Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, August 14, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 54



             “Morning!” Tegurku ceria ketika hampir ke meja makan untuk bersarapan.

            Kelihatan semuanya telah berada disini menunggu pengantin baru turun bersarapan bersama. Alah, tak baru mana pun, bisikku di dalam hati. Ema, Akma, Wawa, papa, mama, Fayyad, mak, ayah dan Aini semuanya akan pulang pada hari ini selepas makan. Termasuk juga aku dan Hadif yang akan ke kuliah seperti biasa mulai hari esok.

            “Jom sarapan, sayang. Ini semua mama dan mak kamu yang sediakan sebab Mak Dian masih cuti.” Pelawa mama ramah sambil menepuk kerusi di sebelahnya untuk aku duduk. Aku tersenyum dan mengambil tempat disisi mama manakala Hadif di sebelah papanya.

            Sorry tak turun tolong-tolong kat dapur. Aida rasa tak sedap badanlah mungkin penat sangat semalam.” Tuturku sambil memandang mama dan mak silih berganti. Serius bukan sengaja buat helah, badanku terasa sakit-sakit semasa hendak melelapkan mata semalam. Mungkin dah lewat malam baru terasa kepenatan di siang hari.

            “Tak apalah akak. Mak faham, orang mengandung sulung memang macam tu. Sakit sana sini. Nanti anak kedua, ketiga biasalah tu.” Celah mak sambil mengulum senyum. Kelihatan mama juga turut menganggukkan kepala beberapa kali.

            “Kedua ketiga? Memanglah Hadif nak anak ramai tapi bila tengok Aida mengandung sekarang ni, rasa tak sampai hati pulak. Tak sanggup nak bagi mengandung lagi.” 

            Kata-kata Hadif disambut gelak tawa oleh mereka semua. Papa dan ayah kelihatan serentak menggelengkan kepala sambil tersengih. Ema, Akma dan Wawa yang sedang enak menikmati bihun goreng Singapore juga tersenyum malu-malu. Maklumlah mereka masih anak dara lagi. Topik pagi ini pula berkaitan hal rumahtangga. Hanya Fayyad yang kelihatan biasa-biasa saja tanpa reaksi. Masih tekun menikmati sarapannya sambil sesekali ekor matanya menjeling kearah aku.

            “Hadif ikut perangai papalah tu. Sebab tu Hadif jadi anak tunggal sebab mama dulu mengandung teruk alahannya sampai dah nak bersalin masih mabuk-mabuk lagi. Sudahnya papa kata cukuplah seorang. Tapi bila dah tua-tua begini rasa rugi juga tiada anak ramai. Dah kahwin, tinggallah mama dan papa berdua.” Mama mengeluh sambil mencedok bihun goreng ke dalam pinggan untuk aku dan Hadif.

            “Itu tandanya Hadif sayang isteri dia. Pandai-pandailah nak merancang keluarga nanti macam mana ye tak?” Ayah menyampuk sambil memandang papa.

            “Betul, betul. Mereka pun masih muda. Banyak masa lagi.” Ujar papa pula menyokong pendapat ayah sebentar tadi.

            “Nanti kita semua gerak sekalilah ye. Kau orang dah siap berkemas?” Aku sengaja menukar topik yang dah jadi serius awal-awal pagi ini. 

            Wawa, Akma dan Ema hampir serentak mengangkat kepala memandang aku. “Dah. Okey, kita orang follow belakang kereta Hadif nanti. Kalau nak singgah mana-mana inform. Boleh turun sekali.” Jawab Wawa selaku pemandu kereta Myvi yang dinaiki oleh mereka bertiga.

            “Aku pun nak gerak sekali dengan kau bro. Dah semua nak balik UUM kan?” Selamba Fayyad menuturkan kata. Setahu aku, ayah dan ibunya telah pulang terus ke Kuala Lumpur selepas majlis berakhir. Tinggallah dia yang ingin pulang ke kampus kerana masing-masing akan menghadiri kuliah mulai esok.

            Hadif mengangguk laju. “Okey, nanti lepas makan kita gerak sekali. Tak nak pinjam ke salah seorang awek ni buat teman berbual dalam kereta? Taklah mengantuk.” Hadif tersengih-sengih memandang Wawa, Akma dan Ema. Ketiga-tiga gadis itu terkejut dan kelihatan segan diusik begitu. Hish, Hadif ni pun! Gerutu aku di dalam hati. 

            “Tak apalah, bro. Aku dah biasa memandu seorang.” Tolak Fayyad sopan. 

            Kelihatan kawan-kawanku juga menarik nafas lega mendengar jawapan Fayyad. Mana tidaknya, mereka kan sudah berpunya. Ada pula Si Hadif nak kenenkan dengan sepupu dia. Alahai….


Setelah bersalaman dan berpelukan dengan mertua dan juga keluargaku, kami memulakan perjalanan untuk pulang ke bumi Sintok tempat dimana kami semua menuntut ilmu. Keluargaku pula berangkat pulang ke Selatan tanah air. Tinggallah mama dan papa yang akan pulang ke Jakarta dua hari lagi.

            Sepanjang perjalanan, Hadif tidak memandu terlalu laju seperti kebiasaannya. Aku dah berpesan agar memandu dengan kelajuan sederhana sahaja kerana Wawa tidak biasa memandu jauh. Kesian pula kalau ditinggalkan di belakang. Hanya kereta Fayyad sahaja yang kadangkala memotong kereta kami dan adakalanya berada di belakang. 

            “Sayang, telefon bunyi tu.” Suara Hadif mematikan lenaku. Aku terkulat-kulat membuka mata dan mencapai telefon bimbit yag berada di dalam beg tangan.

            “Helo, ada apa Wa?” Soalku dengan suara yang agak serak akibat baru bangun tidur. 

            “Ni Ema lah. Aku pakai telefon Wawa. Dia ajak singgah Sungai Petani. Nak beli barang-barang sikit. Bolehlah makan sekali. Aku laparlah belum makan nasi.” Ema mengekek ketawa. Bekas teman sebilik aku ni boleh tahan juga seleranya.

            “Kejap.” Kataku kemudian memberitahu Hadif cadangan kawan-kawanku yang berada di kereta belakang.

            “Okey, lepas keluar highway suruh Wawa potong kereta aku. Kami ikut ajelah dia nak kemana.” Aku memberikan jawapan setelah Hadif memberikan persetujuan. Ini antara sebab mengapa aku menyenangi dan semakin menyayangi Hadif. Dia mudah bertolak-ansur dan menerima kawan-kawanku.

            Setelah menamatkan perbualan, Hadif menghulurkan pula telefon bimbitnya. “Call Fayyad ajak dia sekali. Cari nama dia dalam contact.” Arah Hadif kepadaku. Lambat-lambat aku mengambil telefon bimbit di tangannya. Dah tahu nak memandu jauh, kenapalah tak bawa handsfree? Aku pula yang terpaksa bercakap dengan Fayyad. 

            “Ada apa, bro?” Suara di hujung sana bertanya.

            “Er…ni Aida. Kawan-kawan Aida ajak singgah Sungai Petani. Mereka nak beli barang-barang sikit. Lagipun, mereka nak makan sekali. Awak nak ikut? Kalau tak nak, awak balik teruslah ke kampus.” Luahku perlahan dan sesekali menjeling Hadif yang masih tekun memandu.

            Diam. Hanya mendengar helaan nafas di hujung sana. 

            “Fayyad, awak nak ikut kami ke tak?” Soalku setelah menunggu beberapa saat. Bingung. Ayat yang mudah macam tu pun tak faham ke? Lambat pula nak bagi jawapan.

            “Saya cuma akan ikut awak Aida. Kemana pun awak nak pergi, saya ikut.” Tiba-tiba kedengaran suara yang menjawab penuh yakin. Pulak?

            Aku terkejut dan terus menamatkan panggilan. Air liur aku telan rakus. Aduh, bala nak datang! Sejak tahu Fayyad mengenali Hadif aku dah mula tak sedap hati. Bila tahu mereka berdua sepupu, lagilah aku susah hati. Renungannya dan perlakuannya mencerminkan isi hatinya terhadapku. Aku tidak bodoh untuk menilainya. Nasib baik aku tak buat loud speaker. Kalau tak, mahu bergaduh Hadif dengan Fayyad. Silap-silap bergaduh besar aku suami isteri.

            “Fayyad ikut?” Soalan Hadif mengejutkan aku. Segera aku menghulurkan telefon bimbitnya. Hanya anggukan sahaja yang aku berikan sebagai jawapan. Kemudian aku terus berpura-pura menutup mata untuk menyambung tidur semula.



Aku duduk sendirian sambil menikmati minuman Cool Blog di hadapanku. Kemudian tanganku lincah membelek-belek halaman Facebook melalui telefon Blacberry kepunyaanku. Tiada apa yang menarik. Mungkin kerana aku jarang membukanya dan mengemaskini akaun milikku. Sekadar suka-suka dan sesekali berhubung dengan teman persekolahan.

            Ema, Wawa dan Akma sibuk membeli barangan keperluan mereka di pasaraya ini. Barang tersebut semestinya termasuk coklat dan makanan ringan yang biasanya mereka makan ketika berborak  pada waktu malam. Rindu pula nak menjengah bilik lamaku bersama Ema. Manakala Hadif dan Fayyad pula turut sibuk membeli barang-barang yang mereka kehendaki. Hadif pastinya membeli barangan dapur untuk rumah kami. Aku yang merasa lenguh kaki untuk berjalan lama mengambil keputusan untuk duduk di medan selera. Walaupun Hadif ingin menemani aku dan berniat membeli barangan dapur di Pekan Changlon sahaja, namun aku beria-ia meyakinkan bahawa aku akan selamat disini. Tiada apa-apa yang perlu dikhuatirkan. 

            “Ehem.” Deheman seseorang mengejutkan aku. Lantas aku mengangkat kepala untuk melihat gerangannya.

            Terkejut aku melihat Fayyad sedang melabuhkan punggung di hadapanku. Aku menoleh ke kiri dan kanan namun bayangan Hadif tidak pula kelihatan. Bukan mereka tadi pergi bersama ke?

            “Saya nak tanya sikit.” Wajah serius Fayyad membuatkan aku terus berhenti bermain telefon bimbit di tangan. Wajahnya aku pandang dengan dahi berkerut seribu.

            “Hmm…” Balasku sambil menyelitkan rambut di belakang telinga. Tanda bersedia untuk berbicara.

            “Awak betul cintakan sepupu saya tu?” Fayyad merenung aku tajam. Hish, sebelum kahwin kalau tanya macam ni tak apalah jugak. Ini, aku dah berbadan dua pun. Berguna ke soalan tu?

            “Mestilah saya cintakan suami saya. Kalau tidak, tak mungkin saya nak mengandungkan zuriat dia.” Ucapku perlahan. Bimbang jika Hadif muncul tiba-tiba tanpa aku sedari. Entah topik apa yang lelaki dihadapanku ini utarakan aku juga tidak jelas.

            Keluhan terlepas dari bibir Fayyad. “Zaman sekarang ni, macam-macam boleh jadi Aida. Tiada siapa pun tahu kalau Hadif rogol awak. Kahwin pun terpaksa, tiba-tiba berlagak macam pasangan sehati sejiwa. Saya tak percaya tu semua.” Keras bunyi percakapan Fayyad.

            Aku membulatkan mata. “Rogol? Hadif tu suami saya dan saya isteri dia. Awak sendiri tengok dia layan saya dengan baik kan? Ya, pada mulanya kami berdua memang terpaksa. Tapi saya sedar status dan tanggungjawab saya. Begitu juga Hadif. Sebab tu kami boleh jatuh cinta antara satu sama lain.” Naik turun nafasku laju membidas tuduhan tak berasas lelaki ini. 

            Fayyad tunduk dan meraup wajahnya. Dia mengeluh beberapa kali sebelum membuka mulut. Dia renung wajah aku dalam-dalam. “Saya dah ambil keputusan untuk melupakan awak. Tapi rupa-rupanya saya akan makin dekat pula dengan awak. Aida, saya susah nak sukakan seseorang dan bila hati saya dah suka, saya susah nak melupakan. Kenapalah awak jadi sepupu saya? Hadif tu tak layak, dia dah ada Zati.” Ayat terakhir yang keluar dari mulut Fayyad semakin perlahan seolah-olah dia bercakap lebih kepada dirinya sendiri.

            Aku menarik nafas. Tangan aku genggam perlahan. Cepatlah Hadif datang sebelum aku semakin sukar mengawal keadaan. “Fayyad, saya harap sangat awak faham situasi saya. Hadif dan saya dah sah jadi suami isteri walau apa pun sebab kami berkahwin. Ya, saya tahu dia dah ada Zati tapi itu dulu. Sekarang dia pilih untuk bersama saya dan bakal anak kami. Saya harap awak boleh layan saya macam seorang sepupu. Saya tak nak Hadif tahu dan syak kita ada apa-apa pula nanti.” Pintaku penuh hemah. Aku yakin berlembut adalah cara terbaik untuk menangani lelaki yang angau seperti Fayyad. 

            Lagipun aku yakin Fayyad masih terkejut dan sukar menerima bahawa aku adalah isteri kepada sepupunya. Apatah lagi melihat aku yang masih muda remaja seperti anak dara ini. Perasan sungguh! Tapi esok lusa apabila perut ini sudah memboyot dan aku hanya memakai pakaian ibu mengandung, tentu perasaan Fayyad itu akan terbang jauh. Siapalah yang berminat nak menaruh hati pada ibu mengandung? 

               Mungkin Fayyad hanya perlukan masa….

No comments: