Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, September 5, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 10


                Mulut aku tidak habis-habis menyumpah sejak pagi tadi. Kalau dihitung entah berapa bakul dosa kering yang dicatat untukku hari ini. Aku duduk sambil membelek majalah yang baru dibeli bersama sebotol air mineral dan sepapan coklat Cadbury. Itulah selalunya bekalan yang aku bawa untuk dimakan di dalam bas kerana perjalanan yang panjang untuk sampai ke kampung. Makan berat-berat seperti nasi atau burger tidak sesuai pula rasanya dengan keadaan perutku. Takut jika terasa ingin membuang air besar lambat pula bas sampai ke perhentian R&R.

            Aku mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangan. Sudah tiga kali panggilan mak tidakku jawab. Nantilah aku mesej mak bila dah selamat naik bas, desis hatiku. Kemudian aku membaca kembali mesej yang masuk kedalam telefon bimbitku pada jam tujuh setengah pagi tadi.


Jangan harap aku nak tumpangkan kau balik. Pandai-pandailah kau balik sendiri. Bukan budak kecik pun. Tapi ingat, jangan bagi tahu parents kita! Kalau tidak, siaplah kau!


            Aku terkebil-kebil semasa membaca mesej tersebut buat pertama kali. Walaupun nombor itu tidak aku kenali tetapi aku yakin itu pasti dari Hadif. Sudahlah aku tidak tidur selepas solat subuh semata-mata melayan perasaan gusar untuk bertentang mata dengan dia, ini pula balasan yang dia hadiahkan buat aku. Lantas jari aku ligat menaip sesuatu.


Parents kita? Wekk nak muntah aku. Aku belum jadi isteri kau okey! Aku pun tak kempunan nak tumpang kereta kau. Tapi maaf aku tak nak bersubahat jadi penipu macam kau.

           
            Selang beberapa minit kemudian sampai satu mesej lagi ke dalam telefon bimbitku. Cepat-cepat aku buka kerana aku memang tidak sabar untuk membaca balasan daripada En.Tunang yang ‘poyo’ itu.


Kau bagi tahu aku tumpangkan kau sampai Batu Pahat. Kemudian aku balik hotel tempat family aku menginap. Kalau maklumat yang keluar dari mulut kau lain dari apa yang aku tulis ni, aku pastikan kau menyesal bila dah jadi isteri aku nanti!


            Aku menahan nafas. Ada air jernih yang mengalir di pipi segera aku seka dengan jari. Hati aku memang terguris dan kecewa dengan mesej yang datangnya dari lelaki bernama Hadif. Namun aku bukan jenis yang mudah dipermainkan. Aku tidak mahu membazir air mata polos aku ini untuk lelaki yang tidak tahu menghargai.

            “Muar, Batu Pahat, Johor Bahru!!” Teriakan yang bergema itu mencecah telingaku.

            Lantas aku bangun dan menarik bagasi menuju ke arah bas KKKL dua tingkat itu. Aku turut beratur untuk memasukkan bagasi ke dalam ruang bawah. Sekelilingku sesak dengan manusia yang semuanya sudah tentu pelajar UUM yang turut pulang bercuti. Kemudian aku memberikan tiket kepada pemandu bas yang sedia menunggu di hadapan pintu bas.

            Aku merenung ke luar tingkap. Kelihatan langit malam hitam dan gelap tanpa ada sebutir bintang. Begitulah yang aku rasai di dalam hati saat ini. Bukan! Sebenarnya sejak aku membaca mesej puaka itu awal pagi tadi. Perbualan malam semalam dengan mak membuatkan aku membuka hati untuk redha atas semua ini. Namun mampukah aku redha jika lelaki yang bernama Hadif a.k.a En.Tunang melayan aku seteruk itu? Itukah yang dinamakan pilihan terbaik mak dan ayah?

            Sungguh aku runsing dan buntu. Aku tekad akan memberitahu mak tentang hal ini apabila sampai di rumah kelak. Mak berhak tahu siapa Hadif sebenarnya dan bagaimana dia melayan aku. Aku mengikut kata mak kerana jauh di dasar hati aku sedar permintaan mak ada benarnya. Bersama dengan Adli untuk berapa puluh tahun lagi belum tentu ke jinjang pelamin. Tanggungjawab dia terhadap keluarganya sangat besar.

 Menerima pilihan mak bermakna aku tak perlu bersusah-payah mencari cinta yang belum pasti. Aku pernah berdoa agar pilihan mak tepat dan aku mempunyai seorang lelaki yang bakal melindungi dan menjagaku dengan baik. Rupa paras bukanlah perkara besar buat aku walaupun Wawa dan Akma seringkali tidak percaya akan hal ini. Aku pasti akan suka pada lelaki yang baik. Lelaki yang pandai menjaga hati. Kalau kacak sangat pun susah nak jaga lah! Tapi Hadif ternyata tidak layak untuk menikahi aku. Awal-awal lagi perangai nak tunjuk samseng.


Mak, akak dalam perjalanan dengan Hadif. Maaf tak sempat bagi tahu yang Hadif ada hal siang tadi. Jadi kami bertolak malam. Esok subuh akak sampai. Love you mak.


No problem. Hadif ada call bagi tahu mak petang tadi yang malam ni baru bertolak dengan kamu. Pesan pada Hadif pandu hati-hati. Kalau mengantuk gilir aje memandu dengan kamu. Take care, love both of you.  


            Kesian mak. Dia betul ke sayang si Hadif tu? Naik berbulu pula tekak aku ni apabila mendapat tahu Hadif menelefon mak untuk memaklumkan perkara yang pastinya dusta semata. Pandainya kau berlakon Hadif sampai mak aku pun boleh jatuh sayang pada kau. Sepandai-pandai tupai melompat, pasti jatuh ke tanah jua. Aku akan bongkarkan siapa kau sebenarnya pada mak. Bibirku ketap geram. Tangan aku kepal-kepalkan menjadi penumbuk.

            Akhirnya entah jam berapa aku tertidur. Single seat memang selesa untuk perjalanan jauh. Lebih-lebih lagi naik bas VIP macam ni. Perjalanan malam tidak terasa sangat berbanding waktu siang. Maklumlah dari Changlon ke Batu Pahat mengambil masa selama hampir sepuluh jam.

           “Batu Pahat! Batu Pahat! Siapa turun Batu Pahat dah sampai!” Jerit pemandu bas dengan lantangnya.

            Aku menggeliat membetulkan urat-urat yang terbelit akibat duduk terlalu lama. Kemudian aku membuka mata dan berjalan untuk turun. Sementara menunggu pemandu bas membuka ruangan menyimpan bagasi di bahagian bawah bas, aku menggeliat lagi. Lenguh seluruh badan. Sejuk pula tu di dalam bas. Tentu bibirku pucat walaupun mengenakan sweater Nike kesayanganku.

            Setelah mengambil bagasi aku menuju ke kaunter teksi tidak jauh dari perhentian bas. Jam tangan aku kerling sekilas. Enam empat puluh minit pagi. Kemudian aku menyewa sebuah teksi memandangkan aku hanya seorang sahaja dan tidak mahu menunggu penumpang lain. Aku mahu segera sampai ke rumah sebelum hari menjadi cerah. Lagipun aku tidak mahu terlepas solat subuh.

            Tidak sampai sepuluh minit teksi telah pun menurunkan aku di hujung jalan menuju ke rumah. Sengaja aku turun jauh sedikit agar tiada orang yang perasan aku pulang dengan menaiki teksi. Sememangnya rumah aku terletak di tengah bandar. Berhampiran dengan perhentian bas dan pusat membeli belah. Mahu berjalan kaki pun tidak mengapa namun larat ke aku berjalan sambil menarik bagasi besar ini?

            Perlahan-lahan aku membuka pintu pagar. Kemudian setelah tiba di muka pintu aku membuka kasut dan meletaknya di atas rak. Hati tiba-tiba rasa berdebar. Mampukah aku berhadapan dengan mak dan ayah sebentar lagi? Aku menarik nafas dalam-dalam dengan bacaan Bismillah aku membuka pintu. Aku masuk dan meninggalkan bagasi di depan pintu. Tak apa, Aini boleh tolong angkat nanti, kata hatiku.

            Kedengaran suara orang bersembang di dapur. Nampaknya penghuni rumah ini telah pun bangun dari tidur. Langkah kakiku atur ke dapur dan menjengukkan sedikit kepala.

            “Assalamualaikum.” Aku memberikan salam.

            Mak, ayah dan Aini sedang bersarapan rupanya.

            “Waalaikumsalam. Akak dah sampai? Amboi masuk senyap-senyap aje ye…” Mak menyambut aku dengan gembira. Aku bersalaman dengan mereka dan duduk di sebelah Aini.

            “Mana Hadif tak masuk sekali?” Soalan ayah nampaknya lebih rumit daripada membuat statistik sains sosial yang aku hanya mendapat B- untuk subjek itu. Sesungguhnya aku tidak gemar matematik atau subjek pengiraan.

            “Dia dah balik hotel.” Jawabku sambil cuba buat-buat sibuk menuang air ke dalam cawan tanpa memandang mata ayah yang sedang memerhati.

            Kelihatan ayah mengangguk-angguk beberapa kali. Nampaknya ayah percaya dengan jawapanku tadi. Maafkan akak ayah.

            “Macam mana orangnya? Handsome kan?” Aini pula mengangkat kening sambil tersengih.

           Aku tersenyum tawar. Tiada hati untuk menjawab. Sebenarnya akak tak tahu macam mana orangnya. Aci tak kalau aku jawab macam tu saat ini? Mak datang sambil menatang sepinggan kuih-muih. Dia meletakkan di atas meja makan dan duduk bersama kami. Mulutnya tidak lekang dengan senyuman.

            “Akak nak masuk bilik ye. Nak solat.” Aku terus berdiri untuk melangkah ke dalam bilik setelah meneguk sedikit teh panas di dalam cawan. Tidak sanggup aku melihat kegembiraan mak. Tergambar jelas di wajahnya. Ayah juga…walaupun tidaklah senyum memanjang macam mak tapi dari air mukanya aku nampak dia juga rasa gembira.

            Selesai menunaikan solat subuh yang berada dipenghujungnya aku berbaring di atas katil. Tanganku letakkan di atas dahi. Semasa memakai telekung untuk bersolat tadi aku terpandang di atas almari baju sudah tersedia barangan hantaran yang akan dibawa semasa majlis akad nikah nanti. Semuanya pasti pilihan mak.
            “Tok! Tok!” Terdengar bunyi ketukan di pintu.

            “Masuklah. Pintu tak berkunci.” Aku menjawab acuh tidak acuh. Aini lah tu agaknya.

            “Akak nanti siap-siap ye lepas zohor keluarga Hadif datang.” Mak menghampiriku dengan senyum simpulnya.

            “Hmm.” Jawabku sepatah. Penat badan naik bas tadi masih belum hilang lagi. Hari ini juga aku perlu berhadapan dengan perkara serumit ini.

            “Akak penat ye? Tak apalah, akak tidur dan rehat dulu. Nanti mak kejutkan. Best balik dengan Hadif? Dia baik kan? Peramah orangnya.” Mak masih ingin bertanya walaupun tadi suruh aku berehat.

            Tangan di dahi aku turunkan. Aku tatap mata mak yang bercahaya. Aku tarik nafas dalam-dalam. Otakku ligat mula meyusun ayat yang sesuai.

            “Mak, akak rasa…akak…” ayatku tergantung disitu. Air liur aku telan perlahan.

            “Akak tak berkenan dengan Hadif tu. Akak belum kenal dia sangat. Apa kata kami bertunang setahun baru kahwin?” Akhirnya dalam keraguan aku berjaya meluahkan rancangan di hati. Niatnya cuma satu. Aku akan buat pelbagai cara nanti untuk memutuskan pertunangan kami.

            Air muka mak berubah. Keruh. “Kan mama papa dia nak berangkat ke Jakarta. Kesian dia tinggal seorang kat Malaysia ni.”

            “Alah, mak. Dia bukan budak kecik pun mak nak risau. Akak jadi tunang dia pun akak boleh jaga dia kan?” Aku masih cuba memancing mak.

            Mak menggelengkan kepala. “Persiapan semua dah siap. Tunggu hari nikah aje. Hadif tu baik tau akak. Handsome macam Baim Wong pulak tu. Anak Datok…kalau akak tak hargai dia, berduyun perempuan kat luar sana tu sanggup tawarkan diri.”

Ah, sudah! Aku tahu mak memang peminat nombor satu sinetron Indonesia tapi tak payah lah mak nak menantu pun macam pelakon Indonesia tu. Sebenarnya mak, bukan akak yang tak hargai dia tapi dia yang langsung tak menghargai akak. Ayat itu bergema di dalam hati.

            “Mak, akak tak minat lelaki jambu macam tu. Akak suka yang maskulin okey. Jantan sejati macam Adli. Lagi satu akak bukan jenis mata duitan yang pilih calon suami anak orang kaya. Akak tak pandang semua tu…” Aku masih memujuk mak. Tolonglah kali ini mak lembut hati sedikit.

            “Mak tau…mak kenal sangat anak mak…Tapi dah rezeki kamu nak buat macam mana.” Mak tergelak kecil. Eh, mak ni! Buat lawak pula dia.

            “Dahlah, jangan fikir yang bukan-bukan. Ingat mak beritahu kamu yang gerak hati mak semakin yakin selepas buat solat istikharah dulu?” Soal mak lagi.

            Aku mengangguk lemah. Ish, aku pasti kalah dengan alasan mak yang satu ini. Aku juga sebenarnya yakin gerak hati seorang ibu tidak pernah silap. Kalau mak boleh seyakin itu, mengapa tidak aku. Namun sikap Hadif sahaja yang merunsingkan aku. Belum bertemu empat mata sudah bagi aku makan hati berulam jantung. Esok-esok dah jadi isteri dia nak bagi aku makan apa pula lah ye.

    

3 comments:

shafriza said...

Erm, saya suka gaya bahasa ni. Tak sabar nak baca entri seterusnya. Tak nak hantar manuskrip ke mana2 publisher ke?

Shizukaz Sue said...

Terima kasih kak Shafriza..kerana sudi meluangkn masa mengikuti novel ni..=) Bukan Isteri Pilihan sedang disiarkn di penulisan2u & novel melayu kreatif. Juga dlm penilaian pihak kaki novel..harap2 ada lah berita baik =) amin..

nur azian said...

saya pun suka sgt !!