Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Friday, December 7, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 18


        Keheningan Subuh membuatkan hatiku sebak. Airmata menitis laju sewaktu aku berdoa di tikar sejadah. Kenapa hati aku boleh serapuh ini? Aku sangka aku telah cukup kuat untuk menghadapi setiap dugaan. Tetapi ternyata aku masih insan yang lemah. Hamba yang banyak kekurangan. Hanya perlindungan dari yang Maha Esa aku pohonkan agar kami sekeluarga sentiasa selamat dan diberkati. Setelah selesai, telekung di badan aku buka. Tikar sejadah aku lipat dan letak di atas penyidai.

            “Dah selesai solat, Cik Dean?”

            Aku mengangguk dan tersenyum. “Apa kata awak panggil saya Dean aje?”

            “Eh, mana boleh. Cik Dean bos saya. Mestilah saya kena hormat orang yang beri rezeki pada saya.” Syaza yang baru terbangun dari tidur menggosok mata.

            “Bukan saya yang beri rezeki, tapi Allah. Saya bagi awak pekerjaan aje.” Aku naik ke atas katil dan kembali berbaring di sisi Syaza.

            “Silap…” Syaza tersengih.

            “Mulai sekarang panggil saya Dean ye?” Aku mengiring menghadap Syaza. Dia masih bermalas-malas di atas katil kerana dalam keadaan uzur. Jadi tidak perlu menunaikan solat.

            “Kak Dean elok sikit, kut. Kan Cik Dean lebih tua dari saya. Eh, kak Dean lagi tua.” Syaza tersasul-sasul ingin menukar panggilan namaku.

            Aku menggelengkan kepala. Kelakar melihatkan Syaza dengan wajah baru bangun dari tidur. Anak dara seorang ni….

            “Okey, akak pun akaakkk…saya tak kisah. Lagipun saya tak ada adik.” Aku ketawa kecil.

            “Saya pula tak ada kakak. Semuanya abang-abang yang kuat membuli. Kak Dean jadi kakak sayalah ye.” Syaza melentokkan kepalanya ke bahuku. Adegan manjalah kononnya.

            Aku ketawa lagi. “Memang dah lama saya anggap awak macam adik saya. Tapi, kerja tetap kerja. Waktu kerja, kita kena kerja sungguh-sungguh. Apabila waktu bersuka-ria, kita kena main sungguh-sungguh.”

            Meletus ketawa besar dari mulut Syaza mendengarkan ayatku sebentar tadi. Apa yang lucunya? Ayat tu ayat yang selalu daddy ucapkan sejak aku di bangku sekolah lagi. Jadi kalau rasa lucu, ketawakan daddy ye. Not me!

            “Baik bos! Jangan risau. Saya akan bekerja dengan bersungguh-sungguh.” Syaza semakin mendekatkan wajahnya ke bahuku.

            “Gelilah Syaza! Adik ke kucing ni?”

            “Kak Dean ni, orang baru nak rasa ada kakak. Potong betul.” Syaza memuncungkan bibirnya. Namun belum sempat kepalanya di alihkan aku telah menahannya.

            “Okey, manjalah ye adikku sayang. Kak Dean gurau aje.”

            Akhirnya kami berdua ketawa geli hati dengan sikap masing-masing. Suasana di kampung ini memberikan kelainan padaku. Aku berasa damai dan tenteram. Tanpa telefon bimbit, tanpa butik, tanpa pelanggan, tiada hiruk-pikuk kota dan paling penting tanpa Hazriq!

            Semuanya aku tinggalkan di bandar raya Johor Bahru kesayanganku. Tanah tempat tumpah darahku. Cewah! Patriotik pula aku walaupun belum bulan kemerdekaan. Tak apa, semangat itu mesti ada dalam diri setiap warganegara. Tak gitu? Namun kemerdekaan jiwa yang aku rasai kini terasa nikmat. Aku bebas. Bebas dari komunis bernama Hazriq.   
     
            “Dah bangun ke Syaza?” Suara Puan Hasmah mematikan gelak-tawa kami.

            “Dah mak.” Syaza bangkit dari pembaringannya.

            “Jom tolong mak buat sarapan kat dapur.” Laung Puan Hasmah dan bunyi derapan tapak kaki berlalu pergi.

            “Kak Dean rehat-rehat dulu ye. Saya nak tolong mak sekejap.” Syaza bingkas turun dari katil. Syaza memang anak yang baik, desis hatiku.

            Aku juga ikut turun dari katil. “Rehat apanya? Bukan akak yang memandu malam tadi. Jom, akak tolong sama.”

            Syaza melebarkan sengih dihujung bibir. “Susah-susah aje Kak Dean. Duduk aje dalam bilik. Nanti dah siap, saya panggil makan.”

            Aku menggeleng. “Tak ada susahnya. Jomlah cepat!”

            Aku membuka pintu kayu di bilik Syaza dan mengatur langkah menuju ke dapur. Rumah kampung sederhana besar ini nampak kemas dan bersih. Terletak di kawasan Felda di Kota Tinggi yang mengambil masa hampir dua jam perjalanan untuk kami sampai ke sini.

            “Masak apa tu makcik?” Sapaku ramah.

            “Makcik nak masak nasi lemak pagi ni. Cik Dean duduklah atas. Buat apa turun ke dapur ni ha…” Puan Hasmah riuh berbicara sambil membasuh beras di sinki.

            “Syaza dah suruh tunggu atas, tapi degil juga nak tolong mak.” Syaza mencebikkan bibir memandang aku.

            “Panggil Dean ajelah makcik. Tak payah bercik-cik.” Jawabku yang masih tersenyum.

            “Tak payah tolong, Syaza ada dah cukup. Dean pergi tengok televisyen kat atas.” Puan Hasmah menyukat santan untuk dimasukkan ke dalam periuk nasi. Bukan main berhati-hati sukatannya. Kalah Chef Wan. Aku mengulum senyum.

            “Tak apalah makcik. Ha, Dean tolong masak sambal tumis ikan bilis boleh?” Soalku yag masih berdiri di belakang Puan Hasmah.

            Syaza mengecilkan matanya memandang aku tajam. Dahinya berkerut seribu. “Biar betul Kak Dean? Tak sakit perut ke kalau saya makan?”

            Membulat biji mataku membalas renungan Syaza. Cis! Pandang rendah pada bos sendiri budak ni. Nanti, aku akan buktikan kehebatanku di dapur. “Amboi-amboi Syaza…jangan ingat akak pandai andam pengantin aje ye. Masak-memasak pun boleh walaupun tak selalu turun ke dapur.”

            Syaza tergelak besar mendengar sindiranku sebentar tadi. Sampai menekan perut lagi. Amboi sedap benar ketawakan aku. Jangan sampai termimpi-mimpi sambal tumis aku pulak nanti. Pujuk macam mana pun, aku tak nak buatkan lagi. Baru tau mengidam bagai nak rak!

            “Boleh juga nak merasa air tangan orang bandar. Kalau sedap, makcik masuk meminang.” Puan Hasmah pula yang tersenyum-senyum menjeling kearah aku.

            “Tak boleh mak. Kak Dean ni dah berpunya. Melepaslah nak jadikan kakak ipar.” Syaza menghabiskan sisa-sisa tawanya.

            Aku tersengih. “Makcik ni ada-ada aje tau. Syaza, tolong akak kupas bawang dan gunting lada kering ye.”

            Syaza mengangguk dan mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan. Aku mengambil tempat di kerusi makan dan bersedia untuk memulakan tugas menyediakan bahan. Selesai menanak nasi, Puan Hasmah menggoreng ikan bilis dan kacang tanah pula. Kedengaran sekali-sekala riuh Syaza bertempik apabila diusik olek maknya. Ada sahaja adegan usik-mengusik antara mereka. Patutlah Syaza selalu rindu nak balik kampung. Hubungan mereka sangat rapat dan mesra. Kejamnya aku susah nak beri cuti pada Syaza selama ini….


                                                *****************************


“Airnya jernih sangat Syaza!” Kuat suaraku berteriak akibat teruja melihat anak sungai yang mengalir perlahan di bawah kaki.

            Syaza mengangguk beberapa kali. “Bersih airnya Kak Dean. Nak turun berendam pun boleh.”

            Aku memandang wajah Syaza. Boleh turun berendam? Aduh, macam seronok aje bunyinya di pendengaranku saat ini. Walaupun air sungainya tidaklah sedalam mana namun aku masih teringin untuk turun ke bawah.

            “Syaza menoleh. “Jangan kata Kak Dean nak terjun sekarang.”

            “Jomlah Syaza…berendam seorang-seorang nampak macam budak-budak pula. Jomlah temankan akak.” Aku menarik tangan Syaza yang sudah mengangkat tangan untuk berkata tidak.

            “Sekarang tak bawa tuala. Petang-petang nantilah kita datang balik.” Syaza menggelengkan kepalanya.

            “Tak apa. Balik aje basah-basah.”

            Aku menarik kuat tangan Syaza dan tanpa imbangan yang stabil aku hampir tergelincir jatuh dari titi kayu tempat kami berdiri. Syaza cuba untuk bangun tetapi dia pula yang terdorong ke hadapan dan jatuh terus ke dalam anak sungai. Aku yang jatuh terduduk di atas titi ketawa geli hati.

            “Apa ni Kak Dean! Syaza pulak yang jatuh berendam dalam ni.” Syaza mengibas-ngibas seluarnya yang telah dipenuhi pasir-pasir halus. Memberatkan lagi untuk dia melangkah.

            Aku ketawa terbahak-bahak. Tidak tahan melihat keadaan Syaza yang muncung sedepa. Namun setelah ketawaku reda, aku turun perlahan-lahan ke dalam anak sungai.

            “Ala Syaza, tadi akak ajak elok-elok jual mahal. Sekarang dah terjatuh sendiri, nak buat macam mana…” Aku tersengih merapatinya.

            “Duduklah berendam. Nanti pasir tu hilanglah dalam air.” Aku menarik tangan Syaza untuk merendahkan badan dan berendam di dalam anak sungai yang airnya hanya separas pinggang.

            “Kak Dean ni teringin nak jadi budak-budak semula ke?” Syaza yang sudah berendam hingga separas leher menepuk-nepuk permukaan air sengaja untuk membasahkan aku.

            Tanpa dapat mengelak, habis aku basah sehingga ke rambut. Kemudian giliran aku pula mengocakkan air sehingga basah muka Syaza. Sempat juga dia menjauhkan diri daripada aku. Kami berkejaran seperti kanak-kanak riang. Kalau orang-orang tua tengok, pasti panjang gelengannya.

            “Akak mana ada kampung macam ni Syaza. Bagilah chance.” Aku ketawa mengekek apabila Syaza datang untuk menyerang balas.

            “Splash!” Basah satu kepala.

            “Eh, sambal tumis Kak Dean tadi ada lagi kan?” Syaza tiba-tiba lari topik.

            “Ada lagi. Akak buat lebih tadi dalam kuali.” Jawabku sambil mengerutkan kening.

            “Syaza nak makan lagi tengahari karang. Sedap betul macam beli kat restoran!” Syaza membuat aksi menjilat jari.

            Aku mencebikkan bibir memandangnya. “Itulah, lain kali jangan pandang rendah pada orang. Belum cuba, belum tahu.”

            “Manalah Syaza tahu masakan Kak Dean ni sedap. Masak dalam setahun pun boleh dikira dengan jari.” Syaza menjelirkan lidahnya kearahku.

            Aku menggelengkan kepala melihat aksi Syaza. Namun dalam hati dah terasa kembang semacam. Malah Puan Hasmah juga turut memberikan pujian terhadap sambal tumis ikan bilis buatan tanganku pagi tadi. Katanya dah boleh buka kedai jual nasi lemak. Kesedapan nasi lemak turut bergantung pada sambalnya. Barulah ada umppph!

            “Eleh, senyum-senyum pulak! Mesti tengah kembang setaman kan?” Syaza memercikkan lagi air ke wajahku yang putih mulus tanpa solekan.

            “Oit! Terkejutlah.” Aku meraup wajah untuk menghilangkan sisa-sisa air yang mengaburi pandangan.

            Syaza tersengih sumbing. “Cepatlah mandi Kak Dean. Sejuk dah ni.”

            “Alahai Syaza, baru sekejap dah sejuk. Apa kes?” Aku memuncungkan bibir tanda protes.

            “Nak terken…” Syaza sengih lagi. Kali ini semakin lebar apabila dia berdiri diam membatu untuk beberapa saat.

            “Syaza!! Eeiii teruk perangai…” Aku menjerit sambil berlari menjauhi Syaza yang semakin galak mengekek tawanya.

            Apa lagi yang dibuat oleh Syaza? Pastinya dapat meneka Syaza sedang melakukan proses tabiinya di dalam air. Nasib baik air sungai ini sentiasa mengalir walaupun tidaklah deras. Harap-harap sisa buangan Syaza segera mengalir agar kami boleh bermandi-manda dengan enaknya.

            “Kak Dean…”

            “Hmmm…”

            “Balik nanti macam mana?”

            “Macam mana apa?” Pandangan mata yang sedang menikmati keindahan pokok-pokok di sekitar anak sungai ini beralih ke muka Syaza.

            “Syaza risaukan akak.”

            “Risau?” Kerutan di dahi menandakan aku masih belum faham maksudnya.

            Syaza mengeluh lemah. “Nak menjawab dengan Encik Hazriq. Kalau dia puk…”

            Belum sempat Syaza menghabiskan ayat, aku segera memotong. “Tak apa Syaza. Jangan risau. Mudah-mudahan tak ada apa-apa.”

            Syaza menelan liur. Aku juga sebenarnya berdebar menanti reaksi lelaki itu. Setelah beria-ia mendaftar dan membuat pembayaran untuk kursus perkahwinan, aku tiba-tiba menghilangkan diri pada tarikh yang ditetapkan. Daddy dan Mama Anis pula tiada dirumah selama dua hari kerana menghadiri majlis     perkahwinan saudara sebelah Mama Anis di Selangor. Jadi, Hazriq memang tidak dapat menjejaki aku buat masa ini.

                 Daddy dan Mama Anis pasti tidak akan menjawab panggilannya kerana aku telah berpesan awal-awal lagi.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Puan penulis... thx for the N3.. Cuba membayangkn apa tindakan `umurxserupa31' tu pd Dean nnti!! Adeehh.. Mahu je buka langkah Tun Teja ku... haiyaaakkkk... hik hik hik!! Anyway, all the best in ur life.. smoga Allah melindungi diri mu sekeluarga... Amin!!

Shizukaz Sue said...

Wsalam...terima kasih kerana tidak jemu memberika sokongan ye..terharuuu hehe amin =)