Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Tuesday, August 12, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 42



               “Tukar baju lain.” Hadif masih bercekak pinggang di hadapanku sejak beberapa minit tadi. Dia masih tidak mahu beralah kali ini.

            “Abang, sudahlah tu cemburunya. Sayang rasa susah nak bernafas setiap kali abang buat perangai macam ni.” Aku yang masih sibuk memakai bedak kompak menjeling Hadif tajam. Penat mulut bercakap dengan Hadif apabila dia turut berkeras mahu aku mengikut segala kehendaknya. Sampai aku masih tidak siap bersolek dari tadi kerana melayankan ragam Hadif.

            “Abang lagilah sampai tak boleh nak bernafas tengok lelaki lain pandang sayang seksi macam ni. Tukar baju lain sekarang!” Hadif sudah mula hilang sabar dengan kedegilan aku.

            Aku mendengus perlahan. “Abang, hari tu abang pernah kata sayang boleh pakai apa saja tapi syaratnya tak boleh ketat sangat, tak boleh pendek sangat, tak boleh terbelah sana sini dan mendedahkan badan. Sayang rasa pakaian ni masih menepati syarat abang tu.” Hujahku pula. Aku membelek blaus berbunga putih lengan pendek dengan skirt merah jambu separas betis yang tersarung di badan. Rasanya tiada satu pun melanggar syarat berpakaian yang pernah digariskan oleh Hadif. Jadi apa lagi yang dia tidak berpuas hati? 

Hadif melurut rambutnya ke belakang. Dia kelihatan serba tidak kena apabila mendengarkan kenyataanku sebentar tadi. Lantas dia berlalu dan duduk di birai katil. 

“Abang…abang susah nak kawal perasaan cemburu abang ni. Ishh…tak tahulah kenapa abang jadi macam ni sejak dengan sayang.” Hadif meraup mukanya dan kelihatan riak resah yang terpeta dengan jelas.

            Aku mengeluh lemah. Kesian Hadif terpaksa menanggung bebanan perasaan yang kurang enak. Perlahan aku bangun dari meja solek dan mengambil tempat disisi Hadif. Aku melentokkan kepala di bahunya dan lengannya aku paut mesra. 

            Fine. Abang nak sayang pakai macam mana lagi? Hmmm? Sayang ikut cakap abang okey. Tak nak abang gelisah tak tentu pasal.” Aku mengulum senyum. Lengan Hadif aku usap perlahan untuk memberinya sedikit ketenangan. Hadif, Hadif. Cemburunya mengalahkan orang perempuan! 

            Tangan Hadif mengusap lembut kepalaku. “Abang tak nak sayang pakai skirt atau seluar pendek lagi. Pakai seluar panjang atau skirt labuh yang tak boleh nampak kaki. Baju sayang rasanya setakat ni abang tak ada nak kompelin lebih-lebih. Cuma lengan tu jangan pendek sangat eh.” Suara Hadif lembut dan beralun seperti biasa. Kemarahannya telah beransur hilang apabila aku mengambil keputusan untuk beralah.

            Aku mendongakkan kepala untuk menatap sepasang mata milik Hadif. Mata itu redup dan lunak memanah anak mataku dalam-dalam. “Sayang tak banyak seluar panjang atau skirt labuh. Dua tiga helai ada kut sebab jarang pakai macam tu. Tapi itu pun sayang tak ada bawa ke sini. Macam mana?” Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Pening aku memikirkan masalah isu pakaian yang berbangkit malam ini. 

            “Tak apalah malam ni abang lepaskan. Nanti kita shopping banyak baju baru yang lebih sopan untuk sayang pakai ye.” Bibir Hadif mula menerbitkan senyum. Aku menarik nafas lega dan turut sama membalas senyumannya. 

            Aku menganggukkan kepala dan bingkas bangun untuk menukar skirt pendek ini dengan seluar jeans panjang. Tidak mahu berlama-lama kerana perut pun sudah berbunyi keroncong.

            “Sayang nak kemana?” Soal Hadif yang lebih tangkas menyambar pergelangan tanganku sebelum aku bangun.

            “Nak tukar pakai seluar jeans.” Aku kembali terduduk di sebelah Hadif setelah separuh mengangkat punggung. Tadi beria-ia suruh aku salin baju tapi sekarang tanya pula aku nak kemana. Melayan kerenah anak tunggal ini memang memerlukan kesabaran yang tinggi!

            “Maafkan abang ye sayang. Hati abang degil sangat nak jugak kuat cemburu walaupun abang dah pujuk berkali-kali. Bukan nak mendengar kata hati abang ni.” Keluh Hadif seakan mengadu perihal hatinya yang kuat cemburu itu.

            “Macam tuan punya badan jugak. Degil!” Aku tergelak kecil. 

            “Oh, mengutuk abang ye. Jaga sayang!” Hadif terjerit kecil dan laju sahaja jarinya menggeletek pinggangku. 

            Aku menjerit kegelian dan cuba melepaskan diri daripada Hadif. Setelah dilepaskan aku segera mencapai seluar jeans di dalam beg pakaian dan berlari anak ke bilik air untuk menukar seluar. Nasib badanlah Aida Nasuha, oi. Terpaksa aku turutkan juga kehendak suami yang kuat cemburu. Biarlah dia cemburu sebab itu tandanya dia sayang dan nak pelihara isteri dia, pujuk hatiku lagi. Sepatutnya aku bersyukur dikurniakan seorang suami yang sangat mengambil berat.



Setelah kekenyangan menikmati makan malam yang lazat di Restoran Indah Bayu ini, aku dan Hadif hanya menghabiskan waktu dengan berbual-bual. Pelbagai kisah lucu semasa zaman persekolahan diceritakan oleh Hadif dan aku hanya menjadi pendengar yang setia. Sesekali aku juga terpaksa bercerita serba sedikit apabila diminta berbuat demikian. 

Banyak sangat perkara yang perlu aku tapis untuk bercerita membuatkan aku lebih suka menjadi pendengar. Hadif lebih gemar bertanyakan tentang zaman aku di sekolah menengah berbanding zaman kanak-kanak di sekolah rendah. Memang banyak sangat yang menarik untuk dikongsi bersama Hadif mengenai perjalanan hidupku sebelum dijodohkan dengannya tetapi sebahagian besar zaman itu lebih berkisar tentang Adli. 

Adli yang sering menghantar dan menjemput aku dari sekolah dengan menaiki skuter, Adli yang sering melepak denganku untuk membuat kerja sekolah di perpustakaan awam selepas tamat waktu sekolah, Adli yang pergi balik tuisyen bersamaku, Adli yang hari-hari datang berbual denganku dihadapan rumah dan Adli itu, Adli ini. Jadi bahagian mana lagi yang tinggal untuk aku kongsikan? Lebih baik aku tidak banyak berbicara daripada aku terlepas kata mengguriskan hati suami mahu pun melakukan penipuan terhadap kisah-kisah tersebut.

“Sayang menang pertandingan Bintang Muda masa form 4 dan form 5 dulu?” Tanya Hadif seakan tidak percaya apabila cerita itu terkeluar dari mulutku. Sekolah menengah tempat aku menimba ilmu memang menggamit memori indah.

Aku tersenyum segan. “Alah, pertandingan kecil yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Nasib aje kut menang tu.” Aku malu-malu apabila Hadif masih menutup mulut tidak percaya aku mempunyai bakat dalam nyanyian. 

“Wow, serius abang tak sangka sayang boleh menyanyi. Tak pernah dengar pun sayang menyanyi walau kat dalam bilik air.” Kata-kata Hadif aku sambut dengan gelakan kecil. Mestilah aku tak menyanyi kerana Hadif tinggal sebumbung denganku. Kalau aku kat kolej, selalu aje nyanyian aku menghiburkan telinga Ema. Dengan Hadif seganlah aku.

“Alah, biasa-biasa ajelah bang. Tak handal macam Siti Nurhaliza pun.” Balasku sambil melirik manja memandang Hadif yang segak memakai t-shirt berkolar warna putih dan seluar kotak-kotak separas peha. Amboi, kalau dia yang seksi tak apa pulak!

“Nyanyi satu lagu untuk abang boleh? Teringin nak dengar…please sayang…” Pinta Hadif manja separuh merayu. Mukanya dimimikkan separuh mengharap sambil tangannya menunjukkan angka satu.

Aku mengerutkan dahi. Dah lama juga aku tak menyanyi. Harap-harap hujan tak turun malam ini selepas mendengar suara aku. Kalau tidak jatuhlah saham aku dimata Hadif. “Boleh tapi syaratnya sayang nak menyanyi kat atas pentas dengan live band.” Amboi demand pula aku ni. Kalau tak sedap buat naya aje.

“Betul ni? Lagi abang suka! Kejap eh.” Seperti biasa Hadif tidak menunggu jawapan yang keluar dari bibirku. Dia terus bangun dan menuju kearah pentas utama. Mataku memerhatikan dari jauh Hadif sedang berbisik sesuatu kepada DJ yang bertugas. Live band yang dari tadi menghiburkan pengunjung restoran ini juga sudah berhenti memainkan lagu-lagu mereka.

“Selamat malam semua. Atas permintaan En.Hadif kita ini, dijemput isterinya Puan Aida Nasuha untuk mendendangkan satu lagu khas buat suaminya yang tercinta. Persilakan Puan Aida untuk naik ke pentas dan kita berikan tepukan gemuruh untuk pasangan pengantin baru ini. Semoga bahagia kekal selamanya.” Suara DJ yang bertugas disambut dengan sorak riang para pengunjung termasuklah mat saleh yang terdapat disini. Entah faham entah tidak mereka itu.

Aku berdiri dan melangkah ke pentas utama. Terasa berderau darah kerana aku sudah lama tidak menyanyi di atas pentas. Kali terakhir adalah sewaktu semester ketiga aku beraksi di pentas Kompleks Sukan Universiti untuk menghiburkan tetamu dengan lagu-lagu patriotik sempena sambutan kemerdekaan. Tahun lepas punya cerita. Setelah memberitahu kepada ketua pemuzik lagu yang ingin aku sampaikan, aku berdiri memandang pengunjung yang agak ramai disini. Namun mataku lebih tertumpu pada seraut wajah milik suamiku yang tersayang.

“Selamat malam. Maaf suara saya tidaklah sesedap artis kat Malaysia ni tetapi nyanyian ini adalah ikhlas dari hati sebagai ucapan terima kasih kepada suami yang sangat menyayangi saya. Terimalah…” Kataku sebelum memulakan nyanyian.

Kedengaran petikan gitar dari pemuzik iringan yang berada di belakangku. Aku melabuhkan duduk di kerusi tinggi yang disediakan di tengah pentas. Bersedia memulakan persembahan.


Dimatamu ku berharga,
Kau perlakukan aku lebih dari mencintai dirimu…
Didekatmu ku merasa bahagianya aku dapat ruang cintamu…
Hanya kamu saja yang mampu begitu tulus mengerti aku…
            

            Tepukan bergema lagi sewaktu aku mula menyanyi. Aku menundukkan kepala sedikit tanda hormat dan memberikan senyuman yang paling manis. Mata Hadif juga turut kelihatan bersinar memandang aku dengan perasaan yang penuh berbaur cinta.
            

            Kau sempurna bagiku,
            Tak kurang sesuatu, kau terima apa adaku…
            Ku sempurna bagimu,
            Tak kurang sesuatu, cinta bersatu…
            

            Semasa mengalunkan lirik indah ini mataku tidak lepas memandang Hadif yang terpegun di meja kami sejak tadi.
            

            Kau sempurna bagiku,
            Tak kurang sesuatu, kau terima apa adaku…
            Ku sempurna bagimu,
            Tak kurang sesuatu, cinta bersatu…
            Gayamu, sifatmu, cara mencintaiku yang membuat diriku jatuh…
            Jatuh…cinta…padamu…
            Kau sempurna bagiku,
            Tak kurang sesuatu, kau terima apa adaku…
            Ku sempurna bagimu,
            Tak kurang sesuatu, cinta bersatu…


            Selesai menyampaikan lagu Cinta Bersatu yang memuatkan lirik indah ini, tepukan gemuruh menggamatkan suasana di Restoran Indah Bayu. Aku sekali lagi menunduk tanda hormat kepada para pengunjung yang memberikan sokongan. Kemudian aku berlalu turun menuju ke meja kami semula.

            Thanks a lot sayang. Terharu abang dengar nyanyian sayang. You’re so talented.” Puji Hadif sambil menarikkan kerusi untuk aku duduk.

            “Ikhlas dan istimewa untuk abang.” Ucapku sambil menggenggam tangan Hadif erat. Senyuman lebar masih menghiasi bibir sejak turun dari pentas tadi. Kebiasaannya menyanyi pasti membuatkan mood aku bertambah baik.

            Thanks again. I love you so much sayang.” Hadif tunduk mengucup tanganku berkali-kali. 

            Pandangan mata yang memandang aksi kami tidak aku hiraukan. Apatah lagi DJ bertugas telah pun mengumumkan bahawa kami adalah pasangan pengantin baru. Biarlah jika ada yang mencuri pandang kebahagiaan aku dan Hadif saat ini. Hati aku sendiri tidak mampu menolak rasa indah yang membuai perasaan menjadi setinggi bintang. Sesungguhnya aku mahu menikmati perasaan ini sebaik mungkin.

            I love you too abang.” Mataku berkaca sewaktu mengucapkan ayat keramat ini buat kesekian kalinya. Mata kami saling bertatapan penuh rasa cinta. Terasa hanya ada kami berdua sahaja pasangan berkasih di dunia ini. 

Masa seakan terhenti dan kenyataan nampaknya lebih indah daripada mimpi.


No comments: