Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Tuesday, August 12, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 45



            “Hampir tiga juta ringgit Malaysia?!!” Tiba-tiba nada suaraku menjadi tinggi memenuhi ruang bilik tidur ini. Mak datok! Gila ke apa papa masukkan jumlah wang sebesar itu ke dalam akaun bank aku? Menggeletar tanganku sebaik sahaja papa menyebut amaun duit yang telah dibahagi antara aku dan Hadif. Aku menelan liur. Nafas pun tersekat-sekat macam orang diserang semput. Tolonglah, pengsankan aku saat ini agar apabila aku terjaga semuanya hanyalah mimpi di siang hari. 

            Hadif yang sedang bersandar di kepala katil sambil bermain PSP terkejut mendengar jeritanku. Segera dia memeluk bahuku dengan wajah yang berkerut seribu. Pelik melihat kelakuanku, barangkali. Adakah duit sebanyak itu biasa-biasa sahaja untuk Hadif? Aku lebih pelik melihat Hadif tidak terkejut dengan jumlah wang yang diberikan oleh papa.

            “Setakat ini itu jumlah yang papa nak berikan pada Aida dengan Hadif. Setiap seorang mendapat hampir tiga juta ringgit. Papa harap Aida gunakanlah duit tu sebaik mungkin untuk keluarga Aida.” Suara papa di hujung talian kedengaran tenang sahaja. Berbeza sekali dengan nada suaraku yang sentiasa berubah-ubah sejak bercakap dengannya sebentar tadi.

            Aku mengelipkan mata beberapa kali. Air liur aku telan rakus. Seumur hidup aku, duit simpanan di dalam bank itu tidak pernah mencecah sehingga tiga puluh ribu ringgit. Setakat dua puluh empat ribu aku rasa yang paling maksimum pernah dicapai. Itu pun hasil simpanan aku sejak kecil ditambah dengan pemotongan gaji ayah setiap bulan untuk simpanan anak-anaknya. Kalau sampai tiga juta ringgit Malaysia, memang makcik kayoooo lah jawabnya! Tetapi serius aku takut ada duit sebanyak itu. Macam-macam perkara buruk dan berbahaya yang terlintas di fikiran. Mati aku….

            “Aida…Aida…tak layak terima semua tu pa. Hadif waris papa yang sah. Aida yakin ayah juga tak pernah minta apa-apa balasan apatah lagi sedemikian banyaknya. Aida tak boleh terima duit dan syarikat papa tu.” Perlahan nada suaraku lirih menuturkan setiap baris ayat. Betapa aku tidak terfikir akan menerima sesuatu sebesar ini dari papa. Naik pening juga kepalaku seperti direnjat oleh kejutan elektrik memikirkan soal harta warisan papa.

            Hadif masih merenungku sejak tadi. Sekejap dia mengusap bahuku, sekejap pula dia meramas lembut tanganku. Tidak keruan juga agaknya mendengar perbualan aku dengan papa sejak tadi. 

            “Papa ikhlas Aida. Janganlah risau ye nak. Apa pun yang terjadi antara Hadif dengan Aida selepas ini, tiada kena mengena dengan harta yang papa berikan itu. Masing-masing dah dapat hak sama rata dan pandai-pandailah menguruskannya. Nah, ni mama nak bercakap dengan kamu.” Belum sempat aku membalas kata-kata papa talian kedengaran sunyi seketika. 

            “Assalamualaikum sayang.” Lembut alunan suara merdu mama memberi salam. Semakin rindu pula aku jadinya apabila membayangkan ibu mertuaku yang penyayang ini. Senyuman akhirnya terukir juga di bibirku yang sejak tadi terasa tegang membicarakan tentang duit. Banyaknya duit yang aku sendiri pasti tidak pandai mengiranya.

            “Waalaikumsalam, mama apa khabar?” Nada suaraku kembali seperti sediakala. Hadif yang mendengar dari sisiku menarik nafas lega. Dia kemudian mencium pipiku dan terus kembali bersandar di kepala katil sambil menekan PSP di tangan. Asyik benar suamiku ini kalau dah bermain permainan video. Kadang-kadang sampai tertidur tanpa menutup PSP tersebut.

            “Mama sihat sayang. Aida dengan Hadif macam mana? Hari tu exam semua okey?” Ceria sahaja suara mama di hujung talian. Ah, mama memang ceria orangnya. Belum pernah aku melihat mama marah-marah. 

            “Aida dengan Hadif okey. Kami baik-baik aje kat sini. Alhamdulillah exam pun okey. Sekarang hanya mampu berdoa result kami tak mengecewakan. Mama bila nak balik sini? Aida rindulah kat mama dan papa.” Aku tidak mampu lagi menyembunyikan rasa rindu pada mereka lantas aku luahkan juga.

            Terdengar ketawa mama memenuhi corong telefon bimbitku. “Baiknya menantu mama ni, terima kasih rindukan kami. Kami pun rindu sangat pada kamu berdua. Sekarang ni papa sibuk memanjang. Senang-senang Aida dengan Hadif ajelah datang melawat kami kat sini.” Pelawa mama. Terasa senang hatiku dapat berbual dengan mama setelah lama tidak mendengar khabar berita.

            Aku membetulkan duduk dan menjatuhkan kaki ke birai katil. Terasa lenguh pula duduk lama dengan satu posisi sahaja. “Ha, yang tu mama kena tanya Hadif. Aida ni kan mama, kalau Hadif ajak kesana Aida suka aje.” Balasku sambil menjeling Hadif sekilas. Namun Hadif langsung tidak memandang kearahku kerana masih sibuk bermain PSP.

            “Okey, bagi mama cakap dengan anak bertuah tu. Mana dia?” Ketawa mengiringi kata-kata mama. 

            “Ada ni sebelah Aida tengah sibuk main PSP dia. Kejap eh mama.” Aku terus memberikan telefon bimbit kepada Hadif. Kemudian aku mengambil tempat di sisi Hadif untuk berbaring. 

            Yes mama? I miss you…” Luah Hadif dengan manjanya. Aku tersenyum melihat keletah Hadif. Siapa kata dapat anak tunggal sebagai suami tak best? Sejuk hati melihat hubungan Hadif dengan ibu bapanya. Eleh! Akulah tu yang pernah cakap macam tu dulu. Hah, ambil balik paku buah keras kau tu sekarang. Dasar dah lupa daratan, Aida Nasuha ni. Aku menyindir diri sendiri di dalam hati.

            “Insyaallah mama. I will try my best but no promises. Hadif balik ni pun nak settle urusan pindah milik nama syarikat papa tu then nak jenguk kedai dobi. Dapatlah uruskan kedai tu yang dah lama Hadif tak tengok. Hadif rasa syarikat papa tu biarlah uncle Wahab uruskan macam biasa sementara Hadif dengan Aida masih belajar.” 

            Aku hanya memasang telinga mendengar perbualan Hadif dengan mama. Terbit rasa kagum di dalam hati apabila melihat kredibiliti Hadif sebagai ketua dan karismanya sebagai seorang pemimpin sangat terserlah. Hadif seorang lelaki yang penuh dengan misi dan visi dalam hidupnya. Dia berwawasan dalam menentukan hala tuju masa depannya dan jelas dengan apa yang dia mahukan. Aku bangga dengan Hadif atau lebih tepat lagi aku bangga bersuamikan lelaki seperti Hadif.

            “Okey ma. Kalau sempat Hadif kesana dengan menantu kesayangan mama ni ye. Jangan risau, Hadif jaga dia tip top! Sayang dia sangat-sangat, bagi perhatian secukupnya dan bagi makan pakai dengan sempurna. Nanti sampai gemuk menantu mama jangan salahkan Hadif pula tau.” Hadif ketawa besar sambil menuturkan ayat-ayat itu. Bukan main lagi dia mengusik mamanya. 

            Aku yang tergelak mendengar kata-kata Hadif itu sengaja menyiku lengannya. Kemudian aku memberikan isyarat bahawa aku mahu keluar dari bilik. Hadif hanya mengangguk dan menyambung perbualan dengan mama untuk beberapa ketika.

            Aku turun dari katil dan melangkah keluar dari bilik. Aku menuju ke tingkat bawah yang sunyi sepi. Bosan juga di rumah yang sebesar ini kami hanya tinggal berdua. Mak Dian akan datang pada jam lapan pagi dan pulang pada jam enam petang. Namun sebelum Mak Dian pulang dia akan memasak makan malam untuk aku dan Hadif. Tugas aku hanya memanaskan makanan apabila hendak makan. Tetapi aku tidak kisah sangat kerana di rumah kami juga aku sering memasak untuk Hadif. Kaki aku halakan kearah dapur yang luas. Kalau buat kenduri-kendara mesti seronok kan?

            “Mak Dian buat apa tu? Boleh Aida tolong?” Aku menegur Mak Dian yang sedang mengacau sesuatu di dalam periuk sederhana besar. Sekilas aku menjeling jam yang tergantung di dinding dapur. Baru jam tiga setengah petang. Masih banyak masa untuk aku berbual-bual dengan Mak Dian sebelum wanita itu pulang.

            Mak Dian tersenyum melihat aku merapatinya. “Mak Dian buatkan bubur pulut hitam kesukaan tuan. Dari kecil dia suka makan bubur ni. Dah nak masak nampaknya. Aida kena belajar buat tau.” Jawab Mak Dian.

            Aku menjengukkan kepala sedikit melihat isi di dalam periuk yang sedang menggelegak itu. Harum bau bubur yang dimasak bersama sehelai daun pandan untuk membangkitkan aroma. Kecur pula air liur aku menghidunya.

            “Bubur pulut hitam di makan dengan santan segar kan Mak Dian?” Aku bertanya sekadar untuk meminta kepastian. Sebenarnya aku ingat-ingat lupa kerana agak lama tidak menjamah bubur spesis ini.

            Mak Dian mengangguk laju. “Pandai pun Aida. Santan segar ada Mak Dian masukkan dalam peti ais tu. Nanti nak makan Aida hangatkan ye.” Pesan Mak Dian kepadaku.

            “Okey, no problem. Erm…Mak Dian, Aida nak tanya sikit boleh?” Aku memusingkan tubuh sambil menarik kerusi untuk duduk di meja makan.

            Mak Dian memandang wajahku dengan tenang. “Tentulah boleh. Aida nak tanya apa?” 

            Aku menelan liur. Perlu ke aku korek sedikit rahsia hidup Hadif daripada pembantu rumahnya? Apa salahnya, Mak Dian dah lama bekerja disini. Tentu banyak perkara tentang Hadif yang Mak Dian tahu. Akalku cuba untuk meyakinkan.

            “Hadif tu macam mana orangnya dari kaca mata Mak Dian? Yelah, Mak Dian kan dah kerja kat rumah ni sejak Hadif kecil lagi.” Aku bersuara perlahan walaupun aku tahu Hadif masih berada di dalam biliknya di tingkat atas.

            Mak Dian tersenyum sambil tangannya ligat mengacau bubur di dalam periuk. “Mak Dian tahu Aida dengan tuan kahwin atas pilihan orang tua. Tapi pandangan mata tua Mak Dian ni tak silap kalau Mak Dian nampak tuan sayang sangat pada Aida. Syukurlah…” 

            “Mak Dian tahu? Erm, memang kami kahwin atas desakan keluarga. Tapi saya dan Hadif masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Maklumlah orang tak berkahwin atas dasar cinta.” Kataku segera memotong ayat Mak Dian tadi. Tapi statement aku dah macam artis, you! Tak boleh blah…Aku sembunyi senyum.

            Mak Dian menutup api dapur dan mengambil tempat duduk di hadapanku. Tangannya mencapai gelas dan menuangkan air sirap limau sehingga separuh gelas. Kemudian disuakan di hadapanku. “Minumlah Aida. Mak Dian baru aje buat air ni tadi sebelum Aida turun.” Pelawa Mak Dian menyambung kata.

            Aku meneguk sedikit air sirap limau dihadapanku. Lega rasanya tekak yang tadinya kering. Memang niatku turun ke bawah untuk mengambil air tetapi berborak dengan Mak Dian membuatkan aku terlupa akan tekakku yang minta dibasahkan tadi.

            “Mak Dian tahu pun sebab terdengarkan pertengkaran tuan dengan Datok dan Datin semasa mereka menyuarakan hasrat untuk menyatukan tuan dengan Aida. Tuan tu orangnya baik hati walaupun agak cerewet dan panas baran. Mak Dian risau juga memikirkan layanan tuan pada isterinya selama ini. Mak Dian takut kalau gadis yang tuan kahwini itu tidak mampu bertahan dengan sikap panas barannya. Tetapi sejak dua hari lalu apabila Mak Dian tengok sendiri hubungan tuan dengan Aida, lega hati Mak Dian. Ternyata pilihan Datok dan Datin tak silap.” Panjang lebar Mak Dian bercerita sambil meluahkan perasaan hatinya kepadaku. Mata Mak Dia mula berkaca. Eh, Mak Dian menangis kenapa?

            “Kenapa ni Mak Dian?” Aku bertanya prihatin dan menyentuh tangan Mak Dian yang berada di atas meja.

            Mak Dian pantas menggelengkan kepalanya. “Tak ada apa-apa. Mak Dian tumpang gembira tuan dapat isteri sebaik Aida. Maklumlah Mak Dian dah jaga tuan tu sejak umur dia lapan tahun lagi.” Mak Dian mengesat tubir matanya menggunakan hujung lengan baju kurung yang dipakai. Namun senyuman tidak lekang dari bibir Mak Dian. 

            Terharu aku melihat kasih sayang Mak Dian terhadap anak majikannya itu. Biarlah aku ulang seribu kali sekalipun untuk mengatakan betapa bertuahnya Hadif yang membesar di rumah banglo ini kerana bukan sahaja penuh dengan kemewahan malah penuh dengan insan-insan yang menyayangi dirinya. Nampaknya tanggungjawab aku lebih besar selepas ini bagi memastikan Hadif mendapat kasih sayang serta layanan yang terbaik daripadaku. Aku tidak mahu dia merasakan kekurangan kerana telah terbiasa ditatang seperti emas.

            “Mak Dian janganlah sedih, nanti Aida pun ikut sedih. Insyaallah kami suami isteri baik-baik aje. Mak Dian tak nak sedih-sedih macam ni…” Lirih suaraku memujuk Mak Dian. Aku bukannya boleh tengok orang sedih-sedih seperti ini, mudah sahaja hati aku turut sama tersentuh.

            Mak Dian mengangguk dan menepuk sedikit tanganku yang masih menyentuh tangan kanannya. Segaris senyuman aku berikan kepada Mak Dian yang sudah hampir berjaya mengusir rasa sedihnya sebentar tadi. Kemudian aku bangun membawa gelas yang aku gunakan ke sinki untuk dibasuh.

            “Eh, letak aje kat situ Aida, biar Mak Dian basuh. Jangan, nanti kasar tangan Aida tu.” Mak Dian bingkas bangun melarang aku untuk membasuh sebiji gelas yang berada ditanganku. Aku tergelak kecil sambil tanganku ligat mencapai span cuci pinggan untuk meneruskan juga tugas mencuci.

            “Jangan Aida. Nanti tuan marah kalau dia nampak Aida buat semua kerja ni.” Mak Dian masih cuba menegah aku. Tergambar riak risau di wajah tua itu. Jatuh simpati aku mencurah-curah terhadap Mak Dian.

            “Mak Dian jangan risau ye. Aida dah biasa buat semua kerja ni. Kat rumah sewa kami pun, semua kerja Aida yang buat. Masakkan untuk suami, basuh kain baju, kemas rumah, malah cuci bilik air pun Aida yang buat. Tak ada maknanya Hadif nak marah.” Aku menenangkan Mak Dian yang masih kelihatan cemas.

            “Yelah tu, mengadu kat Mak Dian ye sayang…” Suara yang datang dari arah belakang membuatkan aku pantas menoleh.

            Hadif yang sedang melangkah mendekati kami tersenyum manis. Dia kemudiannya mencium dahiku sebelum mencapai tanganku yang masih bersabun di dalam sinki.

            “Eh, apa abang nak buat ni?” Aku terkejut dan segera melarikan tanganku dari dipegang oleh Hadif. Kalau nak pegang pun biarlah aku cuci tangan dulu daripada sabun ni. Tak sempat-sempat Si Hadif ni tau!

            “Abang nak cucikan tangan sayanglah. Lepas ni dah tak perlu buat semua kerja ni walaupun kat rumah kita. Abang nak ambil pembantu rumah dan nak bagi peluang sayang berehat aje lepas balik kuliah.” Hadif menjawab dan tangannya pantas membuka paip air. Tanganku dicuci sehingga bersih kemudian dia mengelap tanganku menggunakan kain lap tangan yang tergantung di kabinet sebelah sinki. Aku terdiam dan membiarkan perlakuan Hadif sehingga selesai sebelum membuka mulut.

            “Tak naklah. Sayang nak jaga abang dengan tangan sayang sendiri. Tak perlu pembantu rumah. Sayang masih mampu buat semua kerja untuk kita berdua kat rumah tu.” Bidasku sambil memandang sekilas Mak Dian yang tersenyum simpul dengan mangkuk di tangan.

            “Tuan, Aida, jomlah makan bubur pulut hitam ni dulu. Nanti sambung berbincang dalam bilik tentang pembantu rumah tu. Bolehlah bincang sambil mesra-mesra, tak gitu?” Selamba sahaja Mak Dian mengusik aku dengan Hadif. Sempat lagi Mak Dian menjungkitkan keningnya kepada kami. 

            “Nakal juga Mak Dian ni ye!” Hadif ketawa besar memandang wajah Mak Dian.

            “Tulah, pandai betul Mak Dian mengusik kita.” Sokongku pula dengan kenyataan Hadif.

            Mak Dian menutup mulut menahan tawa. Kemudian kami sama-sama duduk di meja makan untuk menikmati bubur pulut hitam kesukaan Hadif. Sempat lagi Hadif meniup suapan pertamanya dan disudukan ke dalam mulutku sebelum dia sendiri menjamah bubur tersebut. Aduh, baiknya suami kesayangan aku ni. Lama-lama nanti aku boleh lupa ingatan ni siapa sebenarnya yang ditatang bagai minyak yang penuh? Hadif si anak tunggal atau pun aku isteri yang sangat dimanjakan oleh suaminya?

            Senyuman Mak Dian semakin lebar apabila menyaksikan babak-babak kemesraan antara aku dan Hadif. Malah Hadif tanpa segan silu melayanku bagaikan seorang puteri di dalam banglo mewah ini.

No comments: