Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, May 30, 2013

Asmira Ke Asmara? Bab 28


               “Betul Kak Dean nak macam ni aje?” Syaza mengulang soalan yang sama. Pandangan matanya dari tadi memerhatikan raut wajahku yang sedang sibuk membelek pelan ringkas susunan di dalam dewan. Jawapan telah aku beri dalam bentuk anggukan tetapi tetap juga dia ingin memastikan kehendak aku.

            Aku menghembuskan nafas panjang. Kemudian mengiringkan badan menghadap Syaza. “Ye, Syaza…akak rasa macam tu pun dah okey. Lagipun hantaran tu akak tak berniat pun nak pamerkan di dalam dewan macam orang selalu buat. Nak buat apa jadi tontonan? Simpan dalam bilik pengantin sudahlah.”

            Syaza pula mengambil peranan menganggukkan kepalanya. “Okeylah, Syaza ikut akak aje. Tapi kalau Syaza tambah hiasan lebih sikit tak apa kut?”

            Aku yang baru sahaja ingin melihat semula pelan di tangan kembali menoleh. “Suka hati awaklah Syaza. Akak tak cerewet pun. Okey jangan tanya akak lagi bab hantaran tu. Buat ajelah janji siap. Akak banyak benda lagi nak kena fikir.”

            Berkerut seribu dahi Syaza mendengar kenyataan aku itu. “Apa lagi kak? Rasanya semua persiapan hampir siap dah. Tapi yang akak ni macam pengantin susah hati aje kenapa?”

            Aduh, tak jadi lagi nak fokus pada pelan dewan ni! Lantas pelan di tangan aku letak di atas meja. Penat berusaha dari tadi nak membelek tetapi masih belum berkesempatan. Aku memejamkan mata seketika. Mencari damai di hati. Wah, dah macam tajuk lagu sahaja bunyinya.

            “Akak takut penyiasat tu tak sempat cari mummy sebelum majlis.” Ujarku setelah beberapa ketika berdiam diri.

            “Insyaallah kak…akak berdoa banyak-banyak. Tapi andai kata memang tak jumpa, anggaplah bukan rezeki dalam waktu terdekat. Tapi siapa tahu suatu hari nanti dapat jugak akak jumpa dia.” Syaza memberikan kata-kata perangsang kepada bakal pengantin yang susah hati.

            “Maklumat yang ada pun sikit sangat. Itu yang akak risau sampai tak dapat tumpukan sepenuh hati untuk persiapan majlis ni. Serabut betul otak akak.” Aku memicit tepi dahi dengan kedua belah tangan seperti orang yang sedang pening. Memang pening dan berselirat otak dalam kepala ni. Namun yang pasti lebih banyak fikiran negatif berbanding positif. Memang terasa harapan tipis untuk menjejaki dimana mummy berada.

            “Sabar kak. Jangan over thinking…inikan majlis hari bahagia akak. Akak sepatutnya berbahagia di hari yang berbahagia lah kan?” Syaza menyentuh lenganku perlahan.

            Aku tersenyum tawar dan mengangguk. “Akak faham. Thanks Syaza selalu ada untuk akak.”

            “Eh, mestilah! Saya sayangkan akak.” Syaza juga turut tersenyum.

            “Akak pun sayang Syaza jugak!” Aku membalas sentuhannya. Hubungan yang terjalin erat ini memang begitu bermakna dalam hidup aku. Selain atas dasar kerja, ia memberikan satu pengisian dalam bentuk peribadi.

            “Hulurkan pelan tu. Akak nak teliti sekejap.” Aku menghulurkan tangan meminta pelan yang berada di atas meja.

            Syaza yang sedang duduk bersimpuh di tepi kerusi terus mengambil pelan tersebut. “Nanti akak tulis bawah tu kalau ada apa-apa nak diubah. Saya boleh bagitahu pada Fizal segera.”

            “Okey, buatlah hantaran tu dulu. Nanti ada apa-apa akak panggil.” Kataku sambil mata tertumpu pada pelan tersebut.

            Hari ini aku terpaksa singgah ke butik untuk menguruskan beberapa perkara berkaitan majlis perkahwinan aku dengan Asmara. Hari untuk berlangsung semakin hampir dan aku semakin panik jadinya. Walaupun aku telah biasa menguruskan majlis perkahwinan tetapi apabila tiba giliran sendiri untuk naik pelamin, cemas juga dibuatnya. Nak tidur, nak makan, nak mandi sekalipun masih teringat persiapan majlis. Pelbagai fikiran yang menggasak minda selagi majlis aku belum berlangsung.

            Bunyi deringan telefon bimbit Syaza membuatkan kami sama-sama tersentak. Apabila pandangan mata kami bertemu, masing-masing mengukirkan senyuman. Syaza bangun dan menjawab panggilan di dapur. Aku pula yang tertoleh-toleh untuk mengekori Syaza dengan pandangan mata. Panggilan daripada siapakah agaknya? Jarang benar Syaza berkelakuan sedemikian. Aku menjungkit bahu dan kembali fokus terhadap pelan di tangan. Nak membelek dari tadi ada saja gangguannya.

            Lima belas minit berlalu namun kelibat Syaza masih belum kelihatan. Aku yang telah selesai membuat beberapa perkara bangkit dan berjalan menuju ke dapur. Terdengar bunyi gelak tawa manja Syaza yang masih seronok berborak di telefon. Kerutan di dahi aku semakin jelas kelihatan.

            “Siapa tu?” Ujarku sambil berbisik perlahan.

            Syaza tersengih dan menaikkan isyarat tangan tanda tunggu sebentar. Aku menggelengkan kepala melihat aksi Syaza yang kelihatan aneh dimataku. Ada-ada saja Syaza ni. Aku membuka peti sejuk untuk mengambil minuman. Kosong. Terlupa pula yang aku telah agak lama tidak ke butik. Pintu peti sejuk aku tutup kembali dengan perasaan malas.

            “Apa akak tanya tadi?” Syaza mengelap telefon bimbitnya dengan lengan baju. Berpeluh lah tu berborak lama di talian.

            Aku menjungkitkan kening. “Siapa yang call tu? Seronok sakan aje berborak.”

            Sengihan di bibir Syaza makin berseri dengan lebarnya. “Kawan.”

            Sepatah jawapan itu mampu aku hidu keanehannya. Adakah Syaza telah dilanda bunga-bunga cinta? Tapi dengan siapa? Kehidupannya hanya di butik dan rumah. Mana ada masa berkenalan dengan sesiapa pun selama ni. Duga akalku lagi.

            “Kawan yang mana? Akak kenal?” Aku mula menunjukkan minat yang terlebih.

            “Adalah…kawan…” Syaza tersipu-sipu. Sah! Aku mula membuat telahan.

            “Kawan lelaki?” Wajahku semakin serius. Entah kenapa aku pula yang rasa lain macam.

            Syaza tersenyum malu-malu kucing dan mengangguk perlahan. Kemudian dia melihat telefon bimbit yang digenggamnya. Senyuman terukir lagi. Sah dah angau budak ni!

            “Sejak bila? Siapa? Sejauh mana?” Soalan bertubi-tubi aku berikan tanda tidak sabar lagi untuk mengetahui cerita selanjutnya. Dalam pada sibuk membantu aku untuk persiapan majlis perkahwinan, sempat pula Syaza bermain cinta tanpa aku ketahui. Nampaknya aku dah jauh ketinggalan keretapi ni.

            Syaza menarik tangan aku untuk duduk. “Baru dua minggu kami kenal. Berkawan biasa aje kak.”

            “Yelah, tapi siapa?” Aku semakin panas punggung. Risau kerana merasakan Syaza bukan setakat pekerja tetapi sebagai seorang adik dan aku bertanggungjawab keatasnya.

            “Juruteknik komputer kat wisma depan ni.” Ujar Syaza tenang.

            Membulat mataku mendengarnya. “Juruteknik komputer? Akak kenal ke?”

            Kebanyakan pekerja-pekerja wisma yang terletak di seberang jalan butik ini aku kenali. Memanglah tidak kenal rapat tetapi setiap kali bertembung pasti akan berbalas senyuman. Manalah tahu salah satu daripadanya mamat yang dimaksudkan Syaza.

            Syaza menggeleng. “Akak tak kenal kut sebab dia baru aje berpindah kesini tak sampai sebulan. Kami kenal sebab berebut karipap kat gerai makcik Saripah tempoh hari.”

            Wajahku yang tadinya serius terus berubah riak. Terhambur ketawa yang tidak mampu ditahan. “Berebutkan karipap pun boleh jatuh cinta?”

            Syaza menampar lenganku. “Mana ada jatuh cinta. Kami berkawan ajelah kak. Tapi macam tulah perkenalan kami yang sedikit pelik. Karipap tu betul-betul tinggal satu. Kami berebut sampai makcik Saripah bagi free karipap tu tapi suruh belah dua.”

            Semakin galak aku ketawa sampai menekan perut. Syaza ni kalau masuk Maharaja Lawak boleh menang agaknya. “Jadi Syaza bagi dua karipap tu dengan dia?”

            Syaza mengangguk dan tersenyum. “Bukan bagi separuh karipap tu aje kak. Idris siap bagi nombor telefon sekali.”

            “Amboi! Idris ye? Okey, kawan elok-elok tau. Nanti jemput dia sekali untuk majlis akak. Kad nanti akak bagi kat Syaza.” Senyuman aku semakin lebar. Syaza dah ada kawan lelaki rupanya. Ingat ni cerita karipap-karipap cinta ke apa? Jangan terhenti di gerai makcik Sariah saja. At least buatlah cerita cendol-cendol cintan ke lepas ni. Gerai cendol mamak kat hujung tu pun strategik untuk mencari pasangan. Lepas waktu pejabat memang penuh dengan orang berpakaian kemas bertali leher minum disitu. Hehehe….

2 comments:

Anonymous said...

Salam.... yezzaaa... N3 yg d tunggu2... i loikeeeee!!! Xsabar nk tahu cerita selanjutnya...Go Shiz Go!! - nyss

Shizukaz Sue said...

Wsalam..thanks a lot nyss..shiz bz giler la now..rindu sgt nk mengarang..harap masih sudi mengikuti blog ni walaupun jarang update hukhuk