Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, August 30, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 2


           “Asmara!” Laungan Cikgu Sharifudin dari muka pintu kelas membuatkan suara yang riuh-rendah menjadi senyap seketika.

            “Ye!” Aku dan Asmara berkata hampir serentak. Aduh, kenapalah tindakan refleks aku ni cepat sangat? Mungkin kerana aku telah terbiasa sejak di sekolah rendah lagi, hanya aku mempunyai nama sebegini. Tiada yang seakan-akan atau seiras-iras jauh sekali hampir-hampir!

            “Cikgu panggil akulah. Asmara, bukan Asmira.” Asmara bingkas bangun sambil mencebikkan bibir memandang aku. Alah, itu pun nak berlagak semacam. Aku ini manusia biasa aje, bila-bila masa boleh tersilap.

            Aku hanya memandang sekilas kemudian menyambung borak bersama teman-teman yang lain. Usai Asmara dan Cikgu Sharifudin keluar dari kelas untuk berbicara, suasana kembali riuh seperti sebentar tadi. Begitulah selalunya yang terjadi apabila tiada cikgu yang masuk ke dalam kelas tingkatan enam Dahlia ini. Aku ingatkan apabila berada di tingkatan enam atau nama glamour nya kelas pra-U, semua pelajar akan bersikap matang. Ternyata hampeh, kelas ini tidak banyak bezanya dengan kelas di sekolah rendah. Selain bising dan riuh-rendah, sikap para pelajar kebanyakannya masih kebudak-budakan. Boleh dihitung dengan jari berapa kerat sangatlah pelajar di dalam kelas aku yang bersikap sewajarnya seperti budak lapan belas tahun.

            “Aku rasa, kau tukar panggilan nama ajelah Asmira.” Nina menyiku lenganku yang asyik bercerita tentang filem yang aku tonton semalam bersama daddy.

            Aku terdiam seketika sebelum membuka mulut. “Apa kau merepek Nina? Aku tengah cerita hal lain, kau cakap hal lain.” Tempelakku pula. Nina ni suka betul lari topik. Kacau aje mood aku nak bercerita lebih lanjut.

            “Yelah, Asmira dengan Asmara kan dekat bunyinya. Kalau panggil masa sunyi sepi bolehlah dengar jelas. Kalau dalam kelas macam ni, selalu aje tersilap dengar. Aku pun kadang-kadang confius cikgu sebut nama kau ke nama si macho tu.” Fikah pula menyokong cadangan Nina yang membuatkan aku semakin keliru.

            Aku mengangkat tangan separas bahu dan menggelengkan kepala. “Serius aku tak faham apa kau orang cakap ni. Nama aku kan Asmira Mohamad. Nak tukar panggilan nama macam mana lagi?” Soalku tidak berpuas hati dengan cadangan mereka.

            Laila sahabat karibku memerhati dengan riak sedikit cemas. Laila pasti tahu aku boleh naik angin apabila perihal nama ini disebut-sebut. Hanya Laila seorang sahaja dalam dunia ini yang tahu kisah sebenar dalam hidup aku. Malah daddy langsung tidak tahu-menahu bahawa aku telah menemui dan membaca diari lamanya. Selama ini daddy fikirkan aku tidak suka pada nama Deandra kerana aku mahu menjadi anak melayu sejati seperti dia. Tidak mahu nampak berbeza dari teman-teman yang mempunyai nama Melayu asli.

            “Hari tu aku pergi bilik guru untuk letak MC dalam buku kedatangan pelajar atas meja Cikgu Sharifudin. Masa aku buka buku tu, aku terbaca nama sebenar kau Deandra Asmira Mohamad. Betul tak? Kenapa kau tak pernah bagitahu pun?” Nina menyoal sambil mengerutkan keningnya.

            Ah, masak aku! Bercampur-gaul dengan pelajar yang datang dari pelbagai sekolah membuatkan aku terpaksa melalui semua ini. Maklumlah di sekolah lama, kawan-kawan serta guru kelas aku sangat memahami. Tidak perlu bertanya lebih lanjut dan mereka menghormati permintaan aku bahawa nama Deandra perlu digugurkan. Cukuplah menulis nama aku Asmira Mohamad sahaja. Namun apabila tiba musim peperiksaan penting atau dikehendaki mengisi sesuatu borang dengan menggunakan nama penuh, barulah aku menulisnya kerana terpaksa. Kalau tidak, jangan harap!

            “Er…well tengok wajah kawan kita ni pun tentu kau orang dah tahu dia ada darah mat saleh. Tapi, dia tak suka nampak berbeza dari kawan-kawan. So sebagai menyokong usaha sejati kawan kita ni untuk menjadi seorang Melayu tulen, tak payahlah sebut-sebut lagi nama Deandra tu ye. Asmira Mohamad. Ha…kan sedap nama Melayu macam tu.” Laila yang melihat wajahku semakin merah akhirnya membuka mulut untuk menyelamatkan keadaan. Terima kasih Laila.

            Mujur ada insan bernama Laila yang sentiasa disisi aku saat suka dan duka. Dia adalah teman rapat aku sejak di tingkatan satu lagi. Malah aku turut bersyukur kerana Laila juga mempunyai matlamat yang sama seperti aku. Ingin mengambil peperiksaan STPM untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Kalau Laila hendak masuk kolej atau mengambil diploma, memang aku akan sendirian disini. Tanpa teman karib yang sangat aku sayangi.

            “Betul ke? Ish, aku ni kalau boleh nak wajah pan asia macam kau! Tapi kau pula nak jadi Melayu tulen. Lagipun nama Deandra tu sedaplah. Sesuai sangat dengan diri kau yang cantik.” Puji Fikah tanpa menyedari yang hati aku sedang terguris pedih.

            “Aku tak suka nama tu. Lagipun aku dah biasa dari kecil dipanggil Asmira. Opah aku kat kampung pun tak reti nak sebut Deandra. Sudahlah, aku nak jugak nama Asmira. Mamat tak betul tu yang patut ubah nama dia, bukan aku. Geli aje lelaki dipanggil Asmara! Eeeii…naik bulu roma aku nak menyebutnya.” Aku menggosok-gosok tangan menandakan bulu roma aku memang meremang apabila menyebut nama Asmara.

            Sungguh, pertama kali aku masuk ke dalam kelas tiga bulan yang lalu aku memang terkejut apabila ada seorang lelaki macho bernama Asmara. Wajahnya kacak ada iras-iras pelakon dan penyanyi Firdee Aqasha. Badannya pula tegap seperti pelakon Fahrin Ahmad. Sekali terpandang, memang rasa nak toleh berkali-kali. Aku tak tipu dalam hal ni. Tetapi apabila dia menyebut namanya ketika disuruh oleh cikgu untuk memperkenalkan diri, aku rasa nak gelak sampai terkencing. Daly Asmara? Aduh, tak sesuai langsung dengan tuan punya badan! Nama macam mamat bunga aje. Memang satu kelas gelakkan dia.

            “Ada-ada aje kau ni. Tapi aku kesian dengan kau selalu kena marah dengan dia sebab nama. Sampai bila kau nak bertekak dengan dia hanya kerana nama? Kita baru aje mula sekolah tiga bulan. Ada lagi setahun tiga bulan kau nak kena menghadap dia.” Nina masih cuba memujuk. Aku tahu niat dia baik kerana tidak mahu aku terus bermusuh dengan mamat paling macho dalam sekolah ini. Tetapi, aku tiada pilihan lain.

            “Alah, biarlah dia. Selagi cikgu tak bising tak ada kompelin apa-apa, aku okey aje. Janji nama aku tetap Asmira.” Putusku tidak mahu memanjangkan isu ini lagi. Buang masa aje sebab masing-masing tidak mahu beralah.

            Tetapi kenapa dia tidak mahu dipanggil Daly? Tetap ingin menggunakan nama Asmara. Adakah dia juga mempunyai kisah pahit seperti aku? Entahlah, aku seringkali buntu apabila memikirkannya. Hendak bertanya kepada tuan punya diri, aku dan dia tidak pernah bertegur. Hanya bergaduh atau mengejek kerana nama. Tidak pernah lebih dari itu. Ah, biarlah dia. Buat apa aku pening-pening kepala fikirkan Si Daly Asmara! Lainlah kalau aku memang tangkap asmara dengan dia. Hehehe!

                                                ******************************

Aku berbaring sambil membelek helaian majalah fesyen. Wow! Ada gaya terbaru yang kelihatan sempoi dan sesuai dengan aku. Aku kena beli ni minggu depan. Cari yang lebih kurang serupa dengan model ni pakai. Aku tersengih apabila membayangkan penampilanku dengan fesyen terkini seperti yang aku lihat di dalam majalah. Gempak! Walaupun aku bukan jenis gadis-gadis ayu yang sopan-santun, berpakaian feminin segala bagai tetapi penampilan ringkas yang kasual sudah cukup membuatkan aku kelihatan menarik.

            “Ada apa ni senyum seorang-seorang?” Laila yang baru keluar dari tandas menghempaskan diri untuk berbaring di sebelahku.

            “Tengok ni, cantik kan? Minggu depan kita pergi cari yang lebih kurang macam ni, nak?” Aku menunjukkan majalah tersebut ke muka Laila.

            Mata Laila bersinar. “Cantiklah. Okey, okey minggu depan kita pergi shopping. Aku pun tak sabar nak pakai macam ni.” Laila tersenyum senang menampakkan gigi hadapannya yang berlapis dua.

            Aku juga turut tersenyum. Laila memang seorang kawan yang menyenangkan kerana minat kami sama. Apa yang aku suka, dia pasti suka. Apatah lagi dia juga tidak mempunyai masalah kewangan apabila diajak membeli-belah. Aku anak tunggal, dia pula anak bongsu.

            “Aku fikirkan tadi, kau tersenyum seorang-seorang sebab teringat kat Asmara.” Luah Laila sambil mengiringkan badannya untuk memandang tepat ke wajahku.

            Aku mengerutkan kening dan turut membalas pandangan Laila. “Teringat Asmara? Nak buat apa aku teringat kat dia?” Soalku tidak mengerti. Ada ke patut aku teringat kat Asmara? Tak mendatangkan manfaat.

            Laila menjungkitkan bahu. Kemudian dia kembali berbaring disisiku dengan berkongsi bantal yang sama. Kemudian ketawa kecil terlepas dari bibirnya. Lagilah membuatkan aku pelik dengan kelakuan sahabatku ini. Laila silap makan ubat ke apa?

            “Cakaplah, Laila. Kenapa pulak aku kena teringatkan Asmara? Aku tahulah ramai pelajar perempuan minat kat dia sebab dia tu pandai, macho, baik. Tapi aku pun tak tahu, kenapa dia tak suka dengan aku hanya kerana nama. Bukan aku buat salah besar pun, kalau nama aku dengan dia lebih kurang sama dan membuatkan orang lain keliru.” Aku mengeluh kasar. Majalah fesyen yang berada di tangan aku lempar ke bawah.

            Laila ketawa mengekek mendengar kata-kataku. Terhinjut-hinjut bahunya ketawa sehingga membuatkan aku semakin pelik. Geram pun ada ni!

            “Yelah, aku sendiri tak sangka dia buat kau macam tu sekali. Mesti kau tak boleh lupa kan?” Jawab Laila yang masih bersisa ketawanya. Namun aku masih tidak dapat menangkap maksudnya.

            “Apa?” Soalku sepatah ingin segera mendapatkan jawapan.

            “Ish, sengallah kau ni! Hal semalam pun tak kan dah lupa? Si Asmara tu tiba-tiba datang meja kau, lepas tu sapu gam kat tangan kau laju-laju. Memang lawak gila muka kau yang terkejut tanpa mampu berbuat apa-apa.” Ketawa Laila pecah lagi. Kali ini lebih besar dan kuat.

Nasib tak mengilai, kalau tidak tentu Ibu Zai ingat aku simpan pontianak dalam bilik ini. Ibu Zai yang datang dua kali dalam seminggu itu ditugaskan mengemas dan membersihkan rumah sejak lima tahun yang lalu. Pakaian kotor semua akan daddy hantar ke kedai dobi seminggu sekali. Jadi aku langsung tiada kerja yang perlu dilakukan selain menumpukan seluruh perhatian terhadap pelajaran. Eleh, kalau ada pun tentu kau tak akan buat Asmira. Dasar pemalas, aku mengejek diri sendiri.

“Memanglah terkejut. Bodoh punya Asmara! Aku kan tengah tekun buat latihan karangan Pengajian Am, tiba-tiba boleh pulak dia buat macam tu. Habis belakang tangan aku melekit-lekit.” Aku mencebikkan bibir apabila mengenangkan peristiwa semalam.

“Kenapa kau tak marah dia? Marah-marah sekarang ni pun tiada gunanya.” Perli Laila sambil tersengih macam kerang busuk.

Aku menelan liur. Memang tindakan aku yang terdiam tanpa mengeluarkan sepatah kata membuatkan kawan-kawanku berasa pelik. Selepas Asmara lari untuk duduk semula di tempatnya, aku bingkas bangun menuju ke tandas. Kesan gam itu aku bersihkan perlahan-lahan sehingga tidak meninggalkan sebarang kesan. Kemudian aku kembali semula ke dalam kelas dan menyambung latihan karangan. Sesekali aku mencuri pandang kearah Asmara namun lelaki itu hanya membuat buka selamba tanpa rasa bersalah.

“Kenapa dia buat macam tu ye?” Soalan Laila aku balas dengan soalan juga.

Laila menjungkitkan bahu. “Aku pun tak tahulah Asmira. Saja nak usik kau, kut.” Teka Laila yang juga tidak mengetahui sebab Asmara bertindak sedemikian.

“Usik? Selalunya dia cuma bergaduh dengan aku. Tiba-tiba nak usik aku apa ‘barang’...” Aku mengeluh perlahan sambil menekup muka.

Tolonglah jangan usik aku wahai Si Asmara. Aku sedikit pun tiada niat nak bermusuh dengan sesiapa. Apatah lagi di sekolah baru ini. Apa dosa aku pada kau sampai pandangan sinis seringkali kau berikan kepadaku?

“Sabarlah Asmira. Aku tahu kau bengang dengan dia. Tapi, biasalah budak lelaki nakal sikit. Abang-abang aku semua macam tu. Tak payah ambil hati ye.” Lembut nada suara Laila memujukku. Tangan yang aku tekupkan ke muka disentuh oleh Laila agar aku membuka wajahku untuk memandangnya.

“Tak mungkin hanya kerana nama dia nak bermusuh dengan aku. Ah, mamat tu memang tak betul punya orang!” Aku membentak. Sudahlah aku tidak biasa berkawan dengan lelaki, masalah ini pula timbul hanya kerana sebuah nama. Memang aku tak tahu nak handle macam manalah jawabnya.

Laila tersenyum kelat. Dia masih mahu mententeramkan aku yang seringkali kusut apabila perihal Asmara dibangkitkan.

“Biarkanlah dia. Kau buat ‘bodoh’ aje dengan sikap dia tu. Ingat matlamat kita masuk tingkatan enam ni, Asmira. Kita nak berjaya masuk ke IPTA untuk buat degree. Jadi, anggap aje masalah ni sebagai satu dugaan okey?” Laila memberikan ayat motivasi khas untuk aku.

Lambat-lambat akhirnya aku tersenyum juga. Mata Laila aku tatap penuh sayang, sayang aku terhadap sahabatku yang seorang ini. Laila seringkali mampu menaikkan kembali semangat aku sejak dulu lagi. Dia memang motivator terbaik buat aku.

Thanks Lailaku sayang. Betul cakap kau. Ini semua hanyalah dugaan kecil buat aku sebelum aku pergi melangkah lebih jauh ke hadapan. Lantak kaulah Asmara, oi! Ada aku kisah? Kan?” Ketawa kecil terlepas dari bibir setelah semangatku kembali terserap dalam jiwa. Berkobar-kobar pula semangatku untuk ke sekolah pada hari Isnin nanti. Cewah!

Laila mengerutkan kening. Kemudian dia membuat muka pelik memandang aku sinis. “Kau jangan sebut macam tu kalau depan orang tau. Lailaku sayanglah, apalah, nanti orang boleh salah faham pula hubungan kita ni.” Laila mencebikkan bibir tanda tidak berpuas hati terhadap ayat aku tadi.

Aku terus ketawa besar tanpa dapat ditahan-tahan. Kesitu pulak Si Lailaku sayang ini merepek. “Kau takut orang kata kita lesbian ye? Ish, orang cetek akal aje fikir macam tu Lailaku sayang!” Tangan aku pantas mengusap pipinya lembut. Sengaja aku hendak menyakat Laila yang semakin mencebik bibirnya. Pasti dia geram dengan telatahku ini.

“Eeeii…geli-geleman aku! Blah lah kau. Rimas aku dibuatnya.” Laila bingkas bangun dan duduk di meja belajar. Dia menyambung semula membuat latihan kertas peperiksaan sebenar untuk STPM.

            Aku hanya tersengih melihat aksi Laila itu. Aku dan Laila adalah lesbian? Oh, no!

2 comments:

Anonymous said...

asmara ng asmira ni dua beradik ke akk ? jeng jeng

Anonymous said...

NB - Like...Like...Like..(^_^)