Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, July 30, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 2




“Okey, class kita tamat disini. Jangan lupa serah tugasan yang saya berikan dalam masa sebulan lagi. Ikut tarikh yang tertulis dalam kertas yang telah diedarkan tadi serta skop-skop yang perlu ada dalam tugasan kamu. Sesiapa yang lewat saya akan tolak markah!” Keras bunyi amaran yang diberikan oleh pensyarah psikologi kesihatan Prof. Madya Makhzan.

Kedengaran riuh rendah suara orang bercakap. Ada yang bunyi seperti berbisik-bisik dan tidak kurang juga yang bercakap dengan suara yang lantang. Masing-masing sibuk mengemas beg untuk beredar dari dewan kuliah DKG 2 ini. Penghawa dingin yang sangat kuat didalam dewan kuliah membuatkan aku sering bergegas ingin cepat-cepat keluar setelah kuliah tamat. Walaupun sentiasa membawa cardigan untuk menjadi penebat rasa sejuk, tidak dinafikan aku tetap pucat apabila berada didalam dewan kuliah besar yang memasang penghawa dingin macam dikutub utara sahaja. Aku lebih selesa apabila mempunyai kuliah atau tutorial di dalam dewan kuliah kecil seperti di Bilik Sri Sintok 1. Tidaklah perlu memakai baju berlapis. Sekadar baju kurung atau kemeja sahaja sudah mencukupi.

“Kau nak kemana lepas ni?” Ujar Wawa sambil berdiri tegak menunggu aku memasukkan kertas-kertas A4 kedalam beg. Ini universiti ye dan kami tidak memakai beg sandang tetapi cukup sekadar membawa beg tangan yang agak besar sedikit berbanding beg tangan untuk pergi berjalan-jalan itu.

Aku tersengih sebentar sambil jari aku diletakkan di tepi dahi seperti lagak orang sedang berfikir. “Erm…erm…aku rasa kan…baik kita pergi makanlah!” Aku bersuara lambat-lambat.

Terus lenganku dipukul lembut oleh Wawa. Dia mengetap bibir tanda geram dengan tingkahku sebentar tadi.

“Ish kau ni…itu pun nak fikir-fikir lagi. Dah tentu-tentu itu sahaja kerja kita lepas habis class kan,” Wawa menyambung bicara. “Ha…tu pun minah solek dah sampai. Apa hal datang lewat tadi sampai terpaksa dia duduk kat belakang tu sebab tempat duduk semua dah penuh.”

Kelihatan Akma sedang berjalan menuju kearah kami dengan senyuman manis lebar sampai ke telinga. Rasanya kalau ada lagi lebar dari telinga dia itu, sudah tentu dia akan senyum lebar lagi dan lagi.

“Kenapa kau tak mesej aje cakap kau lewat tadi? Kalau tidak, boleh aku cop kan tempat kau sebelah aku,” ujarku sambil beriringan keluar bersama mereka berdua menuju ke medan menjamu selera.

Akma senyum lagi. Tetap lebar. Biasalah siapa tidak kenal minah senyum bernama Akmaliah ini. “Alah, aku terbangun lewat tadi Aida. Tergesa-gesa punya pasal kejar bas sampai lupa nak mesej kau orang tadi.” Jawab Akma sambil membetulkan tudungnya yang ditiup angin.

Laluan berbumbung yang agak panjang dan sempit ini penuh sesak dengan pelajar yang lalu lalang untuk melakukan urusan masing-masing. Ada yang mahu ke dewan kuliah, perpustakaan, tempat menunggu bas dan seperti kami mahu makan tengah hari. Hari ini jadual kami tidak padat seperti semalam. Setiap hari rabu kami agak lega kerana tidak perlu terkejar-kejar untuk ke dewan kuliah lain selepas tamat kuliah. Dewan kuliah untuk sesuatu subjek pula kadangkala agak jauh dari dewan kuliah untuk subjek yang lain. Lenguh kaki berkejar lah jawabnya!

“Buat apa sahaja kau malam tadi sampai bangun lewat ye? Erm…let me guess. Kau bergayut ke atau chatting?” Soalan Wawa itu membuatkan aku tergelak kecil.

Akma menjeling tajam. “Aku webcam dengan Iman lah. Jepun mana sama waktu dengan kita. Itu yang aku tidur lewat semalam,” ujar Akma penuh jengkel dengan soalan Wawa sebentar tadi. Geram agaknya sebab perlu bertanya soalan seperti  itu sedangkan mereka tentu tahu rutin yang selalu dia lakukan. Setiap dua atau tiga hari dia akan berhubung dengan Iman kekasihnya yang masih menuntut di negara matahari terbit itu. Melepaskan rindu dan bertanya khabar.

“Sudah lah tu. Aku lapar sangat ni. Tak payah bertekak lagi, buat kering tekak sahaja tau!” Aku tersenyum menampakkan barisan gigi yang cantik tersusun sambil mata melilau mencari tempat duduk yang kosong untuk kami bertiga menjamu selera.

“Yelah. Lapar sangat lah konon kan? Hari lain kuliah kita habis lewat mana sempat makan tengah hari. Makan pun dah petang. Hari ini pandai pulak perut kau tu mengada-ngada ye?” Wawa memerliku dengan lagak bersahaja. Matanya dinaikkan ke atas dengan lidahnya menjelir kepadaku.

Aku menggelengkan kepala. Begitulah hari-hariku selalunya yang diceriakan oleh dua orang teman rapat yang sangat aku sayangi. Kemudian aku membuat isyarat tangan agar mereka mengikut langkahku menuju kearah sebuah meja yang baru sahaja dikosongkan oleh beberapa orang pelajar lain. Agak bersepah meja ini dengan pinggan mangkuk serta sisa makanan mereka.

“Hari lain kan aku bawa roti ke, donat ke, tak pun buah…” Tingkahku sambil melambai tangan ke arah Makcik Lijah yang bekerja di medan selera ini.

Sesampainya wanita separuh abad itu di meja kami dia tersenyum. “Makcik kemaskan sekejap ye Aida. Awal datang hari ini?” Wanita yang peramah itu bertanya sambil tangannya cekap mengemas dan mengelap meja dihadapanku.

Aku juga turut tersenyum sambil mengangguk. “Hari ini Aida habis awal kuliahnya Makcik Lijah. Tu yang pandai sahaja perutnya rasa lapar,” aku menjawab sambil mengeluarkan beg duit dari dalam beg.
Selesai kerja mengemas dan mengelap meja, Makcik Lijah terus berlalu untuk melakukan tugasan-tugasan lain yang menantinya.

“Nak makan apa?” Akma yang sudah siap sedia bangun beserta beg duit yang telah dikepit dicelah ketiaknya bertanya. Seolah-olah gaya mak nenek lah pula si Akma ini. Mukanya pula dibuat-buat serius.

“Nasi ayam lah…Kau pula Wawa? Minum apa?” Aku turut ikut serta bangun sambil memandang Wawa yang terkulat-kulat menghadap telefon bimbitnya. Berbalas mesej dengan teman lelakinya barangkali. Wawa yang berdarah arab keturunan Pak Syed itu memang sudah beberapa kali bertukar teman lelaki. Orang cantik tentulah ramai yang berminat hendak cucuk jarum.

“Apa-apa pun boleh. Sama dengan kau ajelah.” Tengok, menjawab pun langsung tidak dipandangnya muka aku. Mata dan tumpuannya masih kepada telefon bimbit di tangan.

Aku mengangkat bahu dan terus berlalu bersama Akma. Kami selalunya bergilir untuk membeli makanan. Kebiasaannya medan selera ini penuh sesak setiap hari dan beratur untuk membeli makanan atau minuman memang boleh menjadi tekanan yang dahsyat apatah lagi apabila perut bernyanyi rock. Hari ini giliran Akma membeli makanan dan giliran aku pula beratur membeli minuman.

Hampir lima belas minit berlalu baru kami dapat menikmati makan tengah hari. Laju sahaja suapan nasi ayam di pingganku. Mungkin kerana malam semalam aku hanya makan biskut sahaja untuk makan malam. Terlalu sibuk membuat tugasan sampai masa untuk makan malam pun aku korbankan. Lumrah begitulah kehidupan sebagai seorang mahasiswi.

Semasa suapan terakhir yang masuk ke dalam mulut, telefon bimbitku berbunyi dari dalam beg. Cepat-cepat aku meletakkan sudu dan tangan terus meraba-raba ke dalam beg. Bimbang bunyi tersebut akan mati sebelum sempat aku menjawabnya, aku terus menekan punat berwarna hijau tanpa melihat nama yang tertera pada skrin telefon bimbitku.

“Helo, assalamualaikum.” Jawabku sambil mulut mengunyah kunyahan terakhir perlahan-lahan. Takut tercekik pula nanti akibat tergopoh menjawab panggilan.

“Waalaikumsalam. Sayang sihat? Tengah buat apa tu?” Erk! Macam kenal sangat dengan suara di hujung sana. Kenapalah gopoh sangat tidak melihat nama wahai Aida Nasuha sebelum kau menjawabnya.

Ligat otak aku memikir. Sama ada hendak ditamatkan sahaja talian ini terasa kejam sangat pula. Tetapi untuk melayannya buat sakit kepala dan tambah sakit hati. Beberapa saat kemudian aku mula membuka mulut apabila Akma dan Wawa saling berpandangan seperti dapat mengagak siapa gerangan yang menghubungiku saat ini.

“Baik-baik sahaja macam biasa. Tengah makan tengah hari lah. Takkan tak pandai tengok jam?” Aku menjawab acuh tidak acuh.

Terdengar keluhan berat dari dalam talian. “Sayang, please jangan layan saya macam ni lagi. Tak larat dah…setahun kita macam ni. Nak berbalas mesej jauh sekali, saya call pun susah hendak berjawab. Hari tu awak cuti semester kenapa saya datang rumah asyik tak ada? Naik malu saya datang rumah awak setiap hari sampai sebulan tahu tak?! Cara macam mana lagi untuk pujuk awak ni sayang?!” Bentak Adli kasar.

Wah! Mula-mula sahaja ayatnya lembut dan manis kemudian bertukar menjadi marah. Ini yang buat aku selalu geram dengan lelaki seorang ini. Kalau mahu pujuk, pujuklah sungguh-sungguh. Ini tidak, mahu juga dia selitkan rasa marah dalam pujukannya. Hati mana hendak cair dengan cara Adli itu.

“Adli dengar sini baik-baik. Berapa ratus kali perlu saya ulang yang bagi saya kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi? Saya pun tak larat lagi nak tunggu awak. Bercinta lama-lama pun tak mendatangkan hasil. Mahu tunggu semua adik-adik awak berjaya, saya dah kerepot agaknya. Saya mahukan satu perhubungan yang terjamin, itu sahaja. Maafkanlah saya Adli.” Luahku dengan wajah yang muram. Mataku terasa pijar dan panas. Sudah mulai basah barangkali.

Akma dan Wawa berbisik-bisik sesama sendiri. Sambil menyedut minuman mereka seperti membincangkan sesuatu. Namun tidak dapat aku dengari. Hanya pandangan mata sahaja dapat melihat gerak laku mereka itu.

“Okey sayang, saya janji umur dua puluh lapan kita kahwin. Tak lama pun lagi kan?” Adli masih cuba memujuk dengan cara yang salah pada pandangan aku.

Aku mengetap bibir. Lantas aku matikan talian.

“Maafkanlah dia Aida. Kesian dia tahu tak? Bukan dia buat salah apa pun sampai kau  putuskan hubungan yang dah bertahun terjalin ni. Kau dah tak sayang dia lagi ke?” Pujuk Wawa lembut. Matanya penuh dengan rasa simpati. Namun mungkin bukan untuk aku tetapi untuk Adli.

“Tetapi betul juga cara Aida berfikir tu Wawa. Sekarang umur dia dua puluh satu. Dia bersama dengan Adli hampir lima tahun walaupun setahun ini macam kureng sahaja aku tengok hubungan mereka. Kalau mahu tunggu sampai umur tiga puluh Aida  kena tunggu lagi sembilan tahun tahu tak?” Akma cuba membela aku di depan Wawa. Namun Wawa hanya mencebikkan bibirnya mendengar pendapat Akma yang dirasakan kurang bernas.

“Adli kata umur dua puluh lapan nak kahwin dengan aku. Maknanya lagi tujuh tahun aku bercinta dengan dia. Tambah lima tahun yang telah dilalui sekarang aku perlu bercinta dua belas tahun sebelum berkahwin. Mak datok! Lama gila…itu pun kalau tidak terjadi apa-apa. Kalau dia cari lain tidakkah buat aniaya dan buang masa aku sahaja?” Pantas aku menerangkan apa yang berada dalam kepala otak aku ini. Aku tidak mahu kedua-dua gadis di depanku tersalah sangka dengan tindakan yang aku ambil.

 “Fine. Kau tak sungguh-sungguh cintakan Adli? Masa pula jadi pengukur cinta kamu berdua. Pada aku kalau dua-dua jujur, bercinta lima puluh tahun pun pasti akan bersatu jua…” ujar Wawa masih ingin berdebat.
Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Tujuan sebenar hanyalah untuk menyusun ayat bagi menerangkan prinsip dan pendapat aku dalam bercinta.

“Macam inilah Wawa, Akma…kalau betul Adli itu jodoh aku Insyaallah tidak akan lari gunung di kejar. Aku akan terima dia seadanya. Tetapi untuk bercinta sampai dua belas tahun itu memang tak masuk akal pada aku. Selain aku bimbang kami akan melanggar batas-batas yang sepatutnya akibat terlalu lama menjalinkan hubungan, biarlah aku kejar cita-cita aku dan mengenali lebih ramai kawan lagi dalam hidup. Adli tu kuat cemburu. Aku terbatas apabila masih bersama dia dan aku juga tidak sanggup buat dia terluka apabila aku berkawan dengan mana-mana lelaki. Adli memang pantang walaupun kawan biasa okey.” Aku menarik nafas dalam-dalam. Semput juga hendak menjelaskan kepada Wawa dan Akma ini. Silap-silap haribulan masih blur tidak mengerti dan aku tidak mahu isu ini berbangkit lagi selepas ini. Biarlah semuanya jelas.

“Jadi lebih baik kami berkawan biasa sahaja. Aku tidak mahu bagi komitmen yang masih belum pasti apa kesudahannya kelak. Takut aku yang merana nanti. Kalau ada jodoh, kami kahwin. Kalau jodoh aku dengan orang lain, aku tetap bersyukur. Apa-apa pun aku akan menjaga diri sebaik mungkin untuk suami aku. So, tiada siapalah yang rugi dalam kes ini kan?” Aku tersenyum tawar.

Akma dan Wawa masing-masing mengangguk tanda setuju dengan penjelasanku yang panjang lebar macam guru tadika mengajar muridnya. Akhirnya kami bangun dan berjalan menuju ke surau untuk menunaikan tanggungjawab terhadap Ilahi.                                                                                                   


2 comments:

Unknown said...

bestnya...
tak sabar baca yg seterusnya..
aida nasuha punya pendirian sy setuju :)

khadijah said...

huhuh..akak best..watak pompuan yg ringan2...sempoi lak 2..hahhahaha