Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Tuesday, September 18, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 16


         Seronok rasanya menghabiskan cuti bersama Wawa. Selain dapat berjalan-jalan dan mengikut Makcik Azizah ke rumah saudara-mara mereka, aku gembira dilayan dengan begitu baik. Terasa seminggu ini cepat benar berlalu dan esok aku akan menghadiri kuliah seperti biasa. Sejak panggilan Hadif tempoh hari dia langsung tidak menghubungi aku lagi. Mungkin tidak ada yang perlu dia risaukan kerana aku selamat di rumah temanku ini. Lain hal nya jika aku bagi tahu yang aku sedang bercuti dengan teman lelaki. Ah, ada-ada aje kau ni Aida.

            “Dah siap berkemas Aida?” Soal Makcik Azizah sebaik sahaja melihat aku masuk ke dapur.

            “Dah, makcik. Alah, bukan bawa banyak barang pun.” Aku tersenyum. Kemudian membantu Makcik Azizah menyusun pinggan dan gelas di meja makan.

            Sewaktu aku keluar dari bilik tadi Wawa masih sibuk mengemas barang-barangnya. Tak lama lagi keluar lah tu. Perutku mula terasa lapar melihat ayam masak sambal dan pucuk ubi masak lemak yang telah tersedia di atas meja. Kecur air liur aku.

            “Jom makan. Tunggu Wawa nanti lambat pula. Makcik pun dah lapar ni.” Makcik Azizah menarik kerusi untuk duduk. Aku turut berbuat demikian.

            “Mana Shahrul dan Shamsul?” Aku bertanya sambil melihat-lihat jika ada adik kembar Wawa berhampiran sini. Kalau ada ingin aku ajak makan bersama.

            “Si kembar dah pergi bermain dirumah Makcik Hasnah hujung sana tu. Kawan mereka itu aje lah Firdaus anak Makcik Hasnah. Jiran-jiran lain semua dah besar.” Jawab Makcik Azizah sambil menyendukkan lauk ke pinggan aku.

            “Dah, cukup makcik…cukup dah ni.” Aku berkata sambil menurunkan pingganku yang ditinggikan seketika tadi.

            “Hah! Makan tak tunggu pun. Sampai hati.” Wawa seperti biasa manja dengan ibunya. Kemudian dia ke sinki membasuh tangan dan menarik kerusi di sebelahku.

            “Kami pun baru aje nak makan.” Aku menjawab. Kemudian aku menadah tangan dan membaca doa makan perlahan.

            Suasana sepi seketika apabila masing-masing sibuk menikmati juadah yang menyelerakan ini. Setelah selesai menjamu selera aku, Wawa dan Makcik Azizah duduk berbual kosong di ruang tamu sambil menonton televisyen.

            “Pukul berapa kamu nak bertolak Wa?” Soal Makcik Azizah sambil menekan alat kawalan jauh mencari siaran yang menarik.

            “Lepas rehat-rehat sekejap lagi ni kami bertolak balik kolej. Petang-petang sangat nanti susah pula. Nak hantar Aida kat kolej dia dulu. Awal sampai, awal kami dapat bersedia untuk mulakan kuliah esok pagi.” Jawab Wawa jujur.

            “Betul tu makcik. Kami selalu buat ulangkaji sedikit bab-bab yang akan diajar oleh pensyarah sebelum masuk kuliah. Malam nanti dapatlah siap-siap apa yang patut. Baca nota dan gosok baju.” Aku menyokong kata-kata Wawa.

            Makcik Azizah hanya menganggukkan kepalanya beberapa kali. Berpuas hati dengan jawapan kami. “Eloklah tu. Nanti ada masa rajin-rajinlah balik Wawa. Mak nak jenguk kamu kat sana pun nak tunggu ayah kamu cuti. Mak ni kalau pandai bawa kereta senanglah sikit.” Luah Makcik Azizah sambil mengusap lembut tangan anaknya.

            “Insyaallah. Mak pergilah kelas memandu. Senang mak nak bergerak.” Wawa mengusulkan bersama sengihan di bibir.

            “Mak ni memang nak sangat belajar memandu. Tapi ayah kamu tu kata tak payahlah dah tua-tua begini. Takut susah nak di ajar pula.” Makcik Azizah tersenyum menampakkan giginya yang putih bersih. Pandai Makcik Azizah menjaga gigi dengan elok. Seingat aku, mak ada tiga batang gigi palsu. Tapi tak tahu pula kut-kut Makcik Azizah turut memakai gigi palsu.

            “Macam-macam aje ayah tu. Entah-entah malas nak keluarkan duit untuk belajar memandu.” Wawa berkata dengan nada berseloroh.

            “Agaknyalah tu….” Ujar Makcik Azizah meleret.

          Kami sama-sama ketawa. Rindu pula hati pada mak dan ayah nun jauh di selatan tanah air. Maklumlah ini pertama kali aku menghabiskan cuti penggal tanpa mereka. Aku mengingatkan hati agar menjadi lebih matang. Aku yakin selepas ini akan ada banyak perkara yang berubah dalam kehidupan aku. Aku bukan lagi di bawah tanggungjawab mak dan ayah. Tapi di bawah tanggungjawab seorang suami yang aku nikahi seminggu lalu.



Aku meletakkan seterika di tepi papan penggosok.  Suis seterika aku matikan. Kemudian tanganku segera mencapai telefon bimbit yang berdering. Nombor tidak dikenali. Siapa?

            “Assalamualaikum.” Ucapku memberi salam.

            “Waalaikumsalam. Ini Puan Aida ye?” Sapa suara garau dihujung sana. Macam suara orang tua aje.

            “Ye saya.” Jawabku sambil berfikir kalau-kalau suara itu aku kenali.

            “Saya Pakcik Mahmod. Datok Musa suruh saya hantar kereta puan kesini untuk kegunaan puan. Saya ada dibawah blok puan ni.” Terang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Pakcik Mahmod.

            “Oh, ya? Tunggu sekejap ye pakcik. Saya turun sekarang.” Aku berkata sambil tanganku menyelak langsir jendela. Dari bilik ini memang akan nampak jelas sesiapa yang datang diruangan tempat meletak kenderaan dibawah. Hanya satu sahaja tempat meletak kenderaan di blok ini.

            “Baik puan.” Tutur Pakcik Mahmod dan menamatkan talian.

            Dalam kesamaran cahaya aku nampak kereta Suzuki Swift warna merah terang yang telah berada dirumahku semasa aku pulang seminggu sebelum bernikah. Kini kereta itu sudah berada disini. Jauhnya Pakcik Mahmod datang hantar kereta tu, kata hatiku.

            Aku mengambil sweater Nike yang tergantung dan menyarung kebadan bagi menutupi baju tidur yang kupakai. Nasib baik hari ini aku pakai seluar tidur. Kalau pakai baju tidur paras peha leceh pula nak menyalin pakaian. Aku mengambil kunci bilik dan terus turun ke bawah sambil berlari-lari anak.

            “Saya hantar pada tuan tadi tapi dia minta saya hantar ke kolej kediaman puan.” Pakcik Mahmod menyerahkan kunci kereta kepadaku.

            “Tuan?” Soalku dengan pandangan yang pelik.

            “Tuan Hadif.” Pakcik Mahmod tersenyum mesra.

Nampaknya Pakcik Mahmod muda sedikit daripada ayah. Tapi aku tetap jatuh simpati apabila mengenangkan dia terpaksa memandu jauh untuk menghantar kereta ini kepadaku.

“Kenapa panggil tuan?” Soalku sambil mencebikkan bibir. Berlagak tahap cipan aje dipanggil tuan sedangkan dia hanyalah setahun lebih tua daripadaku.

“Oh, memang semua pekerja memanggilnya tuan.” Jawab Pakcik Mahmod sopan.

“Habis tu pakcik panggil papa apa?” Aku ni banyak pula bertanya. Mungkin kerana dipenuhi dengan rasa ingin tahu.

“Kami panggil Datok. Puan Aida, kalau tak ada apa-apa lagi saya minta diri dulu.” Ujar Pakcik Mahmod lagi.

“Pakcik balik naik apa?” Mulutku tidak boleh berhenti daripada bertanya soalan malam ini nampaknya.

Pakcik Mahmod tersenyum. “Saya balik dengan satu lagi kereta. Kami datang dua kereta tadi.”

“Mana?” Soalku lagi sepatah sambil mata melilau mencari kelibat kereta lagi satu yang dikatakan oleh Pakcik Mahmod.

“Sekejap lagi sampailah tu. Singgah isi minyak katanya tadi.” Pakcik Mahmod masih tersenyum memandang aku yang dari tadi muka berkerut bertanya itu dan ini.

“Oh, tak apalah saya belanja pakcik minum sekejap.” Aku mengajak sambil menunjukkan kafe yang masih terang benderang. Esok kuliah akan bermula jadi hari ini kafe telah mula beroperasi.

Pakcik Mahmod menggeleng sambil menundukkan sedikit badannya. “Tak apa puan. Terima kasih.”

“Jomlah pakcik...” Aku membuat suara kebudak-budakan seperti seorang anak mengajak ayahnya.

Akhirnya dalam keadaan serba salah Pakcik Mahmod menuruti langkahku. Kami duduk di meja bahagian belakang agar tidak terganggu dengan bunyi bising pelajar-pelajar yang ramai di dalam kafe. Aku memesan jus buah untuk kami berdua setelah meminta persetujuan Pakcik Mahmod. Aku mempelawa untuk makan tetapi dia menolak.

“Dah lama Pakcik kerja dengan papa?” Tetap dengan soalan mulut aku ini. Rasa mahu ditampar laju-laju.

“Saya dah lapan belas tahun menjadi pemandu Datok.” Jawab Pakcik Mahmod sambil tersenyum. Nasib baik lelaki ini murah dengan senyuman. Kalau orang lain tentu dah naik angin disoal oleh wartawan tidak bergaji sepertiku.

Aku menganggukkan kepala. Jus buah yang kami pesan telah pun sampai. Aku dan Pakcik Mahmod menyedut minuman masing-masing untuk membasahkan tekak.

“Cantik puan Aida ni ye. Patutlah tuan suka.” Pakcik Mahmod bersuara.

Aku tersenyum malu. “Tak payah panggil puan. Panggil Aida aje pakcik. Saya lebih selesa begitu.” Namun aku sempat berfikir yang Pakcik Mahmod pasti tidak mengetahui alasan Hadif terpaksa dinikahkan dengan aku. Kalau tidak, tentu ayat tersebut tidak terkeluar dari mulut lelaki separuh abad ini.

“Tak boleh macam tu puan. Nanti tuan dengar saya pula kena marah.” Pakcik Mahmod menjawab sambil mengggelengkan sedikit kepalanya.

“Macam tu pulak?” Aku mengerutkan dahi. Serius aku tak faham apa kena dengan sikap Hadif itu.

“Tuan tu tegas orangnya puan. Sejak dia kecil kami semua memanggilnya tuan. Datok tu lainlah. Dia lembut orangnya.” Ucap Pakcik Mahmod serba salah.

Aku tersenyum. “Tak apalah. Tuan tak ada pun kat sini. Pakcik panggil Aida aje ye.” Aku bersuara lagi.

Tiba-tiba telefon Pakcik Mahmod berbunyi dan dia segera menjawab panggilan. Aku mendengar setiap butir bicaranya. Kereta lagi satu yang dimaksudkan telah pun sampai. Kemudian kami melangkah menuju ke tempat letak kenderaan.

“Siapa yang bawa kereta tu pakcik?”  Aku menjenguk-jengukkan sedikit kepala untuk melihat. Tetapi hampa kerana cermin kereta yang hitam itu lebih gelap pada waktu malam.

“Saya pemandu Datok. Yang bawa kereta lagi satu tu pemandu Datin.” Balas Pakcik Mahmod yang masih tidak jemu menjawab semua soalan-soalan aku. Terima kasih pakcik!

Aku menganggukkan kepala beberapa kali. Seronoknya jadi orang kaya ada pemandu seorang satu. Tapi kalau Datok belikan aku Suzuki Swift ini mengapa anak tunggalnya hanya memakai Satria Neo ye? Aku yakin dia pasti boleh beli kereta yang lebih mahal dan bagus untuk anak tunggalnya. Namun soalan itu aku biarkan sahaja berlalu bersama Pakcik Mahmod yang telah meminta diri masuk ke dalam perut kereta.

Namun aku sempat mengucapkan berbanyak terima kasih kerana menghantar kereta itu kesini. Setelah memeriksa sama ada pintu kereta telah dikunci, aku terus naik ke bilik.

“Aik? Dah dapat kereta pun muka masam lagi?” Ema menyapa sebaik sahaja aku menutup pintu bilik. Ema yang ada di dalam bilik tadi tahu tujuan aku turun ke bawah. Kelihatan Ema sedang meneruskan tugas aku menggosok baju yang separuh jalan tadi.

“Terima kasih daun keladi tolong habiskan gosok baju aku.” Aku mengambil baju kurung yang telah siap digosok untuk digantung di dalam almari. Ema selalu melayan aku begitu baik semenjak kami dari semester satu lagi.

“Kenapa muka masam?” Ema menyoal lagi tidak puas hati.

“Seronok tu memang seronok ada kereta kat sini. Senang nak ke kuliah tak perlu berebut naik bas. Tapi aku mana ada sticker kereta. Susah nak dapat tau tak?” Aku menjawab bersama sebuah keluhan berat.

“Betul juga kata kau. Terlupa pula aku.” Ema menyokong kata-kataku.

Aku memerah otak. Cepat, fikir! Seperti otak aku ini akan mengikut arahan sahaja lagaknya. Setelah beberapa minit terdiam, aku mencapai telefon bimbit dan jari ligat mendail nombor seseorang.

“Aida hargai sangat pa…tak…bukan…bukan Aida tak suka. Tapi susah nak dapat sticker kebenaran untuk bawa kenderaan kat kampus ni pa.” Amboi senang-senang sahaja aku mengadu dengan papa. Namun itu yang aku lakukan kepada mak dan ayah jika ada apa-apa yang tidak puas hati. Terus-terang adalah kuncinya. Lagipun aku yakin tak mungkin papa nak marahkan aku sebab berterus-terang dengannya.

“Aida jangan risau. Hadif dah uruskan semuanya. Esok kamu pergi amik sticker tu pada dia. Terus lekat kat cermin kereta. Jadi tak adalah Aida susah hati lagi.” Papa tergelak kecil. Papa ni cakap betul ke main-main?

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. “Betul ke papa? Hadif dah uruskan?” Aku bertanya kerana masih tidak percaya dengan apa yang keluar dari mulut papa.

“Buat apa pula papa nak tipu….” Papa tergelak lagi. Sah! Papa memang seiras dengan Hadif. Kalau orang tanya, dia akan gelak padahal benda yang dibualkan bukanlah lucu. Kini aku faham dari mana datangnya sikap Hadif yang satu itu.

Aku menggaru kepala lagi. “Okeylah kalau macam tu. Terima kasih ye papa.” Akhirnya aku memilih untuk percaya kata-kata papa.

“Ha, Aida sekejap! Mama nak bercakap ni.” Papa berkata lagi. Seketika kemudian talian senyap tanpa suara.

“Aida, ni mama.” Suara mama telah kedengaran di cuping telingaku.

Aku tersenyum lebar. Walaupun kami belum rapat lagi tetapi mama dan papa melayan aku dengan baik. Terasa seperti diperlakukan seperti anak mereka sendiri.

“Mama apa khabar?” Aku menyoal mesra mertuaku ini.

“Baik. Kamu dengan Hadif macam mana?” Soal mama pula.

Aku menelan liur. Dada berdebar-debar tanda aku akan menipu sebentar lagi. Kalau diuji dengan ujian poligraf sudah tentu aku kantoi.

“Macam mana apa?” Soalanku agak canggung aku rasakan saat ini.

“Sihat ke kamu berdua.” Balas mama lembut. Fuh, lega hatiku mendengarnya.

“Oh, sihat. Kami sihat ma. Tak ada apa perlu dirisaukan.” Segera aku memberikan jawapan tidak mahu mama menghidu sesuatu yang pelik disitu.

“Mana boleh mama tak risau. Kamu berdua tu suami isteri tapi tinggal berasingan. Mama dah suruh Hadif pindah bawa kamu tinggal menyewa diluar. Kamu pilih aje rumah yang kamu berkenan. Nanti cepat-cepat bagi tahu mama. Bukan mama tak mahu belikan rumah, tapi lepas tamat belajar nanti kamu belum tahu lagi nak kerja dimana. Lepas belajar nanti mama belikan rumah ye sayang.” Panjang lebar bebelan mama.

Aku cuba menyedut oksigen sebanyak mungkin yang dirasakan semakin berkurangan dalam bilik ini walaupun hanya dikongsi bersama Ema. Malah Ema memandang pelik kelakuan aku yang pelbagai aksi bercakap di telefon.

“Nantilah mama. Lepas majlis sanding ke baru kami tinggal bersama.” Jawabku perlahan. Tidak pasti apa alasan untuk ayat tersebut jika ditanya oleh mama.

“Ada pula macam tu. Dah jadi suami isteri kena saling menjaga pasangan. Belajar-belajar juga tapi rumahtangga pun penting. Jangan lupa survey rumah cepat-cepat dengan Hadif.” Kedengaran tegas suara mama menuturkan kata.

“Baik ma. Insyaallah.” Aku mengalah. Kalau dibangkang kemahuan mama nanti timbul isu lain pula.

“Bagus. Bagi tahu mama as soon as possible okey sayang. Selamat malam.” Mama kembali melembutkan nada suaranya. “Eh, lupa mama nak bagitahu esok kami akan berangkat ke Jakarta. Tapi Insyaallah mama dan papa akan balik melawat kamu dan Hadif nanti.” Sambung mama lagi.

“Esok? Tak sempat Aida nak jumpa mama dan papa sebelum pergi. Mama jaga diri baik-baik kat sana ye. Jangan lupa kirim salam Baim Wong dan Marshanda kalau mama terjumpa mereka nanti.” Pesanku sambil melawak dengan mama. Aku tergelak kecil dengan ayatku sendiri.

“Ada-ada aje menantu mama ni. Baim Wong kamu tu jaga elok-elok kat sini. Jangan gaduh-gaduh selalu tau. Okey sayang, love you.” Mama turut tertawa kelucuan.

Love you too…selamat malam mama. Assalamualaikum.” Setelah mama menjawab salam aku mematikan talian.

“Ema aku nak tidur dulu ye. Mengantuklah. Mulai esok aku tumpangkan kau pergi kuliah. Tak payah bayar duit bas lagi.” Aku tersenyum tawar pada Ema.

Mata Ema bercahaya. “Betul ni? Wah, ni yang sayang kat kau. Okey aku tutup lampu. Good night Aida.” Ema bangun menekan suis lampu. Suasana bertukar menjadi gelap. Hanya sinaran lampu jalan sahaja yang mencuri masuk ke dalam bilik ini.

5 comments:

Yin Areesa said...

Maknanya Hadif akan jumpa dgn Aida secara live lah kan...:)

Shizukaz Sue said...

Haaa pandai akak..tp itulah cabarannya..camne Aida nak menyorok ye? hihi

Yin Areesa said...

Itulah..UUM x leh pakai purdah..hehe.melainkan dia mintak wawa tolong amikkan.

Unknown said...

wah makin best nih...
tak rindu ke hadif pada isterinya tu?

Anonymous said...

nak mak mentua cam tu jugakla.. nge ngeh :) (pikiranmlayangdah)