Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Tuesday, October 23, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 12


           Diluar hujan turun dengan lebatnya. Di dalam, begitulah juga lebatnya hujan airmata yang menuruni pipi Aina. Aku juga turut menitiskan airmata melihat kondisi Puan Jamaliah yang nampak lemah. Hazriq sesekali menyapu tubir matanya yang digenangi air. Mungkin tidak mahu nampak lemah di hadapan adiknya. Dia perlu kuat kerana selama ini dia yang menggalas peranan sebagai ketua keluarga setelah bapanya bercerai dengan ibunya. Aina duduk bersama Syamsul, tunangnya itu. Aku masih kaku di dalam pelukan Hazriq sejak tadi. Entah mengapa dia tidak mahu melepaskan pelukannya daripadaku. Mungkin dia ingin mendapatkan sedikit kekuatan dari pelukan ini.

            “Hazriq, saya turun bawah beli air dulu ye untuk semua.” Ujarku yang sebenarnya lenguh duduk berpelukan begini hampir lima belas minit.

            “Okey, sayang. Thanks a lot.” Tanpa segan silu Hazriq menghadiahkan aku satu kucupan di ubun-ubun. Itulah antara perkara yang aku tidak berkenan tentang sikap Hazriq. Lebih kebaratan daripada aku yang berwajah minah saleh ini.

            Aku bangun setelah Hazriq melepaskan pelukannya. Leganya! Hati aku menjerit riang. Tetapi sebenarnya aku masih cemas memikirkan keadaan Puan Jamaliah yang masih belum stabil sejak dimasukkan ke hospital satu jam yang lalu akibat serangan jantung.

            Aku menaiki lif untuk turun ke kafe yang disediakan di tingkat satu. Setibanya di kafe aku memesan Nescafe panas untuk aku nikmati seorang diri disini. Setelah mendapatkan minuman, aku duduk di satu sudut yang jauh sedikit dari orang ramai. Aku pantas meneguk minuman tersebut untuk membasahkan tekak.

            Rasa terkejut masih belum hilang. Hazriq tiba-tiba datang menjemputku untuk ke hospital setelah dia mendapat panggilan daripada Aina. Segala urusan di butik terpaksa aku serahkan kepada Syaza. Sudahlah baru dua hari lepas aku mengambil cuti. Kini, ada hal kecemasan pula yang berlaku kepada bakal ibu mertuaku itu.

            “Melawat siapa kat sini?” Tiba-tiba satu suara menyapaku lembut.

            Melopong aku melihat lelaki ini dengan selamba menarik kerusi dan duduk disisiku. Dia ni tak kan dah menuntut ilmu dengan Hazriq? Kat mana sahaja boleh muncul tanpa diduga!

            “Kenapa awak duduk sini? Menyibuk betul.” Omelku sedikit marah.

            Matanya tetap redup dan tenang membalas renunganku. Dia tersenyum manis. “Saya melawat Fuad suami Farah. Dia kemalangan.” Jawab Asmara sambil membetulkan duduknya.

            “Ya, Allah! Fuad kemalangan? Dia okey tak? Mereka baru sangat berkahwin, kesiannya.” Aku menutup mulut tidak percaya dengan apa yang aku dengari.

            Asmara mengangguk dan tersenyum. Eh, kes serius tau kalau kemalangan! Dia boleh tersenyum lagi? Dah tak betul ke apa mamat ni? Aku menaikkan kening kerana berasa curiga dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Asmara.

            “Cuma patah tangan aje. Yang lain semua dalam keadaan baik.”

            “Patah tangan aje? Sampai patah-patah segala tu teruklah maknanya!” Sengaja aku menekan perkataan aje itu biar Asmara terasa.

            Namun jangan kata dia terasa atau tersedar, malah senyumannya semakin lebar. Aduh, parah budak ni! Aku rasa ada komponen yang patah dalam otak dia. Lebih teruk patahnya dari tangan Si Fuad itu.

            “Awak tetap sweet. Terlalu ambil berat pada orang lain.” Dia memandang tepat anak mataku sehingga aku yang melarikan wajah.

            “Saya memang ambil berat pada orang lain lebih-lebih lagi orang yang saya sayang. Tak macam awak yang langsung tak peduli tentang hidup orang lain!” Sinis sindiran yang aku berikan kepadanya. Lantaklah! Biar dia tahu bagaimana perasaan aku dulu.

            Asmara mengeluh lemah. “Asmira, tolong jangan cakap macam tu. Awak langsung tak beri saya peluang untuk jelaskan semuanya…”

            “Cukuplah tu. Saya malas nak ungkit kisah lama. Sebenarnya apa hubungan awak dengan mereka? Er, maksud saya Fuad dengan Farah.” Soalku sengaja menukar topik perbualan. Aku tidak sanggup membuka luka lama. Takut berdarah kembali. Atau lebih tepat lagi aku masih belum bersedia untuk semua ini. Bukankah kau nak tahu sangat apa yang terjadi? Apa alasan Asmara? Diamlah! Hati jangan menyibuk apabila otak telah membuat keputusannya. Otak lebih rasional daripada kau.

            Keluhan terlepas lagi dari mulut Asmara. Ah, lelaki ini sentiasa menjadi insan yang lambat bertindak. Sejak dulu lagi. Dia bukanlah orangnya yang akan mengambil langkah pertama. Sehingga sekarang, aku dapat rasakan dia masih begitu. Buktinya dia tidak bersungguh menyatakan atau memaksa aku mendengar penjelasannya.

            “Farah tu sepupu saya. Tak sangka dapat berjumpa dengan Asmira saya, sewaktu majlis Farah tempoh hari. Bertuahnya saya.” Asmara memerhatikan raut wajahku lagi. Kali ini lebih mendalam.

            Aku meneguk minuman yang telah sejuk di atas meja. Maaf, aku bukan lagi Asmira kau. Tetapi aku adalah Dean kepunyaan Hazriq, bisikku di dalam hati. Aku tidak mahu membiarkan emosi ini hanyut entah kemana. Hazriq sedang menunggu di tingkat atas dengan Puan Jamaliah yang sedang terlantar sakit. Semuanya lebih penting daripada Si Asmara ini. Mengharapkan dia sama seperti dulu, pastinya ibarat menunggu buah yang tak jatuh!

            “Maaflah, saya kena pergi. Kirim salam saya pada Fuad dan Farah ye.” Aku bangun ingin beredar segera dari sini.

            “Asmira, bilakah waktunya saya dapat jelaskan pada awak? Bagilah saya satu lagi peluang untuk betulkan keadaan.” Pantas Asmira memaut kemas lenganku.

            “Sayang, lama saya tunggu. Dah beli air belum?” Hazriq tiba-tiba datang dari arah belakang.

            Aku tergamam. Namun Asmara lebih pantas meleraikan pegangannya. Mata kami saling bertemu untuk kesekian kalinya. Namun tiada kata-kata yang mampu terluah saat ini.

            “Siapa ni?” Soal Hazriq yang telah memeluk erat pinggangku. Entah mengapa aku tidak suka perbuatannya. Lebih-lebih lagi dilakukan di depan Asmara. Aku tidak mahu Asmara melihat aku dengan mana-mana lelaki. Kenapa? Entah, aku tidak tahu jawapannya. Pendek kata, aku tidak suka!

            “Saya Asmara, kawan satu sekolah dengan Asmira.” Asmara menghulurkan salam perkenalan.

            “Asmira? Wow! Ini pertama kali saya dengar ada orang panggil Dean dengan nama Asmira. Hazriq, tunang Dean.” Balas Hazriq yang semakin erat memelukku.

            “Tunang…” Perlahan nada suara Asmara lebih bercakap kepada dirinya sendiri. Namun aku dapat melihat riak wajahnya yang berubah. Aku menjadi serba-salah. Aduh, susahnya keadaan begini.

            “Kami terpaksa pergi. Jumpa lagi.” Ucap Hazriq dan kami terus beredar dari situ.

            Aku masih berdiam diri tanpa mampu mengeluarkan walau sepatah kata setelah kemunculan Hazriq. Pelukan di pinggangku masih belum dilepaskan. Apabila kami keluar dari pintu kafe, aku serta-merta menghentikan langkah.

            “Hazriq, saya belum beli air lagi.” Aku berterus-terang. Air untuk Hazriq, Aina dan Syamsul masih belum aku belikan.

            “No need. Ada hal lebih penting dari tu.” Tegas nada suara Hazriq menjawabnya. Eh, kenapa berubah benar ye? Aku menjadi tidak sedap hati.

            Lebih membingungkan aku, apabila Hazriq membawa aku masuk ke dalam keretanya. Sepatutnya kami ke tingkat dua semula untuk menunggu Puan Jamaliah sehingga keadaannya stabil.

            “Saya belum nak balik lagi. Nak tunggu sampai ibu awak stabil.” Kataku setelah kami sama-sama duduk di dalam kereta.

            “Pang!!” Satu tamparan tepat mengenai pipi kananku. Berbisa dan pedih!

            Kepalaku terpaling dan tersandar di cermin sisi. Tanganku naik menyentuh pipi. “Apa ni, Hazriq?” Soalku dalam esakan yang tertahan. Namun masih belum ada airmata yang gugur.

            Mata Hazriq menyala seperti seekor singa yang sedang lapar. “Dean, jangan ingat saya tak nampak apa yang awak buat. Awak suka lelaki tu kan? Siapa dia?” Soal Hazriq dengan nada suara yang terkawal. Tetapi cukup menggerunkan aku.

            “Dia kawan sekolah saya. Apa salah saya sampai awak tampar saya macam ni?” Aku masih tidak berpuas hati tetapi aku takut untuk meninggikan suara. Apatah lagi mahu marah-marah pada Hazriq.

            Hazriq merengus kasar. “Cinta pertama ke? Awak dengar sini baik-baik. Selama kita kenal sepuluh bulan lalu dan sebelum kita bertunang, saya upah penyiasat peribadi untuk tahu setiap gerak-geri awak. Setahu saya, awak tak pernah dekat dengan mana-mana lelaki. Sebab tu saya tebalkan muka dan bersabar untuk mendapatkan cinta awak, Dean. Saya tahu awak berbeza dengan perempuan yang saya pernah kenal. Tapi selepas kita bertunang, saya dah percayakan awak, tiada lagi penyiasat peribadi, ini rupanya kerja awak?! Berpegang dengan lelaki lain?” Jerkah Hazriq lagi.

            Penyiasat peribadi? Patutlah lelaki ini boleh muncul dimana tempat aku berada selama ini. Aku menahan nafas yang hampir semput. Hazriq di depanku bukanlah si pencinta wanita lagi. Tetapi dia ibarat seekor naga yang telah terbangun setelah sekian lama tidur di dasar lautan. Ya, Allah musibah apa yang sedang aku hadapi ini?

            “Bukan, bukan cinta pertama. Cuma kawan lama waktu sekolah dulu. Dia terpegang, bukan saya pegang dia.” Aku menjawab perlahan. Namun tidak mampu untuk menatap mata tunangku yang telah bertukar personaliti ini.

            Hazriq menarik rambutku kasar sehingga aku terdorong kearahnya.

            “Aduh! Sakit Hazriq. Lepaskan saya!” Aku terjerit kecil. Airmata mulai turun saat ini. Ya, airmata turun bukan kerana aku sedih tetapi kerana kesakitan yang aku rasakan. Malah sakit juga apabila rasa tertipu untuk kesekian kalinya. Tertipu dengan penampilan baik Hazriq selama ini. Pencinta wanita, konon. Kau jantan dayus yang pukul perempuan!

            “Saya akan siasat siapa dia. Kalau saya dapat tahu awak menipu, siaplah! Jangan pernah nak main-mainkan perasaan saya, Dean. Awak boleh marah saya, tak pedulikan saya selama ni, buat semua perangai bodoh awak tu pada saya, tetapi satu sahaja yang saya tak boleh terima. Kecurangan. Saya benci pada orang yang curang, Dean. Saya akan ajar awak cukup-cukup kalau saya dapat tahu awak curang dengan saya. Awak dah jadi tunang saya. Awak tak akan dapat lari kemana-mana.”

            Pesanan dan ugutan dari Hazriq membuatkan nafasku terasa semakin pendek. Menggigil seluruh tubuh yang telah dibasahi peluh dingin. Kesan pijar dipipi sudah tidak terasa lagi. Hati aku hancur dan luluh dengan neraka yang telah aku tempah sendiri. Tersilap langkah dalam menilai keperibadian seorang lelaki. Sekali lagi aku membuat keputusan yang salah selepas lima tahun yang lalu. Aku memejamkan mata membiarkan air jernih itu deras mengalir.

            “Saya tak tipu awak, Hazriq. Saya tak curang…” Suaraku serak dan tersekat-sekat.

            Biarlah! Tiada siapa tahu Asmara adalah cinta hati aku melainkan Laila. Lagipun memang betul aku tidak berlaku curang terhadap Hazriq. Bodoh sangat kalau setakat berbual di tempat umum dikatakan curang!

            Hazriq lantas menarik tubuhku mendekatinya. Dia memeluk aku erat. Ubun-ubunku dikucup lembut. “Kalau awak tak nak dilayani macam tadi, tolong jangan buat lagi sayang. Jangan dekat dengan mana-mana lelaki. Saya paling pantang semua tu. Saya tak peduli kalau awak tak cintakan saya, tapi awak tak boleh tinggalkan saya walau apa pun terjadi. Janji?”

      Nada suara Hazriq yang telah kembali seperti sediakala membuatkan aku sedikit lega. Aku menganggukkan kepala sebagai jawapan. Itu sahaja pilihan yang aku ada. Lebih baik aku menyelamatkan diri sendiri sebelum bertindak bodoh di hadapan Hazriq.

            “Kesat airmata tu. Kita naik atas tengok ibu.”

            Aku menurut arahannya tetapi di dalam hati tidak putus berdoa. Semoga Allah sentiasa melindungiku dari kejahatan manusia. Aku sudah terperangkap di dalam jerat Hazriq. 

            Padahnya aku telah merisikokan hidupku bersama lelaki ini!

**So, don't judge a book by its cover ok...hati-hati memilih pasangan...yang nampak baik semacam tu lah kadangkala memakan diri...peace ^_^

7 comments:

Yin Areesa said...

Tak sukalah dgn Hazriq nih!!!!
dan sgt tak suka pada lelaki yg 'sudi' angkat tangan pada wanita!

Unknown said...

Dari awal lagi saya tak boleh terima Hazriq, sebab terlalu memaksa dan nampak perfect, kalau baru bertunang macam tu, bye-bye le. Walaupun Dean pernah sakit hati dengan Asmara, tetapi tak terdera fizikal dan mental dengan seperti Hazriq lakukan.

Shizukaz Sue said...

Shafriza: betul..nanti kita kerjakan hazriq ni kak..

Seri Ayu: tu la kan..selalu kalau nmpak perfect sbenarnya nk smbunyikan belang..hihi

AsHu ManCis :) said...

ala,baru nak suruh dean stay with hazriq, tapi tak tau pula hazriq macam tu,so apalagi dean go with asmara..patutlah hari tu akaq ada cakap watak hazriq bakal dibenci,ow ini rupanya..

Anonymous said...

Salam.... Ciissss... Kuang ajar!! Berani `umurxserupa31' tu angkat tgn kat ank dara org!! Paling pntang klu lelaki jenis dayus nie!! Meh sini, biar aku plak lempang muka ko!! (hik hik hik, ter-emo plak)

Anonymous said...

~NB~ iskkkkk.........hazriq nie..akk lempang sampai lupa ingatan kanggg...sesuka pelukkk dan lempang anak orang...ahahaha tetiba emo lakkkk...

Anonymous said...

oh nooo..