Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, October 24, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 13


          “Kenapa menangis ni sayang?” Aku tersentak lalu cepat-cepat menyapu airmata menggunakan tangan.

            “Tak ada apa-apalah. Cuma teringatkan ibu Hazriq yang terlantar kat hospital tu.” Jawabku memberi helah.

            Bahuku dipeluk penuh kasih. “Insyaallah ibu Hazriq akan sembuh.”

            Aku tersenyum tawar dan menganggukkan kepala beberapa kali. Kemudian melentokkan kepala ke bahunya. Terasa ingin benar memutar waktu. Memadamkan kesilapan yang membawa kemudaratan kini. Namun apalah daya….

            “Tiba-tiba Dean rindukan nama Asmira….” Sayu suaraku yang sedikit serak kerana menangis sebentar tadi.

            “Mana-mana pun sama aje Dean. Tetap nama Dean juga. Daddy tak kisah nak panggil apa pun. Tapi tergeliat juga lidah ni bila Dean paksa tukar nama panggilan dulu.” Ketawa daddy memecah keheningan malam.

            “Terima kasih daddy kerana tak pernah mempersoalkan apa saja tindakan Dean selama ni. Dean sayangkan daddy.” Ucapku yang masih dilanda kesedihan kala ini. Pelukan daddy semakin erat membuatkan aku berasa tenang dan selamat.

            “Dean satu-satunya anak daddy. Daddy yakin apa sahaja yang Dean lakukan tak akan memalukan keluarga dan melukakan hati daddy. Selagi Dean menjaga kepercayaan daddy, selagi itulah Dean bebas membuat keputusan sendiri.” Daddy mengusap lembut kepalaku. Terasa sudah lama aku tidak bermanja dengan daddy  sebegini.

            Aku mengangkat wajah untuk menatap wajah lelaki yang paling bermakna dalam hidupku. “Daddy tolong doakan Dean menemukan kebahagiaan Dean ye.”

            Daddy tersenyum. “Tentulah daddy doakan untuk anak kesayangan daddy ni. Lagipun kebahagiaan Dean dah ditemukan.”

            “Hah?” Aku mengerutkan dahi mendengar jawapan dari mulut daddy.

            “Hazriq. Dialah kebahagiaan buat Dean.”

          Jawapan daddy membuatkan hati aku bergelora semula. Bukan gelora kebahagiaan yang aku rasakan tetapi gelora kesengsaraan yang membadai tanpa tepian. Kalaulah daddy tahu….Tetapi biarlah rahsia ini tersimpan kemas dalam lubuk sanubari. Aku tidak mahu menyusahkan daddy. Aku sendiri rela bertunang dengan Hazriq tanpa paksaan sesiapa. Hanya atas rasa simpati terhadap Puan Jamaliah dan harapan yang ditunjukkan oleh wanita itu.

            “Dean, kenapa diam aje?” Soalan itu membuatkan aku tersenyum kelat.

            Pantas aku menjawab. “Dean mengantuklah daddy. Jom masuk.”

            “Okey.”

            Aku dan daddy berjalan beriringan masuk ke dalam. Tempat berehat di sudut luar semakin dingin menandakan embun jantan mula menampakkan diri. Aku menutup pintu dan menguncinya. Lampu juga aku padamkan setelah daddy menapak masuk ke dalam biliknya.


                                                ******************************


Hari ini Syaza tidak datang ke butik. Aku terpaksa membuka pintu dengan menggunakan kunciku sendiri. Menurut pesanan ringkas yang dihantar pada awal pagi tadi Syaza mengalami cirit-cirit. Kesian Syaza. Aku berharap pembantuku itu segera sembuh dan dapat mula bekerja seperti biasa. Tanpa Syaza aku ibarat patah tangan kiri.

            “Selamat pagi cik. Ini ada kiriman bunga untuk Cik Dean.” Kata seorang lelaki memakai topi keledar yang masuk ke dalam butik.

            Aku yang sedang duduk di meja kaunter berhenti menekan papan kekunci pada komputer riba. Niat dihati nak buka laman Facebook yang telah sekian lama tidak dijenguk. Mamat ni kacau daun pula.

            “Saya Dean.” Jawabku sambil menghadiahkan sebuah senyuman.

            “Cik tandatangan disini ye.” Ujar lelaki itu yang menunjukkan bahagian bawah sekeping kertas.

            Setelah selesai, kiriman bunga itu bertukar tangan. Aku membelek seketika sebelum bunga yang berjumlah dua belas tangkai itu masuk ke dalam tong sampah. Tulip putih? Siapa lagi pengirimnya kalau bukan tunang ‘tersayang’ itu! Sekeping kad yang bertulis ‘Maafkan saya duhai sayangku’ membuatkan aku bertambah jelik. Semudah itu? Kirim salam ajelah.

            Aku mula meneruskan niat yang tertangguh sebentar tadi. Setelah semua notification aku semak, aku membuka pula peti mesej. Agak banyak mesej yang ditinggalkan oleh kawan-kawan. Aku mula membuka dan membaca satu persatu sehingga satu mesej yang datangnya dari pemilik nama Daly Asmara menarik minatku. Tanpa berlengah aku membukanya. Mesej yang panjang seperti sebuah karangan itu aku baca dengan pantas.

            Penjelasan yang selama ini aku tercari-cari. Apabila Asmara hadir semula, aku pula berasa takut dan tidak bersedia untuk mengetahuinya. Kini hanya melalui laman sosial, Asmara dapat menjejaki aku. Peluang itu digunakannya untuk memberitahu aku tentang apa yang berlaku. Tarikh pada mesej tersebut adalah seminggu lalu. Sebelum Asmara tahu aku telah menjadi tunangan orang.

            Peristiwa lima tahun lalu berlayar di ruangan mata….

            “Kenapa kau conteng kanvas aku?” Soalku marah.

            Asmara menaikkan kening. “Aku bukan conteng, tapi aku nak tolong kau.”

       Aku mendengus kasar. Geram dihati tidak terkira apabila aku mendapat tahu Asmara adalah gerangannya. Makhluk Tuhan paling baik yang dikatakan oleh Laila. Menyibuk betul mamat ni!  Pernah ke aku minta tolong dia? Sumpah, sekali pun tak pernah.

            “Buat apa kau nak tolong aku? Kau sengaja nak dajalkan aku kan? Baik kau cakap betul-betul!” Aku sudah hilang sabar.

            Asmara meraup wajahnya. “Kenapa kau selalu pandang serong kat aku? Niat aku betul-betul nak tolong kau.”

            Aku tersenyum mengejek. “Aku tak percaya. Sejak aku masuk sekolah ni, kau selalu tak puas hati dengan aku sebab nama kita. Bukan aku yang mulakan.” Balasku berani. Kali ini aku tidak mahu mengalah lagi.

            “Aku sengaja layan kau macam tu…”

            Segera aku memotong. “Kenapa? Apa salah aku pada kau?”

            Asmara menatap tepat ke dalam anak mataku. Aku juga membalas berani. “Salah kau sebab kau curi hati aku, Asmira.”

            Aku tergamam. Air liur seakan berlumba-lumba mahu ditelan. “Apa kau merepek ni?”

            “Betul Asmira. Kau dah curi hati aku sejak kali pertama aku tengok kau. Aku tak suka benda-benda macam ni tapi aku tak boleh elak.” Luah Asmara dengan wajah yang nampak kusut. Mungkin berperang untuk meluahkannya di depanku saat ini.

            “Tapi kenapa kau nak cari hal aje dengan aku?” Soalku masih ingin tahu.

            “Sebab aku tak suka perasaan ni. Aku datang sekolah nak belajar, bukan nak bercinta. Tapi makin lama aku tak boleh tahan dan aku mula tak boleh fokus nak belajar. Aku sukakan kau Asmira. Aku nak kau jadi teman wanita aku.” Asmara dengan selamba melamar aku tanpa ada unsur-unsur romantik.

            Hampir dua minggu aku menyepikan diri tanpa jawapan. Terkejut dengan luahan cinta dari lelaki itu. Dia rupanya yang mewarna semula kanvas aku. Dia juga meletakkan kotak hadiah di bawah meja yang berisi seekor katak. Dia yang menulis surat layang mengatakan dia adalah peminat misteri aku.

            Malah setiap kali aku tidak hadir ke sekolah, dia yang mengambil alih tugasku mengemas studio seni untuk kelas kami. Semua itu dapat dibongkar hasil siasatan terperinci oleh Laila, Nina dan Fikah. Memang hebat Asmara melakukannya dalam diam tanpa diketahui oleh sesiapa. Dalam nakal, ada sukanya terhadap aku. Dalam dajal, ada cintanya yang menunggu. Itulah Asmaraku.

            Akhirnya aku menerima lamaran Asmara. Dalam diam aku juga tertarik dengan lelaki itu. Walaupun telah bergelar pasangan kekasih, aku dan Asmara masih seperti biasa. Aku lebih suka menjadi pasangan yang sempoi dan tidak keterlaluan. Apabila aku dan Asmara keluar berdating pasti Laila menjadi peneman setia. Aku lebih selesa begitu. Asmara banyak mengajar aku tentang seni. Dia memang berbakat dan sering menjadi wakil peringkat negeri dalam pertandingan seni lukis. Hasil kerja tangannya sentiasa membuatkan aku kagum. Percintaan kami seiring dengan pelajaran sehinggalah tamat peperiksaan STPM.

            Hari yang tidak dapat aku lupakan adalah sewaktu mengambil keputusan STPM di sekolah. Aku ternanti-nanti wajah pujaan hati tetapi hampa. Seingat aku, hanya mamanya yang datang untuk mengambil keputusan tersebut. Melalui kawan-kawan lain, aku mengetahui Asmara telah berangkat ke Indonesia dua hari lepas. Menunggu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran disana. Aku sama sekali tidak percaya akan ditinggalkan oleh Asmara begitu sahaja. Tanpa titipan berita atau secebis pesanan. Ingin bertanya sendiri kepada mamanya aku tidak berani.

            “Saya yakin result awak tentu ‘gempak’. Saya doakan awak berjaya mencapai cita-cita awak lepas ni.”

            Aku tersenyum mendengarnya. “Insyaallah. Awak pun sama, Asmara. Kalau boleh saya nak masuk satu universiti dengan awak. Boleh kita jumpa selalu macam sekarang.”

            “Walau tiada depan mata dan selalu disisi awak, saya akan sentiasa mendoakan. Saya janji akan bahagiakan awak apabila kita dah berjaya nanti.”

            Perbualan beberapa hari sebelum itu ternyata punya maksud yang tersendiri. Kata-kata terakhir itulah yang aku pegang sehingga lima tahun lamanya. Memujuk hati agar yakin dan bersabar dengan ketiadaan jasad Asmara. Walau hati rasa sedih dan tertanya-tanya mengapa Asmara pergi tanpa memberitahu aku. Tanpa mengucapkan selamat tinggal dan tiada pertemuan terakhir kali. Aku bingung mencipta alasan demi alasan agar aku tetap tabah menantinya. Bertahun rasa itu tersemat di jiwa, ada rindu yang membara, ada duka yang bertamu, ada marah yang singgah, ada kecewa yang bersisa….sehinggalah detiknya aku menerima Hazriq dan menamatkan sebuah episod cinta antara aku dan Asmara.

            Bunyi telefon bimbit di atas meja membuatkan aku tersedar. Segala cebisan kenangan lama berserakan pergi. Aku segera mencapai telefon bimbit itu sebelum bunyinya terhenti.

            “Yes Hazriq?” Jawabku acuh tidak acuh. Pagi tadi di dalam kereta aku membuka mulut apabila perlu sahaja. Sikap Hazriq yang kasar masih berbekas di hati.

            “Dean, ibu dah sedar. Dia nak sangat jumpa awak.”

            “Ibu dah sedar? Syukurlah…awak ada kat mana?” Soalku yang mula memberikan perhatian.

            “Saya masih ada kat hospital temankan ibu. Bila awak free? Saya jemput awak kat butik.”

            Aku mengerutkan dahi tanda sedang berfikir. “Petang pukul lima macam biasa, boleh?”

            Terdengar keluhan di hujung talian. “Tak boleh awal lagi ke? Demi ibu…” Suara Hazriq lembut merayu.

            “Syaza cuti hari ni. Tak ada orang nak jaga butik kalau saya balik awal.” Terangku jujur.

            “Okey, lima petang saya tunggu depan butik. I love you sayang.” Hazriq mengalah.

            “Okey. Jumpa nanti. Kirim salam pada ibu.” Aku menamatkan talian.

            Nafas berat aku lepaskan perlahan. Baru sahaja aku mula terbuka hati untuk bersama Hazriq sewaktu kami ke Melaka tempoh hari. Tidak disangka secepat itu Hazriq menunjukkan ‘belang’ sebenarnya. Aku tidak pernah dikasari oleh sesiapa termasuk daddy. Jadi sikap Hazriq benar-benar membuatkan aku mati akal.

            Aku bingkas bangun untuk mengemas butik dan melakukan tugas yang tertangguh. Tidak mahu melayan masalah yang masih kelam jalan keluarnya. Aku pasti akan cari jalan untuk lepas dari genggaman Hazriq. Aku tidak mahu menjadi isteri kepada lelaki itu. Silap haribulan aku ditendangnya umpama bola!

            Beberapa jam aku menghabiskan masa menyiapkan rekaan baru untuk pelamin Datok Husin. Datok yang ingin berbini dua itu agak cerewet orangnya. Aku seperti tidak bersemangat untuk melakukan tugas lain apabila ketiadaan Syaza. Selepas makan tengah hari dengan bekalan yang dimasak oleh Mama Anis, aku berehat dan bersolat. Kemudian aku melayari internet untuk mendapatkan ilham rekaan hantaran terkini. Harapnya Datok Husin suka dan berpuas hati nanti.

            Waktu berlalu begitu pantas. Tepat jam lima empat minit petang, kereta Hazriq telah sedia terparkir di hadapan butik. Aku bergegas mengunci pintu butik setelah siap mengemas serba-sedikit.

            “Sayang, kenapa tak bawa balik bunga yang saya kirim pagi tadi?” Soal Hazriq sambil tersenyum manis.

            Alamak! Jantung aku bergoncang hebat. Mati aku, mati. “Er…saya dah letak dalam pasu. Biarlah simpan kat butik.”

            Aku takut untuk menipu. Tetapi tiada pilihan lain. Berterus-terang bermakna aku sengaja menempah petaka. Aku membalas senyuman Hazriq dengan senyuman yang paling manis buatnya. Semoga dia tidak menyedari penipuan ini, doaku di dalam hati.

            “Oh, ingatkan sayang tak suka bunga tu.” Hazriq bersedia memulakan pemanduan.

            “Suka, tulip putih. Saya suka.” Aku menghembuskan nafas lega. Selamat.

            Perjalanan kami diisi dengan perbualan kosong. Berkisar mengenai kesihatan Puan Jamaliah dan tugas-tugas Hazriq yang terpaksa ditangguhkan akibat menjaga ibunya di hospital. Aku menjadi pendengar setia yang seringkali tersenyum dan mengangguk. Melayan agar Hazriq tidak bertukar wajah menjadi singa.

            “Puan kena cepat sihat ye. Kami risaukan keadaan puan.” Aku mengelus tangan tua itu penuh kasih.

            Puan Jamaliah tersenyum kecil. “Saya tak kisah kalau dah sampai masa saya, Dean. Tapi sebelum saya tutup mata, saya teringin nak tengok awak bersatu dengan Hazriq.” Lemah suara Puan Jamaliah menyapa pendengaranku.

            “Jangan cakap macam tu puan. Insyaallah puan pasti akan segera sembuh.” Jawabku sambil mengerling Hazriq yang sedang duduk di atas sofa.

            “Dean, saya takut tak boleh tunggu lama lagi. Hazriq tak pernah kenalkan mana-mana perempuan pada saya sebelum ni. Awak perempuan pertama yang dia bawa ke rumah.” Nafas Puan Jamaliah tersekat-sekat. Risau aku melihatnya.

            “Puan berehat ye. Jangan fikir bukan-bukan.” Pujukku pula. Aku tidak sanggup diasak dengan soal perkahwinan sekarang.

            Puan Jamaliah menggenggam jemariku erat. “Bersetuju kahwin dengan Hazriq secepatnya. Kalau apa-apa jadi pada saya, awak tolong jaga Hazriq dan Aina ye.”

            Aku menelan liur. Permintaan yang dahsyat bagi aku. Aku tidak perlu menjaga lelaki tiga puluh satu tahun itu. Dia cukup dewasa dan cukup ‘kuat’ sehingga mampu mencederakan aku. Aina juga sudah mempunyai tunang yang mampu menjaga dia. Malah Aina lebih tua daripada aku. Kenapa aku perlu menjaga mereka?

            “Ibu jangan risau ye. Hazriq akan uruskan secepatnya perkahwinan kami. Dean akan jadi menantu ibu. Tapi ibu janji cepat sembuh, tau.” Hazriq yang bangun dari sofa berdiri di belakang kerusiku. Tangannya memegang kedua-dua bahuku dari belakang.

           “Betul ni? Ibu gembira sangat. Terima kasih Dean.” Puan Jamaliah tersenyum tawar dan mengangguk.

            Aku juga ikut tersenyum. Namun senyuman yang hambar tiada rasa. Sebelum aku menjadi lemah dan menangis, lebih baik aku keluar.

            “Saya nak ke tandas sekejap.” Aku memberitahu Hazriq dan terus beredar.

           Di dalam tandas, aku menangis. Aku tersepit dan tidak tahu jalan keluar dalam masalah ini. Berkahwin dengan Hazriq? Tuhan, tolonglah hambamu ini….

9 comments:

Unknown said...

Salam, sewajarnya Dean tidak mengambil mudah tentang perasaannya. Dean boleh menyiasat latar belakang Hazriq mungkin kerana kehidupan lampau menjadikan beliau begitu.

Shizukaz Sue said...

Seri Ayu: wsalam..betul tu kak..terima kasih atas pandangan =) muah2 hehe

AsHu ManCis :) said...

akak ! suruh laa dean berterus terang kat hazriq yang dia tak suka.ashu tak suka lah tengok watak perempuan yang lemah,mengikut perintah and jaga hati orang lain tapi hati sendiri yang terluka.hehehe,lepas geraam pulak tapi ashu memang tension baca bab lepas ..

Anonymous said...

Salam... Geramku trhadap mamat `xserupaumur31' semakin meningkat. Sakit jiwa gamaknya!! He needs professional help.. hope Dean realises wht she's getting herself into...

Yin Areesa said...

Please! Dont end up all this with the married between Asmira dengan Hazriq. Kurang ajaq punya orang laki!That guy are stupid!Throw them the rock.

Anonymous said...

~NB~ watak perempuan tuh tak naklahh gembeng sangat...ahahaha..tunjukkan dia kuat...dan mampu keluar dr masalah...

Anonymous said...

br follow yr blog.karya u best sesuwai dgn my taste. hehehe niway nk tanya Dr Nadiah lecturer kaunseling dlm crt BIP tu memang wujud kan???

-RA-

Anonymous said...

bg dean ckp ngan daddy dia dlu..or bg daddy dia tgk hazriq buat kasar ngan ank dia..grrr..
Bru folow blog ni..best!!

coretanku said...

kan tak leh bg muka sgt ngan hazriq tu naik kepala dah tu ikut suka dia je buat keputusan tuk dean... sian dean..