Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, September 24, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 20


           Aku mengerling jam tangan Esprit yang terpakai kemas di tanganku. Lewat sepuluh minit. Kereta aku membelok ke tempat meletak kenderaan dan segera enjin aku matikan. Aku menarik nafas dalam-dalam. Membelek seketika muka aku di cermin bedak kompak dan aku tersenyum manis. Berpuas hati dengan penampilanku, aku turun dari dalam perut kereta.

            Kaki aku halakan menuju masuk ke dalam C Kopitiam yang berhadapan dengan pasaraya C Mart. Aku tidak menunggu lama untuk mengenali lelaki yang duduk membelakangi tempat aku berdiri. Lelaki itu duduk sendirian di bahagian meja paling kiri sedang menikmati segelas minuman sejuk. Bibirku mengukir segaris senyuman dan aku segera menghampirinya.

            “Maaf lewat.” Ucapku sambil mengambil tempat duduk dihadapannya.

            Lelaki itu tersenyum sambil menggelengkan kepala sedikit. “Sepuluh minit. Nak minum apa?” Dia mengangkat tangan menggamit seorang pelayan untuk memesan minuman.

            “Cappucino ice blended satu ye.” Aku memesan minuman setelah pelayan itu berdiri tegak di sisi meja.

            “Makan?” Soal Hadif.

            Aku menggelengkan kepala. “No, thanks.”

            “Cakaplah sekarang hal apa yang nak bincang dengan Aida tu.” Aku menuturkan ayat satu-persatu agar tidak kedengaran kekok.

            “Ehem.” Hadif membetulkan suara untuk bersuara.

            Aku tidak lagi bersandar. Badan aku halakan kehadapan sedikit seperti bersedia untuk memberikan perhatian ayat-ayat yang akan keluar dari mulut lelaki itu.

            “Mama suruh saya pindah secepat mungkin. Hujung bulan ni mereka nak datang tengok rumah dan pastikan kami dah tinggal bersama.” Keluhan yang berat Hadif lepaskan. Mukanya diraup beberapa kali. Kesian dia. Nampak bingung dan tersepit dengan keadaan saat ini.

            “Itu bukan perkara baru. Mama dah cakap pada Aida minggu lepas.” Eh, terpacul pula jawapan dari mulutku.

            “Hah?! Saya tak tahu apa-apa pun.” Bentak Hadif tanda tidak berpuas hati.

            “Masa tu Aida call papa untuk beritahu kereta dah selamat sampai dihantar oleh Pakcik Mahmod.” Terangku pula. Tidak mahu Hadif curiga dengan jawapan-jawapan yang sepatutnya Aida lebih mengetahui dari ‘teman’ palsunya ini.

            “Wah, sampai cerita Pakcik Mahmod pun awak tahu. Aida ni mulut tempayan betul.” Hadif menggelengkan kepala sambil menyedut minuman di dalam gelas.

            Perbualan kami terhenti seketika apabila pelayan datang untuk menghantar minuman yang dipesan olehku tadi. Selepas pelayan itu berlalu aku terus menyisip sedikit minuman sejuk tersebut. Leganya tekak. Cuaca di luar nampak terik dan panas.

            “Bukan macam tu. Aida selama ni rapat sangat dengan mak dia. Tapi sejak jadi isteri awak, dia tak ada tempat mengadu. Semua perlu dirahsiakan daripada keluarga kan.” Aku menafikan kenyataan Hadif yang berunsur negatif terhadap diriku.

            “Saya tahu dia juga mangsa keadaan. Dia juga tertekan dengan perkahwinan ni. Tapi…dari awal lagi saya macam tak ada chemistry aje dengan dia tu. Macam mana nak cuba?” Erk! Biar betul? Sampai hati Hadif cakap macam tu. Mentang-mentanglah aku berselubung pakai purdah bagai…tak ada chemistry konon!

            “Kenapa pula? Aida tu sempoi aje orangnya. Percayalah.” Aku cuba membersihkan nama aku sendiri.

            “Sempoi? Buka purdah depan saya pun tak pernah awak kata sempoi? Tengoklah, nak ajak jumpa punyalah susah. Siap hantar orang suruhan untuk jadi orang tengah. Dia bukan taste saya.” Hadif tergelak kecil sambil menatap mata aku.

            “Tapi dia tetap isteri awak…tanggungjawab awak…” aku bersuara lemah. Yelah, isteri mana yang tidak patah hati apabila suami sendiri terang-terang mengaku isterinya bukan taste dia.

            “Bab tanggungjawab tu saya pegang sejak berkahwin dengan Aida. Setiap bulan saya masukkan nafkah untuk perbelanjaan dia.” Hadif berkata lagi.

            Aku menggelengkan kepala beberapa kali. “Itu aje yang awak panggil tanggungjawab? Nafkah batin?” Hish!! Mulut ni pun kempunan minta penampar agaknya.

            Hadif tergelak besar sebelum meneruskan kata. “Dia teringin nafkah batin saya ke?”

            Merah padam muka aku. Aku terus menyedut lagi minuman Cappucino dengan rakus. Bodoh betul mulut ni. Siap kau balik nanti tahulah aku mengajarnya. “Aida tahu awak dah ada pujaan hati.” Dalam rasa ragu-ragu aku tanyakan juga soalan cepu emas yang telah terpendam lama. Taktik menukar topik.

            Hadif membuntangkan matanya. Mulutnya pula sedikit ternganga. Terkejut mendengar soalan aku nampaknya. “Macam mana dia tahu? Dia menyiasat saya ke?” Hadif memicit dahi. Pening ke?

            “Yang tu lupa pula nak tanya tadi. Saya bercakap mengikut arahan aje.” Jawabku sambil tersengih. Lesung pipit di pipi kanan turut terserlah menampakkan diri.

            “Cantik lesung pipit awak. Suha, awak memang sweet sangat. Dahlah chinese look, bergaya up to date dan mudah dibawa berbincang. Kalau lah Aida macam awak kan senang kerja saya…”

            “Eh, dah…dah...jangan nak puji lebih-lebih. Awak tu dah beristeri. Buah hati pun ada. Nanti saya pula yang kena serang silap haribulan.” Aku tersenyum senang cuba berseloroh. Dalam hati turut terselit rasa kembang apabila dipuji begitu oleh Hadif. Bahagianya!

            “Tapi setiap kali terjumpa awak dulu, mesti awak marah-marah. Berlagak kerek aje kenapa? Nasib baik awak tak terlanggar saya dulu.” Soalku dengan ketawa masih bersisa di bibir.

            “Entahlah. Saya dengan perempuan ni susah sikit nak ‘ngam’. Sejak zaman sekolah lagi macam tu. Lagipun dari dulu ramai sangat perempuan dekat dengan saya sebab tahu kedudukan keluarga saya macam mana. That’s why saya malas nak berbaik-baik dengan orang perempuan.” Luahnya dengan wajah yang tenang. Amboi biasa dihimpit oleh perempuanlah Si Hadif ni ye?

            “Habis tu sekarang ni saya bukan perempuan ke?” Soalku sambil menaikkan kening. Pandai pula Hadif berbaik dengan aku siap boleh makan semeja lagi.

            “Maybe ada chemistry kut.” Hadif tersenyum kecil.

            “Cakap kat Aida baru awak tahu. Siaplah.” Aku sengaja mengusiknya lagi. Nakal betul. Hadif tergelak mendengar usikan aku. Comel betul dia bila dalam keadaan tidak marah-marah. Boleh tak saat ini juga aku nak daftar jadi ahli fan club Baim Wong?

            “Erm, buah hati awak tu tak tahu ke awak dah selamat jadi suami orang?” Terpacul soalan cepu emas dari mulut aku yang agak puaka saat ini.         

            “Dia tahu. Saya dah cuba terangkan pada girlfriend saya tu tapi susahlah. Kami dah bercinta lima tahun. Bukan senang dia nak lepaskan saya. Tengoklah nanti-nanti macam mana. Tak tahu nak buat apa lagi.” Jawab Hadif dengan suara yang semakin memberat.

            Aku telan liur. Cemburukah aku? Hadif mempunyai kekasih yang telah lama menyemai benih cinta. Alah, aku pun apa kurangnya. Pernah bercinta selama itu bersama Adli. Kita sama sahaja dua kali lima. Buat apa aku nak cemburu pula. Tapi, aku telah memutuskan hubungan sebelum kami bernikah manakala Hadif masih menjalin hubungan sehingga kini. Kau curang Hadif. Kau seorang suami yang curang. Aku mengetap bibir. Geram berbuku dihati.

            “Aida tu ada teman lelaki tak?” Soal Hadif tiba-tiba. Dia membetulkan duduk dan menyilangkan kedua tangannya ke dada.

            Aku menggeleng perlahan. “Dulu ada sebelum kahwin. Tapi selepas dah bertunang tu dia dah putuskan hubungan.” Aku menjawab hati-hati menyusun ayat. Tidak mahu disalah erti oleh Hadif.

            Hadif mengerutkan dahi seribu. “Kiranya saya ni perampas kekasih oranglah ni?”

            Aku pula gelisah serba tak kena. Aku menguak rambut yang menutupi sebelah mata ke belakang. Kemudian tanganku memegang anting-anting, sahaja untuk mencari akal. “Lebih kurang macam tu kut…” ujarku sambil tersengih sumbing.

            “Tapi dia tahu status dia sebagai isteri. Maruah suami kena jaga. Dia pun tak pernah berhubung dengan lelaki tu lagi.” Aku meneruskan ayat yang tadi tergantung. Harap-harap selepas ini saham Aida di mata Hadif tinggi sedikit berbanding sebelumnya.

            “Tengok dia berpakaian pun saya pasti dia perempuan baik-baik. Tapi susah nak masuk dengan orang macam tu. Silap sikit karang dia buka kitab agama pula.” Hadif menelan liur. Mukanya serius dan sedikit beriak risau.

            Aku seperti mahu tergelak mendengar bicara Hadif. Itu rupanya masalah dia selama ini. Kesian. “Kalau saya ni Aida macam mana?” Aku cuba menduga untuk kesekian kalinya.

            Hadif tersenyum. “Kalau awak ni Aida, dah tentu saya sumpah tak cari perempuan lain dah!” Dia mengangkat tangan seperti berikrar.

            “Eleh! Buah hati tu nak letak mana?” Aku masih mencuba nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

            “Buah hati saya pun kalah dengan kecantikan awak ni Suha….” Belum sempat Hadif menghabiskan ayatnya aku terlebih dahulu memotong.

            “Aik? Hanya kecantikan aje jadi ukuran ye? Bercinta lima tahun pun senang nak kena tinggal.” Pintasku laju. Aku pula yang cuba membela kerana tidak berpuas hati dengan tingkah Hadif.

            “Bukan macam tu. Takkan saya nak kahwin dua pulak! Dah terpaksa kahwin memang kalau boleh nak jayakan hubungan ini. Tak nak papa dan mama kecewa dengan sikap saya nanti. Tapi tengok-tengok si Aida tu jenis yang…ehem…faham ajelah kan…itu yang saya pun tak pasti betul ke tindakan saya nak putuskan hubungan dengan girlfriend saya tu.” Hadif menjawab yakin dan jujur.

            Ah, dasar lelaki. Pertama sekali yang mereka nak pilih sudah pasti yang cantik-cantik, badan bergetah macam model dan berpakaian mengikut fesyen semasa. Kalau yang bungkus-bungkus macam diri Aida yang dia tengok dulu tu stok untuk ustaz-ustaz agaknya. Positif sikit Aida. Kau pun yang hidup selama dua puluh satu tahun menjadi diri kau yang seadanya sekarang ini, kalau dipaksa kahwin dengan ustaz pun kau gerun jugak.

            Memang aku tidaklah jahil bab agama namun tidak juga ditahap yang cemerlang. Masih mengambil masa untuk terus belajar dan memperbaiki amalan sebagai seorang muslim. Solat lima waktu, puasa sebulan dalam bulan Ramadhan, bersedekah semuanya aku tidak lupa untuk lakukan.

 Namun aku masih belum bertudung sejak dari zaman sekolah lagi. Niat di hati memang ada terdetik untuk berubah namun masanya belum tiba. Liat betul bab yang satu ini. Kalau aku dikahwinkan dengan ustaz sudah tentu dengar ceramah agama hari-hari sampai cair tahi telinga. Aida, tak boleh macam tu. Aida, tak boleh macam ni. He he he. Aku tersenyum sendirian apabila membayangkannya. Baru kini aku faham perasaan Hadif yang sebenar terhadap Aida a.k.a diri aku sendiri. Senyuman dibibir semakin lebar.

            “Amboi senyum seorang pulak ye? Teringat buah hati ke?” Hadif menepuk lembut tanganku yang berada di atas meja.

            Aku yang tersedar terus tersengih lagi. Malu. Masa macam ni pula aku nak berangan di hadapan suami sendiri. Buruk betul perangai kau Aida Nasuha. Aku terus menyedut minuman sehingga habis.

            “Jom teman saya.” Hadif seperti bersedia untuk beredar.

            Aku mengerutkan kening. “Kemana?’ Soalku sepatah. Namun aku juga turut menyangkut beg tangan ke bahu tanda sudah bersedia.

            “Cari rumah sewalah. Awak tinggal kereta kat sini, kita naik kereta saya aje.” Hadif mengarahkan dan aku hanya mengangguk. Setuju sangat! Dapat berdua-duaan naik kereta dengan dia.



Puas juga kami kehulu kehilir mencari rumah untuk disewa. Ada yang menulis iklan di hadapan rumah tetapi apabila ditelefon, sudah mempunyai penyewa. Alasan yang diberikan terlupa menurunkan papan iklan dihadapan pintu pagar. Cis! Orang macam tu pun ada dalam dunia ni.

Namun kawasan tumpuan Hadif hanyalah rumah kos sederhana tidak kira setingkat mahu pun dua tingkat. Kawasan perumahan kos rendah memang dia tak masuk langsung. Rumah kawasan elit juga tidak kami kunjungi kerana menurut kata Hadif bukan nak beli rumah. Jadi tak perlu rumah yang terlalu mahal untuk diduduki sebagai pasangan suami isteri yang masih belajar. Cukup sekadar rumah kos sederhana yang masih elok keadaannya. Nampaknya Hadif bukan seperti anak orang kaya yang selama ini aku fikirkan. Dia tidak sesuka hati mahu pun sesedap rasa dalam membelanjakan wang. Dia jenis yang berfikir panjang sebelum berbelanja, mungkin.

Sedikit sebanyak hari ini mengajar aku lebih mengenali sikap-sikapnya melalui tindakan dan cara dia berfikir. Nama pun budak Sains Kaunseling. Walaupun bidang ini bukanlah mengajar aku menjadi ahli nujum namun tret-tret personaliti seseorang dapat diukur jika ilmu kaunseling telah dipelajari. Berguna sungguh ilmu yang aku tuntut selama ni. Bukan sahaja untuk mendapatkan ijazah dan pekerjaan yang baik namun dalam menilai pasangan juga dapat aku terapkan. Alhamdulillah….

Akhirnya dapat juga sebuah rumah teres semi-D yang masih kosong di Taman Teja. Setelah menelefon tuan punya rumah untuk bertanya dan membuat temujanji bagi melihat rumah tersebut, kami singgah di masjid yang berhampiran untuk menunaikan solat Zohor yang sudah hampir ke penghujungnya. Aku mengeluarkan selendang yang dipinjamkan oleh Ema dari dalam beg tangan. Aku gunakan selendang tersebut untuk menutup kepala bagi menghormati kawasan masjid yang memerlukan pengunjungnya menutup aurat.

Setelah menunaikan solat, aku berbedak dan menyapu sedikit lipstick. Kemudian bergegas keluar takut Hadif telah menunggu lama. Semasa aku memakai sandal di tangga masjid, aku terperasan mata Hadif yang berdiri dihujung tangga tidak lepas dari memandang wajahku. Aku jadi gementar dan serba tidak kena jadinya. Pantas aku berjalan menuju ke kereta dan terus membolos masuk. Selendang di kepala aku buka segera. Rambutku yang kelihatan tidak kemas akibat tarikan selendang yang kasar langsung tidak aku hiraukan. Aku masih belum bersedia. Aku takut Hadif dapat mengenali siapa aku sebenarnya.

“Kita pergi Taman Teja semula. Jam tiga setengah owner rumah tu kata dia tunggu depan rumah.” Hadif berkata serius setelah dia masuk ke tempat duduk pemandu. Pandangan matanya sedikit tajam saat ini.

Aku tidak tenang. Sumpah aku takut. Entah apa sebenarnya yang aku takutkan tetapi pendek kata takut satu perkataan yang sesuai untuk aku gambarkan semua perkara yang aku tidak dapat jangka. Buktinya aku langsung tidak dapat mengeluarkan suara. Hanya anggukan sahaja yang aku berikan sebagai jawapan.

Hadif terus memandu keluar dari perkarangan masjid. Kereta dipandu menuju ke Taman Teja. Kalaulah aku tidak melakukan penyamaran dari awal, sudah pasti aku tidak berpeluang melalui semua ini. Berbual dan berjumpa dengan Hadif. Minum bersama, naik kereta berdua-duaan dan memilih rumah sewa kami bersama. Semuanya hanya berlaku in your dream Aida Nasuha.

“Saya selalu fikir macam mana rupa Aida.” Hadif menjeling sekilas ke arahku yang memakai kaca mata hitam. Panas tu sudah tentu, tetapi niat sebenar adalah menyembunyikan sepasang mata yang menjadi aset penting bagi aku selama penyamaran ini berlaku.

“Hmmm…” Gumamku perlahan. Tiada idea untuk menjawab lebih panjang.

“Awak pakai selendang kepala tadi ada iras-iras Aida….” Hadif menyiku lenganku.

“Tak mungkinlah! Awak tengok pun batang hidung dengan mata dia aje.” Aku tergelak kecil cuba menyembunyikan rasa gugup yang mula bertandang. Tenang Aida. Kalau gelabah nanti nampak sangat kau tu sedang menipu. Aku mengingatkan diri.

Hadif nampaknya turut ketawa lucu. Mungkin dia termakan dengan kata-kataku tadi. Kemudian suasana sunyi seketika. Hanya ditemani celoteh DJ bertugas di radio yang terpasang di dalam kereta milik Hadif. Tidak lama kemudian kereta diparkir di hadapan rumah semi-D. Terdapat sebuah lagi kereta yang terparkir disini. Tentu tuan rumah berbangsa cina yang ditelefon oleh Hadif  satu jam yang lalu.

“Macam mana? Suka? You boleh masuk hari ini juga kalau you sudah bayar satu bulan sewa plus dua bulan cagaran. Kira tiga bulan punya RM1800 bos.” En.Lim yang fasih berbahasa melayu ini tersengih memandang Hadif.

Aku masih lagi kehulur kehilir membuka bilik dan melawat segenap ruangan di rumah ini. Cantik dan luas juga rumah ini. Paling best rumah ini merupakan rumah baru yang belum pernah diduduki oleh sesiapa.

“Saya setuju. Petang ini saya transfer dalam akaun En.Lim. Jangan lupa bagi you punya nombor akaun bank.” Hadif berkata sambil meniru gaya percakapan En.Lim.

Aku tersenyum puas. Memang hati aku turut berkenan dengan rumah sederhana besar ini. Lebih-lebih lagi rumah baru yang tidak perlu dibersihkan lagi. “En.Lim kenapa you beli tapi tak duduk ini rumah?” Aku bertanya sambil mendekati mereka yang berada di ruangan tengah.

“Saya saja beli mahu bagi saya punya anak bila dia besar. Tapi sekarang saya mahu bagi orang sewa ini rumah. Boleh dapat duit bulan-bulan cover hutang bank lor.” En.Lim tersengih lagi.

“Okey. Kami mahu balik dulu En.Lim. Ini petang saya transfer itu duit RM1800. Bulan-bulan RM600 saya bayar setiap awal bulan. Ada apa-apa surat mahu sign ka?” Soal Hadif sambil berjalan bersama En.Lim menuju ke luar rumah.

Aku turut mengikuti langkah mereka dari belakang. Pintu rumah aku tutup dan aku berdiri di sebelah Hadif.

“Tak payahlah. Saya tahu you ini student ma. Saya percaya sama lu. Janji lu duduk ini rumah jaga baik-baik macam you sendiri punya rumah okey. Kalau tak nak sewa lagi, you cakap sama saya dua bulan lebih awal. Itu saja.” Jawab En.Lim sambil mengeluarkan sekeping kertas dan sebatang pen.

Dia lantas menyalin nombor akaun yang disimpan di dalam telefon bimbitnya ke atas kertas tadi dengan beralaskan sebuah buku kecil yang dibawanya. Setelah memastikan nombor yang disalinnya itu tepat, dia menyerahkan kertas itu kepada Hadif.

Thank you En.Lim. Nanti sudah masuk itu duit saya call sama you. Saya mahu tinggal ini rumah untuk tiga semester lagi. Paling lama pun dua tahunlah.” Terang Hadif.

Melebar senyuman En.Lim mendengarnya. “Okey. No problem bos. Saya lagi suka. Bila you mahu datang ambil kunci you call sama saya.” En.Lim berjabat tangan dengan Hadif.

Kemudian Hadif menghantar aku untuk mengambil kereta di hadapan C Kopitiam dan aku terus pulang ke kolej kediaman dengan perasaan yang gembira.

9 comments:

Yin Areesa said...

Hadif macam dah perasan je..ker dia memang dah tahu..

Shizukaz Sue said...

instict dia kuat kut kak..hehe

Unknown said...

Rasanya Hadiff memang dah taulah xkan tak tengok gambar Aida sblm nikahkan? Ohh Aida x lama lagi nak duduk serumsh mcmana? Takkan nak pakai purdah lagi kot??

Shizukaz Sue said...

nak kantoi la jawabnya seri ayu... :)

kak ida said...

salam dik.. akak harap sesangat minah tu berterus terang pada mamat poyo tu.. mengenali lelaki itu dan berjumpa nya beberapa kali..akak pasti tangapan buruk pada mamat tu pasti kelaut kan? Pada pandangan akak Hadif baik ..bertanggungjawab orangnya boleh dijadikan suami idaman kalo betui betui minah tu tau cara untuk tacklenya..

Akak rasa mamat tu dapat agak minah tu wifenya dan akak rasa mmg instinct nya kuat..dan dia hanya mengikut rentak Aida..dia just go with d flow..nak tahu sampai bila minah tu nak berlakon..sekiranya mamat tu mmg tau..akak mengharap agar mamat tu jgnlah ego sgt dan membuat buruk perangai kat Aida..kerana Hadif pun tahu yg mereka pun dijab qabul krn keluarga..so make d best out of d perhubungan ni..Teruja nak tahu kesinambungan bila mereka terpaksa hidup bersama..apatah lagi bila keluarga mereka datang bertandang pertama kali kerana house warming dan hendak melihat perjalanan kehidupan mereka..mesti mati kutu mamat dan minah tu kan..apatah lagi rahsia minah tu mesti bocor..

Qaseh Dania said...

sis, keep blogging n writing!..=))

Unknown said...

best..best...citer makin best...

Unknown said...

eiishh hampir2 kantoi tu....hehehe

Anonymous said...

bdebar2 lak saya baca.. time pandangan mata tu,iskk :)