Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, September 26, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 22


          “Kau kat mana?!” Soalan kasar memecah gegendang telingaku. Sah! Kalau aku jadi isteri dia lebih dari setahun telinga aku boleh pekak.

            “Dah nak sampai! Kau tunggu aje diam-diam tak boleh ke?” Marahku pula. Sebenarnya aku bukan nak marah sangat tetapi sudah biasa apabila menjadi Aida aku akan bercakap seperti ini dengan Hadif.

            Kalau aku menjadi Suha pandai pula aku menjadi gadis lemah-lembut, sopan dan ayu. Ah, itu memang sikap sebenar aku okey! Jangan nak buat-buat tak faham.

            “Mama dan papa dah sampai. Mereka sibuk tanyakan kau dari tadi. Cepat sikit, jangan lembap sangat!” Bentak Hadif.

            Talian dimatikan. Aku terus mencampakkan telefon bimbit ke atas tempat duduk sebelah pemandu. Kemudian kereta aku membelok ke Taman Teja. Setelah melalui dua lorong, aku berhenti betul-betul dihadapan rumah teres semi-D yang telah disewa oleh Hadif. Kereta Satria Neo kepunyaan Hadif sedia terparkir di tempat letak kereta di bawah bumbung rumah.

            Aku membaca Bismillah….aku keluar dari perut kereta dan pintu kereta aku tutup. Sempat lagi aku melihat penampilan aku menerusi cermin kereta walaupun tidaklah sama jelas dengan cermin dibilik aku. Aku menarik nafas dalam-dalam dan langkah kaki kuatur menuju ke muka pintu.

            “Assalamualaikum.” Aku memberikan salam sebelum masuk ke dalam rumah yang pintunya terbuka luas.

            Pandangan mata aku dan Hadif bertemu. Kemudian dia melarikan anak matanya seperti mencari seseorang yang bakal muncul di belakangku. Maaflah Hadif. Aku datang seorang aje sebagai Aida. Suha aku dah tinggalkan dalam tong sampah!

            “Waalaikumsalam. Lambatnya Aida balik? Mama dah lama tunggu tau.” Mama yang datang dari dapur menerpa kearahku.

            Aku bersalaman dengan mama dan berpelukan untuk beberapa saat. Kemudian aku mendekati papa yang juga baru muncul dari dapur untuk bersalam.

            “Aida?” Sepatah perkataan yang keluar dari mulut Hadif.

            Aku buat-buat tidak dengar sahaja. Kemudian aku terus mengambil tempat duduk disisi mama. Hadif turut ikut duduk di sofa yang berhadapan dengan aku sambil matanya tidak berkelip memandang. Aku bukan makhluk asing yang perlu kau tengok macam tu Hadif. Tetapi tidak dinafikan dada aku berdebar kencang dan tangan aku sejuk seperti tidak berdarah dipandang sebegitu oleh Hadif.

            “Kamu ni kenapa Hadif? Tengok isteri sendiri pun macam nak telan aje.” Papa menepuk peha Hadif yang berada disebelahnya. Kemudian papa tersenyum penuh makna. Erk! Perlu ke papa senyum macam tu? Aku tertunduk menyembunyikan wajah yang malu.

            “Dia Suha lah pa.” Hadif berkata lagi. Sungguh, malang nasib aku mendapat seorang suami yang naif. Ingatkan dia dah faham. Silap percaturan pula aku. Dasar sengal!

            “Amboi ada nama manja pula. Seronok kan bang tengok pasangan muda sekarang ni.” Mama pula tersenyum manis. Aku masih lagi tertunduk malu. Malu ke takut? Dua-dua!

            “Apa mama cakap ni?” Akhirnya Hadif mengalihkan pandang ke wajah mama. Dapatlah aku bernafas sedikit apabila tidak lagi diperhatikan sedemikian rupa. Aku membetulkan duduk dengan harapan akan lebih selesa berhadapan dengan situasi sekarang.

            “Yelah, kami semua panggil Aida. Kamu tiba-tiba aje panggil Suha. Mana-mana pun tak apalah. Nama dia kan Aida Nasuha.” Terang mama lagi. Terima kasih mama telah menerangkan kepada anak mama yang blur. Namun air muka Hadif masih keruh. Faham ke tidak ni?

            “Kenapa tak pakai purdah?”

            Soalan itu mengundang ketawa besar kepada mama dan papa. Malah aku juga tumpang sekaki ketawa. Hanya Hadif yang seperti mati kutu melihat perlakuan kami.

            “Apa Hadif merepek ni? Hadif suka ye Aida pakai ala-ala Arab masa nikah dulu? Fesyen terkini tu untuk pakaian majlis nikah.” Papa bersuara setelah ketawa kami hampir reda. Maklumlah, baju pengantin ungu muda yang kupakai memang pilihan papa.

            “Habislah kamu Aida! Suami kamu nak suruh kamu pakai purdah pula.” Mama masih ligat mengusik apabila melihat aku hanya diam dan tersenyum. Macam orang bisu pula. Hati yang tadinya resah gelisah mula sedikit tenang akibat ketawa kelucuan sebentar tadi.

            “Pandai Aida hias rumah kan bang?” Mama bertanya pada papa sambil matanya melihat ke segenap ruang tamu. Semuanya peralatan moden serba putih ala-ala inggeris, kemas dan bersih. Memanglah bersih kerana tiada siapa duduk dirumah sehingga hari ini.

            “Not bad. Walaupun papa faham orang belajar macam kamu tak banyak masa nak kemas rumah.” Papa menunjukkan isyarat dengan menaikkan ibu jarinya kepadaku.

            Aku tersengih sahaja. Sememangnya dari tadi itu perkara yang aku lakukan. Terasa janggal berada dihadapan Hadif sebagai Aida Nasuha sejati. Tiada lagi yang palsu. Namun aku masih bimbang akan penerimaan Hadif.

            “Kamu masuklah bilik dulu. Rehat dan tukar baju. Tentu kamu penat baru balik dari kampus. Yelah, Hadif kata tadi kamu ada group discussion.  Petang ni biar mama yang masak untuk kita semua. Dah siap nanti mama panggilkan kamu ye sayang.” Mama mengelus lembut rambutku yang panjang separas bahu. Sesungguhnya aku rindukan belaian mak.

            “Tak apalah mama. Aida tolong mama masak. Tapi rasanya tak ada bahan-bahan basah kat dapur tu.” Aku berkata sambil memandang mama penuh kasih. Mama tidak tumpah seperti mak. Penuh dengan sifat keibuan.

            “Mama, papa dan Hadif dah keluar beli barang dapur tadi. Tak apa sayang. Mama faham tanggungjawab kamu besar. Nak belajar dan jaga suami dalam masa yang sama. Dengan umur kamu berdua yang masih muda ni, mama tak harap kamu jadi suami isteri atau menantu mama yang sempurna serba-serbi. Cukuplah kalau Aida dan Hadif saling menyayangi dan belajar rajin-rajin.” Mama menggosok lembut kepalaku. Aku pula selesa diperlakukan sebegitu.

            “Terima kasih mama, papa.” Aku berkata dan mencium pipi mama. Walaupun ini kali pertama aku buat begitu tetapi aku berasa senang dapat melakukannya. Mungkin sikap mama yang penyayang menjadikan aku tidak berasa malu dan kekok untuk bermanja dengannya.

            “Masuk rehat dulu okey.” Mama tersenyum.

            Aku segera berdiri dan meminta diri untuk masuk ke dalam bilik. Langkahku makin laju apabila aku mendengar yang Hadif juga ingin turut masuk berehat. Mati aku kali ni!

            Aku masuk ke dalam bilik dan cepat-cepat menutup pintu. Niat di hati ingin aku kunci saja pintu ini agar Hadif tidak dapat masuk. Namun bimbang mama dan papa mengesyaki sesuatu, aku tidak jadi berbuat demikian. Aku duduk di birai katil. Berdebar-debar hatiku menanti kedatangan Hadif seperti akan dijatuhkan hukuman yang sangat berat.

            Pintu bilik dikuak dari luar. Bunyi langkah kaki orang berjalan semakin hampir di belakangku. Aku tutup mata rapat-rapat. Dengan harapan mendapat sedikit kekuatan apabila mata aku buka kembali.

            “Kenapa selama ni rahsiakan dari saya?” Suara itu perlahan tetapi tegas dan keras.

            Lantas aku segera berdiri. Menjauhkan diri daripada punca suara itu. Aku berdiri di tepi jendela. Membuang pandang ke hadapan melihat matahari yang masih bersinar cerah. Namun hati dan fikiranku tidak secerah cuaca di luar.

            “Kenapa awak nak main-mainkan saya? Suka sangat pakai purdah ye?” Soal Hadif sinis. Nada suaranya memang mampu menggetarkan jantung aku yang sedia mahu luruh ini. Jari-jemari aku ramas. Aku takut dan tidak mampu untuk menjawab.

            Aku hanya kaku seribu bahasa. Diam tidak berkutik. Hendak jawab salah, tak jawab lagi bertambah salah. Namun aku sememangnya tidak mampu membuka mulut. Perlukah aku terangkan hal yang sebenarnya? Perkara yang aku tidak rancangkan sebelum ini telah menjadi sesuatu yang serius pada akhirnya.

            “Aida, jawablah! Selama ni awak tipu saya hidup-hidup rupanya!” Bentak Hadif sedikit kasar. Hadif sudah tidak boleh bersabar lagi dengan cara aku yang tetap berdiam diri. Nampaknya inilah masa untuk aku bersuara agar keadaan tidak bertambah tegang.

            “Saya…saya…cuma ingin mendekati awak sebagai seorang kawan. Bukan memaksa awak menerima saya sebagai seorang isteri yang tidak rela dikahwini.” Akhirnya aku menjawab walaupun langsung tidak memandang ke arah Hadif. Aku tidak berani untuk bertentang mata saat ini. Aku merasakan Hadif mungkin akan bertukar menjadi seekor raksasa yang mampu menelan aku hidup-hidup!

            Terlepas keluhan lemah dari mulut Hadif. “Dengan cara menipu?” Soalan Hadif membuatkan hati aku bertukar sebak. Aku juga sebenarnya tidak berniat untuk menipu tetapi semuanya berlaku secara tidak dirancang. Ah, tetapi memang salah aku.

            Aku segera menoleh dan anak mata kami bertemu buat seketika sebelum aku menunduk memandang lantai. “Saya minta maaf tetapi saya tak niat pun sebenarnya.” Jawabku perlahan dengan suara yang sedikit serak kerana menahan tangis. Perkataan menipu yang diucapkan Hadif ternyata memberi impak terhadap emosi aku saat ini.

            “Membunuh tanpa niat pun kena hukum juga. So menipu tanpa niat tentu ada hukumannya. Awak jangan ingat akan terlepas setelah mempermainkan saya macam ni.” Keras suara Hadif seperti seorang hakim di dalam mahkamah sahaja lagaknya.

            Aku menelan liur beberapa kali. Tetapi tekak masih terasa kering. Kena hukuman? Tetapi hukuman apa? Aku mula berasa resah mendengar apa yang keluar dari mulut Hadif. Rasa sebak yang bertandang sekejap tadi perlahan-lahan beransur pergi.

            Hadif meraup mukanya berkali-kali. Tiba-tiba dia menghempaskan dirinya ke atas katil. Selamba badak aje nak baring-baring sedangkan aku berdiri terpacak kat dalam bilik ni. Tak malu betul. Aku mengutuk di dalam hati. Namun aku masih menanti Hadif membuka mulut menyambung kata-katanya.

            “Hukuman apa? Tetapi saya betul-betul minta maaf.” Lirih suaraku cuba memohon sedikit simpati setelah Hadif langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan bersuara lagi.

            “Hampir tiga bulan menipu saya baru sekarang nak minta maaf?” Hadif mencerlung matanya ke arahku. Tajam sungguh renungannya macam pisau kat dapur tu. Aku jadi serba tidak kena. Aku menggaru kepala yang tidak gatal cuba mencari idea.

            Hadif bingkas bangun dari pembaringannya. “Saya tahu saya tak layan awak dengan baik selama ni. Tapi itu tidak bermakna awak boleh menipu saya!” Marah Hadif lagi lantas menapak keluar dari bilik.

            Aku akhirnya terduduk di birai katil setelah beberapa minit berdiri tegak melihat pintu bilik yang sudah tertutup rapat. Walaupun Hadif tidak bercakap kau-aku seperti selalu yang dia gunakan untuk berkomunikasi dengan Aida, namun Hadif marah dengan tindakan aku selama ini. Mungkin dia rasa diperbodohkan dan rasa tertipu.

              Tetapi aku akan cari jalan untuk mendapatkan kemaafan dari lelaki itu....

9 comments:

Unknown said...

Alamak sian plak kat Hadiff...ingatkan dah kenal Suha dan Aida tu orang yang sama rupanya dia blur gak...Aida kena buat pandai pujuk Hadiff supaya hatinya pada Aida tak berbelah bagi dengan gfnya. Hadiff pernah kata kalau Suha@Aida tu isterinya dia dah tak nak gf dia lagi...Aida you have be strong...konflik akan semakin hangat...huhuhu

Unknown said...

Citer ni makin best la...sure aida akan berusaha utk pujuk hadif...suka..xsbr lak nk tggu next n3.. :)

Yin Areesa said...

Tu lah, sarang tebuan jgn dijolok. Kesian Aida, kesian lagi kat Hadif. Kena musyawarah ni baik2..

Unknown said...

kesian hadif..takpe pasni aida nasuha kena jadi isteri solehah, guna title isteri tu untuk goda hadif..mesti cair punya.. sbb hadif sukakan versi suha..so be urself.. chaiyokk

Anonymous said...

kesian kat aida, tapi tu la sapa suh laki dia marah2 dia dulu.. hmmm

Unknown said...

hehe..akhirnya keluar jugak entry nih..
ala hadif ni pon satu la,keje nak marah aje...cuba la dgr penjelasan aida dulu kan..

kak ida said...

salam..dik..membaca E3 ni terasa bahang kemarahan si Hadiff tu..pada tingkah laku Aida @ suha.. yg memainkan perasaannya..sebgai seorg suami..selama ini..tapi akak rasa dengan jawapan dari Aida pada Hadiff..akak rasa secara logiknya mamat tu akan memaafkan isterinya itu..kerana dalam melontarkan perasaan tidak puas hatinya pada isterinya..dia ada mengatakan bahawa walaupun dirinya tidak melayan isterinya sepatutnya itu tidak bermakna dia boleh menipu..

Sepatutnya Hadiff berbaik sangka dengan isterinya kerana dia sendiri tahu..yg dirinya terlalu ego dan tidak pernah bercakap eluk ngan Aida..tetapi berlainan pula bila dia berdepan dengan Suha.. Kemungkinan Hadiff malu dengan tingkah lakunya yg berbeza bila berdepan dengan Suha..

Apa apa pun akak berharap sangar agar ikatan mereka akan bertambah kukuh dan layanan Hadiff akan berubah bila berdepan dengan Aida dan akak harap Aida tidak akan putus asa memujuk dan meraih cinta kat Hadiff..sebab akak rasa sudah ada tunas yg berputik dihati Hadiff buat Aida..hanya ego dan rajuknya sahaja..yg menghalangnya ..

Aida gunakan segala kegedikans yg ada untuk menawan hati suami ko tu..sesunguhnya ko sudah tahu bahawa bagaimana orgnya siHadiff tu kan..selama 3 bulan ko menyamar diri..dia bukanlah kaki perempuan..dia seorg yg rasional orgnya dan bertanggung jawab.

Teruja nak tahu kesinambungan citer ni..

Unknown said...

wah terbaik lah ida..
hehe..btw semua pon tertunggu2 nak baca kesudahan cerita ni..bestnya..tak sabar :)

khadijah said...

huhuhu...terkejut ko hadiff...bru tau aida n nasuha org sama..2 la....aggap la bini ko 2 nasuha yg ko knal..pe salahnye..cba lah trima isteri ko..huhuh..tp sian jgk hadif....kna tpu ngan aida.....tp nk wat mcm mna kan...aida@nasuha teringin nk tau suami dia sbnaqnye mcm mna kan..heheheh