Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Friday, February 15, 2013

Asmira Ke Asmara? Bab 23



            Aku duduk di sudut belakang bersama Asmara. Setelah menjamu selera, kami berbual kosong sambil memantau perjalanan majlis persandingan Datok Husin dan Syikin. Syaza yang sesekali menjenguk ke luar dewan melaporkan keadaan tenang dan terkawal. Tiada tanda-tanda kelibat Datin Kalsom berada disini. Mungkin kedatangannya siang tadi hanya untuk menghalang pernikahan suaminya. Tetapi, takdir telah tersurat bahawa mereka telah selamat mendirikan masjid.

            Jadi, apa lagi yang mampu dilakukan oleh Datin Kalsom? Aku yakin, dia juga mempunyai harga diri yang tinggi. Siapa pun mesti malu untuk berkelakuan begitu tetapi emosi telah melebihi akal. Aku hanya mampu berdoa Datin Kalsom mampu bertenang dan berbincang dengan suaminya secara aman. Yang pasti biarlah setelah semuanya selesai.

            “Tak dapatlah tengok drama sebabak malam ni.” Asmara menyiku sedikit lenganku.

            “Ish, tak baiklah cakap macam tu.” Aku menggoyangkan jari telunjuk kepadanya.

            Asmara tergelak lucu. “Kalau saya kahwin lain nanti, sayang serang macam Datin tu ke?”

            Tengok! Belum apa-apa lelaki dah tanya soalan cepu emas mereka. “Tak kuasa.”

            “Eh, pendek aje jawab? Habis tu sayang buat apa?” Asmara menyembunyikan senyum. Memang suka mengusik orang dia ni. Nasib larat tak larat aje nak melayannya.

            “Cari orang lain.” Selamba aku menjawab tanpa reaksi.

            “Menggatal ye? Jangan nak mengada.” Asmara menyiku lagi lenganku. Kali ini sedikit kasar. Aku tetap dengan muka selamba. Dia yang mulakan, lepas tu ada hati nak merajuk. Tak senonoh betul.

            “Awak menggatal boleh pula? Kenapa saya tak boleh?” Aku tidak mahu beralah.

            “Kak Dean, apa ni? Nampak tu pengantin tengah potong kek. Akak boleh bergaduh macam suami isteri kat belakang ni.” Syaza menggelengkan kepalanya melihat aksi kami berdua.

            “Asmara ni buat hal.” Aku menuduh Asmara.

            Asmara segera menggeleng. “Akak ni yang nak menggatal.”

            “Sudahlah tu, akak dengan abang sama aje. Boleh tak bercinta elok-elok, jangan gaduh-gaduh?” Syaza membuat muka seposen.

            Aku dan Asmara saling berpandangan kemudian masing-masing tersengih macam kerang busuk. Saling tak ubah seperti zaman remaja dulu. Kami jarang sependapat, tetapi dua individu yang saling memerlukan. Cinta memang aneh dan misteri. Kan?

            “Amboi, senyum-senyum pula selepas bergaduh. Tak fahamlah Syaza dengan akak dan abang ni.” Syaza mengomel macam nenek kebayan. Kemudian berlalu untuk memantau apa yang patut.

            Majlis berakhir dengan aman. Senyuman yang terhias di wajah Datok Husin dan Syikin menggambarkan mereka bahagia malam ini. Tetamu sudah beransur pulang dan pasangan mempelai juga akan naik ke bilik setelah selesai sesi bergambar. Aku memerhatikan para pekerja yang sedang bersiap sedia untuk berkemas.

            “Awak baliklah dulu. Dah lewat ni.” Kataku setelah melihat Asmara turut menolong mengumpulkan sedikit barang di suatu tempat.

            “Saya tunggu awak, nak balik sekali.” Asmara membetulkan lengan baju kemejanya yang sedikit terangkat.

            “Saya boleh balik dengan Syaza. Esok kan awak kerja, baliklah berehat.” Mataku membelek telefon bimbit untuk membalas pesanan ringkas dari Daddy. Sejak kejadian dulu, Daddy memang selalu menghubungi untuk memastikan aku berada dalam keadaan baik. Kebimbangan dia berganda terhadap aku berbanding sebelum ini.

            Asmara memegang tanganku untuk menghentikan pergerakan. “Kerja tetap kerja, tanggungjawab juga tetap tanggungjawab.”

            Aku terkedu. Tersentuh dengan Asmara yang bersifat melindungi. “Tapi saya belum jadi tanggungjawab awak lagi.”

            Aku mengalihkan pandangan kearah lain. Tercakaplah pulak! Mulut aku memang tak ada insurans. Asmara tersenyum dan renungan matanya menjadi lebih redup. “Sekarang kita kan berpasangan, awak memang tanggungjawab sayalah.”

            “Eeii…mentang-mentanglah dulu study kat negara seberang, cakap pun guna ayat skema. Berpasangan? Mak ai, gelilah!” Aku ketawa terbahak-bahak. Itu kelebihannya apabila aku bersama dengan Asmara. Aku tidak perlu control cun dan bebas menjadi diri sendiri.

            Asmara membuat memek muka mengejek. “Iya dong! Kita kan berpacaran, ngapain geli-gelian.”

            Ayat yang keluar dari mulut Asmara membuatkan ketawaku semakin kuat meletus. Tetapi apabila terlintas sesuatu di fikiran, ketawaku tiba-tiba mati. Wajah Asmara aku tatap dengan kening yang terjungking sedikit.

            “Kat sana dulu, awak ‘pasang’ minah Indon ke?”

            Asmara pantas menggeleng laju. “Mana ada. Saya setia pada yang satu.”

            Aku menaikkan jari telunjuk tepat ke mukanya. “Baik cakap betul-betul Asmara…”

            Api cemburu menyala. Boleh tahan juga cemburu aku kalau tak kena gaya. Rasa malu aku tolak ketepi, yang penting jawapan jujur aku inginkan. Asmara mengangkat tangan seperti bersumpah.

            “Betul, tak pernah ada orang lain selain awak. Siapa bilang gadis Melayu tak menawan, tak menarik hati tiada memikat…” Asmara siap menyanyikan lagu Gadis Melayu segala bagai.

            Aku mencebikkan bibir. Tangan aku silangkan kedada memeluk tubuh. “Saya bukan gadis Melayu tulen.”

            Perlahan nada suaraku yang sedikit bergetar. Entah mengapa malam ini ayat itu boleh aku ucapkan. Aku mengaku asal-usulku yang sebenar? Aku bukan gadis Melayu tulen kerana ada darah Inggeris dalam tubuh ini. Malah wajahku juga mencerminkan itu.

            “Asmira, dengar sini sayang.” Asmara memegang kedua belah bahuku.

            “Saya tak menilai sesuatu dari luaran. Biarlah rupa awak tak macam Melayu, darah yang ada dalam tubuh awak juga bukan seratus peratus Melayu, tetapi hati dan jiwa awak penuh kemelayuan. Awak hidup dengan adat budaya orang Melayu. Tak guna kalau lahir sebagai Melayu tulen, wajah Melayu tapi gaya hidup kebaratan. Berapa ramai anak Melayu kita yang lupa mereka adalah orang Melayu?” Tegas Asmara menerangkan kepadaku.

            Aku terdiam. Pandanganku tertunduk ke lantai. Dalam hati aku bersetuju dengan kata-kata Asmara itu. Nilai-nilai kemelayuan memang nampak pudarnya terhadap anak-anak muda masa kini. Semua nak jadi macam orang Barat, kalau boleh.

            “Awak tetap gadis Melayu dimata saya.” Asmara menggenggam tanganku erat. Masih cuba mencari riak diwajahku yang menunduk.

            “Terima kasih, Asmara. Memang hati dan jiwa saya Melayu. Cuma jasad aje nampak berbeza.” Aku mengangkat wajah dan tersenyum tawar.

            “Dah, jangan sedih ye sayang. Saya minta maaf kalau buat awak terasa hati. Saya tolong-tolong sikit nanti sekejap lagi kita balik. Okey?” Asmara mencuit hujung hidungku.

            Aku tersenyum dan mengangguk. Kemudian memerhati kosong Asmara berlalu untuk membantu pekerjaku yang lain. Tiba-tiba satu perasaan aneh menyelubungi diri. Hakikat yang selama ini aku cuba padamkan kenyataannya. Dimana perempuan itu saat ini? Masih hidupkah dia? Adakah rupanya seperti rupa aku? Persoalan demi persoalan menerjah ruang fikiran yang selama ini langsung tiada ruang untuknya.

                       
                                                ********************************


Daddy tak benarkan Dean pergi.” Wajah tegang Daddy aku pandang tanpa berkelip. Mama Anis yang duduk di sebelahnya hanya mengusap-usap belakang daddy.

            “Dean serba-salah. Puan Jamaliah nak sangat Dean melawat dia kat hospital. Tolonglah daddy.” Aku merayu sambil melutut di hadapan daddy.

            “Tidak sekali-kali Dean. Remuk hati daddy atas perbuatan Hazriq pada Dean. Sedangkan sebagai seorang ayah pun daddy tak pernah jentik, lagi pulak nak pukul-memukul! Daddy tak nak Dean ada kena-mengena lagi dengan keluarga dia.” Daddy merengus kasar. Jarang sekali daddy marah-marah sebegini, mungkin dia benar-benar terkesan atas apa yang berlaku.

            Aku juga menerima kesannya. Baik secara fizikal mahupun mental. Bohonglah kalau aku tidak takut akan bertembung dengan Hazriq jika aku menjejakkan kaki ke hospital. Rasa trauma itu masih ada. Tetapi aku tidak sampai hati untuk menghampakan permintaan Puan Jamaliah. Mana tahu kalau-kalau ini permintaan terakhirnya? Aku jadi resah sendiri.

            “Ibu dia sakit daddy, bukan perkara main-main. Kalau daddy nak ikut sekali pun boleh. Dapat jumpa sekejap pun tak apalah, asalkan Dean tak hampakan permintaannya.” Aku masih cuba memujuk hati daddy yang seperti tidak mahu berganjak dengan keputusannya.

            “Kalau Dean berkeras juga, daddy dan mama akan ikut sekali. Tapi daddy cuma bagi masa sepuluh minit sahaja. Daddy tak nak ibu dia buat Dean terima Hazriq balik.”

            Aku menggeleng. “Walau apa pun Dean tak mungkin balik pada Hazriq.”

            Daddy merenung aku dalam-dalam. Mungkin sebagai seorang ayah, daddy terbatas untuk menyelami perasaan aku. Kalaulah Daddy tahu sejak dulu hanya ada satu nama sahaja yang bertakhta di hati ini….siapa lagi kalau bukan Asmara. Daddy tak perlu bimbang.

            Setibanya kami di hospital, tekaanku benar. Hazriq dan Aina ada menemani Puan Jamaliah yang terbaring memakai alat bantuan pernafasan. Pertama kali bertentang mata sejak kes tersebut, hati aku jadi gentar. Pandangan tajam Hazriq seakan mahu melapah aku hidup-hidup.

            “Hazriq, kau keluar dulu. Aku tak nak kau dekat dengan anak aku.” Tegas dan keras arahan daddy membuatkan aku tersentak.

            Hazriq merengus dan terus keluar sambil menghempas pintu. Aina pula bersalaman denganku dan Mama Anis sebelum turut beredar. Setelah aku duduk disisi Puan Jamaliah, daddy dan Mama Anis juga keluar meninggalkan kami berdua.

            “Puan, Dean datang ni.” Bisikku lembut di telinga Puan Jamaliah yang masih lemah.

            Perlahan-lahan mata tuanya dibuka. Tangannya meraba-raba cuba mencari tanganku untuk disentuh. “Dean…”

            “Ya, puan. Dean kat sini. Dean minta maaf sebab tak dapat terus bersama Hazriq. Dean…Dean tak sanggup lagi…” Ucapku tersekat-sekat menahan sendu. Hati aku sangat mudah berasa simpati. Kelemahan terbesar yang memakan diri.

            “Sa…ya…minta…maaf. Haz…riq kejam…pa…da…Dean.” Amat payah untuk Puan Jamaliah menuturkan kata. Namun aku amati juga satu persatu kata yang diucapkannya.

            “Tak apa, bukan salah puan. Saya dan Hazriq tak ada jodoh. Dean dah maafkan dia.” Aku mengelus perlahan tangan Puan Jamaliah yang dingin.

            “Kalau saya…tak ada…siapa…nak jaga…Aina…” Puan Jamaliah memandang tepat anak mataku. Anak matanya bergerak-gerak seperti ingin menyampaikan sesuatu.

            Dahiku berkerut. “Jangan cakap macam tu. Puan akan sihat, insyaallah.”

            “Saya…min…ta…maaf sangat. Dean to…long…tarik balik report tu.”

            Sepotong ayat itu menggoncangkan dada. Kalau aku tarik balik, Hazriq akan terlepas dari undang-undang. Malah keselamatan aku dan keluarga akan terancam. Tanganku yang menyentuh tangan Puan Jamaliah aku tarik perlahan. Berkira-kira untuk beredar. Aku pasti beralah kalau lebih lama disini.

            “Sa…ya…merayu. Sa…ya…janji…Hazriq tak…apa-apakan…Dean lagi.” Puan Jamaliah ingin membuka alat bantuan pernafasannya untuk bangun.

            “Baik, puan. Dean akan lakukan.” Aku pantas menghalang dan membaringkannya semula.

            Puan Jamaliah tersenyum kelat. “Ter…rima…kasih. Semoga…Dean hi…dup…bahagia.”

            Aku membalas senyumannya walaupun lebih kurang sama kelatnya. Aku tahu aku akan dimarahi daddy, merisikokan semula keselamatan kami, tetapi aku harap Hazriq telah sedar kesalahannya. Mungkin Hazriq tidak sekejam yang disangka? Ah, hati sebenarnya rasa berbelah-bahagi.

            “Puan cepat sembuh ye. Saya balik dulu. Assalamualaikum.” Aku mencium tangannya dan Puan Jamaliah mengangguk lemah. Pandangan matanya sukar untuk dimengertikan tetapi ada rasa kasih di situ. Aku mampu merasakannya.

            Setelah beberapa langkah, aku berpatah balik. Aku renung wajah Puan Jamaliah yang pucat. Matanya sudah tertutup rapat. Nafasnya turun naik perlahan. Aku menunduk sedikit dan mencium dahinya. Mata itu kembali terbuka.

            “Biarpun Dean tak ada jodoh dengan Hazriq, Dean nak puan tahu satu perkara. Dean tetap sayangkan puan macam seorang ibu.” Aku menggigit bibir menahan rasa sendu. Aku tidak mahu airmata ini tumpah dihadapan Puan Jamaliah yang sedang sakit.

            Puan Jamaliah tersenyum. Kemudian aku melambaikan tangan kepadanya sebelum tangan membuka pintu. Aku keluar tanpa menoleh lagi. Daddy dan Mama Anis yang menunggu di luar bilik terus mendapatkan aku. Hazriq dan Aina yang duduk jauh sedikit di hujung sudut hanya memerhati.

            “Jom kita balik.” Aku terus melangkah.

            Aku mahu segera keluar dari bangunan hospital ini. Mahu segera pulang ke rumah dan mengambil masa untuk berfikir seketika.

6 comments:

Unknown said...

Salam, apa khabar? hari-hari terintai-intai blog nie.

Saya rasa sudah masanya Dean menurut kata daddy n mama anis dalam menentukan corak kehidupannya. Memang Puan Jamilah tu bakal mentua tak jadi tapi tak seharusnya Dean menarik balik repot tu. Ini bukan bertujuan untuk mendera Hazriq tapi memberi pengajaran. Dean boleh boleh menegakkan keadilan dan memohon supaya hukuman yang diberikan kepada Hazriq tu bukan penjara tetapi mungkin kaunseling keagamaan misalnya. Apa-apa pun sebarang keputusan Dean diharapkan tidak terburu-buru kerana hati. Dengan Puan Jamilah boleh berlembut dengan Asmara kenapa berdendam plak. Itulah rahsia hati Dean yang sendiri tak kenal.

Shizukaz Sue said...

Seri Ayu: wsalam kak seri..thanks la mengintai je kejenya hehe fizikal khabar baik, hati je kurang sihat hee

komen yg sgt3 membina..btul..kadang2 manusia ni tak kenal rahsia hati sendiri..thanks akak..

Unknown said...

jangan tarik balik report, biar dapat mengajar hazrik

Shizukaz Sue said...

nani comel: tulah, shiz dh bgtau Dean tp mcm degil je budak tu..kihkihkih

Anonymous said...

Salam.... Adeehh.. nmpak sgt kn.. mamat umurxserupa31 tu, jenis yg x blajar dari kesilapan... Puan Jamilah plak yg minta maaf bagi pihak dia Cehhh...!! Anyway, cepat2 update jalan citer seterusnya ek.. x sabar nie.. hik hik hik

Shizukaz Sue said...

Anonymous: tq ye sentiasa support umurxserupa31! eh silap pulaak..hehe support cerita ni kihkihkih