Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, August 13, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 50



             Hari ini merupakan hari yang membahagiakan untuk aku. Sejak pagi tadi bibir ini tidak putus mengukirkan senyuman. Ternyata benar tekaanku bahawa mak, ayah, mama dan papa begitu gembira dan bersyukur menerima berita kehamilanku. Sehinggakan mama dan papa tidak sabar untuk pulang bertemu aku dan Hadif disini. Mak pula seperti sudah menjadi seorang nenek sejati apabila memberikan nasihat serta pesanan panjang berjela di telingaku. Puas juga aku menadah telinga dan menjawab ya pada setiap pesanan mak. Tak boleh itu, tak boleh ini, mesti buat macam tu dan buat macam ni. Apatah lagi aku dan Hadif pasangan muda yang berjauhan dengan keluarga. Mak bimbang aku tidak menjaga kandungan dengan baik.

            Selepas aku memberikan kek kepada Nageshwari tanda terima kasih membantuku semalam, berita tentang kehamilanku tersebar meluas di pejabat ini. Aku sendiri yang membuka mulut apabila Nageshwari bertanya kisah aku ke klinik semalam. Jadi, apabila bertemu dengan para pekerja aku pasti akan dihujani dengan ucapan tahniah daripada mereka. Malah, di tandas juga mereka sempat memberikan ucapan tahniah buatku. Lawak betul.

            “Kau tahu ke Si Aida isteri Tuan Hadif dah mengandung?” Satu suara yang berada di luar bilik tandas menjengah pendengaranku.

            “Tahu, semua department dah kecoh dari pagi tadi. Bertuahlah badan, anak orang biasa dapat kahwin dengan anak orang kaya. Padahal bukan cantik mana pun aku tengok.” Hujah satu suara lagi. Adoi, berdesing telinga aku mendengarnya. Nampaknya bukan main lagi mereka mengutuk aku.

            Aku masih berada di dalam bilik kecil ini menunggu suara-suara ‘puaka’ itu beredar. Aku tidak mahu mereka menyedari aku mendengar segala perbualan hangat ini. Walaupun aku berkuasa disini, tetapi aku cuba bersikap rasional dalam hal berkaitan kerja. Aku tidak mahu mencampur-adukkan hal peribadi disini. Biarlah mereka bebas berkata apa sahaja, kerana aku sedar dalam dunia ini tidak semua orang sukakan kita. Aku juga tidak boleh memaksa mereka untuk menyukaiku. 

            “Puan Aida tu kau kata tak cantik? Kalau tidak, tak mungkin Tuan Hadif akan kahwin pada usia seawal ni. Mesti dia takut orang lain kebas, sampai kahwin tak sempat-sempat tunggu habis belajar.” Bela suara yang satu lagi. Geng mana pula yang gemar bergosip ini ye? Agak-agaknya aku kenal tak muka mereka?

            “Entah kau ni! Jealous lah tu kau tak dapat Tuan Hadif.” Sampuk suara yang mula-mula tadi.

            “Tak ada maknanya. Tuan Hadif tu muda sangatlah. Kalau tak, dah lama aku try!” 

            Ketawa mengilai ketiga-tiga wanita yang berada di dalam tandas ini. Aku masih berdiam diri duduk di dalam bilik kecil walaupun ‘hajat’ telah lama ditunaikan tadi. Lambat betul minah gosip ini hendak beredar. Bersolek tebal agaknya, fikirku didalam hati.

            Setelah aku yakin tiada lagi orang yang berada diluar, perlahan aku membuka pintu dan menuju ke sinki. Aku membuka pili air dan mencuci tangan sambil merenung wajah di cermin besar yang tergantung di dinding. Tak perlulah aku emosional memikirkan kata-kata orang. Aku tidak mahu merosakkan mood bahagia yang kurasai sejak semalam lagi. Biarlah, aku maafkan mereka. Biasalah orang perempuan, mulut kalau tak laser tak sah. Aku menyedapkan hati sendiri.

            Aku kemudiannya berlalu meninggalkan tandas untuk kembali meneruskan tugas. Sampai sahaja aku ke dalam bilik, mataku tertancap kepada seorang lelaki yang sedang duduk membelakangkanku.

            “Abang Nizam, ada apa cari saya?” Soalku tersenyum sambil melabuhkan punggung di kerusi empuk milikku.

            “Puan pergi mana? Abang Nizam datang tadi puan tak ada. Jadi abang tunggu kat sini sekejap. Sorry masuk tanpa kebenaran.” Jawab Abang Nizam dengan tenang sambil memerhatikan wajahku penuh minat.

            “Saya pergi tandaslah.” Aku ketawa kecil. “Yes, apa yang boleh saya bantu?” Aku menyambung kata sambil mencapai pen yang berada di atas meja. Tugas yang berlambak ini, aku perlu selesaikan sebelum Hadif mendapat tahu. Bising pula mulut dia nanti kalau nampak aku melakukan tugas seperti biasa. Katanya aku disuruh buat kerja-kerja mudah sahaja. Hish, nak mudah macam mana lagi agaknya. Risau mengalahkan mak bidan.

            Abang Nizam membetulkan duduk sebelum membuka mulut. “Sebenarnya Abang Nizam dengan Kak Awin nak ajak puan dengan tuan keluar makan malam ni. Bukannya apa, sebagai ucapan tahniah meraikan puan dah pregnant. Setuju tak?” Abang Nizam mengeluarkan cadangannya.

            Aku tersenyum lebar. Terharu pula dengan layanan Abang Nizam dan Kak Awin yang sudah aku anggap seperti sahabat disini. “Saya setuju aje bang tapi nanti saya tanya suami saya dulu ye. Mana tahu dia ada urusan apa-apa malam ni. Kenapa Abang Nizam tak call bilik saya aje? Buat susah datang kemari.” 

            “Alah, Abang Nizam saja datang nak melawat puan. Lagipun Kak Awin suruh datang sini ambil kek tadi. Tu yang abang singgah sekali.” Abang Nizam memuncungkan bibir ke arah pinggan kertas yang berisi sepotong kek di sebelahnya.

            Aku menganggukkan kepala beberapa kali. “Amboi, abang dengan Kak Awin ni macam ada apa-apa aje. Jangan tunggu lama-lama, nanti dikebas orang!” Usikku nakal. Memang tak logik Kak Awin nak beri sepotong kek pada Abang Nizam yang berada di Bahagian Pemasaran di tingkat atas. Kek itu aku suruh bahagikan hanya di dalam department HR sahaja. Tak mungkin tidak boleh dihabiskan kek yang hanya seberat dua kilogram itu.

            “Okey, nanti puan bagitahu jawapannya selepas tanya Tuan Hadif. Saya nak naik atas dulu. Bye puan.” Abang Nizam tersengih sambil bangun dan melambai kepadaku. Aku mengangguk dan pantas mencapai gagang telefon di atas meja.

            Aku segera memaklumkan hajat Abang Nizam dan Kak Awin kepada Hadif. Senangnya rasa hati apabila Hadif bersetuju untuk keluar makan bersama mereka malam nanti. Setelah menamatkan talian, aku segera menghubungi Kak Awin untuk bertanyakan masa dan tempat. Nak telefon Abang Nizam mesti belum sampai kat meja dia lagi. Maklumlah baru aje dia beredar. Entah-entah dalam lif. Setelah semuanya selesai diatur, aku kembali menghadap komputer dan meneruskan tugas yang tergendala sejak tadi.


“Seronoknya puan dah nak jadi ibu! Kak Awin ni entah bila dapat merasa agaknya?” Kak Awin sengaja menceriakan suaranya walaupun aku tahu hati kecilnya tersentuh menuturkan ayat tersebut.

            Aku menyentuh lembut tangan  Kak Awin. “Insyaallah kak. Sampai masanya pasti akak dapat peluang macam yang saya rasai sekarang. Yang penting akak sabar dengan perjalanan hidup yang Allah dah tentukan.” Pujukku cuba memberikan kata-kata semangat kepadanya. Aku tidak mahu Kak Awin bersedih hati sedangkan kami berada disini untuk meraikan berita gembira.

            “Betul tu kak. Lagipun saya tengok akak ni cantik dan manis orangnya. Mesti ada yang berkenan nanti. Jangan sedih-sedih lagi.” Hadif pula bersuara sambil tersenyum kepada Kak Awin. Pandai pula suami aku memuji Kak Awin.

            Kak Awin tersengih dan membetulkan tudungnya. Mungkin malu-malu apabila dipuji begitu. Kemudian dia mengambil sekeping pizza Island Supreme dan dimasukkan ke dalam mulut. Aku dan Hadif juga turut melakukan hal yang sama. 

            “Ehem.” Deheman dari Abang Nizam membuatkan mata kami bertiga memandang ke arahnya. Abang Nizam yang duduk di sebelah Kak Awin membetulkan duduknya.

            “Sebenarnya selain daripada meraikan Puan Aida yang dah mengandung, Abang Nizam ada hal lain ajak kamu semua makan malam ni.” Kata-kata Abang Nizam yang berwajah serius itu sudah cukup membuatkan kami bertiga memandangnya pelik. Hal lain? Hal apa? Bunyi macam penting aje.

            “Cakaplah Abang Nizam. Hal apa tu?” Hadif lebih pantas bertanya soalan yang bermain di fikiranku.

            “Haah, Nizam. Kan kita nak keluar malam ni untuk meraikan puan. Sejak bila pula kau ada hal lain?” Sampuk Kak Awin yang menunjukkan reaksi ingin tahu. Berdasarkan soalan-soalan yang menerjah ke wajah Abang Nizam, dapat aku agak tiada siapa yang tahu apa hal lain yang dimaksudkan.

            “Saya gembira dan senang sangat berkawan rapat dengan tuan dan puan. Walaupun saya cuma pekerja biasa dan tuan serta puan adalah majikan saya, tetapi hubungan kita lebih dari itu. Tuan dan puan melayan saya dengan baik seperti seorang sahabat. Oleh itu, saya nak tuan dan puan menjadi saksi malam ni.” Abang Nizam bermukadimah dengan panjang lebar.

            “Saksi?” Hampir serentak perkataan itu terkeluar dari mulut aku dan Hadif. Malah dahi Kak Awin juga semakin berkerut menantikan ayat seterusnya dari Abang Nizam. 

            Abang Nizam tersenyum dan mengangguk. “Saksi bahawa malam ini saya ingin melamar seseorang.” 

            Melopong mulut aku, Hadif dan juga Kak Awin! Siapa pula gadis bertuah yang ingin dilamar oleh Abang Nizam si pengurus pemasaran syarikat kami ini? Suspen betul.

            “Hazwin Binti Abdul Rahim, sudikah awak menjadi halal buat saya?” 

            Aku menutup mulut memandang Abang Nizam mengeluarkan cincin belah rotan dari dalam poket seluarnya. Cincin itu ditunjukkan betul-betul dihadapan wajah Kak Awin yang masih terkulat-kulat. Terkejut beruklah tu.

            “A…apa…semua ni Nizam?” Menggeletar bibir Kak Awin bersuara.

            Begitukah keadaannya apabila kita dilamar oleh seseorang? Aku tidak tahu kerana aku tidak pernah dilamar oleh sesiapa. Namun aku tetap bersyukur kerana dijodohkan dengan Hadif yang sangat mencintaiku kini.

            “Saya tahu saya ni muda setahun dari awak. Tapi apa salahnya kalau saya ikhlas untuk memperisterikan awak. Saya dah lama pendam perasaan saya ni sebab saya tak yakin untuk meluahkannya. Sudikah awak menjadi halal buat saya?” Sekali lagi Abang Nizam mengulang soalan ‘keramat’ itu.

            Aku terharu melihat aksi Abang Nizam yang gentleman melamar gadis pujaannya. Mungkin juga aku tersentuh kerana aku tidak pernah melihat suasana sebegini secara langsung. Dalam televisyen pun aku selalu melihat mat saleh yang gemar melakukannya tetapi bukan orang Melayu kita. Tiba-tiba fokus aku terganggu apabila merasa bahuku dipeluk seseorang. Siapa lagi kalau bukan Hadif. Aku menoleh kearahnya dan dia tersenyum manis memandangku. 

            “Sa…saya…terima.” Jawapan Kak Awin akhirnya menamatkan debaran di dada masing-masing. Aku dan Hadif pantas memandang semula kearah mereka dan menarik nafas lega. Abang Nizam sudah pastilah lega seribu kali ganda apabila lamarannya diterima baik oleh Kak Awin.

            “Puan, boleh tolong sarungkan cincin ni pada jari Kak Awin?” Pinta Abang Nizam dengan senyuman bahagia.

            Sure! Ooo…selama ni Kak Awin pun ada hati kat Abang Nizam ye” Usikku sambil bingkas bangun dan mengambil cincin itu dari tangan Abang Nizam. Mereka semua hanya tertawa mendengarnya. Kemudian aku sarungkan cincin tersebut di jari manis Kak Awin. Kami berpelukan seketika membuatkan airmata Kak Awin tidak mampu ditahan lagi. Aku juga ikut terharu kerana penantian jodoh Kak Awin berakhir di hadapan mataku sendiri.

            “Tapi, cincin ni besar sikitlah Nizam. Kau pilih salah saiz.” Komen Kak Awin yang membelek jari manisnya selepas pelukan antara kami terlerai.

            “Ada pulak beraku-kau. Lepas ni Kak Awin kena panggil Abang Nizam abang, sayang atau dear. Barulah romantik macam saya dengan Aida.” Tegur Hadif sambil memaut kembali bahuku mesra. Aku mengangguk dan tersenyum. 

            Merah padam muka Kak Awin menahan malu apabila ditegur begitu. Abang Nizam pula sudah ketawa mengekek sambil menjeling Kak Awin sekilas. “Tak apa, nanti kita hantar kat kedai cincin tu semula ye dear. Kena beli baru pun abang sanggup.” Abang Nizam mengenyitkan matanya nakal.

            Bertambah merahlah wajah Kak Awin yang ayu bertudung itu. Aku dan Hadif sempat lagi bersorak riang apabila Abang Nizam memanggil Kak Awin dengan panggilan dear. Ah, hari ini benar-benar bermakna buat kami berempat.

            “Jom habiskan makan. Lepas ni saya nak belanja pergi karaoke. Puan Aida ni dah ‘gian’ nak menyanyi. Nanti perut dia dah memboyot tak dapatlah saya dengar nyanyian merdu dia lagi. Mahunya semput dan termengah-mengah.” Hadif tergelak besar sambil menuturkan ayat itu. 

            Aku mencubit lengan suamiku. Nakal mengusik aku aje kerjanya. “Saya nak kena praktis nyanyi lagu Selamat Pengantin Baru ni untuk Abang Nizam dan Kak Awin.” Aku berseloroh.

            Kak Awin menjegilkan biji matanya memandangku. Manakala Hadif dan Abang Nizam tertawa geli hati. Semoga Kak Awin dan Abang Nizam berbahagia menuju ke gerbang perkahwinan.

No comments: