Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, August 11, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 34



             Selepas mandi aku memakai baju di dalam bilik air seperti biasa. Aku masih tersenyum sendiri apabila mengingatkan peristiwa malam tadi. Namun kami masih tidur seperti biasa cuma perkembangannya kami kini tidur sekatil! Usai lengkap berpakaian aku melangkah keluar dari bilik air. Kemudian aku duduk di meja solek dan menyapu pelembap dimuka dan leher. Sempat aku mengerling kepada Hadif  yang berdiri di depan rak buku. Namun aku dapat melihat dia bukan sedang membelek buku, majalah dan novel yang tersusun kemas di atas rak di dalam bilikku ini. Tetapi matanya tertancap tajam pada bingkai gambar yang terdapat di dalam salah satu cermin kaca.

            “Siapa ni?” Tangan Hadif dengan cermat membuka cermin kaca itu dan mengeluarkan bingkai gambar bersaiz sederhana besar.

            Gulp! Aku telan liur. Alamak! Aku terlupa nak keluarkan gambar itu dan disimpan di dalam kotak seperti gambar-gambar yang lainnya. 

            Aku terus menoleh dan merapati Hadif. “Er…erm…itu kawan lama saya.” Lambat-lambat aku menyusun kata tidak mahu melukakan hatinya.

            “Pakwe lama lah ni ye? Yang awak ceritakan dulu masa kat kopitiam?” Hadif bukanlah bodoh dan pastinya dia dapat meneka dengan tepat!

            Apatah lagi gambar itu menunjukkan betapa mesranya ikatan yang terjalin sewaktu gambar itu diambil. Kelihatan aku melentokkan kepala di bahu Adli dan lelaki itu memeluk kemas bahuku. Malah wajah kami yang sedang dilamun cinta juga tergambar jelas. Ah, itukan kisah lama. Untuk apa aku takut? Terang-terang Hadif belum muncul dalam kisah hidup aku.

            “Nama dia Adli. Tapi sejak kita berkahwin kami memang langsung tidak berhubung lagi.” Jawabku jujur. Aku tidak mahu hubungan yang baru berkembang ini kuncup semula.

            Hadif mengalihkan pandangan yang terpaku sejak tadi pada bingkai gambar ditangannya ke wajahku pula. Marahkah dia? Kecil hati mungkin? Mana tidaknya aku dah jadi isteri orang tapi masih menyimpan gambar kekasih lama di atas rak buku. Sumpah, aku betul-betul terlupa!

            “Saya tak nak tengok gambar ni ada dalam bilik awak lepas ni. Tolong hormat dan jaga hati suami, Aida Nasuha!” Tajam kata-kata Hadif menikam jiwaku. Makin menebal rasa bersalah yang melingkari hati. Hadif sebut nama penuh aku? Marah sangatkah dia?

Belum sempat aku membuka mulut, Hadif mencampakkan bingkai gambar di atas katil dan terus keluar dari bilik.  Aku hanya terdiam tidak berkutik. Beberapa saat kemudian aku mengambil bingkai gambar itu dan aku masukkan di dalam kotak yang berada di bawah katil. 

Memang ada barang-barang lain berkaitan Adli berada di dalam kotak itu. Gambar-gambar kami, surat-surat cinta zaman sekolah dulu, teddy bear, bunga kering dan pelbagai lagi barang yang pernah menjadi lambang cinta kami berdua. Oh, aku baru teringat telefon bimbit pemberian Adli masih aku pakai. Ah, diam-diam sudah! Kalau Hadif tak tahu tidaklah dia marah.

Setelah menolak kotak besar itu ke bawah katil aku cepat-cepat bersiap dan keluar dari bilik. Hati Hadif perlu dipujuk agar tiada salah faham antara kami. Ah, aku bab pujuk-memujuk ni lemah sedikit. Perlu ikuti kursus intensif nampaknya untuk aku belajar cara memujuk hati suami.

Aku mencari di serata rumah. Namun bayang Hadif masih tidah kutemui. Nak bertanya pada mak dan Aini mereka awal-awal lagi sudah ke pasar. Aini mengada-ngada pula hari ini tidak mahu ke sekolah kerana ingin menghabiskan masa dengan aku yang sudah lama tidak pulang ke rumah. Sebenarnya dia seronok nak bercuti sampai tiga hari berturut. Yelah, hari ini Jumaat jadi dia akan sambung cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad sekaligus! 

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Mana Hadif pergi ni? Dalam bilik bacaan pun tidak ada. Langkah aku atur menuju ke luar rumah untuk melihat kereta Hadif. Mana tahu dia keluar pergi ke kedai atau mengambil angin setelah naik angin tadi. 

“Kat sini rupanya awak. Puas saya cari satu rumah tau!” Aku menyentuh lembut bahunya. 

Hadif duduk di atas pangkin kayu yang dibina oleh ayah. Maklumlah ayah memang suka bertukang apabila ada masa terluang. Pangkin yang ala-ala gazebo ini sering menjadi tempat kami duduk berbual sambil minum petang. Malah terbayang betapa meriahnya duduk menganyam ketupat di sini pada malam raya. Betapa aku merindukan saat begitu. Aku melabuhkan punggung disisi Hadif apabila melihat lelaki ini hanya diam seribu bahasa.

“Pertama sekali saya nak minta maaf pada awak. Bukan saya tak hormatkan awak sebagai suami, tapi saya betul-betul terlupa tentang gambar tu. Saya dah lama tak balik rumah kan?” Aku memandang lemah wajah Hadif  meminta sedikit simpati. Aku tidak mahu hal sekecil ini dipanjangkan lagi.

Terlepas satu keluhan berat dari bibir comel Hadif. “Sebelum bernikah awak dah balik rumah seminggu kan?” Nampaknya Hadif masih tidak berpuas hati.

Aku pula yang mengeluh saat ini. “Memanglah tapi masa itu saya kan jiwa kacau! Pening fikir tentang perkahwinan yang diatur oleh family. Rasa macam gelap masa depan.” Aku membuang pandang sejauh yang mungkin. 

Hadif meletakkan jari telunjuknya dibibirku. “Syyy…jangan sebut macam tu. Sekarang saya adalah masa depan awak dan kehidupan untuk awak sampai bila-bila.” Hadif memandang anak mataku dalam-dalam.

“Minta maaf,” ucapku perlahan. 

“Kita masing-masing ada kisah silam. Let bygone be bygone.” Sambungku lagi cuba menjernihkan keadaan. Malah aku langsung tidak mahu ambil tahu apa yang telah terjadi pada hubungan Hadif dan Zati. Biarlah kisah mereka tersimpan kemas tanpa pengetahuan aku kerana aku tidak wujud dalam dunia mereka waktu dulu. Tiada gunanya kalau aku tahu pun.

“Pandainya berkata-kata isteri saya ni! Erm, tapi saya cemburu tahu tak? Rasa dihiris-hiris hati ni.” Hadif menunjal dadanya dengan tangan.

Aku tersenyum senang. Cemburu tandanya sayang kan? “Itukan kisah lama. Awak tak perlu nak cemburu. Yang penting selepas bergelar isteri, saya setia pada awak. Itu lebih penting okey.” Aku menggenggam tangan Hadif erat.

“Setia sampai bila-bila tau!”  Wajah Hadif kembali cerah tidak seperti tadi yang keruh dan mendung sahaja.

Aku menganggukkan kepala. “Awak pun janji akan setia dengan saya ye? Manalah tahu awak berbaik semula dengan Zati nanti.” Giliran aku pula menuntut janji namun sempat aku memerlinya.
“Sumpah! Saya janji hanya ada awak dalam hati saya sampai bila-bila.” Hadif mengangkat tangan seperti lagak orang berikrar.

 Kemudian kami sama-sama ketawa. Syukurlah hati suamiku dapat dipujuk semula. Sedangkan zaman bercinta pun perkara yang paling susah untuk dilakukan adalah menjaga hati pasangan, inikan pula dalam berumahtangga. Pasti lebih mencabar, desis hatiku. Namun hanya doa yang mampu aku panjatkan agar kami tabah mempertahankan rumahtangga yang terlalu hijau ini.



Selepas ayah dan Hadif pulang dari solat Jumaat, kami sekeluarga ke rumah nenek. Perjalanan hanya mengambil masa selama tiga puluh minit dari rumah. Kereta yang dipandu oleh ayah di naiki oleh mak dan Aini adikku. Manakala aku menaiki kereta Hadif berdua bersama dia. Sampai di rumah nenek, kelihatan nenek telah menanti kami di anjung rumah. Sebelum ayah bersolat Jumaat ayah telah menelefon nenek untuk memaklumkan kedatangan kami. 

            “Assalamualaikum nek,” ucapku dan menyalami tangan nenek. Kemudian aku memeluk nenek erat kerana lama tidak berjumpa.

            “Waalaikumsalam. Naik semua, naik.” Nenek seperti biasa ramah mempelawa kami semua untuk duduk di anjung. Berangin dan selesa menikmati udara segar. Lagipun halaman rumah nenek terdapat banyak pokok-pokok yang membuatkan suasana agak redup.

            “Mak sihat?” Soal mak aku pula. Selepas bersalaman kami semua duduk seperti membulat agar mudah untuk berbual.

            Hadif mengambil tempat disebelahku. Ish, dia ni! Ayah kan duduk kat sebelah sana. Lebih manis kalau dia duduk di sebelah orang lelaki. Tak bagi peluang untuk kaum wanita untuk bersembang hal orang perempuan. Aku menjeling tajam dan menyiku lengannya.

            “Apa?” Hadif menaikkan keningnya dan buat muka tidak faham.

            “Mak sihat-sihat orang tua lah…duduk dulu mak buat air kat dapur.” Nenek tersenyum dan bersedia untuk bangun.

            “Eh, tak apa nek! Biar Aida aje yang buat air ye. Bukan Aida tak biasa rumah nenek ni.” Aku segera memaut lengan nenek agar nenek duduk kembali.

            “Ha, nanti keluarkan sekali ubi rebus dengan sambal ikan bilis tu. Nak buat minum petang.” Nenek memberitahu sambil menuding jari kearah dapur walaupun bukan boleh nampak dari anjung rumah ini.

            “Okey nek,” jawabku sambil tersenyum. Kemudian aku bangun dan melangkah menuju ke dapur.

            Rajin juga nenek mengemas rumah walaupun hanya tinggal sendirian. Tetap kemas dan bersih. Sepanjang perjalanan untuk ke dapur aku mengambil kesempatan melihat-lihat rumah nenek. Tiada apa yang berubah keadaan rumah nenek. Masih sama seperti dulu. 

            Aku menjerang air di atas dapur gas. Kemudian aku duduk di meja makan menunggu air yang dijerang masak. Aku mengangkat tudung saji kecil di tengah meja. Ubi rebus dan sambal tumis ikan bilis sudah tersedia di dalam pinggan. Aku sentuh sedikit ubi rebus dengan hujung jari. 

            “Ouch!” Aku terjerit kecil. Masih panas rupanya ubi rebus ni. Mesti nenek baru aje letak dalam pinggan. Aku memandang hujung jari telunjuk yang sedikit merah.

            “Kenapa ni awak? Meh sini saya tengok.” Hadif tiba-tiba muncul dan mendekatiku.

            Aku seperti budak kecil yang menurut sahaja arahan. Lantas jari telunjuk aku halakan ke mukanya dan Hadif memegang jariku. Kemudian dia meniup-niup sedikit sebelum mengusapnya perlahan. Erk! Darah panas terasa menyerbu ke muka. Cepat-cepat aku tarik jari tersebut dari pegangannya.

            “Tak apalah, bukan luka pun.” Aku berkata sambil bergerak kearah rak yang menempatkan pinggan mangkuk dan gelas. Aku mencapai gelas dan pinggan-pinggan kecil kemudian diletakkan di atas dulang.

            “Sebab tak lukalah saya buat macam tu. Kalau luka, saya dah bawa ke klinik terus.” Terasa dekat benar suaranya di telingaku. Aku segera menoleh dan mukaku sangat rapat dengan dadanya. Aku jadi kaku tidak berkutik. 

            “Amboi pengantin baru ni, nenek tengok mesra betul.” Suara nenek pula kedengaran jelas di belakang Hadif. Sudah! Malunya tidak terkata saat ini.

            “Eh, tak adalah nek. Hadif nak tolong angkat dulang ni tadi.” Aku segera mengambil dulang yang berada di atas rak dan aku serahkan pada Hadif. Lelaki itu hanya tersengih dan mengangguk. Tak tahu malu betul! Selalu nak membuat ragam sejak pulang kesini.

            “Baiknya suami kamu ni Aida. Nenek tengok air muka dia sejuk mata memandang. Sebiji macam Musa papanya tu.” Nenek sudah mula memuji. Kemudian nenek terus hilang di sebalik dinding bilik air. 

            Aku menarik nafas lega. Oh, nenek rupanya nak ke bilik air. Ingatkan nak apalah tadi. Kemudian aku mengalihkan pandangan ke wajah Hadif yang masih berdiri terpacak memegang dulang.

            “Apa lagi? Bawalah ke depan.” Arahku sambil menjegilkan mata.

            “Saya pun masuk dapur nak ke bilik air. Tak tahan nak buang air ni.” Hadif tersengih sumbing. Langsung tiada riak bersalah atas perbuatannya tadi.

            “Ish, tadi tak terus masuk kenapa? Menggatal lagi nak kacau orang kat sini.” Aku berkata sinis kemudian mengambil dulang di tangannya.

            Hadif menggaru kepala yang tidak gatal. “Eeee…mak singa! Garang betul. Nak manjakan dia pun kena marah.” Hadif mengejek dengan menjelirkan lidahnya.

            Aku hanya memandang tajam tanpa berkata apa-apa. Bunyi nenek yang keluar dari bilik air membuatkan aku terus mengatur langkah ke depan untuk menghantar dulang. Melayan Hadif sampai bila pun air tak siap.

            Setelah meletakkan dulang di depan aku terus ke dapur semula dan membancuh air teh panas. Keluargaku memang jarang minum kopi. Hadif dan nenek sudah duduk kembali di depan sambil bersembang. Kedengaran riuh sampai ke dapur. Apabila air telah siap aku terus bawa ke depan bersama ubi rebus dan sambal tumis ikan bilis sebagai pencicah.

            “Masa untuk makan!” Aku berkata riang. Begitulah aku selalunya apabila di rumah. Sentiasa menceriakan suasana.

            “Kamu ni Aida, dah jadi isteri orang pun masih tak berubah. Macam budak-budak lagi nenek tengok.” Nenek menggelengkan kepalanya beberapa kali. 

            Aku tersengih macam kerang busuk kemudian duduk di sebelah mak. “Alah, nenek ni! Aida memang budak lagi nek. Tapi dah kena kahwin nak buat macam mana?” Aku cuba berjenaka.

            Mak dan ayah tersenyum sahaja namun aku lihat muka Hadif masam mencuka apabila mendengar jawapanku. Nak merajuklah tu. Kalah orang perempuan!

            “Baguslah kamu kahwin dengan Hadif ni. Musa tu dah nenek anggap macam anak kandung sendiri. Akhirnya anak Musa betul-betul jadi cucu nenek sekarang. Lega hati nenek.” Nenek tersenyum dan mengurut-urut dada tuanya.

            “Betul tu mak. Bukan aje sebagai adik angkat saya, tapi Musa dah berbesan dengan kami. Syukurlah Tuhan makbulkan doa saya selama ni agar dapat berjumpa dengan dia lagi.” Ayah pula bersuara dan mengambil seketul ubi rebus lalu dimasukkan ke dalam pinggan kecil. 

            Aku hanya mendengar perbualan orang tua-tua tanpa berniat untuk masuk campur. Lagipun hal sebenarnya aku telah ketahui dari mulut papa sewaktu mereka datang menginap di rumah sewa kami. Hadif yang sedang makan ubi rebus dicicah dengan sambal tumis ikan bilis sesekali merenung kearahku. Apabila mata kami bertaut aku tersenyum dan dia juga membalas senyumanku. Di rumah nenek pun jadi kami nak bermain mata! Tak sudah-sudah.

            “Hadif, nenek harap kamu jagalah Aida ni baik-baik. Walaupun kamu tak kenal semasa kamu dikahwinkan, nenek harap kamu belajar menyayangi dia sebagai isteri. Kami orang dulu-dulu ni pun kahwin macam tu jugak.  Tapi kekal aje sampai akhir hayat. Tak macam anak-anak muda sekarang. Kahwin pilih sendiri tapi nanti baru anak seorang dah bercerai-berai.” Nenek memberikan nasihat. 

Nampaknya lawatan ke rumah nenek bukanlah lawatan yang biasa tetapi lawatan sambil mendengar nasihat. Aku hanya menganggukkan kepala beberapa kali kerana kalau dilawan memang bertambah panjang nasihat nenek.

“Insyaallah nek. Nenek jangan risau ye. Walaupun kami dikahwinkan oleh keluarga tapi sekarang saya sayang sangat dengan Aida nek. Saya akan jaga dia macam nyawa saya sendiri.” Pantas Hadif menjawab kemudian memasukkan ubi rebus ke dalam mulut.

Eeee…dia ni memang jenis tak segan langsung! Ada ke depan semua orang dia nak janji macam tu. Cakap yang patut-patut sudahlah. Tak perlu keluar ayat jiwang pulak.

Ayah, mak dan nenek tersenyum penuh makna sambil memandang wajah aku dan Hadif silih berganti. Aini lagilah senyum lebar macam sedang menonton cerita romantik komedi. Ni mesti kes berangan. Dari tadi kelihatan Aini memerhatikan aku dan Hadif. Entah-entah dia membayangkan Baim Wong sedang berlakon bersama Marshanda. Bukan betul sangat adik aku ni. Satu geng dengan mak peminat sinetron Indonesia. 

Puihhh…filem kita wajah kita lah! Aku tetap sokong buatan Malaysia.

No comments: