Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, January 2, 2014

Bila Bulan Berwarna Biru Bab 7

                    



            “Minumlah sikit ayah...” Air suam di dalam gelas aku suakan ke mulut ayah.

            Lelaki yang terbaring lesu itu hanya menggelengkan kepala tanpa berkata sepatah pun. Memang sudah aku jangka situasi begini pasti akan terjadi. Namun apalah daya yang mampu aku lakukan selain dari mencuba dan terus mencuba?

            “Ayah, Dani tiada siapa-siapa lagi selain ayah, along dan angah. Dani harap sangat Dani tak akan terlewat untuk menyatakan apa yang Dani nak cakap.” Aku duduk di bangku plastik di sebelah kanan katil.

            Ayah hanya diam dan memejamkan mata. Nafasnya turun naik perlahan. Aku menelan liur sebelum menyambung kata. Debaran didada juga tiada hentinya selagi tidak terluah apa yang terbuku di hati.

            “Bukan niat Dani nak memalukan ayah...memalukan nama baik keluarga kita di mata Datuk Ghazali. Dani dah tak mampu nak tahan lagi semua ni ayah...” Hanya setakat itu yang mampu aku luahkan sebelum airmata mula menuruni pipi.

            Ayah pula mula mengiringkan badan membelakangkan aku. Mungkin ayah masih tidak mahu mendengar. Tidak mahu membuka hati dan mata. Tidak mahu mempercayai aku. Tetapi aku nekad akan tetap memberitahu ayah. Segalanya.

            “Althea memang anak Dani dengan Fauzan. Kalau ayah nak buat ujian DNA pun Dani sanggup. Dani tak nak apa-apa jadi pada ayah apatah lagi ayah masih memegang kepercayaan salah tu.” Kataku sambil mengesat airmata dengan tisu.

            “Memang kamu nak aku mati kan. Biar senang hati kamu tu.” Perlahan suara tua itu mengalunkan sebaris ayat yang menghiris jiwa.

            “Demi Tuhan...Dani tak pernah mendoakan yang buruk untuk ayah mahu pun sesiapa saja.”

            “Kenapa aku dah nak mati baru kamu nak buat ujian tu?” Ayah segera memotong.

            Aku mengeluh lemah. Memang itu yang ayah nak tahu dari dulu. Tabahkan hati dan kuatkan iman wahai Adani...Allah bersama dengan orang-orang yang benar.

            “Sebab Dani fikir ayah macam mak. Sebab Dani terlalu naif mengatakan ayah akan percayakan Dani suatu hari nanti. Sebab Dani ingat ayah akan terima Dani dengan Althea seadanya. Sebab kami darah daging ayah. Tapi Dani silap besar kerana ayah hanya memekakkan telinga dan membutakan mata dengan anak kandung ayah sendiri!” Lancar kata-kata itu aku hamburkan sepenuh hati. Biar dia tahu yang anak perempuannya terseksa kerana dibuang oleh ayahnya.

            “Kamu fikir aku bodoh? Kalau betul kenapa tidak dari dulu kau buktikan?” Ayah masih ingin berdebat. Namun sekurang-kurangnya dia bersuara. Tidak berdiam diri seperti dulu.

            “Dani yakin ibu bapa akan lebih kenal anak kandung dia sendiri. Bukan lebih percayakan menantu atau besan! Sebab dulu Dani fikir tak perlu untuk buktikan apa-apa pada keluarga Dani sendiri. Tapi ayah lebih berpihak pada mereka.” Jawabku lagi.

            “Tapi Dani rasa dah terlalu lama untuk kita. Malah Dani rasa ini masa yang sesuai kerana Dani tidak lagi mengharapkan kepercayaan ayah datang dengan sendirinya. Dani dah tak sanggup simpan semua ni.” Kataku lagi sambil diiringi esakan kecil yang tertahan-tahan.

            “Simpan apa hah? Yang budak tu anak si kafir tu?” Jerkah ayah.

            “Astaghfirullah...berapa kali Dani nak cakap Althea anak Dani yang sah dengan Fauzan. Fauzan sengaja cakap macam tu sebab dia tak nak ceraikan Dani. Dan dia sengaja nak gunakan ayah dan keluarga dia untuk tahan Dani dari tuntut cerai.” Nafasku mula turun naik lebih laju. Setiap kali menyebut nama Fauzan geram aku masih membara.

            Kau tengoklah apa yang kau dah buat Fauzan. Kau bukan saja menyeksa aku, malah kesannya turut terpalit antara hubungan aku dan keluarga. Tergamak kau! Arghhhh!! Hati aku menjerit-jerit ingin munculkan Fauzan di depan mata. Ingin aku tumbuk sekuat hati wajah yang menjengkelkan itu. Apa guna ada rupa yang menawan tetapi perangai macam hampeh!

            “Memang bagus dia buat macam tu. Kamu bercerai pun sebab nak kahwin dengan kafir tu kan?” Tohmahan ayah sangat berbisa. Tidak henti dari tadi aku menangkis setiap persoalannya.

            “Sumpah ayah...Dani langsung tak berhubung dengan dia. Dani tak tahu-menahu pun tentang dia lagi. Sebenarnya dulu Dani keliru, Dani takut, Dani hilang arah. Dani sengaja larikan diri sebab Dani tak nak Fauzan jumpa Dani dengan Althea. Kalau balik rumah ayah pun tentu ayah bagitahu Fauzan. Sebab tu Dani lari jauh...tak ada kena-mengena dengan dia.”

            Memang betul itu yang berlaku. Aku langsung tak tahu apa-apa tentang Vickness. Dia ada kat mana pun aku tak tahu. Sejak dia tinggalkan aku sampai aku kahwin dengan Fauzan, kami memang tidak berhubung sama sekali.

            Melihatkan ayah membatukan diri aku menyambung kata. “Dani bercerai dengan Fauzan bukan sebab nak kahwin dengan sesiapa. Tapi Dani dah tak tahan dengan sikap dia. Dia dera Dani fizikal dan emosi. Dia buat Dani macam kuli kat rumah tu. Dia kasar dengan Dani kat tempat tidur. Bila dia perlukan Dani, Dani terpaksa akur walaupun masa Dani datang bulan. Walaupun masa Dani sedang berpantang melahirkan Althea. Suami apa macam tu ayah?”

            Aku menangis lagi. Kali ini lebih kuat berbanding tadi. Terasa baru semalam Fauzan mengheret aku ke katil sewaktu sedang sakit-sakit. Darah yang meleleh di kaki sudah tidak dia hiraukan asalkan hajatnya tercapai. Sakit dan peritnya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Sampai satu masa, aku terfikir adakah aku akan menemui ajalku sebegini? Malah aku akan dipukul jika enggan melayaninya. Pernah aku ditekup dengan bantal sehingga hampir maut kerana menolak kehendak Fauzan. Tangisan Althea pun langsung tidak memberi kesan terhadap lelaki itu.  

            “Ayah juga seorang suami. Ayah fikirkanlah apa yang Dani ceritakan pada ayah. Mungkin masa itu Dani silap sebab tak berterus-terang dan melarikan diri. Tapi itu tak bermakna Fauzan sentiasa betul. Jangan ayah fikir anak Datuk Ghazali itu mulia walaupun dia mempunyai yayasan anak-anak yatim. Jangan ayah fikir dia seorang suami yang penyayang kerana dia suka menderma. Dia boleh mengaburi mata orang tuanya dan juga mata ayah. Tetapi tidak mata Dani yang pernah menjadi isteri dan teman sebantal. Dialah lelaki yang banyak mempunyai sisi kegelapan dalam jiwanya yang tandus. Kerana dia tidak pernah mengenal Tuhannya. Malah dia lebih kafir dari lelaki yang ayah benci sangat tu.”

            Aku bingkas berdiri setelah selesai menghabiskan ayat yang terakhir. Mungkin kedengaran agak kasar tetapi aku sudah cukup berlembut selama ini. Memang Fauzan menantu kesayangan ayah. Dia kebanggaan ayah dan menjadi buah mulut orang kampung. Dia disanjung kerana budi pekertinya dan perwatakan yang dibawakannya sebagai seorang anak yang berhormat. Namun siapa menduga disebalik wajahnya yang menjadi kegilaaan ramai perempuan di luar sana, dia adalah seorang lelaki kejam yang bertuhankan nafsu.

            Tiada keindahan buat aku pada malam pertama. Tetapi aku diseksa seolah-olah hari terakhir aku didunia. Itu belum lagi pengalaman aku mengandungkan Althea yang tentunya lebih sadis diperlakukan oleh Fauzan. Aku bertahan demi keluarga. Aku bertahan demi Datuk Ghazali. Aku bertahan kerana Fauzan sudi menerima aku yang bukan lagi dara menjadi isterinya. Aku bertahan dan mengorbankan diri untuk sesuatu yang aku sendiri tidak pasti. Sehingga akhirnya aku lari...membawa Althea...membawa maruah dan harga diri...membawa lara dan sepi...membawa dendam dan kesakitan yang tidak terperi...aku pasrah!


*************************************************************************


“Awak ada masalah ke Adani?” Encik Kefli merenung aku penuh pengertian.

            Sejak beberapa minit tadi aku hanya mengangguk dan menggeleng dalam memberikan jawapan. Sampai tergaru-garu kepala Encik Kefli dihadapanku. Kalau bos lain dah kena maki agaknya.

            “Tak pernah saya nampak awak betul-betul terganggu macam sekarang. Selama ni semua kerja awak bagus. Disiplin awak pun ditahap yang sangat memuaskan. Saya rasa pasti masalah ni sangat besar untuk awak tanggung.” Encik Kefli masih cuba mengorek rahsia.

            Aku mengangguk dan tunduk. Lagi. Kesekian kali.

            “Saya cadangkan awak ambil cuti rehat. Awak ambillah sebanyak mana asalkan bila awak mula bekerja nanti, saya dapat pekerja saya semula. Saya tak nak Adani yang dihadapan saya sekarang.”

            Aku mengangguk. Encik Kefli pula menggeleng.

            “Awak boleh keluar.”

            “Terima kasih.”

            Aku kembali ke meja kerja dan mengemas apa yang patut. Setelah membuat urusan permohonan cuti, aku tidak terus mengambil Althea. Aku membuat keputusan akan mengambil Althea seperti biasa pada sebelah petang. Aku memandu sekitar taman perumahan. Dari satu taman ke satu taman. Niatku ingin mencari rumah untuk disewa. Aku ingin keluar dari rumah Vickness. Aku mahu lari dari semua yang menyesakkan otak. Walaupun aku tahu melarikan diri tidak akan menyelesaikan apa-apa tetapi entahlah...aku memang suka lari dari dulu. Pelik.

            Sejak aku balik kampung sehingga aku pulang semula ke sini, Vickness tidak menghubungi aku lagi. Mungkin dia dah sedar yang kami tidak perlukan dia dalam hidup kami. Sayang macam mana pun Althea tetap bukan anak dia.

            Setelah mengambil beberapa nombor telefon dan hari semakin petang, aku memandu pula untuk menjemput Althea dari taska. Althea kelihatan ceria walaupun semalam merengek kerana tidak dapat melawat atok di hospital. Kanak-kanak dibawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk ke dalam wad. Althea aku tinggalkan bersama along untuk bermain dengan Damia.

            “Tadi D datang sekolah.” Althea menarik lengan bajuku.

            “Thea, jangan tarik mama. Kan mama tengah memandu ni.” Aku mengerling sekilas wajah Althea yang kemerah-merahan akibat baru lepas bermain di taska.

            “D datang buat apa?” Soalku untuk memancing semula minatnya untuk bercerita.

            “D datang bawak roti canai. Lepas tu dia suap Thea makan. Dia bagi Thea ni dan ni.” Althea mengeluarkan sesuatu dari dalam beg sekolahnya.

            “Apa tu?” Aku memandang seketika sebelum fokus semula terhadap pemanduan.

            “Yang ni untuk Thea, yang ni untuk mama.” Thea menghulurkan sekeping sampul surat berwarna coklat.

            “Thea letak situ dulu. Nanti sampai rumah mama ambil ya.” Ujarku walaupun di dalam hati memang tak sabar nak melihat isinya.

            Satu barang lagi yang dipegang oleh Thea ialah patung Zirafah berwarna merah jambu. Dipeluk-peluk oleh Althea dan sesekali diciumnya. Vickness suka sangat manjakan Althea dengan pelbagai barang permainan. Lain kali belilah buku. Beli mainan tak bermanfaat. Boleh pulak nak demand!

            Masuk sahaja ke dalam rumah, aku segera membuka sampul surat itu di dalam bilik. Aku tinggalkan Althea menonton televisyen di ruang tamu. Terdapat surat di dalamnya dan juga satu kotak kecil berwarn hitam. Kotak itu dihiasi reben berwarna merah.

            Aku lebih berminat untuk membaca surat itu dahulu. Kotak kecil aku letakkan diatas riba. Bismillahirrahmanirrahim.....

           
            Adani sayang,
            Mungkin you dah tak nak tengok muka I lagi. Mungkin you akan keluar dari rumah tu
            dan lari tinggalkan I. Sebelum you buat keputusan teruk, dengan rasa rendah hati I
            ingin melamar you untuk jadi isteri I seikhlasnya. I yakin you akan jadi isteri yang
membahagiakan. I nak tebus kesilapan kita yang dulu... I terlalu
            sayangkan you dan Althea.


            Airmata membasahi pipi. Kalau Vickness tahu bahawa Althea memang bukan anak dia, adakah lelaki itu tetap mahu mengahwini aku dan menyayangi Althea? Kotak kecil itu aku buka perlahan. Kelihatan sebentuk cincin bertakhtakan berlian berbentuk bujur didalamnya. Cincin ini terlalu sempurna untuk melamar seorang ibu. Aku bukan lagi anak dara pingitan seperti zaman dulu. Kotak itu aku tutup kembali tanpa mengeluarkan isinya. Aku tidak berniat pun untuk mencubanya di jari manisku. Aku tidak layak untuk semua ini walaupun Vickness sememangnya bertanggungjawab dari dulu lagi. 

             It is just too late Vickness...
           
           

                                             

2 comments:

Unknown said...

BEST.

Shizukaz Sue said...

Thanks baby mio sebab selalu mengikuti blog ni.. :)