Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, November 14, 2013

Bila Bulan Berwarna Biru Bab 3

                          
                                              
             “Along ingatkan siapa tadi. Rupanya tuan rumah datang kutip sewa ye?”

            Aku menarik nafas lega dan mengukir senyuman. Beban yang terasa memberat di dada selepas mendengar panggilan Althea tadi hilang serta-merta. Wajah along aku tatap silih berganti dengan wajah kacak Vickness yang diam sejak tadi.

            “Kebetulan Adani baru je buat sarapan, tu yang ajak makan sekali.” Sambungku lagi. Harapan agar Along semakin yakin dengan cerita rekaan yang aku reka secara spontan.

            Along hanya menganggukkan kepala beberapa kali. “Baguslah kalau macam tu cuma jangan selalu. Nanti apa pula kata jiran tetangga.”

            Pesanan Along aku telan bulat-bulat tanpa berniat untuk membantah. Vickness hanya membalas dengan anggukan kecil tanpa sebarang kata. Althea masih sibuk bermain di ruang tamu. Permainan ‘masak-masak’ yang aku belikan minggu lepas nampaknya menduduki carta terkerap yang Althea main. Ada bakat jadi masterchef nampaknya si kecil ini.

            “Papa, Damia mana?”

            Althea yang datang mendapatkan Along bertanya manja. Diusap lembut rambut Althea yang pendek. Pandangan mata Along menggambarkan kasih sayang terhadap Althea. Along memang sukakan budak-budak. Oleh sebab itu Along antara orang yang berkeras menyokong untuk aku membesarkan Althea. Terima kasih Along kerana menyokong tindakan Adani empat tahun lalu. Jasa Along hanya Allah yang dapat membalasnya.

            “Damia ada kat rumah. Nanti Thea datang rumah Papa Long ya? Boleh main dengan Damia.”

            “Jom mama, kita pergi rumah Papa Long.” Althea merengek.

            “Nanti kita pergi ya. Hari ini kan Thea dah janji nak teman mama beli barang?” Pujukku sambil menarik tangan Althea untuk lebih dekat.

            “Barang apa?” Althea bertanya polos.

            “Barang dapur, makanan...semualah kita beli.” Jawabku penuh sabar. Melayan budak sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi. Itulah pesan arwah mak yang aku pegang sampai sekarang.

            “Okey, Thea teman mama.” Jawapan Althea berserta muncung dimulutnya membuatkan aku, Along dan Vickness tertawa lucu. Telatah Althea sentiasa menghiburkan.

            “Nanti ada masa Papa Long datang bawa Damia pulak. Althea jangan nakal-nakal, dengar cakap mama tau.” Along cuba menambah pujukan lagi.

            Althea tersengih dan mengangguk beberapa kali sebelum berlari ke ruang tamu. Aku menggeleng melihat Althea yang sudah sibuk bermain. Habis disepahkannya alat permainan di atas permaidani.

            “Along, tambah air lagi.” Pelawaku.

            “Cukuplah. Along singgah sekejap aje. Nak bagi buah tangan yang Kak Long bawa dari Vietnam. Kak Long tu demam kat rumah penat sangat shopping agaknya.” Along ketawa sambil menunjukkan sebungkus beg plastik besar di sebelah kakinya.

            “Oh yeke? Biasalah tu, penat berjalan jauh.”

            “Along minta diri dulu. Nanti senang-senang datang rumah Along.” Along bangun untuk bersalam dengan Vickness.

            “Saya pun balik dulu.” Vickness memberi isyarat mata kepadaku. Namun aku gagal mengerti maksud yang hendak disampaikan.

            Aku turut bangun bersalaman dengan Along. “Terima kasih belikan semua ni. Kirim salam pada Kak Long.”

            “Hati-hati Adani, jangan sampai ‘tersangkut’ sudahlah.” Along sempat berbisik ke telingaku sebelum menyarungkan kasut.

            Vickness telah berjalan terlebih dahulu untuk membuka pintu pagar. Aku tersengih tetapi di dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu. Keluarga kami tidak ada satu pun yang berkahwin campur. Susur galur keturunannya memang semua Melayu tulen. Sejak zaman turun-temurun. Itu yang selalu disampaikan oleh arwah mak dan ayah.

            Aku hanya memandang sepi kelibat Along dan Vickness yang masing-masing menghilang ke dalam kereta. Kenapa mesti ada jurang diantara sesama manusia? Aku masih ingat lagi arwah mak pernah mengatakan tidak sama orang yang lahir sebagai Islam dan orang yang memeluk agama Islam setelah dewasa. Astaghfirullahalazim...tidak baik aku bercerita tentang orang yang telah tiada. Aku tidak pernah salahkan arwah mak walaupun dia seorang perempuan Melayu yang tipikal. Dia dididik dan dibesarkan dengan cara sedemikian. Namun aku mempunyai pandangan yang berbeza. Sangat berbeza dari pandangan arwah mak dan ayah. Perbezaan itulah yang menjadikan laluan hidup aku tak seperti insan-insan lain yang lebih bertuah.

            Panggilan telefon yang berbunyi dari dalam bilik membuatkan aku tersentak. Pantas aku menutup pintu dan segera berlari anak.

            Membulat mataku melihat nama yang tertera. “Helo.”

            “Helo aje?” Kedengaran bunyi ketawa di hujung talian.

            “Helo aje yang boleh pun. Kalau I ucap assalamualaikum bukannya you boleh jawab.” Sedas tembakan padu aku berikan sebagai balasan kepada pertanyaan yang menyebalkan hati saat ini.

            “Hahahaha!” Makin galak bunyi ketawanya. Ish! Kena lempang baru tau.

            “Kata tadi nak pergi beli barang. Cepatlah bersiap, I tunggu kat hujung jalan. Dah siap nanti I datang ambil depan rumah.”

            Berkerut seribu dahi aku sekarang. Patutlah Vickness membuat isyarat mata tadi. Mungkin ini yang ingin disampaikan olehnya. Tak balik lagi mamat sengal ni. Ingatkan dah memecut balik rumah.

            I nak pergi dengan Althea. Tak ada pun I ajak you?”

            “Amboi, cukuplah sembur I. Cepat bersiap! I’m waiting.” Panggilan telefon terus dimatikan.

            Pulak! Boleh tahan sengal mamat ni rupanya. Geram juga jika selalu ‘terkena’. Aku tidak mahu hubungan ini merumitkan keadaan aku dan Althea. Kehidupan kami dua beranak sudah cukup selesa dan bahagia. Aku tidak mahu kehadiran seorang lelaki membuatkan hidup kami berantakan seperti dulu. Aku harus melakukan sesuatu sebelum apa-apa terjadi.

            Aku bingkas bangun dan memanggil Althea. Setelah menukarkan pakaian untuknya, aku pula bersiap seberapa segera. Beg tangan kucapai dan kunci kereta aku ambil. Bersiap sedia untuk keluar.

            “Althea, cepat masuk kereta.” Aku memberikan arahan sebelum mengunci pintu rumah. Si kecil itu terpinga sebentar sebelum menurut apa yang diarahkan.

            Semasa keluar dari pintu pagar, kereta Vickness betul-betul dibawah pohon mempelam kepunyaan jiran sebelah. Beberapa kali juga Vickness membunyikan hon tetapi aku terus memandu tanpa mempedulikannya.

            “Kenapa mama nak cepat?” Althea yang duduk bersandar di kerusi penumpang membuat muka pelik.

            “Takut nanti jalan sesak sayang. Kan bagus kalau kita cepat sampai.” Aku tersenyum cuba menyembunyikan resah dihati.

            Setiap kali aku memandang cermin pandang belakang, kereta Vickness masih mengekori. Puas mengelak dan ‘mencilok’ tetapi siapalah yang dapat mengalahkan pemandu lelaki.

            Althea hanya mengangguk dan kemudian memandang ke luar tingkap. Melihat kereta yang banyak di jalan raya dan bangunan yang menarik minatnya. Tidak dinafikan Althea suka meneroka. Dia gemar memerhati dan bersifat ingin tahu yang tinggi. Soalannya juga agak banyak untuk dijawab!

            Akhirnya kereta membelok ke tempat letak kereta Jusco. Memang agak penuh tetapi aku berpusing beberapa kali dengan niat akan mendapat parkir dan hilang dari pandangan Vickness. Aku menarik nafas lega kerana kereta Vickness tidak lagi kelihatan di belakang. Kereta yang keluar masuk membuatkan kereta Vickness tersekat diantara beberapa buah kereta. Itulah peluang yang aku gunakan untuk melepaskan diri.

            “Harap-harap dia tak jumpa kereta aku.” Aku menarik brek tangan dan mematikan enjin.

            Kereta aku parkir dibahagian bawah. Sengaja aku naik ke tingkat atas sebentar tadi dan aku segera turun selepas kereta Vickness tidak kelihatan. Nasib baik laluan yang disediakan tidak menampakkan kereta-kereta yang turun dari atas bumbung. Aku tersenyum puas.

            “Siapa yang tak jumpa mama?”

            Aku segera menoleh melihat wajah Althea yang ingin tahu. Budak ni kalau tak bercakap banyak memang tak sah.

            “Oh, mama berdoa semoga pencuri tak jumpa kereta kita.” Aku tersengih.

            “Yeke? Amin...” Althea yang polos turut tersengih.

            “Jom turun, sayang.” Aku mengambil beg tangan dan membuka pintu kereta.

            Tangan Althea aku pimpin erat dan berjalan laju menuju ke arah lif. Apabila sampai ke bahagian barangan dapur, barulah aku memperlahankan langkah. Manusia yang ramai membuatkan aku bertambah yakin Vickness sukar menjumpai kami disini.

            Althea kelihatan seronok duduk di dalam troli sambil memegang pelbagai barangan. Sekejap dia mengambil biskut, kemudian tangannya sibuk membelek sabun basuh baju pula. Gayanya macamlah pandai membaca label yang ditulis. Dia mengusik itu dan ini yang berada di dalam troli. Setelah troli hampir penuh dan barang-barang yang diingini telah didapatkan, aku bergerak menuju kaunter pembayaran.

            “Awak ni Adani kan?” Seorang wanita yang memakai purdah dan berjubah hitam datang menghampiri.

            Aku berundur setapak ke belakang. Terkejut kerana disapa secara tiba-tiba. “Ya, betul. Boleh saya tau awak siapa?”

            Aku memerhatikan sepasang mata yang kelihatan. Minah Arab mana pulak yang tegur aku ni? Tapi cara bercakap rasanya orang Melayu. Aku berkira-kira di dalam hati.

            “Ya Allah Dani! Betul rupanya kau.” Wanita itu terus menerpa dan memelukku erat.

Aku serba salah sama ada ingin membalas pelukannya atau pun tidak. Ingin dipeluk, aku sendiri tak kenal siapa disebalik purdah itu. Akhirnya aku hanya terdiam dan membiarkan saja perbuatannya.

“Mama. Mama.” Althea kelihatan sedikit takut. Mungkin dia jarang berjumpa dengan orang yang berpakaian sedemikian.

“Ya, sayang. Sekejap.” Setelah pelukan dileraikan aku mendekati Althea dan mendukungnya keluar dari dalam troli.

Bukan boleh percaya sangat manusia zaman sekarang ni. Pelbagai taktik jahat mampu dilakukan. Manalah tau penculik kanak-kanak ke? Aku menelan liur. Memang banyak kes-kes yang tidak pernah kita bayangkan berlaku. Pakai purdah macam ni, bukan orang boleh kenal pun siapa tuan punya badan.

“Eh, dah besar anak kau. Amboi, gatai hang kawen awal no.” Longhat utara yang masuk ke dalam telinga membuatkan aku membulatkan mata.

Aku perhatikan lagi sepasang mata dihadapanku. “Salwa? Kau ke ni?”

Susuk tubuh tinggi lampai itu menganggukkan kepala. Matanya sedikit mengecil dan aku andaikan dia pasti sedang tersenyum di sebalik purdah yang menutupi sebahagian wajahnya.

“Salwa! Lamanya kita tak jumpa...” Aku pula yang menerpa menjadikan ini adalah pelukan kedua.

Pelukan kali ini lebih erat dan mesra. Pelukan penuh kasih seorang sahabat lama. Mataku sedikit berkaca. Terlalu lama dan terlalu jauh rasanya aku tinggalkan zaman keremajaan. Salwa yang dulunya lincah dan seksi akhirnya kini berpurdah dan berjubah. Aku yang dulunya kebudak-budakan kini bergelar seorang ibu.

“Eh, aku bayar barang-barang ni sekejap. Kemudian kita pergi lepak makan-makan nak?” Ujarku setelah giliran untuk membayar hampir tiba.

“Boleh jugak. Aku pun free hari ni. Siapa nama anak kau yang comel ni?” Salwa mencuit pipi Althea yang berdiri kaku disebelahku.

Althea kelihatan tidak selesa dan bersembunyi di belakangku. Tergelak Salwa melihat tindakan Althea.

“Althea.” Sepatah jawapanku sambil sibuk mengeluarkan barang-barang dari dalam troli.

“Sedap. Apa maksudnya?” Salwa turut membantu.

Wholesome in Greek.” Aku tersenyum.

“Oh...Tak ikut muka kau lah. Mesti ikut muka papa dia.”

Kata-kata Salwa membuatkan dada bergoncang hebat. Betul ke Althea ikut muka papa dia? Aku tiada jawapan untuk itu....
            

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum.. Firstly, nk ucap terimakasih, kerna penantian utk membaca berakhir jua.. hik hik hik.. Secondly, smoga Allah sentiasa memberikn kesihatan pd Shiz, maka byk laa idea2 yg dpt terus d calitkn utk cerita kali ni.. Thirdly, keep on writing sbb Allah dah berikan anugerah, maka terus kn berkarya!!
Take care Shiz! - nyss

Shizukaz Sue said...

Waalaikumsalan nyss..thanks a lot ye support karya shiz..smoga doa yang baik itu akam berbalik pd nyss dan family juga hendaknya..amin :)