Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, August 11, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 36



            “Merdeka!” Akma menjerit gembira setelah kami keluar dari dewan peperiksaan.

            “Lega sangat hati aku dah habis exam. Lepas ni bolehlah aku pergi honeymoon dengan senang hati.” Aku pula bersuara sambil mengambil beg yang diletakkan di luar dewan.

            “Amboi, siap nak honeymoon bagai! Semester depan datang dah bawak perut kut.” Wawa ketawa mengekek sambil memandang wajahku.

            “Ada-ada aje kau ni Wawa. Aku muda lagi lah!” Aku menjelirkan lidah kepada Wawa. Namun bibirku tidak lekang dengan senyuman sebagai tanda jiwa aku yang diulit rasa bahagia saat ini.

            “Lambatlah kau jawab tadi. Aku dengan Akma dah bagi isyarat mata ajak keluar dewan, kau buat bodoh aje.” Wawa membebel sambil kami berjalan menuju ke foyer perpustakaan.

            “Aku tak naklah terburu-buru. Masa ada lagi kan. Kena check betul-betul mana tahu ada silap yang aku terlepas pandang.” Balasku pula membela diri.

            “Malam ni aku dah balik kampung. Eeee…tak sabar.” Akma pula mencelah perbualan kami.

            Aku tergelak kecil melihat telatah Akma yang teruja itu. “Kau orang jaga diri baik-baik tau! Insyaallah kita jumpa lagi semester depan. Mesti aku akan rindukan kau orang berdua nanti…” Aku bersuara lirih kemudian memaut bahu kedua-dua sahabat baikku.

            “Kami pun akan rindukan kau jugak! Jaga diri baik-baik dan jaga Hadif sekali.” Jawab Akma sambil tergelak kecil.

            “Sayang kau orang!” Kami berpelukan seketika kemudian bersalaman seperti biasa.

            “Jumpa lagi.” Aku melambai tangan ke arah mereka sebelum melangkah kearah tempat meletak kenderaan di hadapan perpustakaan. 

            Dewan peperiksaan untuk subjek hari ini terletak berhampiran dengan perpustakaan. Jadi aku mengambil keputusan untuk meletakkan kereta di sini sahaja. Tempat parkir kereta di hadapan dewan peperiksaan sudah tentu penuh. Aku menekan punat kunci dan tanganku segera membuka pintu kereta.

            “Aida.” Satu suara menegurku dari belakang.

            Aku menoleh. “Eh, awak! Tak sangka jumpa kat sini.” Aku bersuara sambil tersenyum. Kejutan terjumpa dia disini dan disaat yang tak dijangka.

            “Dah lama cari awak. Tapi susahlah sebab tak tahu langsung awak tinggal kolej mana dan ambil bidang apa.” Lelaki ini menyusun kata. Matanya merenung aku redup seperti sedang menikmati keindahan di setiap inci wajahku.

            Aku menutup pintu kereta semula. Kemudian aku berdiri tegak di hadapannya dan mengerutkan dahi. “Awak cari saya? Ada hal penting ke?” Aku sedikit gemuruh. Yelah, jarang ada kawan-kawan lelaki yang mencari aku. Tentulah ada hal penting, barangkali. Kalau tidak, untuk apa dia sudah lama mencari aku.

            “Kita duduk kat sana sekejap, please.” Suara lelaki ini separuh merayu. Jarinya dihalakan kearah kerusi batu yang berada di hujung tempat meletak kenderaan.

            Aku berfikir sejenak dan kemudian mengangguk lemah. Hati aku berdebar-debar pula. Dia ada masalah besar ke? Sampai macam orang tak keruan aje aku melihat pergerakannya. Tapi kenapa cari aku? Adakah masalahnya berkaitan dengan aku? Semakin pening pula aku memikirkannya. 

            Dia memberikan laluan untuk aku duduk terlebih dahulu. Kemudian dia melabuhkan punggung di sebelahku. Aku memegang hujung baju kurung biru yang kupakai. Sengaja untuk menyembunyikan resah di hati.

            “Apa halnya Fayyad? Macam penting aje saya tengok.” Tanpa berlengah aku terus bertanya. Hati aku memang tidak sabar untuk mengetahui hal yang sebenar kedatangan lelaki ini mencariku.

            Fayyad kelihatan menarik nafas dalam-dalam sebelum membuka mulut. “Sejak saya jumpa Aida tempoh hari, saya tak dapat tidur. Saya teringatkan Aida aje selalu. Saya cari Aida mana tahu kalau terserempak kat mana-mana tapi tak jumpa. Tadi saya tengah belajar kat bilik bacaan pintar bawah perpustakaan tu. Ternampak Aida terus saya cepat-cepat kejar.” 

            Mulut aku terlopong membentuk huruf ‘O’. Kemudian aku menutup mulut dengan tangan. Ingatkan ada hal penting apa sampai dia mencariku selama ini. Rupanya nak meluahkan perasaan! Nampak benar Fayyad lelaki yang sangat berterus-terang. Dia tidak perlukan masa yang lama untuk meluahkannya.

            “Aida, awak dengar tak? Kalau boleh saya nak tahu semuanya tentang awak. Nombor telefon awak, kolej awak tinggal, awak belajar bidang apa…” 

            “Fayyad. Saya…” Aku segera memotong kata-kata Fayyad. Tidak mahu dia semakin jauh bercakap tentang niat dihatinya kerana aku sudah pun faham.

            “Jangan cakap awak dah berpunya! Please don’t say that.” Fayyad merenung mataku penuh harapan. Oh, gentleman nya dia! Sangat straight forward. Tapi maaflah, hati ini telah termiliki.

            “Kita baru jumpa sekali aje Fayyad. Itu pun tak sampai setengah jam. Awak dah nak luah perasaan segala bagai.” Aku memulakan mukadimah. Aku tidak mahu terlalu keras untuk menolak perasaannya. Kalau aku terus cakap aku dah kahwin, terus pengsan budak ni! Siapa nak angkat dia?

            “Aida, cinta itu boleh jadi milik sesiapa sahaja! Bila, dimana dan kenapa itu bukan persoalannya. Kalau dah suka, saya cakap suka! Tak perlu ada sebab yang khusus untuk saya sukakan awak. It’s just like that!” Fayyad berkata sambil memetik jarinya. Just like that? Mudahnya orang lelaki ni jatuh cinta. Semudah memetik jari. Pantang nampak perempuan dahi licin agaknya.

            But I just can’t! Awak siapa pun saya tak kenal. Saya cuma tahu nama awak Fayyad. Tiba-tiba hari ni awak datang cakap macam ni. Awak memang pelik.” Aku menggelengkan kepala beberapa kali.

            “Okey, okey. I’m sorry Aida. Mungkin awak tak boleh terima cara saya ni atau awak tak pernah jumpa orang yang sangat berterus-terang macam saya selama ni. Tapi saya ikhlas. Saya nak peluang untuk kenali awak dengan lebih rapat. Saya nak peluang bersama awak. Itu yang saya nak minta dari awak hari ni.” Fayyad sedaya-upaya cuba meyakinkan aku.

            “Maafkan saya Fayyad. Saya dah jadi milik orang.” Akhirnya ayat itu yang keluar dari mulutku. Aku berharap Fayyad akan faham walaupun aku tidak menyebut tentang perkahwinan. Milik orang itu luas maksudnya. Namun adakah dia akan percaya gadis dua puluh satu tahun di hadapannya ini isteri orang? 

“Saya tak kisah. Asalkan awak beri saya peluang. Bila tiba waktunya nanti, barulah awak boleh memilih andai hubungan ni akan melangkah ke fasa yang lain.” Fayyad tersenyum manis. 

Aku kagum di dalam hati. Ternyata ada lelaki yang sangat berkeyakinan tinggi seperti ini. Tidak takut ke risiko untuk ditolak gadis idamannya? Aku rasa mana-mana gadis pun tentu takut kalau tiba-tiba ada lelaki meluahkan perasaan dengan cara begini.

            “Maaf sangat Fayyad. Saya tak boleh. Sebab…saya ni…isteri orang.” Aku memberanikan diri untuk berterus-terang.

 Sesungguhnya mengakui aku ini isteri orang bukanlah perkara yang biasa lidah aku akan lakukan. Selain Akma, Wawa, Ema dan Faiz tiada lagi yang sibuk bertanya status aku. Jadi tidak perlulah dicanang satu kampus yang aku ni isteri orang. Tiada kepentingan pun.

Aku tercengang. Ternyata Fayyad hanya tergelak besar. Aku sekadar memandang dengan wajah yang berkerut seribu. Apahal dia ni? Silap makan ubat ke hari ni?

“Aida, kalau pun awak tak suka saya janganlah sampai bagi alasan macam tu.” Fayyad akhirnya bersuara setelah ketawanya reda.

Aku menggelengkan kepala. “Tak, saya cakap yang betul. Saya dah bernikah beberapa bulan lalu.” Jawabku jujur.

Fayyad kembali serius setelah melihat wajahku yang tenang dan meyakinkan. Dia meraup muka berkali-kali. Mungkin masih tidak percaya apa yang didengarinya sebentar tadi.

“Masa saya jumpa awak kat perpustakaan tu?” Soal Fayyad.

“Saya baru bertunang. Masa cuti penggal saya bernikah.” Pantas aku menjawab dengan tenang. Tiada apa yang perlu disembunyikan sekarang.

“Bertuahnya lelaki yang memiliki awak.” Jawab Fayyad lemah. Dia hanya menunduk memandang kasutnya.

“Saya minta maaf ye. Insyaallah awak akan jumpa gadis lain dalam kampus ni.” Itu sahaja yang mampu aku ucapkan kepadanya. Aku bukanlah pandai dalam memujuk orang. Apatah lagi perkara ini sangat mengejutkan dan tidak disangka-sangka!

Friend?” Fayyad menghulurkan tangannya.

Aku tersenyum manis. “Friend.” Aku menyambut salamnya dan kami sama-sama ketawa. Beginilah lumrahnya hidup sebagai warga kampus. Percintaan muda-mudi menjadi rencah dalam kehidupan. Namun kadangkala takdir lebih mendahului. Kalau aku single and available mungkin Fayyad adalah calon yang berpotensi. 

Sudahlah tu, Aida Nasuha!

No comments: