setelah mak meleraikan pelukan dan mengucup ubun-ubunku, mama pula datang melakukan hal yang sama. Airmata dipipinya tumpah di atas dahiku yang sedang berbaring.

“Kenapa semua orang sedih?” Soalku perlahan. Tekak terasa kering dan kesat.

“Rehat dulu. Sayang baru aje sedar.” Kata Hadif lembut sambil memberikan isyarat mata kepada mereka yang berada di ruangan ini.

“Kami pergi minum dulu di kafe. Akak rehatlah. Jangan banyak fikir.” Ayah tersenyum pahit dan melambai kepadaku. Seminit kemudian mereka beredar keluar dari sini meninggalkan aku berdua bersama Hadif.

“Sayang nak apa-apa tak? Dah dua hari sayang tidur.” Hadif mengelus tanganku sambil matanya merenung aku penuh kasih. Namun kenapa mata itu seperti menyimpan duka?

“Kenapa kaki sayang ni? Patah?” Soalku sambil membulatkan mata. Baru aku perasan kaki kiriku tergantung keatas. Sedikit sebanyak memori terakhir yang berlaku menerjah ingatan. Aku dilanggar oleh sebuah kereta yang laju semasa melintas jalan untuk membeli cendol pulut. Ya, aku telah kemalangan!

“Sayang dilanggar dua hari lepas. Habis patah kaki tu. Tapi dalam beberapa bulan nanti baiklah ye. Dah takdir kita sayang.” Hadif mengusap rambutku pula. Perhatian Hadif sedikit sebanyak membuatkan aku sedikit tenang. Padahal dalam kepala otak ini, berjuta soalan ingin ditanyakan.

Aku mengangguk lemah. Memang salah aku kerana terlalu teruja untuk mendapatkan cendol pulut. Tapi rasanya dah toleh kiri kanan sebelum melintas. Macam manalah aku boleh dilanggar kereta? Betul juga kata Hadif, sudah takdir. Aku menelan liur dan menghela nafas panjang. Aku telah menyusahkan semua orang. Mak, ayah, mama dan papa sanggup datang dari jauh. Suamiku juga turut susah kerana perlu menjaga aku yang sudah patah sebelah kaki. Tiba-tiba aku teringat mimpi tadi. Walaupun orang kata mimpi di siang hari adalah mainan tidur, tetapi terasa mimpi itu benar-benar terjadi. Memang memberikan aku suatu rasa yang sukar untuk ditafsirkan.

“Abang, tadi kan sayang mimpi pelik. Tapi rasa macam real aje tau.” Ujarku memulakan penceritaan. Aku ingin benar berkongsi mimpi tadi bersama Hadif. Hilang sudah fikiranku tentang kaki yang patah.

Hadif menjungkitkan sedikit keningnya. “Mimpi apa tu sayang? Dua hari tidur mestilah banyak mimpi kan?” Usik Hadif cuba berseloroh.

Semangatku untuk bercerita semakin bertambah. “Betul, mimpinya rasa semacam. Sayang tersedar tiba-tiba ada dalam satu bilik yang semuanya warna putih. Mula-mula rasa silau nak buka mata tapi sayang gagahkan jugak. Lepas tu…”

Aku terhenti meneruskan kata. Wajah anak kecil yang berjubah dan berkopiah putih itu mula terbayang kembali di ruangan mata. Wajah yang menyejukkan hati. Pandangan matanya seakan-akan…Hadif!

“Lepas tu apa? Ceritalah, abang tengah dengar ni.” Tanya Hadif mematikan bayanganku tentang anak kecil tadi.

“Ada seorang kanak-kanak lelaki yang memakai jubah dan berkopiah putih. Wajah dia sejuk mata memandang. Dia panggil sayang bonda. Dua kali dia panggil macam tu. Sayang tanya dia siapa? Tapi dia tak jawab pun.” 

Airmuka Hadif berubah riak. Segera dia melarikan anak matanya kearah lain. “Ya? Peliknya.” Jawab Hadif ringkas. Namun ada getaran sendu pada nada suaranya. Adakah benar atau perasaan aku sahaja?

“Memang pelik. Cuma sebelum dia pergi, dia cakap selamat tinggal bonda. Nanti kita pasti bertemu lagi. Tapi baru sekarang sayang perasan yang pandangan mata dia seakan abang. Comel betul.” Aku tergelak kecil.

“Macam abang?” Suara Hadif antara dengar dengan tidak. Lirikan matanya jatuh memandang lantai. Aku hanya mengangguk dan tersenyum.

Bonda. Satu panggilan yang membawa sejuta makna. Semenjak aku disahkan hamil, aku memang berangan ingin dipanggil bonda apabila anak kami lahir kelak. Ayah dan bonda. Manis dan klasikal pada pendengaran. Lembut dan kasih pada sebutan. Namun aku belum pernah bercerita hal tersebut dengan Hadif. Malu jika ditertawakan. Maklumlah perut belum memboyot tetapi dah berangan sampai ke situ pula.

Tanganku naik menyentuh perut. Apa khabar agaknya anak bonda hari ini? Eh, seingatnya perut aku sudah membukit sedikit. Tetapi kenapa sekarang kempis dan lembik aje? Tidak puas hati, aku menyelak baju hospital yang tersarung di badan. Betul! Perutku kempis. Tanpa segan silu aku mengangkat baju tersebut lebih tinggi.

“Kenapa perut ni kempis pulak?” Soalku terpinga-pinga. 

Hadif yang masih memandang lantai kembali mengangkat wajah. Pandangan kami bersatu buat beberapa ketika sebelum akhirnya Hadif menggeleng lemah. “Belum rezeki kita, sayang.”

Hati aku diamuk resah. Jantung berdetap laju dan darah seakan kering. “Apa maksudnya?”

“Sayang, sabar…ini dugaan buat kita.” Jawapan Hadif semakin membuatkan aku sesak dada. 

“Jawab! Apa maksud abang?” Suaraku tiba-tiba nyaring dari biasa. Terkejut Hadif sehingga bahunya terangkat sedikit mendengar jeritanku.

Bahuku dipaut dengan kedua belah tangannya. Mata aku sudah mula bergenangan air jernih yang bakal menghujani pipi pada bila-bila masa sahaja. Tolonglah katakan tidak pada semua andaian aku. Tolonglah….

“Kita kena redha lepaskan dia sayang. Anak kita…anak kita dah tak ada. Sayang keguguran akibat kemalangan tu.” 

Aku sudah tidak mendengar apa-apa lagi ayat yang keluar dari mulut Hadif. Ayat terakhir itu sudah cukup meruntun naluri keibuan yang baru sahaja tersemai indah dalam jiwa. Hancur berderai semua impian, semua angan-angan, semua rasa yang aku kecapi. Remuk-redam hanya Allah saja yang Maha Mengetahui. Aku membenam wajah ke dada Hadif. Tangisan hiba memenuhi bilik ini sehingga Hadif juga tidak mampu menahan kesedihannya. 


Setelah enam hari di hospital, aku dibenarkan pulang sejak semalam. Agak sukar juga membiasakan diri memakai tongkat untuk berjalan. Namun mak dan mama banyak membantu. Hadif juga berusaha sedaya upaya untuk aku berasa selesa di rumah. Televisyen di ruang tamu telah diangkat masuk ke dalam bilik. Motifnya agar aku tidak berasa bosan ketika berehat. Maklumlah aku lebih banyak berbaring dan duduk bersandar di atas katil daripada berlegar-legar di rumah seperti kebiasaannya. Kerana aku turut perlu berpantang seperti perempuan lepas bersalin.

            Sejak mengetahui mengenai keguguran bayi dalam kandunganku, aku tidak banyak bercakap. Aku telah bertukar menjadi seorang yang pendiam dan gemar termenung. Aku lebih selesa bersendirian melayani perasaan. Apabila kelihatan anak-anak kecil di dalam televisyen, segera aku menukarkan siaran. Perubahan ini disedari oleh semua ahli keluarga yang masih menginap di rumah kami. Aini dan nenek tidak dapat datang kerana Aini terpaksa bersekolah dan nenek diminta menemaninya dirumah. Salam sayang daripada mereka telah dikhabarkan kepadaku. Mereka sentiasa mendoakan aku cepat sembuh walaupun dari jauh.

            “Akak tak nak makan? Macam mana nak makan ubat kalau tak nak makan?” Ayah yang baru menjenguk masuk ke dalam bilik duduk disisi katil.

            “Nantilah. Belum lapar.” Jawabku pendek. Wajah keruh ayah aku pandang sekilas sebelum mata kembali menatap televisyen di hadapan.

            Ayah menghela nafas. Kedengaran berat dan sarat bunyi nafasnya sebelum menyambung kata. “Rezeki, jodoh pertemuan, ajal dan maut ditangan Tuhan. Akak sabar dan berdoa banyak-banyak. Insyaallah Allah akan gantikan dengan lebih baik.”

            Airmata gugur satu-persatu. Aku memang tidak mampu mengawal rasa apabila soal ini kembali berbangkit. Lebih-lebih lagi apabila setiap malam sebelum tidur aku pasti terbayang wajah si kecil yang muncul di dalam mimpi. Aku tidak putus berdoa agar dia muncul lagi di dalam tidur tetapi tiada. Adakah dia sudah tidak sayang pada bonda? Hati ini dipagut rindu pada janinku. Kehilangannya seakan meninggalkan satu lubang besar dalam jiwa. Menjadikan ruang yang penuh dengan rasa indah selama ini tiba-tiba kosong! 

            Aku diam tidak bersuara. Hanya airmata yang menuruni pipi sambil badan tegak bersandar di kepala katil. Melihatkan aku ibarat jasad tanpa raga, umpama tubuh tanpa jiwa, ayah mengusap kepalaku perlahan sebelum keluar dari bilik. Begitulah adegan yang berlaku sejak aku pulang ke rumah. Mak, ayah, mama dan papa silih berganti datang cuba memujuk hati aku yang berduka lara saat ini. Hadif sesekali sahaja menghampiri kerana bimbang aku menjadi tidak terkawal seperti sebelum ini. Aku sentiasa menolak agar dia menjauhi aku. Aku benci! Kalau boleh tidak mahu melihat wajah itu lagi.

            Setelah beberapa hari di dalam wad, kami dimaklumkan bahawa pemilik kereta yang melanggar lari aku tempoh hari telah berjaya diberkas. Nasib baik pihak berkuasa berjaya menangkapnya ketika ingin lari ke luar negara. Puas juga pihak polis mencarinya merata-rata namun entah dimana dia bersembunyi buat beberapa hari. Lebih mengejutkan pemilik kereta tersebut dan si pelaku yang merempuh aku itu adalah Zati! Bekas kekasih Hadif. 

            Perkara tersebut sangat mengganggu ketenteraman jiwa aku. Malah perasaan itu mendera emosi dan fikiran. Mustahil perempuan itu secara kebetulan sahaja lalu disitu pada masa yang sama dan terlanggar aku. Langgar lari pulak tu! Kalau benar dia tidak sengaja atau tidak mengenali aku, pasti dia akan turun membantu. Atau dia sebenarnya panik dan memang tidak sengaja? Ah, pening aku memikirkannya. Buat serabut kepala. Biarlah Hadif dan ahli keluarga sahaja yang menguruskannya.

No comments: