Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, July 30, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 1




            “Eeeiii sakitnya hati…” Keluhku perlahan sambil mata menoleh ke kiri dan ke kanan mencari-cari kelibat yang telah hilang dari pandangan.  Tak kan lah aku cubit sedikit pun hendak merajuk sampai tinggalkan aku seorang diri disini. Tiket wayang yang berada ditangan aku pandang sekilas. Nafas turun naik menahan rasa geram yang terbuku di dada. Nampaknya sama ada aku akan menonton wayang seorang diri atau balik ke rumah tidur lebih baik.

            Keriuhan di pusat membeli-belah Summit Parade ini langsung tidak menarik minatku lagi. Kepalaku ligat berfikir untuk membuat pilihan antara kedua-dua pilihan yang ada. Lantas aku mencapai telefon bimbit yang berada di dalam beg dan mendail nombor seseorang. Nampaknya aku perlukan pilihan yang ketiga saat ini.

            “ Fana kau ada kat mana? Jom tengok wayang aku belanja,” ujarku kepada Fana rakan baik yang aku kenali dari sekolah tadika lagi.

            “Ok. Aku tunggu kau dekat depan wayang ni. Jangan lambat sangat tau!” Aku menamatkan talian.

            Adli entah kemana menghilang setelah terjadinya pertengkaran kecil tadi. Setelah menghadiahkannya sebuah cubitan kecil di lengan terus dia bangun dan beredar tanpa mempedulikan launganku. Hati manalah yang tidak berasa sakit jika sudah hampir empat tahun menyulam cinta tetapi apabila aku mengajaknya bertunang dia tidak mahu pula.

            Walaupun dia hanya lepasan diploma sahaja tetapi bagi kami yang berasal dari keluarga sederhana, pekerjaan Adli sekarang sudah cukup bagus. Gaji mencecah RM6000 sebulan dengan hanya menjadi juruteknik mesin di sebuah kilang. Kereta pun baru dibelinya tiga bulan yang lalu. Jadi pada pendapat aku, memang tidak ada silap dan salah jika kami bertunang sebelum aku melanjutkan pelajaran ke salah sebuah universiti di utara tanah air. Bukan nak kahwin terus pun kan? Aku sudah berkira-kira mungkin kalau tidak tunggu habis belajar, aku setuju berkahwin pada tahun akhir semasa di universiti kelak. Namun itu cuma  tinggal angan-angan semata sekarang ini apabila mentah-mentah cadangan aku ditolak oleh lelaki itu.

            “Hoi!” Satu sergahan mengejutkan aku dari lamunan.

            “Eh, mak kau!” Aku seperti mahu melompat mendengar sergahan yang datangnya dari arah belakangku. Terus aku menoleh sepantas kilat. Terlihat Fana berdiri tegak dengan sengihan lebar di bibir.

            “Lain kali bagi lah salam. Bukan main sergah sahaja makcik. Aku sudahlah tengah frust ni…” Layu sahaja suaraku ketika ini. Fana sememangnya selalu cepat sahaja sampai ke pusat membeli belah ini kerana taman perumahannya betul-betul berada di belakang kompleks tersebut. Jadi tidak susah untuk aku mengajak dia menjadi teman pengganti untuk menonton wayang.

            “Ok, ok…sorry lah makcik. Aku tak sengaja. He he he!” Fana menyeringai sambil tergelak kecil. Dia melabuhkan punggung disebelahku sambil meletakkan beg diatas ribanya. Kemudian dia menoleh kepadaku dengan mata yang penuh tanda tanya.

            “Apa hal pula makcik nak sedih-sedih ni ha? Bukan tadi mesej kata mahu dating dengan buah hati ke? Nak melamar buah hati awak tu kan?” Fana menyoal sudah seperti polis pencen lagaknya. Aku menghembus nafas berat. Sesak dada mungkin kerana kecewa akibat ditolak permintaanku tadi atau aku bingung tentang status hubungan aku dengan Adli ketika ini.

Aku tarik nafas dalam-dalam. Membetulkan duduk untuk menghadap Fana yang kulihat seperti tidak sabar untuk mendapatkan jawapan.

“Dia dah tolak aku.” Aku menelan liur perlahan. Mata terus kularikan ke lantai. Menyembunyikan perasaan yang kecewa mungkin. Terlihat ada sedikit air jernih yang bertakung di kelopak mata. Namun aku sedaya upaya menahannya agar tidak berjuraian membasahi pipi.

Membuntang mata Fana melihatku. Terkejut beruk agaknya dia. Mana tidaknya, aku dan Adli ibarat merpati dua sejoli dan merupakan pasangan paling popular dikalangan kawan-kawan. Sejak aku di tingkatan empat lagi kami memadu kasih dan mampu bertahan sehingga kini walaupun kebanyakan kawan-kawan lain sudah beberapa kali bertukar pasangan.

            “Eh, kau ni biar betul!! Nak buat apa pula si Adli tolak kau? Bercinta sampai empat tahun kut…sentiasa ada depan mata…hendak kata dia ada orang lain lagi lah merepek!” Selamba sahaja Fana memetir di tepi telinga aku ini. Berdesing lah makcik! Aku dengan Fana dari dulu lagi memanggil gelaran makcik sesama sendiri. Alasan kukuh memang tidak ada dan tidak pula kami ambil peduli. Cuma lebih selesa dan santai kut gamaknya. Penting ke? Arghhh…saat ini hal aku dengan Adli lebih penting dari semuanya. Dua minggu lagi aku dah pun diminta mendaftar diri di Universiti Utara Malaysia dan itu bererti aku perlu meninggalkan bumi selatan yang sangat aku cintai ini.

            Aku mengeluh lagi. Lemah dan layu. “Entahlah Fana. Aku serius tak boleh blah dengan alasan dia. Adli kata belum bersedialah…muda lagilah…tak terfikir lagilah…habis tu yang dia bercinta bagai nak rak dengan aku sampai bertahun-tahun buat apa? Umur tiga puluh baru nak kahwin agaknya kut…” Aku mula membebel melepaskan rasa di jiwa. Walaupun aku bukan jenis yang suka membebel tapi mungkin penangan ditolak mentah-mentah oleh Adli tadi membuatkan wayar otak aku sedikit bergegar. Itu yang lain jadinya. Alah, usah mengada sangat lah Aida Nasuha. Umur baru dua puluh tahun dah pandai nak melamar anak teruna orang bertunang. He he he….


“Bangun pagi, gosok gigi…cuci muka dan mandi…bangun pagi minum kopi, rasa enak sekali!” Nyaring suaraku menyanyi-nyanyi di dalam bilik air.

            “Bertuah punya budak, cepat lah sikit mandi tu! Tak payah nak bersiram pun pakai muzik segala. Lambat kita nanti, bising ayah kamu tu,” Mak telah melancarkan serangan pagi kepadaku. Alah biasalah namanya pun mak…ada ke dalam dunia ini mak yang tidak suka melakukan serangan mulut kepada anaknya? Kalau ada boleh juga aku memohon untuk jadi anak angkat dia. Hati aku berbisik nakal.

            Setelah siap berdandan dan bersarapan, aku mengangkut sendiri beg-beg besar yang berada dimuka pintu ke dalam bonet kereta. Banyak juga barang yang aku bawa. Lagak macam sudah tidak mahu pulang ke rumah sahaja. Kesekian kalinya lagi kau over lah Aida Nasuha. Pergi belajar sahaja pun, bukan hendak pindah rumah mertua!

            Mata aku buka perlahan. Aku tenyeh-tenyeh dengan jari agar lebih jelas pandanganku ini. Mana tidaknya tidur macam orang penat baru balik berperang. Padahal buat kerja berat pun tidak pernah aku sentuh. Aku membetulkan duduk dan lengan baju kurung merah jambu yang kupakai dibetulkan sedikit dibahagian bahu. Habis renyuk baju kurung dibuat bantai tidur tidak sedar diri semasa dalam perjalanan tadi.

            Aku mengambil fail yang terselit dibahagian belakang kerusi tempat duduk hadapan. Perlahan aku membuka pintu kereta dan melangkah keluar dengan rasa berat hati. Mak dan ayah serta Aini Nazihah satu-satunya adik yang aku ada dalam dunia ini sudah berdiri terpacak sambil memerhatikan aku dari tadi. Pelik semacam sahaja pandangan mereka.

            “Pergilah daftar dulu di khemah sana tu. Ayah dengan mak nak masuk ke dalam dewan sebelah kiri ini sebab tadi mereka minta ibu bapa mendengar taklimat ringkas. Sudah dapat kunci bilik nanti masuklah dulu dengan Aini. Kemudian kami menyusul.” Ayat ayah yang teratur dan tenang itu aku amati satu persatu agar dapat diproses dengan baik oleh otak orang yang baru bangun dari tidur. Kemudian lambat-lambat kepalaku mengangguk tanda faham dengan arahan ayah.

            Setelah selesai proses pendaftaran, aku akhirnya naik ke bilik yang berada di tingkat atas bangunan bersebelahan dengan khemah pendaftaran tadi. Erm, not bad juga bilik ini. Setiap bilik adalah untuk dua orang pelajar. Namun masih belum kelihatan lagi teman sebilik yang bakal berkongsi bilik ini bersama aku. Harap-harap dapat teman yang sekepala. Berasal daripada negeri mana pun aku tidak kisah asalkan orangnya baik.

            “Apalah akak ini, mak dengan ayah tadi siap borak lama dekat luar. Pergi dapatkan maklumat apa yang perlu dilakukan sebelum mereka balik tinggalkan akak kat sini. Tapi akak tidur tak bangun-bangun. Orang lain semua excited masuk U, akak buat selamba badak jek!”

            Aku buat muka selamba sahaja tanpa perasaan. Beg-beg baju yang kubawa naik tadi aku buka. Selepas mengeluarkan cadar dan sarung bantal, aku pakaikan pula ke katil dan bantal yang sudah tersedia. Aini hanya duduk di meja belajar tanpa ada tanda-tanda mahu membantu. Mungkin tidak puas hati kerana aku buat tidak tahu sahaja apa yang dikatakannya sebentar tadi.

            “Tolonglah sikit. Datang semata-mata nak hantar akak baik tak payah.” Aku menjeling tajam kearahnya. Dia bingkas bangun dan mengambil baju-baju di dalam beg untuk digantung kedalam almari sederhana besar yang terdapat di hujung katil. Bilik ini menempatkan dua katil bujang, dua almari kayu, dua meja belajar serta satu telefon yang perlu menggunakan kad prabayar untuk menggunakannya. Selain langsir yang tebal seperti bilik hotel yang membolehkan aku tidur tanpa mengetahui matahari telah tinggi di langit, nampaknya tiada apa lagi yang menarik dengan cat putih semata-mata. Tiada variasi langsung.

            “Akak ni kenapa? Lain macam sahaja sejak kebelakangan ini…” Aini bertanya perlahan. Tangannya masih ligat mengemas baju-baju yang berbaki sedikit sahaja lagi untuk digantung. Bagus! Adik aku memang rajin dua kali ganda dari kakaknya.

            Aku duduk di atas katil sambil memerhatikan pergerakannya. Mata Aini sekejap memandang ke arah kerja yang sedang dilakukan, sekejap menoleh kearahku pula menanti jawapan.

            “Akak dah clash dengan Adli.” Jawabku ringkas. Kemudian aku berbaring sambil mata meneliti setiap penjuru bilik ini. Nasib bilik ini bersih kalau tidak…aku ni sudahlah cerewet bab-bab kebersihan walaupun malas. Tapi semua benda perlulah bersih. Tinggal dengan mak bolehlah Aida Nasuha oi! Tinggal sendiri mulai hari ini mampukah kau menjadi si cerewet sangat pembersih lagi? Otak aku ke lain pula lari topik.

            “Hah?!” Aini menutup mulutnya yang terlampau terkejut lantas duduk di birai katil memandang aku dengan muka yang berkerut.

            “Kenapa pula ni? Dah empat tahun couple takkan lah senang-senang sahaja hendak putus. Akak nak cari lain dekat U ni ke?” Soal Aini sambil menaikkan keningnya.

            “Akak cakap kat Adli, kalau tidak mahu bertunang kita putus saja. Alah, kalau betul-betul sayangkan akak kenapa pula dia nak menolak kan? Patutnya dia lega sebab akak minta bertunang sebelum berjauhan lama dengan dia. Ini tidak, macam-macam pula alasan dia bagi. Baik putus sajalah malas hendak sakit hati.” Aku menjawab sambil mendongak menatap syiling. Cuba mencari ketenangan mungkin daripada syiling putih bersih yang tiada sedikit pun sawang.

Aini mengeluh perlahan. Dia memang jarang sekali ingin menasihati aku mungkin kerana hormat atau takut aku akan berkecil hati. Maklumlah walaupun aku kakak kepada dia tetapi aku lebih kuat merajuk berbanding dia. Silap cakap sikit mulalah aku merajuk mogok tidak mahu bercakap dengan dia mahupun mak yang sering menjadi mangsa. Ayah lainlah sebab dia sibuk bekerja dan tidak banyak masa dirumah.

            Lambat-lambat dia membuka mulut. “Aini rasa Abang Adli tu nak bantu keluarga dia dulu baru fikir soal kahwin. Dia pun bukan orang senang. Adik beradik ramai kan…akak janganlah terburu-buru buat keputusan sendiri sahaja. Kesian dia tau.” Satu keluhan kecil terlepas dari mulutnya.

            Aku tersenyum sumbing mendengar nasihat adik yang enam tahun lebih muda daripada aku itu. “Yelah, kita ni sahaja yang selalu salah. Dia pun tidak patut buat keputusan terburu-buru tolak permintaan akak hari itu. Sekarang ini, rasakan! Langsung tidak mahu fikir perasaan orang. Akak cuma nak bertunang sahaja dulu, bukan kahwin terus lah.” Luahku dengan rasa tidak puas hati.

Kecil hati yang dirasakan sejak kejadian itu usah diceritakan lagi. Sampai semua panggilan dan mesej daripadanya langsung aku tidak peduli. Dia datang sehari sebelum kami berangkat ke sini pun aku tidak mahu keluar bilik. Mak sahaja yang layankan dia duduk diruang tamu. Sudahnya hanya titipan patung beruang besar berwarna coklat yang aku terima apabila mak memberikannya kepadaku selepas Adli pulang. Sekeping kad yang bercorak hati diselitkan pada ketiak patung beruang besar itu. Masih terbayang kata-kata yang tertera diatas kad tersebut walaupun hati sebenarnya benci tapi rindu ini. Mana tidaknya, aku belum pernah berjauhan dengan dia selama tempoh empat tahun kami bercinta.

Walau apa pun jadi, saya tetap sayang awak. Belajar rajin-rajin dan pulang dengan segulung ijazah. Saya tunggu awak ye sayang.
LOTS OF LOVE,
-Adli-

Pintu bilik yang terkuak dari luar membuatkan aku bingkas bangun dan membetulkan baju kurung di badan.

“Assalamualaikum,” ujar seorang gadis yang manis bertudung. Huluran salamnya aku sambut dengan senyuman.

“Waalaikumsalam. Saya Aida Nasuha. Panggil Aida sahaja boleh. Ini adik saya Aini Nazihah.” Aku memperkenalkan diri kepadanya lantas menoleh sekilas kepada Aini yang baru ingin bersalam dengan gadis tersebut. Dari raut wajahnya dapat kuteka yang umur kami lebih kurang sebaya.

“Oh, saya Ermalina. Panggil Ema sahaja ye…Nampaknya kita akan jadi teman sebilik untuk tempoh empat tahun akan datang. He he he! Selamat berkenalan roommate,” ujar gadis itu sambil meletakkan fail diatas meja belajar miliknya. Beg-beg besar yang berada di luar pintu pula ditariknya masuk kedalam. Aku dan Aini turut sama membantu menolak beg tersebut yang kelihatan sarat dan berat. Macam tidak bergerak sahaja masa gadis itu menariknya. Kurus sangat kut fikirku.

Oleh kerana barang-barangku telah siap dikemas bersama Aini tadi, kami hanya duduk berbual kosong bersama dengan Ema sambil memerhatikan dia mengemas pula. Sementara menunggu kedatangan ibu bapa kami yang sedang mendengar taklimat ringkas katanya tadi. Tapi aku rasa sudah tidak seringkas mana kerana sampai sekarang mereka masih belum muncul walaupun sudah hampir dua jam aku menjadi penghuni bilik baruku ini.

Setengah jam kemudian ibu bapa masing-masing sudah kedengaran riuh rendah bersembang sesama mereka. Bertanya itu ini serta bermacam pesanan serta nasihat yang diberikan kepada kami. Baik mak dan ayahku, begitu juga dengan mama serta abah kepada Ema. Sama naiknya dalam menghitung berapa bakul lagi pesanan yang mahu diberikan. Adoi…Saya sudah dua puluh tahun okey! Berlagak dewasa lah kau ni Aida Nasuha, kena tinggal hidup berdikari nanti jangan nak menangis dan homesick pula ye.

Penat menadah telinga dan lenguh mulut tersenyum manis sambil kepala mengangguk-angguk dihadapan mak dan ayah tadi, akhirnya tiba masa untuk berehat dengan tenang. Setelah menghantar mereka ke kereta tadi, ayah memberikan duit belanja bulanan sebanyak seribu ringgit. Memang kami bukan keluarga yang kaya raya tapi oleh kerana kami hanya berdua beradik sahaja, semua keperluan dan kehendak kami jarang ditolak. Semuanya mencukupi dan berlebih-lebih bagiku mungkin berbeza jika kami mempunyai adik beradik yang ramai seperti orang lain. Oleh kerana baru lagi disini, aku minta duit cash sahaja dengan alasan malas hendak pergi ke mesin ATM untuk mengeluarkan duit apabila perlu. Apa punya alasan lah kan? Hilang duit sebanyak itu tidak disimpan didalam bank tidak ke teraniaya aku?

Sendu juga perasaan ini semasa bersalaman dan berpeluk dengan mak, ayah dan Aini tadi. Ini kali pertama aku berjauhan dengan keluarga dan tentunya mereka agak risau kalau-kalau aku tidak betah tinggal disini. Tetapi aku sebenarnya jenis hati yang kental walaupun luaran nampak macam gadis ayu lemah lembut. Airmata memang mudah mengalir tetapi hati aku sukar untuk berputus asa. Oleh itu aku yakin mampu berdikari tinggal di universiti idamanku ini. Termakbul juga doa aku untuk diterima belajar disini mengambil jurusan yang sangat aku minati sejak kecil iaitu Sains Kaunseling. Ilmu yang melibatkan emosi, tindakan dan perhubungan dalam kemanusiaan  ini memang menarik untuk diterokai dengan lebih mendalam.
“Aida, awak budak dip ke STPM?” Soal Ema tiba-tiba memecah lamunanku.

Aku menoleh kearahnya sambil tersenyum. “Aida budak STPM, dapat masuk U pun umur sudah dua puluh tahun. Untung kalau budak matrikulasi umur sembilan belas dah dapat sambung degree kan?” Ujarku penuh hemah.

Ema mengangguk-anggukkan kepalanya macam burung belatuk sedang mematuk batang pokok. “Betul lah tu Aida. Ema pun budak STPM jugak. Jadi kita sebaya nampaknya…ambil bidang apa?” Ema menyoal balas.

“Sains Kaunseling, Fakulti Pembangunan dan Sosial Manusia,” Aku menjawab yakin kerana rasanya aku sudah hafal nama fakulti yang akan aku bernaung semasa membaca surat tawaran kemasukan ke universiti tiga minggu sudah.

“Eh! Best lah fakulti kita sama! Boleh pergi sama-sama nanti bila dah start kuliah. Saya ambil bidang Pendidikan Moral dan minor Bahasa Malaysia.” Ema tersenyum senang. Nampaknya kami ada keserasian dan tanggapan pertamaku pada Ema, dia okey. Aku suka berkawan dengannya.

“Oh…bakal cikgu lah ni ye Cikgu Ema?” Aku mengusiknya. Dia tersenyum simpul.

“Lambat lagilah Aida. Empat tahun akan datang…”Kata Ema lagi sambil memandangku.

“Aida orang Johor. Nun jauh diselatan tanah air. Jauhnya nanti cuti nak balik kampung naik bas.” Keluhku berat. Itu antara perkara yang aku paling runsing sebab tentunya aku belum pernah naik bas berjam-jam lamanya. Apatah lagi seorang diri pula nanti. Kadang-kadang nasib tidak baik aku akan mabuk apabila berjalan jauh. Dalam masa empat tahun belajar disini berapa puluh kali agaknya aku akan melalui pengalaman itu apabila naik bas?

Ema senyum sumbing macam kambing tertelan bunga ros. “Ema orang Perak. Tak lah jauh sangat dari sini. Tiga hingga empat jam rasanya kalau naik bas kut! Ema harap tak mabuklah naik bas nanti sebab tak pernah naik bas ekspres!”

Akhirnya kami sama-sama ketawa. Selain perasaan lucu mendengar luahan Ema tadi, rasa gembira dapat bergelar mahasiswi tetap ada. Malah bangga kerana ayah dan mak sangat bersyukur aku dapat melanjutkan pelajaran sampai ke peringkat Ijazah Sarjana Muda walaupun aku jenis malas belajar. Eh! Cikgu kata aku malas tapi bijak okey! Okey, okey teruskanlah dengan sikap itu Aida Nasuha oi….

6 comments:

Maira Hawani said...

done follow you kakak ! follow me back keyh ! nice blog and that story too.. :D this is my blog link and dont forget to become my follower taw :) http://aydaapanda.blogspot.com

Unknown said...

nice lahh
baru abis baca bab satuu
masih byk lagi BIP yg akan dibaca :)

khadijah said...

huhuh..nice intro..akak sue..mcm mna nk wat intro novel ke cerpen...huhuhu....sya teringin nk wat..tp xtau nk start mcm mna....heheh

khadijah said...

couplenye lama2 pown xkawin lagi..huhuhu..kalo saya seksa..hehhe...kalo sya xnk couple..trus kawin..hahhahahah

dee said...

best...boleh follow blog ni.. :)

cikyan said...

lama tak baca penulisan akak rindu !