Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Sunday, January 5, 2014

Bila Bulan Berwarna Biru Bab 8






Setelah menghantar Althea ke taska aku masih meronda bagi misi mencari kediaman baru buat kami. Aku harus lebih pantas sebelum mamat chindian itu melangkah setapak lagi. Memang cantik cincin didalam kotak itu. Mesti mahal harganya. Tapi sayang seribu kali sayang, ia tidak akan tersarung di jari aku. Never. Bak kata omputih.

Ada beberapa rumah yang aku telah hubungi pemiliknya namun apabila melihat keadaan didalamnya hati pula tidak berkenan. Dari luar nampak elok tetapi didalamnya teruk. Mungkin sudah banyak bertukar penyewa. Sudahlah aku agak cerewet apabila berbicara soal tempat tinggal. Bukan tiada kekosongan di kuarters kerajaan. Malah rumah untuk kakitangan berjawatan pegawai itu sangat luas. Tetapi ada sahaja kekurangan disana sini. Lantai bilik air yang mempunyai kekotoran kekal, keadaan dapur yang tidak semenggah dan pelbagai masalah lain dimata aku. Rumah Vickness juga yang bersih, cantik dan selesa. Aduii Adani...kalau suka sangat rumah tu kahwin ajelah dengan pemiliknya!

Penat meronda sampai minyak kereta yang tadinya separuh kini tinggal sedikit. Perut pula mula berbunyi paluan kompang. Amboi perut ni pandai pula tukar lagu mengikut tema. Geram dengan lagak sang perut terus aku menghala ke pusat bandar untuk mengisi minyak kereta dan menjamu selera. Lepas makan boleh sambung misi mencari rumah, desis hatiku.

“Cantiknya kereta. Nak berlumba ke?” Ada suara nakal dibelakangku. Pasti orang yang sedang mengisi petrol disebelah kiri.

Aku diam. Teruskan mengisi. Kalau suara perempuan boleh juga aku toleh dan berbalas senyuman. Ini suara jantan. Malas nak layan. Lambat pula minyak ini nak penuh satu tangki. Mitsubishi Evo berwarna merah kesayangan aku. Puas aku kumpul duit gaji kerja kerajaan yang tak seberapa ini untuk membayar duit muka. Nak seribu daya kan? Namun keadaan kini lebih selesa dengan gaji yang semakin bertambah mengikut tahun.

“Nak jual tak kereta ni? Kalau nak jual saya nak beli dengan tuannya sekali.” Ayat itu terasa dekat dicuping telinga. Mati terus lamunan aku.

“Buurrr!!!” Tersembur petrol yang aku pegang dari tadi kearah lelaki itu. Bukan, bukan silap aku. Aku terkejut beruk.

What the!!!” Lelaki itu terlompat ke belakang. Namun terkena juga dibahagian bawah seluar khakis panjang yang dipakainya.

“Alamak! Siapa suruh awak cakap dekat-dekat. Saya terkejut!” Aku gelabah dan meletakkan balik pemacu minyak ke tempat asalnya. Entah dah penuh isi ke belum aku sendiri tak tahu.

You ni kan Adani, kalau tak terima I sekalipun janganlah sampai nak bakar I kat dunia ni. Haiyooo...” Kepoh mulut lelaki itu memarahi aku yang pucat muka dari tadi.

Namun ayat tersebut membuatkan aku tersedar dari kekalutan dan kegelabahan yang dialami. Aku mengangkat muka.

“Vick?” Mulut aku terbuka.

I lorr...you fikir siapa? Tak cam suara I meh?” Vickness sengaja memerli aku dengan bercakap ala-ala chinese.

“Manalah I tau. Ingat jantan gatal mana yang sibuk tegur-tegur.” Aku menjawab perlahan. Rasa bersalah sangat sebab terlepas laku begitu terhadap Vickness. Mesti tak hilang kotoran minyak pada seluarnya itu.

I betul-betul tak sengaja. Minta maaf.” Aku membuka pintu kereta dan mengambil sekotak tisu lalu aku hulurkan kepadanya. Sebenarnya aku bingung tak tahu nak buat apa.

“Tak hilang lap pakai tisu pun.” Vickness mencebik.

“Okey, nanti I bayar ganti rugi. Boleh beli seluar baru.” Aku tersenyum tawar. Terbanglah duit gaji yang masih berbaki separuh lagi. Harap-harap seluar dia taklah mahal sangat. Kalau mahal, terpaksalah aku guna kredit kad.

“Seluar ni I beli kat oversea.” Vickness masam mencuka.

Okey. Faham sangat. Beli kat oversea. Mabuk sekejap! “Tak boleh beli online ke?”

Vickness menggeleng. Aku bertambah buntu dan bersalah. Aku sendiri pun pernah beli beg tangan di luar negara. Memang sayang habislah aku dengan beg tangan tu. Pernah sekali waktu hujan, aku nak berlari ke kereta pun aku ambil beg plastik untuk sarungkan beg tangan tu. Biar aku basah tak apa, jangan beg tangan ribuan ringgit itu.

“Ponnn!!” Hon kereta bergema di belakang. Rupanya ada kereta lain yang ingin mengisi minyak.

Aku mengangkat tangan dan berlari anak untuk membayar di kaunter. Setelah membayar jumlah yang diisi sebentar tadi, aku kembali mendapatkan Vickness.

            “Kita bincang kat tepi sana ya. Alih kereta dulu. I janji akan bayar walau macam mana pun. You jangan sedih.” Aku cuba meyakinkan. Memang aku akan bertanggungjawab. Tapi kenapa aku nak risau kalau dia sedih? Alah, cuma kesian dan rasa bersalah. Mungkin.

            No. You ikut belakang kereta I. Jangan lari haaa...” Vickness menuding jari telunjuknya kepadaku.

            Aku telan liur dan pantas menggeleng sambil mengangkat tangan lagak orang bersumpah. Kemudian kami masuk ke dalam kereta masing-masing dan beredar dari stesyen minyak. Setelah lebih 10 minit perjalanan baru aku dapat mengagak Vickness menuju ke mall yang berdekatan. Nak beli seluar baru ke kat sini? Aku mengerutkan kening.

            Tempat letak kereta agak lengang kerana hari ini merupakan hari bekerja. Aku aje yang mengambil cuti rehat akibat saranan Encik Kefli. Ingatkan waktu cuti ini dapat menyelesaikan masalah. Rupa-rupanya makin bertambah masalah. Silap percaturan. Setelah selamat memarkirkan kereta bersebelahan kereta Vickness, aku turun mendapatkannya.

            You nak beli seluar baru kat sini?” Soalku dengan penuh tanda tanya.

            Vickness mengunci pintu kereta dan berjalan tanpa menghiraukan aku. Marah? Aku tanya aje. Kalau betul nak beli seluar, aku boleh keluarkan duit dari mesin ATM. Aku berlari anak mengejar langkah Vickness yang semakin laju. Tak sabar betul budak ni nak beli seluar baru.

            “Vick! Janganlah marah. Kan kita nak beli seluar baru ni. Kalau you pilih seluar murah sikit I siap belanja you seluar dalam sekali eh.” Aku yang dari tadi mengikut langkah Vickness tanpa sedar mengeluarkan kenyataan melampau.

            Kalau iye pun nak memujuk, janganlah ekstrem sangat Adani. Aku menggesel hidung dengan tangan menahan malu apabila ada mata-mata liar menoleh kearah kami. Kuat sangat ke suara aku tadi? Bergema kot.

            “Romantiknya nak belanja ehem-ehem.” Hishh!! Malu gila!

            Vickness sudah tersenyum nakal dan mematikan langkah. “Jom!”

            Tanganku ditarik dan kami berjalan seiringan. Boleh tak kalau aku tarik balik tawaran tadi? Tiba-tiba lengan kananku disambar seseorang. Pantas aku menoleh.

            “Wa! Buat apa kat sini?” Soalku dengan senyuman mekar dibibir. Terkejut dan gembira.

            “Assalamualaikum.” Salwa ketawa kecil.

            “Waalaikumsalam.” Aku ketawa besar. Malu dengan Salwa. Main sergah aje sampai tak bagi salam pada kawanku yang berpurdah ini.

            Sweetnya korang ni. Berkepit aje walaupun anak dah satu setengah.” Salwa menepuk bahu aku.

            “Satu setengah?” Soalku pelik.

            “Althea dan setengah lagi dalam perut kau yang belum membesar tu.” Salwa menuding jari tepat pada perutku yang kempis.

            Segera aku melepaskan tangan Vickness. Sudahlah hal hari tu belum terungkai lagi. Aku masih belum berkesempatan untuk berterus-terang. Namun Vickness cepat-cepat menggenggam semula tangan aku. Kuat dan erat. Berdosa la mangkuk! Aku menolak sedikit tubuhnya dari sisi.

            “Apa ni sayang main tolak-tolak.” Vickness memaut pula lenganku dengan sebelah lagi tangannya. Aku menjeling geram. Kenapalah apabila aku terjumpa Salwa aku bersama lelaki ini? Lagilah Salwa fikir kami ini memang suami isteri.

            “Althea mana?” Salwa mencari kelibat si kecil kalau ada dibelakang aku.

            “Ohh Althea kat taska. Hari ni kami saja nak dating berdua.” Belum sempat aku membuka mulut Vickness pantas memberikan jawapan. Palsu.

            “Bertuah kau Adani. Bahagia sangat aku tengok.” Salwa ketawa mesra. Dia tumpang gembira melihat rakan baiknya bernasib baik dalam percaturan jodoh. Bukan macam dirinya yang masih menanti kehadiran seseorang yang boleh dijadikan suami.

            “Dani ni...mengidam nak belanja saya seluar dalam. Sampai tak boleh tidur dia malam tadi nak sangat belanja. Tu yang kami kesini hari ni.” Laju sahaja ayat itu diucapkan tanpa segan silu.

            “Astaghfirullahalazim....” Ucapku panjang. Sesak nafas aku dibuat dek mamat chindian ni. Kalau boleh aku tampar mulutnya sudah lama berbirat. Kalau boleh aku cili, sekarang juga ingin aku lumurkan.

            Salwa ketawa terbahak-bahak sampai menekan perut. Sampai terkeluar air matanya dibahagian tepi mata. Vickness juga tidak kalah memberikan sengihan kambing gurunnya. Hanya aku yang kelu lidah tidak mampu berbahasa. Lelaki ini sangat pandai memerangkap aku. Gerammm!

            “Ada-ada ajelah kau ni Dani. Perangai tak senonoh kau dari dulu tak hilang-hilang lagi ye? Ingatkan dah jadi emak-emak kau dah lain.” Salwa menahan ketawanya yang masih bersisa. Belum pernah dia dengar cara mengidam sebegitu. Takut juga dia. Silap haribulan dia mengidam apalah pula saat dia mengandung? Nak makan beruang kutub? Hehehe...

            “Kami pergi dulu Salwa. Lepas lunch nanti saya ada meeting. Kena cepat tunaikan hajat Adani ni.” Vickness ketawa lucu. Puaslah hati kau tu ye Vickness dapat kenakan aku.

            “Okey guys. See you again. Take care Adani. Apa-apa telefon aku nanti. Peluk cium pada Althea.” Salwa menghulurkan salam dan kami berlaga pipi seketika.

            “Jaga Adani baik-baik Izz.” Salwa melambai dan berlalu pergi.

            “Kenapa teruk perangai you?” Aku mendengus kasar. Aku berkalih memandang wajah Vickness.

            “Helo dear, perangai you lagi teruk okey.” Jawapan dengan muka yang selamba itu membuatkan darah aku semakin naik.

            “Apa I dah buat hah? I tak pernah susahkan you!” Aku mengetap bibir. Muka memang ketat habis saat ini. Kalaulah Salwa nampak mesti terkejut tengok ‘pasangan sejoli’ ini bergaduh.

            “Ehh nyonya! I bagi you anak, you pergi kahwin dengan orang lain. I bagi you sewa rumah I, you nak lari pindah rumah. I bagi you cincin berlian, you balas dengan minyak petrol. I bagi you cinta, tapi you balas dengan benci. Itu ke maksud you tak pernah susahkan I??” Vickness membalas dengan renungan tajam kedalam mataku.

            Terkedu. Itu sahaja yang aku rasakan. Sampai hati Vickness keluarkan kenyataan begitu. Pedih sungguh ayat-ayatnya menikam jantung aku. Tidak tahukah dia hati aku mudah terguris. Benci Vickness! Benci! Airmata turun membasahi pipi. Aku teresak kecil disitu. Biarlah ada mata yang mencuri pandang. Aku tak peduli. Vickness kejam! Vickness mulut jahat!

            “Shhh...stop crying. Janganlah nangis Adani. Sorry...sorry banyak-banyak. I gurau ajelah. Tak...I tak marahlah sayang. Usik-usik aje. Gurau, I bergurau.” Vickness gelabah.

Dia menyentuh bahu, tangan, rambut dan pipi aku. Serba tak kena jadinya. Tahu pun kau takut. Aku mengesat pipi dengan tangan dan terus melangkah perlahan.

“Okey, I belanja makan.” Vickness menghalang laluanku dan merapatkan kedua belah tangan tanda memohon maaf.

“Hutang I lagi besar nak ganti seluar you.” Jawabku acuh tak acuh.

“Tak...tak payah ganti dah. I dah buat my love nangis.” Vickness menarik kedua belah telinganya pula. Juga sebagai simbol meminta maaf.

Pleaselah...I’m not your love one.” Aku menunjukkan penumbuk dihadapan mukanya.

Vickness mengangkat kedua belah tangan. Mengalah “Okey. Okey.”

“Betul ke dah tak payah ganti seluar tu?” Tanyaku ragu-ragu. Selamat duit gaji aku.

“Betul. Tapi you cuma temankan I aje beli seluar baru. I nak jumpa pembekal nanti.” Vickness membuat muka kesian.

Oh, betullah dia cakap dia ada meeting pada Salwa tadi. Eleh, itu aje fakta yang betul. Lain semua tipu, ejek hatiku. Tapi pasal seluar dalam tu memang betul kau yang tawarkan pada dia. Aku terbatuk kecil.

Aku mengangguk setuju. Wajah Vickness kembali berseri dan kami berjalan dari satu kedai ke satu kedai. Aku lebih banyak duduk dan menunggu berbanding tolong memilih atau memberikan pendapat. Paling kuat pun, aku hanya mengangguk dan menggeleng apabila Vickness menunjukkan beberapa helai seluar berjenama. Boleh tahan cerewet. Nak beli sehelai seluar pun di kedai keempat baru jumpa yang dia selesa. Potongan tak menariklah, saiz tak ada, kurang selesa, dan macam-macam kerenahnya.

I cakap tak payah ganti seluar yang kotor. Tapi...” Ayat Vickness terhenti disitu.

Aku mengerutkan kening. Apa lagi ni? “Kira dah settle kan? I dah teman you beli seluar baru.”

Bibirnya mengulum senyum. “Tapi, you yang cakap nak belikan I ehem-ehem.”

Merona merah pipiku menahan malu. Ya Allah! Sungguh aku terlupa tentang itu. Aku menekup mulut. Itulah, jangan biarkan lidah mendahului akal. Nasihatku kepada diri sendiri.

“Errr...kita beli lain hari ajelah.” Aku mengecilkan mata.

“Tak nak! Jangan sampai I lamar you tengah-tengah alam ni.” Vickness senyum jahat.

Please help me! Kena belanja seluar dalam untuk Superman versi chindian. Aku menggaru kepala. Warna apa yang sesuai? Erk! 

7 comments:

Unknown said...

BEST.

Anonymous said...

Best nya cerita nie! Harap2 dpt disambung kan lagi..

sunsilk said...

Bagus jln ceritanya.. harap dapat sambung secepat mungkin...

Anonymous said...

Kenapa dah lama tak update cerita ini shizukaz sue?

Unknown said...

Assalamualaikum...dah lama saya tak singgah kat teratak ni...bila baca cerita ni boleh plak terbayangkan Keith Foo...adoiii...nanti beli ehem ehem warna traffic light lah...Shizukaz Sue...

Anonymous said...

lamanye xjguk blog akak sue ni..sedar2 dah de cerita baru..hehe

_kd_

Anonymous said...

Assalamualaikum..Shizukas Sue, tidak ada lagi kah sambungan i utk cerita nie? Sudah lama kakak tngu sambungannya...sering singgah ke blog nie utk melihat klu2 ada perkembangan...kak ra.