Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Tuesday, August 12, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 44



              Melangkahkan kaki ke dalam mahligai indah milik keluarga Hadif membuatkan mataku terpaku memandangnya. Mulutku juga sedikit terlopong. Bagi aku yang dibesarkan dalam rumah teres setingkat tiga bilik itu membuatkan aku kagum melihat banglo mewah yang memuatkan tujuh buah bilik ini. Besarnya! Bilik-bilik yang berada di tingkat atas disusun secara membulat dan dapat dilihat dari ruang tamu bawah. Perabot serta susun atur ruang tamu yang luas ini bertemakan klasik kontemporari dan sekali pandang terasa macam berada di Bali pula.

             “Duduklah dulu. Abang nak masukkan beg kita dalam bilik kejap.” Hadif mencium pipiku ringkas dan terus berlalu memanjat tangga menuju ke tingkat atas dengan membawa beg pakaian kami.  Aku hanya menghantar Hadif dengan pandangan mata mengekori langkahnya.

            Tidak sukar untuk mengetahui yang mana satu bilik Hadif dalam banyak-banyak bilik yang ada, kerana terdapat poster besar gambar Hadif berpakaian sukan dilekatkan pada pintu biliknya. Aku dapat melihat dengan jelas poster itu dari ruang tamu bawah. Setelah Hadif menghilang ke dalam bilik, aku terus meninjau keadaan di sekeliling ruang tamu ini. Perabot-perabot yang kelihatan lebih besar dari saiz normal membuatkan aku tertarik untuk menyentuh dan melihatnya dari dekat.

            Mesti semuanya perabot import dari luar negara. Aku melangkah pula ke almari kayu yang besar di penjuru sudut sebelah kanan. Terdapat pelbagai replika helikopter tersusun cantik di rak paling atas. Siapa pula yang minat helikopter ni? Kemudian mataku beralih pula ke rak kedua yang memuatkan piring-piring kristal yang mempunyai gambar di dalamnya. Ya Allah, bingkai gambar rupanya benda alah ni, desis hatiku lagi. Bingkai gambar pun diperbuat daripada kristal. Mesti mahal harganya. 

            Terdapat gambar-gambar mereka sekeluarga sejak Hadif masih kecil sehingga sekarang dimuatkan di dalam bingkai kristal ini. Comelnya Hadif masa kecil. Rambutnya dibiarkan panjang sedikit dah macam anak orang Jepun aku tengok. Aku tersenyum sendirian melihat aksi-aksi comel Hadif di dalam gambar. Pandai juga dia ni bergambar rupanya sampai gambar dalam studio yang ala-ala model iklan pun ada. Dalam banyak-banyak gambar yang tersusun, aku terkejut melihat gambar akad nikah kami turut diabadikan di dalam bingkai kristal. Walaupun hanya nampak separuh batang hidung dan sepasang mata, aku tetap kelihatan anggun disisi Hadif yang pastinya tersenyum plastik ketika itu.

            “Assalamualaikum puan.” Tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara seorang wanita memberi salam di belakangku. Segera aku berpaling dan melihat wanita berusia separuh abad yang memakai baju kurung sedang tersenyum kepadaku.

            “Waalaikumsalam,” jawabku perlahan sambil merapati wanita itu dan menghulurkan salam. Tangannya kucium selayaknya kerana dia lebih tua dan seperti seorang ibu bagiku. Namun wanita itu tersenyum segan dan pantas menarik tangannya.

            “Tak payahlah puan salam cium tangan Mak Dian. Mak Dian ni pembantu rumah aje. Maaf Mak Dian lambat sampai. Nasib baik tuan ada bawa kunci rumah ni.” Terang wanita itu yang memperkenalkan dirinya sebagai pembantu rumah bernama Mak Dian.

            “Apa salahnya, Mak Dian. Mak Dian kan lebih tua dari saya.” Aku tersenyum mesra sambil mengambil tempat duduk di atas sofa berkepala kayu yang dihiasi ukiran besar. Aku melihat Mak Dian masih tersenyum malu-malu mendengar sebaris ayatku. Sebenarnya aku duduk kerana pinggangku agak lenguh dari tadi. Inilah padahnya akibat aku mengangkat sendiri beg baju walaupun telah ditegah oleh Hadif. Berat macam batu beg aku kerana kami akan tinggal disini hampir sebulan. Jadi haruslah aku sumbat banyak kain baju dalam beg tu.

            “Mak Dian baru sampai?” Teguran Hadif yang sedang menuruni anak tangga itu membuatkan aku dan Mak Dian sama-sama mengangkat wajah memandang Hadif.

            “Maaf tuan, Mak Dian lambat sampai. Tadi Mak Dian singgah pasar beli barang-barang untuk masak hari ini. Mak Dian nak masakkan makanan kegemaran tuan. Datin dah pesan sejak semalam lagi.” Kata Mak Dian sambil tersenyum dan bersalaman dengan Hadif. Tuan? Perlu ke sentiasa dipanggil tuan walaupun di dalam rumah? 

            Aku hanya memandang drama sebabak antara Hadif dan Mak Dian. Tidak berniat untuk mencelah perbualan mereka yang sudah lama tidak berjumpa. Nampak gayanya pasti Mak Dian telah lama bekerja di rumah ini kerana dia kelihatan mesra dengan Hadif.

            “Mak Dian kenalkan ni isteri saya, Aida Nasuha. Saya balik lama sikit kali ni sebab nak uruskan kedai dobi dan syarikat papa tu.” Hadif menarik tanganku agar berdiri rapat dengannya. Aduh! Depan Mak Dian pun kena diperkenalkan semesra ini ke sayangku Hadif? 

            Aku tersenyum untuk kesekian kalinya. “Aida dah salam dengan Mak Dian tadi.” Kataku sambil memandang sekilas wajah Hadif dan kembali memandang Mak Dian yang menganggukkan kepalanya. 

            “Selama ni Mak Dian tengok dalam gambar aje muka puan ni. Baru sekarang dapat tengok depan-depan. Cantiknya macam amoi anak cina. Putih melepak, mata pun sepet. Kalau terjumpa kat luar tentu Mak Dian ingat bukan orang Melayu kita.” Ramah Mak Dian berbicara. 

            Ayat yang keluar dari mulut Mak Dian membuatkan Hadif tergelak besar. Aku hanya tersenyum kecil dan Mak Dian pula tersengih macam kerang. Terasa segan pula dipuji setinggi itu oleh Mak Dian dihadapan Hadif. Mukaku sudah bertukar warna menjadi kemerah-merahan saat ini.

            “Malulah saya Mak Dian puji lebih-lebih. Eh, tak payahlah panggil puan. Panggil saya Aida cukuplah.” Aku memandang wajah Mak Dian yang masih tersengih sejak tadi. 

            Mak Dian kelihatan serba-salah. Dia memandang wajah aku dan Hadif silih berganti sebelum membuka mulut. “Mak Dian dah biasa panggil tuan sejak tuan Hadif kecil lagi. Isterinya kenalah Mak Dian panggil puan.” Jawab Mak Dian lambat-lambat.

            Aku menoleh untuk melihat wajah Hadif seketika. Cuba untuk mencari reaksi atau jawapan yang mungkin keluar dari mulutnya. Aku baru teringat kata-kata Pakcik Mahmod dulu yang semua pekerja memanggil Hadif dengan gelaran tuan sejak dia kecil lagi. Tetapi sungguh aku tidak biasa digelar sebegitu. Rumah aku bukannya ada pembantu rumah dan pekerja ayah pula hanya memanggil aku dengan gelaran nama sahaja. Manalah aku biasa berlagak seperti mem besar.

            “Kalau sayang tak suka dipanggil puan it’s okey. Mak Dian boleh panggil sayang Aida. Tapi dengan Mak Dian aje tau. Kat syarikat papa nanti, kat kedai dobi ke atau kat mana-mana kalau orang panggil abang tuan, mereka kena panggil sayang puan. Faham?” Penjelasan Hadif kedengaran tegas di telinga aku. Namun kulihat wajahnya tenang tanpa reaksi kurang senang.

            Aku mengangguk perlahan dan mengalihkan pandangan ke arah Mak Dian  yang memerhatikan kami dari tadi. “Mak Dian ke dapur dulu ye. Nak memasak. Nanti dah siap Mak Dian panggilkan tuan dengan Aida. Berehatlah dulu.” Setelah Hadif menganggukkan kepala barulah Mak Dian berlalu menuju ke dapur.

            Aku melabuhkan semula punggung ke atas sofa empuk ini. Hadif juga mengambil tempat disisiku sambil tangannya memaut bahuku erat. Aku hanya tersenyum dan menebarkan pandang ke serata ruang tamu seperti tadi. Terasa kekok berada di banglo mewah yang asing bagi aku kerana pertama kali menjejakkan kaki kesini.

            “Sayang nak tengok-tengok sekeliling rumah ni? Jom abang bawak.” Pelawa Hadif apabila melihat aku leka menjamu pandang kesana kemari. Aku mengangguk dan bingkas bangun dipimpin oleh Hadif.

            Hadif membawa aku ke luar rumah terlebih dahulu. Terdapat kolam renang sederhana besar di sebelah kiri banglo dua tingkat ini. Kolam renang tertutup yang mempunyai bumbung lutsinar ini dihiasi taman mini disebelahnya. Terdapat air terjun buatan serta tempat beristirehat untuk seisi keluarga. Malah buaian kayu juga tersedia disuatu sudut untuk bersantai mengambil angin. Indahnya pemandangan disini.

            “Sayang bolehlah berenang kat sini nanti. Sayang kan suka swimming. Ha, kat sini abang izinkan sayang pakai bikini. Amacam?” Hadif menjungkitkan keningnya sambil tersengih memandang aku yang terkulat-kulat mendengar ayatnya.

            Aku mencebikkan bibir. “Mengadalah abang ni. Sayang swimming pakai baju tidur aje pun okey.” Jawabku sambil berlalu menuju ke bahagian hadapan meninggalkan Hadif yang sedang tergelak lucu.

            Dibahagian hadapan pula terdapat taman yang dibina sebagai hiasan. Penuh dengan pelbagai jenis pokok serta bunga-bunga yang mekar mewangi. Merimbun pokok-pokok ini jelas menonjolkan suasana kehijauan di banglo mewah sebegini. Semuanya kemas dan terjaga rapi. Pasti ada tukang kebun yang menguruskan semua tanaman walaupun tanpa keberadaan mama dan papa dirumah. ‘Hadif Rizqie’. Itulah perkataan yang dibina daripada rumput jenis karpet yang tergantung di atas pintu gerbang menuju ke dalam taman. Betapa Hadif hidup dengan penuh kasih sayang daripada mama dan papanya sehingga nama taman itu diberikan sempena namanya. Anak tunggal pasti ditatang seperti minyak yang penuh. Bertuahnya Hadif.

            “Cantik sangat taman Hadif Rizqie ni. Tapi kenapa tak ada tempat duduk nak lepak-lepak?” Soalku ketika melangkah masuk ke dalam taman hiasan ini. Agak luas pemandangannya tetapi sayang tiada tempat duduk. Keadaannya seperti melawat ke taman botani atau pun taman bunga pula.

            “Tempat lepak-lepak kat taman sebelah kolam renang tadi. Taman ni untuk melawat bunga-bunga aje. Tapi kalau sayang nak duduk, boleh duduk atas rumput ni. Selesa tau macam karpet.” Pegangan Hadif secara tiba-tiba dari arah belakang membuatkan langkahku termati. Kemudian aku memusingkan tubuh untuk memandang Hadif.

            “Erm…kenapa abang perlu dipanggil tuan?” Soalan itu pula yang terpacul keluar dari mulutku saat ini. Erk! Agak-agak Hadif marah tak aku tanya soalan macam ni? Aku telan liur.

            Wajah Hadif yang tadinya tenang sedikit berkerut di dahi. “Kenapa? Sayang tak suka?” 

            “Eh, tak…bukan macam tu. Macam berlagak aje bunyinya kena panggil abang dengan gelaran tuan tapi sayang tahu abang bukan jenis yang berlagak. Sebab tu sayang tanya.” 

            Aku menghadiahkannya sebuah senyuman manis. Tidak mahu Hadif merajuk atau salah sangka dengan soalan aku itu. Aku mahu Hadif tahu aku sangat sayangkan dia dan tidak bersangka buruk terhadapnya. Anak mata Hadif aku renung penuh kasih.

            “Oh, masa kecil memang abang berlagak pun. Suka jadi bos. Masa dah masuk sekolah menengah, abang dah matang sikit abang ingat nak tukarlah suruh pekerja semua panggil nama aje. Tapi diaorang dah terbiasa pula panggil tuan. So lekatlah sampai sekarang panggilan tu.” Terang Hadif sambil membalas renungan mataku. Rambutku pula diusap perlahan menyalurkan rasa cinta yang tidak bertepi antara kami suami isteri.

            Aku mengerutkan kening. Bukan aku tidak faham dengan penjelasan Hadif tetapi ada satu perkara lagi yang aku terfikir. “Tapi kenapa Mak Dian aje boleh panggil sayang Aida. Pekerja lain nanti kena panggil sayang puan pulak.” 

            Hadif tergelak mendengar pertanyaan aku. “Antara pekerja dengan majikan kenalah ada rasa hormat. Mana boleh main langgar aje nak panggil apa pun.” 

            Serius aku tak faham. Majikan dengan pekerja? Aku bukannya seorang majikan malah walaupun aku ini isteri Hadif tidak bermakna aku majikan mereka. Tak sesuai langsung aku diibaratkan sebagai majikan.

            “Sayang dah jadi majikan mereka sejak sayang bergelar isteri abang. Duit yang papa nak bagi pada kita tu dah pun dibahagi sama rata ke dalam akaun masing-masing. Sayang belum tengok eh?” Seperti dapat meneka apa yang berada di dalam fikiranku, Hadif memberikan jawapan bagi persoalan yang bermain di minda.

            Melopong mulut aku mendengar kenyataan Hadif. Biar betul? Duit dah dimasukkan kedalam akaun? Berapa banyak amaunnya? Aku baru teringat sejak aku dan Hadif menjadi suami isteri dalam erti kata sebenar, aku sudah tidak ke bank untuk mengeluarkan duit. Belanja bulanan Hadif berikan secara tunai ke tanganku termasuk duit poket untuk aku ke kuliah. Kesibukan aku sejak dua menjak ini juga membuatkan aku langsung tidak melihat baki duit di dalam akaun bank. Tiada kepentingan pun kerana aku tidak pernah kesempitan wang.

            “Bukan itu aje sayang. Syarikat papa kat sini telah ditukar nama pemiliknya kepada nama kita berdua. Tinggal kita nak tanda tangan aje dokumen tu semua. Nanti kita uruskan sementara kita ada kat sini. So papa sibuk uruskan bisnes dia kat Jakarta tu ajelah sekarang ni. Yang lain semua atas nama kita berdua. Kedai dobi tu aje nama abang seorang. Tapi kalau kita ada anak, abang nak hadiahkan dia kedai dobi tu.” Panjang lebar Hadif menerangkan semua perkara yang aku tidak tahu. Malah perancangan untuk masa depan bakal anak kami juga telah difikirkannya. 

            “Ya, Allah…betul ke ni bang? Sayang nak buat apa dengan duit banyak-banyak tu? Pasal syarikat pula sayang langsung tak tahu apa-apa jadi macam mana nak jadi pemilik bersama dengan abang? Eh, tak naklah semua tu. Sayang akan serahkan pada abang. Hanya abang waris tunggal papa dan berhak untuk harta dia.” Aku yang dari tadi melopong tanpa sepatah kata mula bersuara. 

            Aku memang tidak layak menerima semua itu. Siapa aku? Walaupun aku tahu kisah terhutang budi antara papa dan ayah tetapi kami tetap orang luar yang tidak berhak. Biarlah Hadif menikmati semua harta warisan papanya. Aku tidak mengharapkan apa-apa atas perkahwinan ini kecuali cinta dan kasih sayang dari seorang yang bernama suami. Aku pasti ayah juga begitu. Hanya mendoakan dan berharap akan kebahagiaan aku bersama Hadif.

            “Abang pun tak nak semua tu kalau sayang tak terima. Ini milik kita berdua sayang. Bukan untuk orang lain. Untuk masa depan keluarga kita, untuk masa depan anak-anak kita, cucu papa jugak. Tapi abang nak sayang gunakan duit tu kearah kebaikan. Hal syarikat nanti abang ajarkan sayang okey. Lepas habis belajar, kita kena kerja keras untuk syarikat tu. Bukan bermakna jadi pemilik kita kena duduk goyang kaki aje.” Hadif mencium ubun-ubunku penuh kasih sayang. Terasa hangat cintanya mengalir ke setiap pembuluh darahku.

            Aku menarik nafas dalam-dalam dan mengangguk lemah. Nampaknya tiada pilihan selain mengikut apa yang telah direncanakan sebelum ini. Memang aku akan berkongsi harta warisan papa bersama dengan Hadif. Cuma aku agak terkejut kerana secepat ini papa bertindak membahagikan hartanya. Mungkin papa sudah yakin aku dan Hadif saling mencintai dan tidak mungkin berpisah walaupun harta itu telah jatuh ke tangan kami.

            Berapa banyak agaknya duit yang papa berikan itu? Tetapi apa aku nak buat dengan duit tersebut? Berikan kepada ayah dan nenek? 

            Aku benar-benar tidak dapat berfikir saat ini

No comments: