Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, August 11, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 31



              Aku menggosok mata perlahan. Dah sampai mana ni? Aku meluaskan pandangan. Banyak bangunan di kiri kanan bermakna dah sampai ke Kuala Lumpur. Sepanjang lebuhraya utara-selatan selalunya banyak pokok sahaja sepanjang jalan melainkan dah sampai ke ibu negara.

            “Awak, kita dah masuk KL ke?” Aku menoleh ke arah Hadif yang sedang memandu. Kesian. Mesti dia letih memandu jauh. Melihatkan wajahnya saat ini hati aku tumpah rasa simpati yang membuak. Apatah lagi Hadif sanggup mengikut aku untuk pulang ke rumah keluargaku.

            Hadif memberikan aku senyuman manisnya. “Ye, kita baru aje masuk KL. Awak dah bangun?” Hadif sihat ke tidak hari ini? Pagi tadi aku tengok dia okey aje. Tiba-tiba lembut dan baik dengan aku. Ada apa-apa muslihat ke?

            Kemudian aku segera menyambung kata apabila melihat Hadif menguap kecil. “Kalau awak rasa mengantuk, bagi saya memandu pulak. Awak rehatlah tidur. Lagipun perjalanan jauh lagi ni.” Kataku lagi. Aku membetulkan duduk dan mengikat kemas rambut yang tadinya terbiar lepas. 

            No Aida. Saya boleh tahan lagi.” Hadif menanggalkan kaca mata hitamnya dan menyangkut di poket kemeja ungu yang dipakai. 

Hadif ni pergi mana-mana mesti bergaya. Tak pernah aku tengok dia dalam keadaan selekeh mahu pun kurang menarik untuk dipandang. Mungkin dari kecil dia dah biasa kemas dan rapi begini. Bertuah Zati! Erk? Kenapa pulak Zati yang bertuah, sepatutnya aku yang bertuah sebab Hadif adalah suami aku. Walaupun aku bukannya peminat Baim Wong tetapi rasa bangga apabila berjalan dengan Hadif tetap ada. Bukan aku tidak tahu banyak mata-mata gadis yang menoleh dua tiga kali kepada Hadif apabila kami keluar bersama. Ah, tetapi hati Hadif kini untuk Zati bukan untuk aku. Hati aku sedikit sayu. Tak perlu perasan lebih Aida Nasuha. Hadif suami kau atas kertas aje.

            “Awak, nak tanya sikit boleh?” Aku membetulkan sedikit baju belang-belang lengan panjang yang kupakai. Kemudian aku beralih duduk untuk menghadap Hadif.

            Rambut  yang aku ikat pun mesti tak kemas sekarang ni. Maklumlah aku tidur sejak dari Sungai Petani sampai ke sini. Dalam perjalanan jauh aku memang suka tidur. Tapi sekarang aku rasa seperti dah terlebih tidur pula. Aku mahu menemani Hadif memandu agar dia tidak mengantuk. 

            Hadif mengerling sekilas. “Tanya apa?” Soalnya pantas.

            “Kenapa papa tak belikan awak kereta yang lagi bagus, lagi mahal? Kereta saya pun papa belikan lagi mahal dari kereta ni. Segan pula saya jadinya.” Aku bertanya kemudian mengambil kaca mata hitam di dalam beg tangan dan memakainya.

 Cuaca terik di luar membuatkan mata aku yang baru bangun tidur menjadi tidak selesa. Lagipun bolehlah aku tengok Hadif puas-puas. Apabila mood Hadif tengah baik,  hati aku senang disisinya. Tetapi apabila dia marah-marah atau tidak pedulikan aku, memang rasa nak ketuk aje kepala dia ni. 

            Hadif tergelak kecil sebelum bersuara. “Siapa kata papa yang belikan? Hmmm?” Hadif menaikkan sedikit keningnya. Kemudian dia menggelengkan kepalanya. Lembutnya suara Hadif saat ini. Kalaulah aku dapat layanan hari-hari macam ni gerenti aku cair tangkap cintan dengan Hadif!

            “Habis tu?” Aku masih tidak dapat meneka jawapan yang ingin Hadif berikan.

            “Saya beli sendirilah. Duit nafkah tiap-tiap bulan yang saya masukkan dalam akaun bank awak tu pun duit saya sendiri.” Terang Hadif penuh hemah. Sah! Hadif lupa makan ubat. Entah-entah hari ini hari baik sedunia buat Hadif. Aku menjadi seronok dan gembira. Senyuman yang terukir di bibir semakin lebar.

            Aku mengerutkan dahi. “Tapi awak kan masih belajar macam saya jugak. Mana awak dapat duit?” Aku masih tidak mengerti.

            “Ish, awak ni. Ingat orang belajar tak boleh cari duit ke?” Hadif menyindir sambil mencebikkan bibir. Berpura-pura merajuk. Amboi pakai merajuk segala! Senyumku semakin ke telinga nampaknya. Aku betul-betul selesa dengan Hadif versi ini.

            “Manalah saya tahu. Sebab tak tahulah saya tanya okey.” Aku menyilangkan tangan ke dada. Tidak mahu kalah, aku pun nak merajuk sama. Nampaknya waktu mood Hadif tengah baik aku kena manfaatkan betul-betul peluang yang ada. Nak jugak merasa bermanja dengan Hadif. 

            “Alololo merajuk pulak dia ni.” Hadif menarik sedikit hidungku. Mana ada sedikit. Sampai merah hujung hidung aku dibuatnya! Walaupun hati aku berbunga riang dengan perbuatannya aku tetap cuba berlagak selamba. Tidak mahu dikesan oleh Hadif bahawa aku suka diberi perhatian sebegitu.

            “Tak merajuklah. Saya bukan budak kecik lagi. Erm, cakaplah dari mana awak dapat duit? Saya nak tahu juga.” Aku memandang Hadif masih ingin mendapatkan jawapan.

            “Saya ada simpan duit sikit-sikit sejak kecil. Menabung, duit raya setiap tahun, macam-macam cara saya buat untuk kumpul duit. Jadi dua tahun lepas saya keluarkan semua duit itu untuk mulakan perniagaan kecil-kecilan. Walaupun taklah untung besar macam syarikat papa tu tapi untuk menyara hidup saya seorang dah memadai. Sekarang nak kena tanggung awak pulak kan?” Panjang lebar Hadif menerangkan kepadaku sambil tangannya masih kemas memaut stereng kereta. 

            Aku menganggukkan kepala beberapa kali. Bermakna Hadif tidak hidup atas kemewahan papa. Patutlah hidupnya serba sederhana. Aku kagum apabila mengetahui Hadif seorang yang pandai berdikari rupanya. Tidak seperti anak orang kaya yang lain. Nasib kita tidak dapat dijangka namun aku yakin andai diuji oleh Allah dan perlu merasai kesusahan hidup, Hadif pasti dapat mengharunginya. Tetapi kenapa Hadif nak sangat harta papa sampai sanggup terima syarat untuk berkahwin dengan aku?

            “Awak buat bisnes apa?” Soalku lagi. Lupa pula aku nak tanya. Jangan perniagaan yang bukan-bukan sudahlah. Maklumlah duit nafkah yang dia bagi pada aku juga dari hasil perniagaannya. Aku tak nak bersubahat makan duit haram. Kesitu pulak aku.

            “Dobi. Saya buka kedai dobi kat Ipoh. Kawan saya yang tolong uruskan sekarang ni. Kalau balik cuti, saya akan tolong sekali kat sana. Modal yang ada pun tak besar mana. Papa nak tolong tambah modal tapi saya tak nak. Cukuplah buat permulaan. Nanti dah stabil barulah boleh besarkan lagi, nak tambah cawangan ke.” Hadif tersenyum lebar. Selayaknya dia berbangga atas usahanya selama ini tanpa mengharapkan bantuan papa.

            “Kalau macam tu kurangkan ajelah elaun saya. Awak bagi sampai seribu sebulan. Saya ni seorang pelajar. Tak banyak guna duit sangat pun. Lima ratus sebulan untuk duit belanja dah cukup.” Cadangku pada Hadif. Padahal sebanyak itu juga ayah berikan kepadaku setiap bulan namun sejak aku berkahwin aku tidak lagi menerima wang dari ayah.

            “Tak apa. Kalau ada lebih saya memang nak bagi awak lagi banyak. Kalau tak habis guna, awak simpan aje ye.” Kata Hadif dengan nada bersahaja. Matanya masih dihalakan kehadapan. Aku terpaku seketika. Hadif benar-benar baik hari ini. Lain benar sikap dan layanannya terhadap aku. Bukan aku tak suka tetapi aku cuma berasa pelik. Namun aku hanya pendamkan sahaja tidak mahu merosakkan suasana. 

            Nampaknya jalan tidak sesak mungkin hari ini hari bekerja. Dan sekarang bukan waktu orang pergi atau pulang dari kerja. Hanya pelajar macam kami saja yang bercuti sekarang ni. Cuti sekolah pun dah lama berlalu. Perjalanan kami lancar tanpa masalah lalu lintas.

            “Terima kasih Hadif.” Ucapku perlahan. Terharu dengan sikap Hadif yang bertanggungjawab. Itu memang aku tidak nafikan kerana setiap bulan aku menggunakan duit yang diberikannya untuk membeli segala keperluan. Pendek kata aku tidak pernah kesempitan wang walaupun tanpa duit belanja daripada ayah lagi.

            “Kasih diterima.” Hadif tersengih dengan pandangan yang nakal. Tanganku diusap perlahan. Aku ternganga sedikit. Kenapa dengan Hadif ni? Serius makin lama dia makin aneh pada firasat aku. Tetapi aku tidak pula mengelak. Hanya membiarkan sahaja perlakuannya.

            Namun naik meremang juga bulu tengkuk aku apabila dipandang Hadif sebegitu. Aku tahu lambat-laun akan cairlah hati aku jika sering dilayani sebaik ini oleh Hadif. Tetapi kenapa hari ini? Kenapa tidak dari dulu atau semalam? Ada apa sebenarnya dengan Hadif?


Aku mengemas pakaian yang berada di dalam beg baju untuk digantung di dalam almari. Pakaian Hadif juga aku tolong kemaskan agar mudah untuk digunakan sepanjang berada disini. Susah pula kalau setiap kali nak memakai baju perlu membuka beg besar ini dan mencari pakaian yang ingin dipakai. Tiba-tiba tangan aku memegang sesuatu yang kecil. Eh, apa ni? Segera tangan aku keluarkan dari dalam beg. Alamak! Seluar dalam Hadif!

            Aku masukkan semula ke dalam beg. Biarlah dia yang kemas sendiri. Semenjak aku tinggal bersamanya aku tidak pernah menyidai, melipat dan memegang barang-barang ‘dalam’ milik Hadif. Lepas cuci pakaian yang telah sedia ada di dalam mesin basuh aku akan tinggalkan sahaja barang ‘dalam’ itu disitu. Hadif akan menguruskannya sendiri. Aku berasa janggal dan malu untuk melakukannya.

            “Awak dah siap kemas belum? Mak panggil tu. Ajak makan malam.” Hadif yang menjengukkan kepala di pintu bilik menggamitku. Senyuman manis menghiasi bibir indahnya. Hari ini sahaja sudah banyak kali aku menikmati senyuman Hadif sampai aku dah tak terkira. Walaupun aku masih tertanya-tanya, aku tetap mahu menikmati saat ini sebaiknya.

            Aku kemudian memberi isyarat tangan agar dia masuk ke dalam bilik. Hadif yang terpinga-pinga menurut dan menutup pintu bilik aku rapat. Tidak mahu sesiapa mendengar atau melihat hubungan kami yang masih dalam ketidakpastian ini.

            “Ada apa?” Soal Hadif sambil menaikkan sedikit keningnya. Pandangannya redup dan mempersonakan. Aura Hadif sebagai seorang suami memang kuat menggodaku. Tetapi aku masih berasa ada jurang di antara kami. 

            “Barang-barang ‘dalam’ kemas sendiri okey. Yang lain semua saya dah masukkan dalam almari. Senang nanti awak nak guna.” Aku menutup pintu almari menandakan semuanya telah siap berkemas.

            “Apalah awak ni, itu pun nak berkira dengan saya.” Hadif menjeling tajam berpura-pura marah. Tangannya mencapai isi yang masih berada di dalam beg.

            “Tentulah…” Aku berkata perlahan kemudian melangkah untuk keluar dari bilik. Meninggalkan Hadif yang ingin mengemas pakaian dalamnya. Aku senyum sendiri dengan apa yang berlaku. Hadif bergurau dengan aku! Selalunya bercakap pun macam orang nak ajak bergaduh aje. Walaupun tidak tahu apa penyebab Hadif tiba-tiba berubah sikap sejak pagi tadi, hati aku tetap memanjatkan rasa syukur pada yang Maha Esa. 

            “Rindunya kat mak…” Aku yang masuk ke dapur memeluk mak dari belakang.

            Mak yang sedang mencuci pinggan terkejut. “Nasib baik tak terlepas pinggan ni! Akak buat mak terkejut aje.” Marah mak tetapi aku tahu mak hanya berpura-pura marah. 

            Aku meleraikan pelukan untuk mak meneruskan kerjanya. Kemudian aku menarik cermat kerusi di meja makan untuk melabuhkan punggung. Tudung saji aku buka perlahan. Ada telur masak sambal kegemaranku, sayur pucuk ubi rebus dan pencicah sambal kacang serta ikan masak singgang. Aku memang suka lauk-pauk yang ringkas kerana aku tidak cerewet asalkan perut boleh menyanyi kenyang.

            “Mana suami akak?” Soal mak sambil mengelap tangan yang basah setelah selesai mencuci pinggan. 

            “Kat dalam bilik. Kejap lagi keluarlah tu.” Aku menjawab acuh tidak acuh.

            Sejurus selepas itu Hadif sudah tersengih-sengih mendekati aku. Mungkin dia agak kekok sedikit kerana ini pertama kali dia akan bermalam di rumah keluargaku. Masa bertunang pun hanya sekali sahaja dia menjejakkan kaki ke sini. Itu pun aku bersembunyi di bilik bacaan semasa mereka sedang makan tengah hari. Aku tersenyum kecil mengingatkan kisah lucu tersebut.

            “Apa sengih seorang-seorang ni?” Hadif memandangku pelik sambil mendekatkan duduknya. Aku menjauhkan sedikit badanku kerana malu melihat mak yang sudah tersenyum penuh makna. Hadif, kalau kau nak berlakon pun tak perlu lebih-lebih. Aku pula yang berasa tidak selesa saat ini.

            “Akak, makanlah ajak Hadif tu sekali. Mak dah makan dengan Aini tadi.” Mak berlalu untuk ke ruang tamu dan meninggalkan aku berdua dengan Hadif. 

            “Kenapa saya tidur tadi awak tak kejut? Kesian mak makan berdua aje dengan Aini.” Aku memuncungkan bibir kepada Hadif yang sedang menuang air ke dalam gelas. Aku memang dah lama tak makan bersama dengan mak. Tak apalah esok-esok masih ada lagi, pujuk hatiku. 

            “Awak ni kuat tidur ye? Kesian, penatnya mengalahkan orang memandu jauh….” Sindir Hadif tanpa memandang wajahku. Amboi main sindir-sindir pulak ye?

            “Mengantuklah! Aini mana?” Balasku kemudian menjengukkan sedikit kepala seperti mencari seseorang.  Aku sengaja mengubah topik kerana malu diperli begitu. Pipiku juga terasa berbahang dan sudah pasti kulit wajahku telah bertukar merah.

Ayah tiada di rumah sejak aku sampai petang tadi kerana ada tugas yang perlu diselesaikan di luar. Orang berniaga sememangnya tidak tentu masa waktu bekerja. Ayah yang menguruskan bisnes pengangkutan sejak dari aku kecil lagi memang selalu sibuk. Lewat malam nanti baru ayah pulang. Aku juga rindu pada ayah dan tidak sabar rasanya hendak berjumpa dengan ayah.

            “Aini saya dah hantarkan pergi tuisyen tadi. Dia tunggu nak makan dengan awak lambat sangat.” Jawab Hadif sambil menyinsing lengan baju melayu yang dipakainya. Kemudian dia sudah mula menyuap nasi ke dalam mulut.

            “Awak hantarkan Aini?” Aku terkejut mendengarnya. Baru pertama kali bermalam disini sudah macam-macam pula dibuatnya. Entah-entah masa aku tertidur tadi apa lagi yang dia buat tanpa pengetahuan aku agaknya? Tetapi setakat apa yang aku perhatikan, Hadif jenis yang pandai menyesuaikan diri dan nampak selesa di rumah ini. Mungkin sebab tu mak jatuh sayang pada satu-satunya menantu yang dia ada sekarang.

Hadif mengangguk tanpa kata.  Melihatkan gaya Hadif makan sangat berselera aku terus terdiam tidak bertanya lagi. Kesian, lapar agaknya dia. Mana tidaknya, menunggu aku yang enak tidur di atas katil sendiri. Lamalah jawabnya sebab rindu sangat dengan tilam aku tu! Sampai tak sabar nak tunggu lewat malam. 

Buruk betul perangai kau, Aida Nasuha.

No comments: