Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, August 14, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 53



           “Betul ke kami boleh tumpang bermalam kat rumah mertua kau tu?” Soalan Akma yang masih ragu-ragu itu aku balas dengan anggukan beberapa kali.

            “Tentulah boleh. Kau, Wawa dan Ema akan ditempatkan dalam satu bilik okey. Tak seronok tau masa majlis resepsi aku minggu lepas kat BP kau orang tak dapat datang.” Aku memuncungkan bibir.

            Walaupun keadaan agak kelam-kabut kerana kesuntukan masa, namun majlis resepsi yang diaturkan oleh mak dan ayah berjalan dengan lancar. Semua saudara-mara dan kenalan dari jauh dan dekat turut sama memeriahkan majlis. Fana dan suaminya telah menjadi pengapit aku pada majlis tersebut. Namun kami hanya pulang selama tiga hari untuk majlis resepsi kerana cuti semester telah lama berlalu. Jadi, mak dan ayah memilih untuk mengadakan majlis pada cuti hujung minggu sahaja. Aku dan Hadif pula terpaksa ponteng kuliah untuk hari Ahad dan Isnin. Maklumlah hari Ahad di negeri Kedah Darul Aman ini merupakan hari bekerja. Apa-apa pun aku bersyukur semuanya telah selamat. Kini giliran majlis menyambut menantu di pihak lelaki pula.

            “Seganlah Aida…” Wawa pula mencelah. Hish, budak berdua ni! Ada-ada sahaja kerenahnya. Aku menggelengkan kepala.

            “Jangan risau. Rumah tu ada tujuh buah bilik yang besar-besar. Lagipun aku dah maklumkan pada mama. Dia okey aje.” Aku menaikkan ibu jariku ke atas. 

            Wawa dan Akma tersenyum dan mengangguk. Masing-masing kembali menghadap nasi ayam yang masih berbaki di dalam pinggan. 

            “Tapi, kau orang yakin ke nak ponteng kuliah ni? Aku rasa bersalah pula. Tapi nak buat macam mana. Itu aje tarikh yang mama dan papa free. Nak tunggu nanti-nanti karang, makin besar pula perut aku ni. Tak ayu makcik nak naik pelamin!” Aku berseloroh sambil memegang perutku yang masih belum menampakkan ‘bukti’.

            “Tak apalah Aida. Lagipun minggu ni tak sibuk sangat. Sesekali ponteng apa salahnya kan?” Akma menjawab sambil mengenyitkan sebelah matanya kepadaku.

            “Janji dapat hadiri majlis kawan baik kita orang ni.” Wawa tersengih sambil memeluk bahuku. 

Ketika majlis yang berlangsung pada hari Ahad lepas, Wawa dan Akma terpaksa melakukan presentation berkumpulan tanpa kehadiran aku. Semuanya jadi bertindih dan tidak dapat di adjust lagi. Walaupun mereka sangat memahami tetapi pengorbanan mereka membuatkan aku tersentuh. Aku sedap-sedap tengah bersanding manakala mereka disini meneruskan perjuangan sebagai seorang pelajar. Dimana lagi aku dapat mencari sahabat sebaik mereka?


 
Majlis gilang-gemilang yang diadakan di Hotel Sri Impiana berjalan dengan lancar. Tetamu-tetamu kehormat seperti menteri-menteri juga turut hadir memenuhi undangan dari mertuaku. Aku dan Hadif yang memakai persalinan berwarna keemasan ini tidak lekang dengan senyuman di bibir. Apatah lagi apabila diusik oleh pengacara majlis yang mengatakan bahawa kami sedang bersanding ‘bertiga’. Mak, ayah, mama dan papa juga tertawa senang apabila menerima ucapan tahniah dari pengacara majlis kerana bakal mendapat cucu sulung dalam kedua-dua belah keluarga. 

            Kak Awin dan Abang Nizam yang telah selamat bertunang dua minggu sudah, kelihatan semakin berseri-seri semasa menjadi pengapit kami. Aku bangun perlahan dan berjalan berhati-hati sambil memegang lengan Hadif menuju ke meja makan beradab yang terhias indah. Pelamin yang dibina adalah berkonsepkan perkahwinan tradisi mengikut citarasa aku dan Hadif. Masa yang suntuk tidak membataskan aku dan Hadif untuk merealisasikan impian perkahwinan kami. Maklumlah semasa majlis pernikahan dulu semuanya diatur oleh mama dan papa. 

            “Sayang makan banyak sikit tau. Kesian baby lapar nanti.” Sempat lagi Hadif berbisik semasa meletakkan seketul ayam masak merah ke dalam pingganku.

            “Hish, mana ada pengantin ‘melantak’ masa makan beradab. Kena makan sikit aje buat syarat.” Bidasku pula. Memang betul kan? Buruk pula apabila pengantin yang makan beria-ia seperti kelaparan saat makan beradab. Nanti tangkap gambar candid pun tak cantik.

            “Tak apalah sayang, janji baby sihat.” Hadif tersengih sambil menambahkan lagi lauk-pauk yang ada diatas meja ke dalam pingganku. 

            Aku tersenyum dan menggelengkan kepala. Hadif memang semakin mengambil berat terhadapku apatah lagi ketika semester baru telah bermula. Dia banyak membantu melakukan kerja-kerja rumah kerana tidak mahu aku kepenatan setelah pulang dari kampus. Tidak aku nafikan sejak aku mengandung, aku mudah sahaja berasa penat. Kalau perutku sudah memboyot nanti entah bagaimana keadaannya ketika aku mengusung perut ke kampus.   

            Setelah selesai menjamu selera, aku dan Hadif menuju pula ke singgahsana yang dibina khas untuk upacara memotong pulut kuning. Sengaja kami berdua memilih pulut kuning untuk menggantikan kek sebagai mengikut adat perkahwinan tradisi. Cahaya-cahaya kamera yang berkelip dari pelbagai arah kadangkala menyilaukan mata. Namun demi memenuhi tuntutan sebagai raja sehari aku gagahkan juga tersenyum sambil memberikan pose yang menarik. Nasib baik perutku tidak meragam hari ini. Hanya sekali sahaja aku muntah pagi tadi sebelum bersarapan. 

            “Selamat berbahagia bro!” Seorang pemuda yang datang bersalaman dengan Hadif tersenyum mesra. Aku turut melemparkan senyuman kepada tetamu-tetamu lain yang bersalaman dengan kami. Kemudian mataku tertancap semula pada lelaki itu. Macam kenal aje?

            Thanks Fayyad. Ni Aida, isteri aku. Sama U dengan kita.” Hadif memperkenalkan aku kepada lelaki  yang masih berjabat tangan dengannya itu.

            Fayyad? Bermakna aku tidak salah orang. Macam mana pula mamat ni boleh kenal dengan Hadif? Mataku tertancap pada wajahnya dan sewaktu dia ingin menghulurkan salam, pandangan kami bersabung.

            “Aida…” Sepatah perkataan itu meluncur dari mulutnya perlahan namun jelas di telingaku. Pandangan matanya sukar ditafsirkan semasa bersalaman denganku. Aku pula sedikit gelabah. Nak buat kenal atau aku nak buat-buat tak kenal dengan dia ni? 

            “Sayang, kenalkan ni Fayyad sepupu abang. Dia pun study kat U kita juga tau.” Ucapan Hadif diiringi dengan tepukan di bahu Fayyad. Sepupu? Kenapa aku tak pernah tahu tentang kewujudan Fayyad selama ini?

            Actually aku dah kenal dengan Aida masa kat U. Tak sangka dia isteri kau. Kau bertuah bro.” Mata Fayyad masih tidak beralih dari memandang wajahku walaupun kata-katanya adalah untuk Hadif. 

            “Wow! Dah kenal?” Hadif memandang aku untuk meminta kepastian. Aku sekadar tersenyum dan sedikit mengangguk.

            Bro nanti kita jumpa kat rumah. Paksu suruh aku tidur sana malam ni.” Fayyad berpelukan dengan Hadif untuk meminta diri. 

            “Hah, baguslah tu. Boleh sembang panjang-panjang. Okey, jumpa nanti.” Balas Hadif dengan senyuman tak lekang di bibir.

            Setelah Fayyad beredar, kami meneruskan sesi bersalaman dengan para tetamu di muka pintu. Keceriaan dan kegembiraan yang aku rasai membuatkan aku terlupa pada tangan yang berasa kebas akibat banyak bersalaman dan juga mulut yang lenguh kerana sering tersenyum lebar. Biarlah untuk hari istimewa ini. Nama pun raja sehari. Nak jadi raja betul-betul memang dalam mimpi ajelah.



Malam ini baru aku tahu Fayyad merupakan anak Auntie Zahirah yang duduk di Kuala Lumpur. Auntie Zahirah merupakan anak kandung Tan Sri Razak iaitu ayah angkat papa Hadif. Jadi bermakna Fayyad dan Hadif dikira sepupu walaupun bukan pada pertalian darah. Auntie Zahirah turut menghadiri majlis pernikahan kami dahulu, tetapi Fayyad tidak dapat hadir kerana mengikuti ayahnya ke Bangkok. Ternyata betapa bulatnya dunia!

            “Tak sangka pada seusia aku, kau dah nak jadi ayah.” Fayyad menghirup lagi minuman horlicks panas di dalam cawan. Matanya juga sesekali tidak lepas memandang aku yang konon-kononnya tekun membaca novel di sisi Hadif. 

Hakikatnya, apa yang aku baca langsung tak masuk kepala. Namun ini sahaja cara yang dapat aku fikirkan apabila Hadif beria-ia mengajak aku turun untuk berbual dengan sepupunya. Nak ikut sama mereka berbual, aku menjadi kekok pula. Lebih-lebih lagi apabila teringatkan kes Fayyad meluahkan perasaan pada aku dulu. Kalau Hadif tahu, entah apa pula reaksinya.

“Rezeki aku sampai dulu bro. Aku bahagia dengan hidup aku sekarang.” Hadif tergelak kecil sambil memandang aku sekilas. Entah apa yang lucu aku pun tak tahu.

“Walaupun dulu kau tak setuju langsung nak dikahwinkan dengan Aida? Sampai lari rumah duduk dengan aku beberapa hari sebelum kahwin.” Sinis dan tajam kata-kata Fayyad menjengah gegendang telingaku. Hadif lari rumah beberapa hari sebelum kahwin? Biar betol?

Aku agak tersentak mendengarnya namun masih cuba berlagak setenang yang boleh. Biarlah, semua itu hanya kisah lalu yang tidak penting lagi. Aku sendiri rasa bagai nak gila apabila disuruh kahwin dengan lelaki yang tidak dikenali. Tentu begitu juga perasaan Hadif saat itu. 

“Kalau aku ingat balik, memang kelakar kan? Orang bodoh aje menolak untuk dikahwinkan dengan gadis sempurna seperti Aida. Syukurlah, kami berdua serasi dan bahagia dengan perkahwinan ni.” Hadif menggelengkan kepalanya sambil tertawa lucu. Kemudian dia meraih bahuku untuk dekat dengannya.

“Tak lama lagi dia akan menjadi ibu pada anak aku pula. Betapa besarnya kuasa Allah dalam merencana dan mengatur perjalanan hidup kita. Biarpun kita tak suka sesuatu pada mulanya, tetapi tidak bermakna perkara itu tidak mendatangkan kebaikan dan kebahagiaan buat kita. Kadangkala apa yang kita sukai itulah yang membawa kita kepada kehancuran pula.” Terang Hadif lagi sambil menatap mataku penuh kasih. Aku terharu. Kata-kata Hadif itu melambangkan satu kematangan dalam dirinya. Kematangan yang telah membawa bahtera kami sehingga sejauh ini.

“Ehem. Janganlah nak berdrama kat depan aku pulak bro. Aku ni bujang trang tang tang lagi.” Fayyad menegur lantas menyedarkan aku dan Hadif ke dunia nyata. Asyik bertatapan tadi sehingga jauh ditenggelami lautan cinta. Wah, gitu.

Hadif tersengih-sengih malu. “Kahwinlah cepat. Kau suruh ibu cari seorang calon untuk kau. Nak harapkan kau cari sendiri, sampai sekarang aku tak pernah nampak batang hidungnya. Hari tu kata dah temui someone special lah, itu lah, ini lah. Kenal kat library konon. Mana? Bawa jumpa aku lah bro.” 

Aku tersedak dan terbatuk-batuk kecil mendengar ayat Hadif itu. Aduh, sesak dada ni! Hadif menoleh dan menepuk sedikit belakang badanku agar berasa lebih selesa. Kemudian aku tersenyum dan mengangkat tangan tanda aku dah kembali okey.

“Sayang ni tak minum air pun boleh tersedak.” Omel Hadif sambil menggelengkan kepalanya. “Hah, kat mana kau orang boleh kenal? Senyap aje tak cerita.” Soalan Hadif mengembalikan sesak dadaku semula. 

“Library.” Fayyad menjawab.

Parking.” Pintasku laju. Adoi, kenapa Fayyad nak cakap benda yang betul pula? Nanti Hadif salah sangka habis aku.

Hadif memandang aku dan Fayyad silih berganti. Keningnya berkerut. “Mana satu ni?”

            Aku menelan liur. “Eh, sebenarnya kami kenal kat tempat parking. Berebut nak petak kosong. Terjumpa kat library pun pernah juga. Nama pun dah sekampus kan? Tapi kenal macam tu aje.” Aku menjawab terlebih dulu sebelum Fayyad membuka mulut bercerita yang tidak-tidak. Aku bimbang Fayyad sengaja terlepas kata memandangkan sikapnya yang agak mencurigakan dimata aku. 

            Yup kenal macam tu aje. Tak rapat pun. Sebab tu aku tak tahu dia ni isteri kau.” Sokong Fayyad selamba sambil matanya sesekali menjeling aku.

            Hadif mengangguk beberapa kali. “Oh, kalau macam tu lepas ni kena rapatlah. Dah jadi sepupu dan sekampus pulak tu. Boleh juga aku minta tolong kau tengok-tengokkan Aida ni. Ada masa kau kena datang rumah sewa aku tu. Banyak kali aku pelawa pun liat nak datang. Aida masak sedap tau!” 

            Aku tersenyum kelat. Terpaksalah aku menghadap Fayyad yang telah merangkap sepupu aku selepas ini. Harapnya dia tiada hati lagi pada aku dan melayan aku seperti tiada apa-apa yang berlaku. Kalau tidak, alamatnya kekok memanjanglah hubungan kami ini.

            “Pandai aje abang ni. Masak biasa-biasa tahulah. Tak sedap mana pun. Ada masa datanglah.” Tuturku sopan. Padahal saja ajak-ajak ayam sekadar menyedapkan hati Hadif. Nanti difikirnya aku tidak suka pada sepupunya pula. 

            “Insyaallah, saya pasti datang. Nak merasa juga air tangan gadis secantik Aida ni.” Pandangan Fayyad tumpah lagi pada wajahku. Lama.

            “Dah merasa, pasti nak lagi.” Usik Hadif lantas pecah gelak tawanya. Hadif kelihatan biasa sahaja. Adakah dia tidak perasan mata sepupunya itu agak liar merenung aku sejak tadi? Atau kerana kepercayaan Hadif terhadap Fayyad terlalu tinggi sehingga dia tidak mungkin berburuk sangka terhadap Fayyad? 

             Aku pula yang susah hati memikirkannya.

No comments: