Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Friday, September 21, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 18


          Aku memerhati sekeliling sebelum cepat-cepat keluar dari perut kereta. Aku menekan punat kunci dan melangkah laju menuju ke dewan kuliah. Apabila aku masuk sahaja ke dalam dewan sudah kelihatan Akma dan Wawa melambai-lambaikan tangan kearahku. Langkah kakiku atur menghampiri mereka yang tersenyum manis di pagi hari.

            “Kenapa muka kau semacam aje aku tengok?” Akma memegang kedua-dua pipi aku dan dibelek kiri dan kanan.

            Aku menepis lembut. Buku tebal yang aku pegang tadi aku letakkan di atas meja. Kemudian aku terus duduk dan meletakkan beg tangan di atas riba. Kertas A4 aku keluarkan dan juga sebatang pen dari dalam beg tanganku. Aku mengibaskan tangan ke muka. Terasa berbahang muka aku sejak dari dalam kereta tadi.

            “Kenapa dengan kau ni? Gelabah semacam aje.” Akma masih tidak puas hati dan bertanya buat kali kedua.

            “En.Suami nampak kereta aku kat FSKP. Masa tu aku turunkan Ema sebab dia ada kelas kat sana. Lepas ternampak kereta Hadif, aku terus pecut. Tapi dia ikut belakang kereta aku.” Aku menceritakan kejadian yang berlaku sewaktu dalam perjalanan tadi.

            Aku menjilat bibir yang terasa kering tidak berdarah. Lidah aku yang termakan lipstick juga tidak terasa. Wawa menghulurkan tisu kepadaku kemudian aku lap sedikit di bahagian dahi. Memang aku berpeluh  kerana berjalan laju masuk ke dalam dewan. Takut sangat aku kalau terserempak dengan Hadif.

            “Identiti dah terbongkarlah ni?” Soal Wawa sedikit kuat menyebabkan ada mata-mata yang mula memandang.

            “Belum lagi. Aku sempat lepas traffic light depan DKG 2. Dia sangkut…” Aku berbisik perlahan. Tidak mahu menjadi perhatian dan perbualan kami didengari oleh pelajar lain.

            “Selamat…” Akma dan Wawa berkata hampir serentak sambil mengurut dada masing-masing. Kemudian kami bertiga ketawa sambil menutup mulut. Tidak mahu dikatakan sengaja membuat bising.

            “Dr. Azniza dah sampai…Syyy…” Kedengaran beberapa orang pelajar di kerusi belakang berkata.

            Kami turut membetulkan duduk dan bersedia untuk memulakan kuliah pada pagi ini. Walau apa pun masalah yang melanda, kau kena fokus Aida. Belajar tetap belajar, desis hatiku. Sejak bergelar isteri aku perlu memotivasikan diri setiap hari. Masalah yang dihadapi berkali ganda berbanding zaman solo. Itu belum dihitung dosa aku menipu mak, ayah, papa dan mama apabila ditanya tentang perkembangan aku dan Hadif. Jangan lupa Aida, hitung sekali dosa kau menipu suami!



“Okey class, jumpa lagi minggu depan! Saya nak minggu depan kamu semua dah dapat kumpulan masing-masing.” Laung Dr.Azniza lantang. Dr.Azniza tidak gemar memakai pembesar suara semasa mengajar di dalam dewan. Tidak seperti pensyarah lain yang lebih selesa menggunakan pembesar suara agar tidak perlu bercakap kuat. Tekak dia kebal kut.

            Kami berjalan keluar bersama pelajar lain. Berpusu-pusu untuk melepasi pintu dewan sehingga aku tidak sengaja terlanggar seseorang.

            “Eh, sorry. Sorry!” Aku menoleh kearah tuan punya badan yang aku langgar tadi.

            “Tak apalah Aida. Kau langgar selalu lagi aku suka.” Faiz tersenyum nakal memandang aku atas bawah.

            Aku membulatkan mata yang sememangnya kecil dan sepet. “Gatal betullah.” Aku mencebikkan bibir.

 Kemudian aku membetulkan sedikit baju kemeja yang berada di badan. Nasib baik tak renyuk. Aku memang tak suka pakai baju yang dah renyuk. Lebih rela balik bilik untuk menukar baju untuk menghadiri kuliah seterusnya.

Akma dan Wawa hanya tersenyum melihat aksi aku dengan Faiz. Kemudian mereka meminta diri untuk ke tandas. Nak tambah bedak dimukalah tu.

“Gatal sikit pun tak boleh. Yelah orang dah kahwin kan…” Kata-kata Faiz membuatkan darah aku kering! Seperti baru dihisap oleh hantu. Macam mana Faiz boleh tahu?

“A…Apa…kau cakap ni Faiz?” Suara aku sedikit gagap. Ah, sudah! Sejak bila aku jadi si cantik yang gagap ni.

Faiz ketawa mengekek. Membuatkan aku bertambah bingung. Aku memandang dia tidak berkelip seperti takut dia hilang walau sesaat aku memejamkan mata. Aku mahu tahu jawapan dari mulutnya secepat mungkin.

“Aku gurau-gurau ajelah. Siapa yang kahwin sampai kau pun sibuk pakai inai segala bagai ni?” Faiz menjuihkan bibir melihat inai yang masih mekar merah di jari-jemariku.

Aku turut memandang jemariku yang masih cantik berinai. Merah terang. Cuma kesan henna yang diukir sahaja sudah lama hilang. Seingat aku semasa aku menumpang dirumah Wawa lagi henna tersebut mulai pudar dan lama-kelamaan terus hilang. Bertahan dalam seminggu lebih aje.

“Oh, sepupu aku kahwin masa cuti penggal tempoh hari. Aku teringin nak pakai.” Jawabku acuh tidak acuh. Tak larat rasanya hidup dalam penipuan. Menjadi seorang penipu setiap hari dan sakit otak memikirkan bahan untuk menipu!

“Nasib baik. Kalau kau yang kahwin punahlah harapan aku.” Faiz masih galak mengusik aku.

Bukan harapan kau aje yang punah Faiz. Tetapi harapan semua jejaka semalaya yang pasti punah kerana gadis secantik aku telah berkahwin pada usia dua puluh satu tahun. Puihhh! Loya tekaklah Aida Nasuha, oi! Perasan tahan gaban.

Aku tersengih kerana otak aku yang jauh menyimpang. Berfikir yang tidak-tidak. “Takkan muda-muda dah kahwin. Tak rock lah!” Aku menunjukkan tanda jari yang sering dilakukan oleh artis-artis rock apabila mereka membuat persembahan.

“Eh, aku nak tanya siapa nama kawan sebilik kau tu?” Tiba-tiba aku menyambung kata. Bertanya soalan yang sekian lama aku pendam. Padahal aku dah tahu siapa dia. Dia suami aku!

“Hadif.” Jawab Faiz sepatah sambil mengusap dagu perlahan-lahan.

“Kau suka dia eh? Alah…tak ada chance lah aku…” Belum sempat Faiz menghabiskan ayatnya aku segera memotong.

“Tak…aku rasa aku macam nampak dia masa kenduri kahwin sepupu aku. Siapa nama penuh dia? Mana tahu rupa-rupanya saudara aku ke, bau-bau bacang dengan aku ke.” Sudah, sudahlah tu menipu Aida Nasuha. Tak takut dosa ke? Aku menelan liur yang terasa pahit. Tak ada pilihan lain lagi buat masa ini. Sabarlah wahai hati.

“Muhammad Hadif Rizqie Bin Datok Musa. Anak datok dah tentu ramai peminat. Tapi sayangnya dia tak pandang pun awek-awek kat sini sebab dia dah ada pujaan hati. Mereka dah lima tahun bercinta.” Terang Faiz dengan jelas.

Pang!!! Ibarat terkena tamparan yang hebat aku rasa mahu terduduk di atas lantai saat ini. Suami aku dah ada pujaan hati rupanya. Ya, Allah….apa aku nak buat sekarang….

“Kau okey ke ni Aida?” Faiz memagut lembut lenganku melihatkan aku tiba-tiba jadi tidak bermaya.

“Aku nak balik dulu. Ada hal. Jumpa lagi Faiz.” Aku menjawab lemah dan terus berlalu menuju ke kereta. Faiz hanya terkulat-kulat memandang aku tanpa sempat berkata apa-apa.

Dari jauh aku lihat ada seseorang sedang berdiri di pintu keretaku. Sempat lagi ni kalau aku patah balik. Aku terus berpusing ingin menuju ke arah lain sebelum lelaki itu terpandang aku disini.

“Tunggu!” Suara itu. Suara keramat yang mengucapkan ijab berwali, izin bersaksi untuk menikahi aku.

Dada aku berombak kencang. Air mata seperti tidak dapat ditahan lagi. Aku terlalu rapuh tanpa mak sebagai tempat mengadu. Semuanya perlu dirahsiakan daripada pengetahuan mak semenjak aku menjadi isteri Hadif. Langkah kakiku terpaku.

“Eh, kenapa awak menangis ni?” Lembut suara itu menyapa telinga. Lunak.

Aku menoleh sekilas sebelum menyeka air mata dengan belakang tangan.

“Bukan urusan awak.” Jawabku dingin. Tidak mahu memandang wajahnya.

“Maaf. Tapi kalau awak ingat saya marah sebab awak selalu pinjam kereta Aida, saya betul-betul minta maaf. Terpulanglah pada Aida dia nak buat apa. Saya tak kisah pun.” Pujuk lelaki yang bernama Hadif ini. Adakah kau akan baik seperti ini jika kau tahu akulah isterimu?

“Awak memang tak kisahkan Aida pun!” Aku membalas geram. Erk! Terlepas cakap. Tak payah emosi sangat nanti terbongkar rahsia.

Hadif ternyata terkejut. “Er…itu urusan saya dengan dia. Urusan suami isteri.” Hadif tersengih sumbing. Serba salah barangkali.

“Maaf. Sebenarnya Aida tak pandai memandu. Sebab tu saya selalu tolong bawa dia kemana-mana.” Aku menghalakan pandangan ke hadapan. Mata ini. Jangan kau kenal dengan mata ini. Semuanya terletak pada kau wahai mata.

“Biar betul?!” Hadif terasa seperti mahu melompat.

“Betul.” Jawabku lagi. Cuba yakinkan lelaki ini.

“Tapi kenapa saya tak pernah nampak pun awak dengan dia? Mana dia? Padahal nak cari perempuan pakai purdah dalam kampus ni punyalah susah. Jarang nampak dia.” Hadif menyoal pelik.

Aku terasa seperti hendak tergelak. Namun cuba kutahan semampu yang boleh. Kesian Hadif. Pandai macam mana pun kau boleh terpedaya juga. Yelah, mama pernah cerita yang Hadif setiap semester dapat anugerah dekan. Bukan seperti aku yang selama tiga semester cuma pernah dapat sekali sahaja. Tetapi itu tidak pernah mematahkan semangat aku untuk berusaha lebih keras pada semester yang akan datang.

“Ye ke? Awak datang tak tepat waktu agaknya. Kalau bernasib baik nanti, jumpalah tu.” Aku tersenyum cuba memaniskan wajah.

Entah mengapa perasaan kecewa tadi hilang dibawa angin lalu setelah melihat Hadif di hadapan mata. Malah dapat berbual elok-elok begini tanpa perlu bertekak dan marah-marah juga membuatkan hati aku seperti berbunga riang. Mungkin aura seorang suami itu mempunyai kuasanya yang tersendiri.

“Ha, senyum macam ni kan manis.” Aduhai, boleh awak ulang ayat itu sekali lagi tak?

Aku makin tersenyum lebar. “Saya balik dululah ye.”

Tanpa menunggu jawapan daripada Hadif aku terus melangkah semula menuju ke arah keretaku. Punat kunci aku tekan. Tangan aku membuka pintu kereta.

“Siapa nama awak?” Hadif mula merapatiku semula.

Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Idea, keluar kau sekarang!

“Jangan salah faham. Just in case…awak kawan baik Aida kan…” Hadif bersuara lambat-lambat seperti sedang menyusun ayat seterusnya.

“Suha. Just call me Suha. Ada apa-apa tentang awak dan Aida boleh melalui saya. Mana tahu nak minta saya hantar dia kemana-mana.” Aku menjawab pantas. Tidak betah berlama-lama lagi disitu. Makin banyak menipu makin mudah aku ‘ditangkap’ nanti. Sesungguhnya aku seorang penipu yang teruk.

Hadif menganggukkan kepalanya beberapa kali. Kemudian melambai tangan setelah aku masuk ke dalam perut kereta. Aku membalas lambaiannya dengan senyuman tidak lekang di bibir. Sukanya aku dengan Hadif versi ini. Berbeza dengan versi apabila dia bercakap dengan Aida, isterinya.

Itu memang niat aku pada asalnya. Aku mahu mengenali dia bukan sebagai isterinya. Aku juga mahu dia mengenali dan menilai aku bukan kerana dia adalah seorang suami yang terpaksa menikahi aku. Mungkin kami boleh saling mengenali sebagai seorang kawan. Apa salahnya? Aku sama sekali tidak kisah. Pada pandangan aku itu lebih baik daripada terpaksa menerima seseorang secara mendadak yang masuk ke dalam kehidupan kita. Perasaan yang semakin berbunga membuatkan aku mahu segera malam datang menjengah. 

Aku mahu tidur dan mimpi yang indah-indah. =)


7 comments:

Unknown said...

BESTNYER... tapi betul ke gf Hadif tu tak kisah Hadif kahwin...

Shizukaz Sue said...

perempuan mana yg x kisah kan? hihi lebih2 lagi dah bertahun cintan cinton...ahaks =)

Yin Areesa said...

lima tahun tu, bukannya 5 hari atau 5 bulan.

Shizukaz Sue said...

Tula pasal..argh, tak suka mencipta watak antagonis..tetapi ia tetap diperlukan..kuang2x

kak ida said...

pergh..rasa kesian pulak kan kat Hadiff..mungkin dia tak masuk kelas kerana menunggu isterinya yg tidak pernah dikenali semenjak dia menghantarnya ke kolej ..mungkin perasaan bersalah dan ingin mengenali isterinya membawanya kesitu..dan akak dapat rasakan yg Hadiff agak kecewa kerana tidak dapat bersemuka dengan isterinya kan..Mungkin Hadiff ingin memulakan perhubungannya dengan isterinya dan kemungkinan GFnya dah terkantoi menyebabkan hatinya mula berubah arah kot..tu yg beria ia nak jumpa dan berkenalan dengan gadis yg telah menjadi pendampingnya didunia dan akhirat..
Hopefully mereka ni akan kekal menjadi sepasang suami isteri yg kekal sehingga hayat mereka dikandung badan..

Unknown said...

erm baik pulak hadiff nih..
tak tahu tu lah bini dia..
padan muka hadiff kene tipu..hehe

Anonymous said...

comel je time hadif pujuk jgn ngs tu, alangkah indah kalau dia tahu itu isteri dia kan :)