Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, August 11, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 37



               Bulan peperiksaan yang sering menggundahkan hati semua pelajar kini telah berjaya aku dan Hadif tempuhi. Hanya menunggu keputusannya sahaja dua bulan lagi kerana kebiasaannya keputusan akan keluar beberapa hari sebelum semester baru bermula. Aku berdoa semoga keputusan kami berdua membanggakan kedua ibu bapa, kerana tidak mahu sudah berkahwin dijadikan alasan untuk malas belajar. Aku mahu membuktikan yang kami mampu mengimbangi tanggungjawab dalam rumahtangga dan juga tugas sebagai seorang pelajar universiti.

            “Sayang menung apa tu? Jauh nampak, macam dah sampai Johor.” Hadif menjeling aku sekilas sebelum menumpukan kembali kepada pemanduan.

            Aku tersentak dan tersenyum manis sebelum memandang Hadif yang berada disisi. “Tak ada apa-apa. Cuma harap result semester ni memberangsangkan macam semester yang lepas-lepas walaupun baru sekali aje dapat anugerah dekan. Takut juga merosot dan jadi contoh tak elok pada kawan-kawan yang menganggap berkahwin sewaktu belajar ini menyusahkan.” 

            Hadif tertawa kecil mendengar jawapanku. “Sayang mesti boleh punyalah! Insyaallah…abang tengok sayang pun jenis study smart.” Hadif mengenyitkan matanya kepadaku. Sejak kami menjadi suami isteri yang mutlak, panggilan abang-sayang telah menjadi panggilan rasmi untuk kami berdua.

            Aku ketawa lucu. Ada-ada saja Hadif ni nak mengusik. Aku rasa aku belajar biasa-biasa saja macam yang selalu aku buat sejak zaman sekolah lagi. Hadif lagilah tekun belajar tak payah cerita. Naik takut juga kadang-kadang tengok caranya belajar tu. Nak bersaing pun rasa tak berani. 

            “Kita nak parkir kereta kat mana ni sayang? Ada beberapa tempat ni.” Hadif yang mula memperlahankan keretanya bertanya sambil kepalanya menoleh ke kiri dan kanan jalan.

            “Yang paling dekat dengan jeti lah. Malas nak jalan jauh bawak beg berat-berat.” Balasku sambil turut sama menoleh ke tempat parkir kereta berbayar yang disediakan di sepanjang jalan di Kuala Perlis ini.

            Jam sepuluh pagi tadi kami bertolak dari rumah sewa menghala ke Kuala Perlis untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi. Seperti yang dirancangkan, kami ingin berbulan madu sebaik sahaja cuti semester bermula. Last paper Hadif adalah dua hari yang lepas dan kami mengambil masa untuk berehat dan mengemas barang. Jadi kami telah bersetuju hari ini adalah hari yang sesuai untuk pergi berbulan madu. Tak payah merancang susah-susah kerana dari Pekan Changlon ke Jeti Kuala Perlis hanya mengambil masa dalam empat puluh minit sahaja menaiki kereta. Hotel dan aktiviti disana juga belum kami tempah kerana menurut Hadif terdapat ramai ajen pelancongan kecil-kecilan di jeti nanti. Boleh tempah on the spot aje.

            “Sini okey kut. Harga semua lebih kurang sama aje sehari empat ringgit untuk tempat letak kereta berbumbung.” Hadif memberi isyarat ke kiri dan membelok ke kawasan letak kereta yang nampaknya hampir penuh. 

            Setelah memasuki petak kosong yang masih tinggal di tempat letak kereta ini, aku dan Hadif sama-sama turun dari perut kereta. Hadif membuka bonet dan menghulurkan beg galas Deuter warna merah milikku. Kemudian Hadif sendiri menggalas beg warna biru gelap dari jenis yang sama. Cuma beg galas Hadif lebih besar sedikit berbanding beg kesayanganku yang aku beli setahun lalu semasa mahu ke Pulau Pangkor. Aku lebih suka membawa beg sandang untuk pergi melancong kerana lebih mudah dibawa dan ringkas. Kalau naik kereta sampai terus ke destinasi tak apalah juga, ini mahu menaiki feri segala bagai. Leceh kalau masih mahu bergaya diva di tempat sebegini.

            “Bang, kami nak letak kereta empat hari.” Hadif tersenyum menyapa lelaki separuh usia yang menjaga kawasan tempat letak kereta ini. Lelaki itu membalas senyuman Hadif dan bersalaman.

            “Boleh. Empat hari, enam belas ringgit dik. Tapi kalau terlebih hari nanti masa nak balik baru bayar ye.” Lelaki yang sedang mengepit rokok di celah bibirnya itu mengeluarkan satu kad dan menyerahkannya kepada Hadif.

            Hadif mengambil duit dari dalam dompet dan membayar jumlah yang disebutkan oleh lelaki itu sebentar tadi. Kemudian kad yang diberikan terus disimpan di dalam dompet. Setelah selesai urusan disitu, kami terus berjalan menuju ke Jeti Kuala Perlis yang hanya sekangkang kera dari  sini. Hadif mencapai tangan kiriku dan menggenggam erat. Aku hanya tersenyum dan membalas pandangan Hadif sekilas. Rasa tidak sabar mahu berbulan madu bersama Hadif. Tidak sabar hati ini untuk memahat kenangan indah disana nanti banyak-banyak. Senyumanku semakin lebar.

            “Sayang tunggu sini eh. Abang beratur beli tiket feri kejap.” Hadif berkata dan tanpa menunggu jawapanku dia terus berlalu menuju ke kaunter tiket. Walaupun masih pagi tetapi jeti ini sudah sesak dengan pengunjung yang masing-masing mahu ke pulau indah itu. Ada yang datang berkeluarga, ada yang datang beramai-ramai seperti rombongan Cik Kiah dari kampung dan bermacam-macam lagi manusia di sekeliling aku.

            “Adik, dah tempah hotel ke? Saya ada pakej lengkap kat Langkawi kalau nak tempah sekarang. Harga boleh runding.” Leka aku memerhati gelagat-gelagat manusia disini, tiba-tiba aku didatangi oleh seorang lelaki yang lebih kurang sebaya. Dia panggil aku adik? Bolehlah….

            Aku tersenyum kelat tidak tahu untuk menjawab. Rasanya Hadif yang lebih layak mengaturkan semua ini berbanding aku. “Err…tunggu sekejap eh. Suami saya tengah beli tiket feri. Nanti biar dia aje yang tengok pakej awak tu.” Jawabku sambil memuncungkan bibir kearah Hadif.
            Lelaki itu tersenyum dan mengangguk kecil. Kemudian aku dan dia hanya diam membatu sambil menunggu Hadif. Dalam lima minit kemudian Hadif sudah menghampiri aku dan lelaki itu mula bertanya soalan yang sama kepada Hadif.

            “Kalau saya tempah sekarang, kat sana kira dah settle semualah ye?” Hadif memandang lelaki itu penuh tanda tanya. Mungkin dia lebih bersikap hati-hati sebab ramai juga ajen yang penipu kalau tak kena gayanya. Maklumlah antara pelajar UUM rasanya sebahagian besar telah menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi. Bukan jauh mana pun. Jadi tentu Hadif telah banyak bertanya kepada kawan-kawannya yang berpengalaman.

            “Semua settle kat sana, awak tak payah pening-pening lagi. Bayar separuh kat saya, separuh lagi bayar pada hotel yang dipilih. Aktiviti semua saya terus bagi tiket siap-siap. Kalau setuju awak boleh pilih pakej dalam buku ni.” Terang lelaki itu kemudian buku pelancongan yang dipegang bertukar tangan.

            Hadif membelek-belek setiap pakej yang ditawarkan sehingga ke muka yang terakhir. Kemudian dia  mengulang semula dari muka yang pertama. “Sayang nak yang macam mana? Gambar bilik hotel semua ada dalam ni. Kita pilih yang special sikitlah ye?” Hadif berkata sambil menjeling sekilas ke wajahku. Kemudian matanya kembali menatap dada buku keras itu penuh minat.

            “Tak kisah yang mana. Abang aje pilih.” Aku bersuara perlahan. Terasa segan pula apabila mata lelaki itu yang berdiri di sebelah Hadif asyik memerhatikan aku dan Hadif sambil tersenyum sumbing. Sah! Mesti dia ingat kami pasangan kekasih yang nak pergi bercuti buat maksiat. Mana tidaknya, aku dan Hadif memang nampak muda sangat dan tak sesuai kalau kata pasangan suami isteri. 

            Hadif berdehem beberapa kali sebelum membuka mulut. “Saya pilih pakej yang ni. Harga tak boleh kurang ke? Bagilah diskaun sikit kat pengantin baru nak pergi honeymoon.” Hadif tersengih sambil jarinya menunjukkan pakej yang dikehendaki.

            “Boleh, tak ada masalah. Harga saya bagi yang terbaik punya. Seronoknya muda-muda dah kahwin. Ingat student lagi tadi.” Balas lelaki itu sambil mengeluarkan pen di koceknya.

            “Memang student lagi kat UUM. Tapi kami dah kahwin hampir empat bulan lepas. Susah bercinta lama-lama ni.” Hadif tersipu-sipu malu. Erk! Tak sihat ke Hadif pagi ni? Sedap aje ayat yang keluar dari mulutnya. Entah bila masa aku bercinta dengan dia. Hakikatnya kami bercinta selepas kahwin. Itu pun baru-baru aje sejak sebulan ini.

            Lelaki itu tersenyum sambil mengangguk beberapa kali. Kemudian dia menulis sesuatu di atas buku resit yang dialaskan dengan buku keras tadi. “Saya terangkan sekali lalu ye. Awak pun dah baca kan tadi pakej ni.” Lelaki itu kembali menyambung bicara setelah melihat Hadif menganggukkan kepala.

            “Awak ambil pakej nombor lima iaitu Hotel Langkawi Boutique bilik Deluxe Sea View, tiket naik cabel car, tiket masuk Underwater World, tiket untuk Makam Mahsuri, tiket bot untuk tiga pulau dan kereta sewa yang dipilih kat sana Kia Rio. Nak pergi berapa hari?” Soal lelaki itu sambil memandang wajah Hadif meminta jawapan.

            “Empat hari, tiga malam.” Balas Hadif pendek.

            Lelaki itu menekan-nekan kalkulator kecil yang berada ditangannya. “Semua sekali sembilan ratus lima puluh ringgit tapi saya bagi diskaun jadi sembilan ratus ajelah dan saya bagi tiket feri sekali untuk balik kesini. Dah kira murah tu.” Lelaki itu tersengih sambil tangannya menekan lagi kalkulator untuk yang keberapa kali.

            “Okey, saya setuju. Bayar berapa ni?” Hadif mengeluarkan dompetnya dan mula mahu mengeluarkan not-not lima puluh yang tebal di dalamnya.

            “Lima ratus bayar kat saya. Kemudian saya bagi resit, nanti tunjuk masa nak check-in dan bayar lagi empat ratus kat sana.” Lelaki itu menulis sesuatu di atas resit dan mengoyakkan resit tersebut dari bukunya kemudian memberikannya kepada Hadif. 

            Hadif menyerahkan not-not lima puluh ringgit yang berjumlah lima ratus kepada lelaki itu. Resit di tangan dilipat kemas dan turut disimpan di dalam dompet. Kemudian lelaki itu mengeluarkan tiket-tiket yang telah termasuk di dalam pakej tadi kepada Hadif.

            “Nanti kat kaunter tempat-tempat nak pergi ni, tunjuk tiket dan dia orang akan bagi tiket yang betul. Ni sebagai tiket tak rasmi. Tapi dah tak payah bayar apa-apa. Kat resit tadi ada nombor telefon saya. Apa-apa hal boleh terus call. Kereta sewa nanti ambil kat seberang jeti. Terima kasih ye, selamat berbulan madu.” Lelaki itu berjabat tangan dengan Hadif dan tersenyum mesra. Kemudian berlalu untuk pergi kepada pelanggan lain pula.

            Aku yang dari tadi berdiam diri menarik nafas lega. Dalam waktu yang singkat semuanya telah ditempah dan diuruskan. Bimbang juga bercuti tanpa perancangan ni mana tahu kat sana penuh ke? Nak tinggal di hotel budget memang taklah jawabnya. Apa kelasss pergi berbulan madu tinggal di hotel budget. Aku menyembunyikan senyum kerana berfikir yang tidak-tidak.

            “Senyum seorang-seorang ni kenapa? Suami depan mata pun mengelamun eh. Jom duduk tunggu feri kat dalam. Lagi sepuluh minit waktu tiket kita.” Hadif menarik lenganku perlahan sambil menjeling tajam.

            Aku menuruti langkah Hadif memasuki perkarangan Jeti Kuala Perlis. Tempat duduk yang disediakan untuk menunggu nampak semuanya telah penuh. Jeti ini tidaklah sebesar mana. Tetapi mendengar laungan penjaga tiket disitu, bahawa penumpang untuk feri jam sebelas setengah pagi boleh beratur di kawasan berpagar. Hadif terus menarik aku memasuki kawasan yang berpagar besi separas pinggang untuk beratur menunggu giliran menaiki feri.

            “Kenapa abang tak pernah pergi Langkawi lagi? Kan ramai kawan-kawan abang pergi melancong kat sini. Kenapa tak ikut sekali?” Soalku sambil mememakai cermin mata hitam yang dari tadi tersangkut di baju.

            “Cuti semester abang selalunya kan sibuk dengan kedai dobi. Kadang-kadang ikut sekali mama dan papa melancong kat oversea, so belum ada kesempatan nak ke Pulau Langkawi. Agaknya memang takdir nak pergi dengan sayang kut.” Hadif tersenyum sambil menjungkitkan keningnya.

            “Iyelah tu…” Aku bersuara perlahan sambil mencebikkan bibir. Sebenarnya dalam hati turut berbunga rasa teruja kerana kami sama-sama pergi ke tempat yang belum pernah dilawati. Jadi kenangan bulan madu kami nanti bersih dari kenangan-kenangan lama yang pernah singgah di dalam hidup aku mahu pun Hadif. Ah, sentimentalnya aku saat ini. Entah apa-apa.

            “Sayang ada call mak tanya dia nak kirim apa-apa kat sana nanti?” Hadif menyoal sambil merenung lembut mataku.

            Aku menggeleng lemah. “Tak bagitahu kat mak pun. Lagipun mereka semua kan ingat kita dah pergi berbulan madu kat Pulau Langkawi ni masa awal-awal kahwin dulu.” Aku menundukkan wajah. Cuba berselindung rasa hati yang tiba-tiba diamuk pilu. Yelah, selama hidup aku tak pernah berahsia perkara besar dengan mak tetapi kini banyak pula rahsianya. Sedikit terkilan menyelinap di jiwa walaupun hubungan aku dan Hadif telah semakin berkembang baik.

            Hadif memeluk bahuku erat. Tangannya menyelak rambutku yang jatuh mengurai ke celah telinga. “Maafkan abang ye sayang. Bersikap teruk dengan sayang pada awal perkahwinan kita. Takpe, nanti kita belikan aje mereka semua buah tangan dari Langkawi. Cakap kita bercuti sekali lagi kat sini. Tak nak sedih-sedih dah.” Suara Hadif lembut memujuk dan cuba mengusir rasa pilu yang bertandang.

            Aku mengangkat wajah untuk melihat matanya. Nasib baik aku pakai kaca mata hitam. Kalau tidak tentu ada yang melihat air jernih yang berkumpul di ruangan mata. Aku tersenyum sambil merenung Hadif. Matanya kelihatan tulus bagiku. Semoga mendung yang dulu, berarak jauh-jauh dari kehidupan rumahtangga kami selepas ini. 

           Aku mahu bahagia di samping Hadif selamanya.

No comments: