Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, October 22, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 11


           “Seronok tak cerita tadi?” Soalku sambil memasukkan pizza ke dalam mulut.

            Hazriq menjeling tajam. “Saya bawa tengok wayang, suruh awak tonton cerita tu. Bukan tidur dalam panggung wayang.” Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali. Geram dengan sikapku yang masih tidak berubah.

            Aku ketawa mengekek membuatkan pandangan Hazriq semakin tajam. Alah, rilekslah. Aku penat sangat hari ni. Dari pagi sampai pukul lima petang berada kat butik macam biasa. Kemudian Hazriq datang menjemput dan mengajak aku untuk menonton wayang pula. Selalunya jam enam petang pasti aku sudah berada di rumah. Jam di tangan aku kerlis sekilas. Tengok! Sekarang jam sembilan setengah malam tetapi aku masih berada di Jusco sambil makan pizza. Setelah terjaga dari tidur tadi, memang perutku berasa lapar. Jadi aku mengajak Hazriq untuk makan sebelum dihantar pulang.

            “Maaflah. Saya letih sangat. Banyak kerja tadi.” Aku masih beriak selamba dan meneruskan suapan.

            “Hari-hari awak cakap ayat yang sama. Awak letih, banyak kerja kat butik. Tapi satu hari pun tak pernah cuti. Mesin pun boleh rosak kalau hari-hari kerjalah, sayang oi. Esok kita ambil cuti ye? Saya nak bawa awak ke satu tempat.”

            Aku mengerutkan dahi. “Cuti? Mana boleh, saya banyak kerja. Kesian nanti pengantin tak boleh kahwin kalau hantaran diaorang tak siap, baju tak siap, kasut tak siap…” Belum habis cakap, ayatku telah dipotong.

            “Satu hari sahaja cuti dalam setahun. Tak kan tak boleh? Kalau awak sayangkan tunang awak ni, please kali ni aje. Saya janji lepas ni tak suruh awak cuti melainkan pada hari perkahwinan kita.” Rayu Hazriq lembut. Matanya penuh pengharapan daripadaku.

            Ingin sekali mulut cabul aku ini menjawab bahawa aku tidak sayangkan Hazriq. Tetapi tak sampai hati pula. “Serius saya tak boleh, Hazriq. Maybe next time.”

            “Macam tu saya akan percepatkan perkahwinan kita. Susah sangatlah jaga tunang yang degil dan workaholic macam awak ni. Kalau dah kahwin, dah jadi isteri saya, senanglah sikit. Hendak tak hendak, awak kena ikut juga cakap suami. Saya boleh gunakan kuasa veto saya masa tu.” Hazriq menarik muka masam. Merajuk pula? Aduh, main ugut-ugut tak pernah habis. Macam budak-budak sekolah aje.

            “Amboi, belum kahwin dah cakap nak gunakan kuasa veto ye? Ada niat nak control saya.” Aku menyindirnya pula.

            “Yelah, dah susah sangat nak dengar cakap saya ni. Saya bagitahu ibu, kita nak kahwin bulan depan.” Tegas suara Hazriq menuturkan ayat tersebut.

            Aku menutup mulut. Hazriq tidak pernah bercakap kosong. Kalau itu yang dia katakan, memang ‘masak’ aku!

            “Eh, okey saya cuti esok. Kita nak pergi mana?” Pantas aku menyoal.

            Senyuman lebar mekar di bibir lelaki ini. “That’s my girl. Esok saya jemput awak jam lapan pagi. Don’t be late.”

            Aku mengangguk lemah. Namun di dalam hati aku berdoa, agar Hazriq tidak membawa aku ke taman bunga. Yelah, dia kan mamat jiwang karat. Entah-entah nak ajak aku bercengkerama di taman bunga pagi-pagi buta. Oh, no!


                                                ******************************


Sangkaan aku ternyata meleset jauh. Teruk betul tanggapan aku terhadap Hazriq malam tadi. Rupanya dia membawa aku ke negeri Melaka, Bandaraya Bersejarah. Destinasi pertama yang dikunjungi ialah Zoo Melaka. Lawak tak? Hazriq seorang arkitek berusia tiga puluh satu tahun ini membawa tunangnya berdating di zoo? Dia ingat aku nak jumpa saudara-mara ke kat sini?

            “Seronok kan? Dapat jalan-jalan macam ni. Hilang tekanan kerja.” Hazriq melabuhkan punggung di atas kerusi batu yang disediakan untuk para pengunjung.

            Aku tersenyum tawar. “Saya pun dah bertahun tak pergi zoo. Erm, kenapa awak nak datang sini? Ada nak kena buat rumah untuk buaya atau harimau ke?”

            Hazriq ketawa kecil. “Perli ye? Tak adalah macam tu. Saja saya suka tengok haiwan. Saya ni animal lover.”

            Alah, Hazriq. Kau bukan sahaja pencinta haiwan, tetapi kau juga pencinta wanita yang over. Ayat itu bergema di dalam kotak fikiran. Aku tersenyum sendiri.

            “Kenapa senyum?” Soalnya yang memandang aku pelik.

            Pantas aku menggeleng. Tidak sedar pemikiranku terluah secara fizikal pula. “Awak sedang buat projek apa sekarang ni?” Soalku cuba mengalihkan topik.

            “Saya tengah siapkan pelan untuk projek rumah kos rendah kat area Masai. Diaorang nak buat kawasan perumahan baru. Anyway thanks sebab ambil tahu tentang saya.” Hazriq merapatiku dan  membelai rambutku mesra.

            Aku yang berasa tidak selesa, segera meneguk air mineral di dalam botol.

            “Tumpah sikitlah sayang.” Tangan Hazriq pantas menyapu sisa air di hujung bibir bawahku. Aduh, dia main sentuh-sentuh bibir pulak!

            “Er…jom kita jalan lagi. Saya dah hilang penat ni.” Aku bingkas bangun dan mengatur langkah untuk meneruskan lawatan ini. Hazriq mengikuti dari belakang.

            Kami berjalan kaki melihat haiwan-haiwan yang terdapat di zoo ini. Setelah agak lenguh kaki berjalan, kami menunggu tramp di perhentian yang disediakan. Namun rasanya tidak puas seperti melihat haiwan-haiwan ini dengan lebih dekat apabila berjalan kaki. Aduh, aku pula yang terlebih sudah! Okey, hakikatnya aku seronok juga dapat menghabiskan masa dengan aktiviti yang sangat berbeza dari rutin harianku.

            “Hari ini tiada baju pengantin, tiada solekan, tiada hantaran. Yang ada hanya haiwan!” Hazriq tergelak besar sewaktu menuturkan ayat tersebut.

            Aku membulatkan mata memandangnya. “Hari ini pun tiada pelan bangunan, pelan rumah, komputer, pejabat, semua tinggal kat JB.”

            Kami sama-sama tergelak. Sepanjang mengenali Hazriq hari ini merupakan hari yang aku mampu tergelak besar ketika bersamanya. Satu perkembangan yang sihat! Setelah seluruh kawasan ini kami jelajahi, aku dan Hazriq beredar dari Ayer Keroh ke Mahkota Parade pula. Disana kami makan tengah hari dan berjalan-jalan melihat pelbagai barangan.

            Kemudian, kami berjalan kaki pula melintas jalan raya menuju ke seberang jalan. Kereta dibiarkan di dalam tempat letak kenderaan Mahkota Parade sahaja. Kami menuju ke Kubu A Famosa yang dibina oleh kerajaan Portugis pada tahun 1511. Kubu ini dibina daripada blok-blok batu merah yang tidak seragam bentuknya dan di hadapan kubu pengunjung boleh bergambar bersama meriam besi. Terdapat juga pelukis-pelukis jalanan yang sedang melakar wajah pelanggan mereka di sekitar kubu ini.

            “Jom kita naik beca pulak. Mesti dah lenguh kaki sayang tu.” Hazriq menunjukkan tangannya kearah sekumpulan penarik beca yang sedang bersidai menunggu pelanggan.

            “Erm…boleh juga. Kalau dah sampai kat Bandar Hilir ni tak merasa naik beca, memang tak sahlah kunjungan kita ke Melaka.” Kataku sambil memerhatikan beca-beca yang terhias indah. Penuh dengan bunga-bunga dan radio yang dipasang kuat untuk menarik pelanggan.

            “Jom!” Hazriq yang begitu teruja menarik tanganku dan setelah memilih beca yang disukai, kami dibawa mengelilingi A Famosa sehingga ke Dutch Square. Sempat juga tanganku mengambil gambar-gambar yang menarik melalui telefon bimbit kesayangan.

          Setelah tiba semula ke destinasi, kami berjalan kaki menyusuri kedai-kedai yang menjual cenderamata di sini. Aku membeli beberapa barangan untuk dijadikan hadiah kepada Syaza, daddy dan Mama Anis. Aku perhatikan Hazriq juga turut membeli cenderamata di kedai ini. Mungkin untuk Puan Jamaliah dan Aina.

            Selesai berbelanja, perut pula memainkan lagu keroncong. Hilang sudah irama zapin kerana kami berada di luar negeri Johor. “Dah lapar lah…” Aku menayang muka seposen.

            Hazriq menggelengkan kepalanya. “Kesian, kesian. Rasanya baru lagi kita makan tadi.”

            “Dah lapar nak buat macam mana? Kenalah makan.” Kataku bersahaja.

            “Kita melawat Muzium Samudera kat depan ni sekejaplah. Lepas tu baru pergi makan.” Cadang Hazriq pula.

            Perut aku minta diisi, Hazriq nak pergi melawat muzium dulu? Apa-apa ajelah Hazriq, oi. Aku mengangguk dan menyerah kalah. Muzium yang berbentuk kapal kayu besar ini kami jelajahi. Mendalam juga minat Hazriq pada sejarah. Bukan main lagi dia membaca kisah-kisah sejarah yang terdapat di dalam muzium. Aku seperti biasa, hanya mengikutinya dari belakang dan sesekali menangkap gambar sendiri buat kenangan.

            “Sayang…” Lembut Hazriq memanggil.

            Aku pantas menoleh dan mengerutkan dahi. “Yes?

            “Tangkap gambar sendiri aje? Jom tangkap gambar berdua pulak.”

            Tanpa menunggu jawapan daripada aku yang terkulat-kulat, Hazriq menyerahkan telefon bimbitnya kepada salah seorang pelancong yang berhampiran kami. Dua keping gambar ditangkap dengan gaya berbeza. Setelah mengucapkan terima kasih kami terus beredar. Nampak dari luar memang besar muzium ini tetapi dalam masa yang singkat, kami telah selesai melawatnya.

            Aku menyarungkan semula kasut ke kaki. “Kita nak makan kat mana?”

            Hazriq yang juga sedang memakai kasut memandang aku sekilas. “Kita ambil kereta dulu. Makan kat tempat lainlah. Tahan sekejap ye.”

            Segaris senyuman terukir dibibir dan aku mengangguk. Lagipun perut ini bukanlah lapar tahap gaban. Sekadar ingin menjamah sesuatu bagi mengisi perut. Makan tengahari tadi telah habis dijadikan tenaga untuk berjalan-jalan.

            “Hazriq, saya nak naik menara ni boleh?” Soalku sambil memandang tinggi keatas.

            “Tadi kata lapar? Boleh tahan lagi?” Soalnya dengan prihatin.

            Aku tersengih-sengih. “Sekejap aje naik ni. Tak sampai setengah jam, kut.”

            Amboi, bab-bab macam ni bukan main pandai lagi aku kan? Sudahlah semuanya ditanggung oleh poket Hazriq. Siapa suruh dia ajak aku berjalan? Memang kenalah tanggung Deandra si mak andam ni!

            “It’s up to you, sayang. Saya ikut aje. Lagi suka tengok awak ceria dan seronok hari ni.” Hazriq memberikan persetujuan.

            Kami sama-sama beratur untuk membeli tiket menaiki Menara Taming Sari. Menara pandang ini setinggi 110 meter dan terletak bersebelahan dengan Dataran Pahlawan. Setelah menunggu giliran, akhirnya tibalah masa untuk kami menaikinya. Ia boleh memuatkan seramai 66 orang dalam satu-satu masa. Memang satu pengalaman yang menyeronokkan kerana menara ini berputar 360 darjah untuk para pelawat melihat panorama Bandar Melaka secara keseluruhan. Tidak puas rasanya berada di atas kerana satu sesi putaran hanya mengambil masa kira-kira 7 minit sahaja. Menara ini merupakan menara berputar jenis Gyro yang pertama di Malaysia. Rugi kalau dah datang sini tak mencubanya sendiri.

            “Best?” Hazriq memimpin tanganku untuk melintas jalan menuju semula ke tempat letak kenderaan Mahkota Parade.

            Aku mengangguk beberapa kali dan tersenyum senang. “Terima kasih untuk hari ni. Pengalaman yang menyeronokkan walaupun tak dapat nak pergi semua tempat menarik kat sini.”

            Jawapanku jujur dari hati. Aku gembira mengikuti Hazriq sehingga ke mari. Tidak sia-sia aku mengambil cuti sehari walaupun berat hati pada mulanya. Berbaloi. Itulah satu perkataan yang sesuai untuk aku ucapkan saat ini. Aku dengan Hazriq bergembira bersama? Macam tak percaya pun ada.

            “Next time ada masa kita pergi lagi.” Hazriq tersenyum puas hati.

         Seharian suntuk menghabiskan waktu bersama adalah sebagai satu titik tolak untuk aku lebih mengenali Hazriq. Pepatah ada mengatakan tak kenal, maka tak cinta.

               Harap-harap boleh pakai pepatah itu untuk kamus hidup aku....

6 comments:

Anonymous said...

~NB~ alaa x sukelah asmira dgn haziq nie...akk x naik lg menara taming sari nie...gayat sehhhh...hehehe

Yin Areesa said...

Wallah, sudah berbaik. Cuma, kena bataskan sikit..baru tunang kan? :)

Shizukaz Sue said...

NB: hihi ni dorang tgh happy2...xpe kita tgok bab seterusnya...haha gayat ek? sekejap je naiknya kak...

Unknown said...

Salam,baru berkesempatan baca n3 ni.

Walaupun Hazriq cintakan Dean begitu mendalam, tepuk sebelah tangan takkan menjadi... Asmira adalah untuk Asamara...huhuhu

Anonymous said...

Salam... Oh tidaaaakkkkkk!!! Dean makin lembut hati ngan `umurxserupa31'... Adeeehhhh.. dunia ku tetiba mnjadi `gelapgelita' (melodramatik skejap.. hik hik hik)

Shizukaz Sue said...

Shafriza: tu la kak..Hazriq lebih2 kalahkan Dean yg muka mat saleh perangainya..huhu

Seri Ayu: wsalam..betulllll hikhik

Anonymous: wsalam..xpe2 tunggu bab 12..sure lg xsuka mamat tu..haha