Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, October 11, 2012

Cerpen : Kurniaan Terindah (Part 2 - end)

PART 2 (END)


Aku termenung setelah mendengar semua penjelasan dari mulut Anisah. Bukan aku tidak yakin dengan cerita itu, tetapi aku tidak yakin dengan diri sendiri.

            “Jadi, setelah semuanya selesai kau dengan Izman boleh mulakan hidup baru.” Anisah menyentuh lembut bahuku.

            “Aku simpati pada tunang dia. Layakkah aku untuk Izman?”

            “Itu kisah dia sebelum kau hadir dalam kehidupan dia lagi. Jadi biar dia yang selesaikan sendiri. Layak atau tidak, bergantung pada jodoh. Kalau dah jodoh, bermakna kau memang tercipta untuk dia.” Anisah cuba memberikan aku keyakinan.

            Izman seorang arkitek yang mempunyai firmanya sendiri. Dia dilanggar lari oleh sebuah kereta dan orang ramai telah membawanya ke hospital kerajaan. Disitulah detik perkenalan kami bermula apabila aku menjaga Izman di wad 7. Apabila ibu bapanya yang kaya-raya itu datang untuk memindahkan dia ke hospital swasta, Izman bertegas menolak. Katanya hospital kerajaan juga memberikan perkhidmatan yang terbaik. Sepanjang aku bertugas, ibu bapanya kelihatan seperti orang baik-baik walaupun dari keluarga yang berada. Namun tunangnya tidak pernah datang melawat. Sebab itu aku tidak tahu dia sudah mempunyai seseorang yang istimewa sehinggalah aku mengekorinya pada bulan keempat perkenalan kami.

            “Entahlah Nisah. Aku tak boleh fikir lagi sekarang. Jiwa aku kacau.” Ucapku lalu menatap anak mata Anisah.

            Anisah menyentuh tanganku perlahan. “Aku tahu kau takut pada kehilangan, kan?”

            “Oh, please Nisah…jangan nak mula…” Aku menekup muka dengan kedua belah tangan.

            “Mawar, dengar sini. Aku tahu apa yang pernah kau lalui itu satu pengalaman hidup yang tak mungkin dilupakan sampai kau mati sekalipun. Tapi, kau dah berjaya teruskan hidup seperti biasa. Tak salah kalau kau juga menikmati kebahagiaan macam orang lain, selayaknya.” Anisah bertindak memeluk bahuku pula.

            Aku membuka tangan yang menutup wajah dan menutup telinga pula. Aku tidak mahu mendengar apa yang akan Anisah katakan lagi. Aku tidak sanggup. Aku tidak mampu. “Nisah, tolonglah berhenti.”

            “Hadapilah dengan berani, Mawar. Seperti seorang srikandi di medan tempur. Hidup kita ni adalah satu perjuangan. Kau kena tabah.”

            “Apa yang kau tahu tentang ketabahan Anisah? Aku korbankan cita-cita aku kerana tak mahu membebankan mak. Aku didik diri aku supaya cinta dalam bidang ni. Aku nak membantu orang, berbakti pada masyarakat. Aku dengan Akid pulak dah kenal sejak zaman sekolah. Lepas dia tamat degree kami bertunang. Selepas setahun dia bekerja, kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Tinggal dua hari sahaja, Nisah…hanya dua hari sebelum aku sah menjadi isteri Akid.” Tangisan yang kian menjadi-jadi membuatkan aku tidak mampu meneruskan kata.

            Hiba dan sayu menjalar di seluruh pelosok hati. Pemergian Akid benar-benar meragut kebahagiaan aku di dunia ini. Biar dua tahun telah berlalu, hati ini tetap tidak melepaskannya. Akid seperti masih hidup dalam dunia kami berdua. Tidak sekali-kali aku menggantikan kedudukan Akid di hati ini. Sehinggalah muncul lelaki bernama Izman Hakiki. Entah bagaimana kesederhanaan dalam keperibadiannya memikat aku dalam diam.

            “Akid kemalangan sewaktu mengambil barangan hantaran yang ditempah…barang-barang hantaran habis bersepah di atas jalan raya. Yang paling buat kau sedih apabila tiba di tempat kejadian, perut Akid terburai. Masih ada sisa-sisa nasi goreng masakan kau yang Akid makan sewaktu kita bersarapan bersama. Kita bersarapan pagi tu dirumah ni. Mustahil aku lupa, Mawar.” Anisah menyeka airmata yang membasahi kelopak matanya. Dia adalah saksi terdekat yang melihat kekecewaan dan kesedihan Mawar selama ini.

            “Aku nak masuk bilik.” Aku bingkas bangun namun pergelangan tanganku sempat dicapai oleh Anisah.

            “Aku mungkin tidak tahu erti ketabahan kerana perjalanan hidup aku tidak sepahit kau. Tetapi aku belajarnya dari sabahat aku sendiri, iaitu kau. Dan aku rasa aku perlu mengingatkan apabila kau berasa putus asa. Memberikan sokongan agar kau sentiasa tabah, Mawar.” Anisah bangun dan memeluk aku yang masih berdiri kaku. Airmata yang mengalir laju tidak aku hiraukan. Pandangan menjadi kelabu kerana dibasahi air jernih itu.

            “Maafkan aku Anisah. Aku tak maksudkannya.” Ucapku perlahan di telinga sahabatku.

************************************

Kiriman sebakul buah-buahan di atas meja aku belek beberapa ketika. Kad yang diselitkan disitu aku baca.
Buat Mawar Shampalis: Awaklah buah hati saya =)

            Senyuman mekar dibibir apabila membayangkan si pengirimnya. Kemudian aku membawa bakul buah-buhan itu ke dapur. Sebiji demi sebiji buah itu aku basuh di sinki dan aku simpan di dalam peti sejuk.

            “Boleh tumpang sekaki ke makan buah tu?” Anisah yang muncul dari dalam bilik tersengih macam kerang busuk.

            “Tentulah boleh. Upah kau ambil bakul ni kat depan tadi.” Aku tersenyum manis.

            “Orang tu nak jumpa, kau tak nak keluar. Terpaksalah aku selamatkan keadaan.” Anisah mencapai sebiji epal hijau dan menggigitnya.

            “Nantilah, aku belum bersedia.” Jawabku ringkas dan berlalu menuju ke depan. Televisyen yang tadi sunyi mula terpasang. Anisah yang mengikuti dari belakang mengambil tempat di sebelahku.

            “Apa lagi nak ditunggu, Mawar. Tak baik tolak rezeki.” Anisah tersengih buat kesekian kalinya.

            “Kalau dah jodoh tak kemana, Nisah. Biarlah reda dulu perkara ni. Malas nak fikir.” Kataku sambil menumpukan pandangan kearah siaran televisyen.

             Anisah hanya menjungkit bahu mendengar jawapanku sebentar tadi. Beberapa ketika keadaan kembali sunyi sepi.

            “Ehem.” Anisah berdehem sebelum kembali berbicara.

            “Jom temankan aku pergi rumah kawan sekejap. Hari ni hari lahir dia. So, dia ada buat jamuan makan sikit.”

            Aku mengerutkan dahi. “Kawan yang mana?”

            Anisah tersengih lagi menampakkan barisan gigi depannya yang sedikit berlapis. “Kawan sekolah aku dulu, kau tak kenal. Tapi aku dah beritahu dia yang aku datang dengan housemate.”

            Aku berfikir seketika. Hari ini kami berdua cuti dan tiada pula aktiviti. Kalau luangkan masa sekejap apa salahnya. “Nak pergi pukul berapa? Janji jangan lama-lama sangat ye.”

            Mata Anisah bersinar terang. “Janji. Jomlah bersiap sekarang.”

            Kami bangun menuju ke bilik masing-masing. Aku memilih untuk memakai dress panjang sehingga ke buku lali. Rambutku ikat kemas dan mengenakan sedikit solekan nipis. Setelah bersiap, kami keluar menaiki kereta Anisah. Perjalanan mengambil masa hampir setengah jam untuk kami tiba di kawasan perumahan elit.

            “Amboi, kayanya kawan kau ni.” Ujarku apabila turun dari kereta. Rumah banglo yang tersergam indan itu kelihatan meriah dengan kunjungan para tetamu.

            “Besar juga majlis hari jadi kawan kau ni.” Mulutku bersuara lagi apabila kami telah masuk ke perkarangan banglo.

            “Ish, banyak bunyi betullah kawan aku ni. Jom kita duduk kat sebelah sana.” Anisah menunjukkan satu meja kosong di bahagian sudut.

            “Aku ambil makanan dulu ye. Kau tunggu meja. Nanti orang ‘kebas’.” Anisah tergelak kecil dan bangun dari duduknya.

            Aku hanya memerhatikan kelibat Anisah yang menghilang di sebalik sekumpulan manusia. Peluang bersendirian aku gunakan untuk melihat keadaan sekeliling. Kagum dengan senibina rumah ini yang begitu unik dan mempersonakan. Konsepnya tidak terlalu moden dan masih mengekalkan ciri kemelayuan.

            “Hai Mawarku.” Sapaan itu benar-benar mengejutkan aku.

            “Izman?” Aku pelik bagaimana Izman boleh berada disini dengan memakai satu sut berwarna putih. Segak tak hengat dunia! Mulutku sedikit terlopong.

            “Terima kasih kerana sudi datang ke majlis hari lahir saya. Jom.” Tanganku ditarik oleh Izman untuk bangun. Tanpa sempat berkata apa-apa aku terdorong mengikuti langkahnya.

            “Mama, Baba, ni Mawar Shampalis.” Izman memperkenalkan aku kepada kedua orang tuanya.

            Malu-malu aku bersalaman dengan mereka. “Apa khabar pakcik, makcik?”

            “Baik, sihat. Mama masih ingat, ini nurse yang jaga Izman kat wad dulu kan?” Soalan mama Izman membuatkan air liurku tersekat di kerongkong.

            “Baba pun ingat lagi. Sedap namanya. Mawar apa khabar?” Baba Izman tersenyum mesra.

            “Baik, Alhamdulillah.” Jawabku sopan.

            “Mama, baba, jadi inilah pilihan Izman.” Sebaris ayat itu membuatkan aku terkedu. Apa yang Izman buat ni?

            “Izman…” Belum sempat aku meneruskan, ayatku telah dipotong.

            “It’s okey, Mawar. Izman memang dah bagitahu nak kenalkan seorang yang istimewa hari ni. Jadi, bila boleh kami masuk meminang?” Mama Izman bertutur penuh kelembutan. Penuh dengan sifat keibuannya.

            “Er…saya…kami…tak…” Aku mati kata. Entah apa yang ingin aku sampaikan aku juga tidak tahu.

            “Mawar, rileks okey. Secara rasminya saya dah putus tunang dengan Bella. Saya nak awak jadi ibu pada anak-anak saya. Menjadi isteri yang menyejukkan mata dan menyenangkan hati saya.” Izman mengeluarkan sebentuk cincin dari dalam poket seluarnya.

            “Izman, saya…saya…tak boleh.” Antara dengar atau tidak sahaja suaraku ini.

            “Awak boleh Mawar. Saya cintakan awak sepenuh hati saya. Saya berjanji akan jadi suami yang baik untuk awak.” Izman ingin menyarungkan cincin itu ke jari manisku.

            “Terimalah Izman, Mawar.” Baba Izman tersenyum penuh makna.

            Aku tersenyum kelat dan mengangguk. Cincin yang tersarung kemas di jari aku renung seketika. Semuanya berlaku terlalu pantas sehingga aku tidak mampu menerangkan perasaanku saat ini. Pada detik yang amat bermakna ini.

            “Apa kata kita nikahkah aje terus mereka berdua ni? Tak payahlah nak tunang-tunang lagi.” Mama Izman menepuk bahu suaminya.

            “Abang setuju sangat tu, Pah. Kami akan datang berbincang dengan keluarga kamu Mawar. Perkara yang baik, tak elok kita lengah-lengahkan.” Ujar Baba Izman yang beralih pandang ke wajahku.

            “Pakcik, Mawar dari keluarga susah. Boleh ke pakcik menerima Mawar?” Aku tunduk memandang lantai. Sesungguhnya aku berasa terlalu kerdil apabila berada disini. Dirumah banglo ini, dihadapan mama dan baba Izman.

            Terdengar ketawa kecil yang memecah. “Mawar, apalah gunanya kaya harta kalau miskin dengan budi pekerti. Keluarga pakcik tak kisah semua tu, asalkan hati Mawar baik. Mawar akan jadi isteri yang baik untuk Izman dan ibu yang mithali untuk cucu-cucu pakcik.”

            “Betul tu Mawar. Sejak Izman kemalangan, dia tak pernah lagi menjejakkan kaki ke kelab hiburan. Pulang ke rumah mabuk-mabuk macam dulu jauh sekali. Izman pun dah rajin sembahyang. Katanya Mawar yang ajarkan dia sembahyang semasa masuk hospital dulu. Bukan kami tak nasihat, tak marah, tetapi anak lelaki ni keras. Tak sangka, Mawar bawa sinar baru dalam hidup dia.” Mama Izman menyeka air jernih yang mula bertakung di tubir mata. Dia menghampiri dan memelukku erat.

            Ya, Allah…andai benar aku diciptakan dari tulang rusuk kirinya yang bengkok Kau permudahkanlah jodoh kami. Kuatkan aku untuk memberikan kebaikan dalam kehidupannya. Relakan aku untuk menerima segala kekurangannya. Andai dia baik untuk diriku, kehidupanku dan agamaku, berilah aku petunjukMu…doaku tidak henti di dalam hati.

************************************

Pernikahan kami berjalan dengan lancar. Lega hati tidak terucap dengan kata-kata. Minggu depan pula akan diadakan majlis persandingan di sebuah hotel terkemuka.

            “Izman!” Tiba-tiba seorang gadis yang memakai seluar separas peha datang menghampiri kami.

            “Apa you buat kat sini Bella?” Soal Izman dengan wajah terkejut. Izman sempat menggenggam tanganku erat.

            “You tak boleh buat I macam ni, Izman! Yes kita dah pernah putus banyak kali, tapi I ingat you akan terima I semula macam selalu. Tergamak you pilih perempuan lain untuk jadi isteri you.” Bella membentak sedikit kasar. Dijelingnya aku tajam dan sinis.

            “Bella, I dah selamat bernikah dengan Mawar. Tolong lupakan I. Kita memang tak ada jodoh.” Izman menarik tanganku untuk beredar.

            Nasib baik ramai tetamu yang telah pulang. Hanya tinggal saudara-mara terdekat. Kalau tidak, bertambah kecoh jadinya dengan drama sebabak ini. Beberapa langkah aku menapak, lenganku direntap kasar dari belakang.

            “Hei perempuan tak sedar diri! Kau tak laku sangat ke sampai rampas tunang orang? Kenapa? Tak ada orang nak tunang dengan kau? Kalau ikutkan hati aku, aku langgar Izman ni biar mati.” Bella meracau-racau macam orang hilang akal. Beberapa orang yang melihat cuba menenangkannya.

            Aku terguris dan terkesan dengan ayat yang keluar dari mulutnya. Aku pandang dia atas dan bawah. Perempuan ini tak tahu ke dia berada di pernikahan orang Islam? Memakai seluar sependek itu dan datang kesini marah-marah memang menguji kesabaran aku.

            “Ya, saya pernah ada tunang. Tunang saya dah meninggal dunia dalam kemalangan dua tahun yang lalu. Saya sendiri yang bersihkan jenazahnya semasa di hospital. Saya lap tubuhnya yang penuh dengan darah. Jadi, kalau satu hari awak kotakan apa yang awak cakap tadi…saya sanggup sepenuh hati untuk melakukan perkara yang sama. Saya akan bersihkan Izman dengan penuh kasih-sayang. Itulah namanya cinta, kerana cinta itu tetap hidup tetapi awak pula nak membunuh orang yang awak cintai.”

            “Aku nak Izman balik pada aku!” Jerkah Bella lagi.

            “Bella, please…jodoh I  dengan Mawar.” Izman bersuara lirih. Jatuh simpatinya melihat Bella dalam keadaan begitu. Tetapi Bella akan lebih merana andai berkahwin dengan lelaki yang tidak lagi mencintainya. Biarlah Bella mencari seseorang yang mampu menjaga dan menyayanginya seikhlas hati.

            “Persetankan jodoh. I tak peduli semua tu.” Bella merengus kasar.

            Aku beristighfar di dalam hati. Ada manusia yang masih tidak menerima ketentuanNya. “Bella, jodoh itu rahsia Allah. Sekeras mana awak bertahan, sekuat mana awak bersabar, seteguh mana awak mencintai, kalau dia bukan jodoh awak, tidak akan mampu awak miliki. Tetapi andai sudah ditakdirkan dia adalah jodoh awak, sehebat mana awak mengelak, sesulit apa pun jalannya, dia tetap akan jadi milik awak tanpa siapa yang dapat menghalangnya.”

            Bella terdiam. Tangisannya yang menggila tadi semakin perlahan. Dia terduduk di atas lantai. Tangannya melurut kepala dengan kedua belah tangan. Aku menghampirinya perlahan-lahan. Izman menegah tetapi aku memberikan isyarat mata agar Izman melepaskan genggaman  pada tanganku.

            “Maafkan saya Bella. Saya tidak berniat melukakan hati sesiapa. Tetapi saya juga manusia biasa yang banyak kekurangan. Ini sudah takdir dan jodoh saya bersama Izman. Saya doakan awak bahagia dan menemui seseorang yang lebih baik.” Aku menyentuh bahunya lembut. Cuba untuk menyalurkan ketenangan pada Bella yang hilang arah tuju.

            “I cintakan Izman…” Sendu suara Bella menahan esak.

            “Saya yakin awak akan lebih menyintai jodoh awak kelak. Dulu, saya ingat saya tak mungkin mencintai lelaki lain selain Akid. Dia mati membawa jiwa saya bersamanya. Tetapi, kuasa Allah itu lebih hebat. Dia meniupkan semula rasa cinta dalam hati saya. Dia berikan Izman untuk kehidupan saya. Perasaan itu kurniaan Allah. Boleh datang dan hilang dengan izinNya. Banyakkan berdoa.” Lembut suaraku mententeramkan Bella. Aku juga perempuan, punya hati yang sama. Aku tidak mahu Bella hanyut dengan rasa kecewanya.

            “I tak mampu rasa tenang. I takut tak boleh lupakan Izman.” Bella memelukku pula. Tangisannya memenuhi ruang ini buat kesekian kalinya.

            “Yang menenangkan perasaan gelisah itu, adalah redha…” Ucapku perlahan di telinga Bella.

************************************

“Abang kagum dengan kepetahan sayang berhadapan dengan Bella dulu.” Izman menghirup teh yang masih berasap nipis di dalam cawan.

            Aku tersenyum. “Saya jalankan tanggungjawab saya. Maklumlah saya dah terambil tunang dia.”

            Izman membulatkan mata. “Terambil?”

            Aku tergelak kecil. “Dah jodoh kita kan bang.”

            Izman menganggukkan kepala beberapa kali. Kemudian tangannya menyentuh pula perutku yang semakin memboyot. Kandunganku sudah mencecah hampir tujuh bulan.

            “Allah telah menggerakkan hati abang untuk menyintai sayang. Hidup abang kini lebih bermakna.”

            “Semuanya dah lama berlalu. Bella pun dah berkahwin dengan orang baik-baik. Semoga dia bahagia.” Tuturku sambil bersandar di lengan Izman.

            “Selamat ulang tahun perkahwinan kita yang pertama sayang.” Izman mengeluarkan sejambak bunga mawar dari bawah meja. Jambangan itu dihulurkan kepadaku.

            “Terima kasih abang. Saya bersyukur atas kurniaan terindah yang saya miliki sekarang. Setiap hari saya berdoa agar rasa cinta ini kekal buat selamanya….”

            Izman mengucup dahiku penuh kasih. Kemudian kami saling berpandangan dan senyuman mekar di bibir.


~TAMAT~


*** Apa pun alasannya, bagaimana pun terjadinya, jodoh itu telah tertulis di loh mahfuz. Kita sebagai manusia perlu menerima setiap ketentuan sama ada pahit atau manis dengan hati yang terbuka. Tiada siapa yang perlu dipersalahkan kerana percaturan itu telah diatur untuk melihat sejauhmana keimanan kita terhadap qada’ dan qadar.

6 comments:

AsHu ManCis :) said...

cerita yang simple,tak serabut and tak sabar nak tunggu AKA esok,janji eik?

Shizukaz Sue said...

Ashu, tunggu tau AKA bab 5 akan dimasukkan esok..=)

Unknown said...

Alhamdulillah, happily ever after...

Tak sabar nak n3 AKA...

Shizukaz Sue said...

Seri Ayu: AKA berbeza dari BIP sangat..hihi hope ada yang suka..

Unknown said...

nice cerpen akak..
biarpun pendek,tapi padat dan menarik..
pendek dan sesuai bg org yg bz mcm sy ni..kalo yg byk epiosod tu,kene amik masa lame sket utk abiskan..bru berpeluang baca yg ni je dulu..
ya akak,kalo jodoh tetap tak kemana...suka ayat akak yg ni :

jodoh itu rahsia ALLAH,
SEKERAS MANA BERTAHAN,SEKUAT MANA BERSABAR,SETEGUH MANA MENCINTAI,JIKA BUKAN JODOH,TETAP TAK MAMPU DIMILIKI..

TETAPI ANDAI SUDAH DITAKDIRKAN DIA JODOH KITA,SEHEBAT MANA MENGELAK,SESULIT APA PUN JALANNYA,
DIA TETAP AKAN JADI MILIK KITA TANPA ADA SIAPA DPT MENGHALANG..

begitu mendalam maksudnya..
kena dgn sy :)


Unknown said...

nice cerpen akak..
biarpun pendek,tapi padat dan menarik..
pendek dan sesuai bg org yg bz mcm sy ni..kalo yg byk epiosod tu,kene amik masa lame sket utk abiskan..bru berpeluang baca yg ni je dulu..
ya akak,kalo jodoh tetap tak kemana...suka ayat akak yg ni :

jodoh itu rahsia ALLAH,
SEKERAS MANA BERTAHAN,SEKUAT MANA BERSABAR,SETEGUH MANA MENCINTAI,JIKA BUKAN JODOH,TETAP TAK MAMPU DIMILIKI..

TETAPI ANDAI SUDAH DITAKDIRKAN DIA JODOH KITA,SEHEBAT MANA MENGELAK,SESULIT APA PUN JALANNYA,
DIA TETAP AKAN JADI MILIK KITA TANPA ADA SIAPA DPT MENGHALANG..

begitu mendalam maksudnya..
kena dgn sy :)