Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Friday, November 23, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 17


        Syaza sejak tadi mencuri-curi pandang kearahku. Bukannya aku tidak perasan. Tetapi aku hanya mendiamkan diri dan fokus terhadap skrin komputer riba. Dari pagi aku masuk ke butik, aku tidak membuat sebarang kerja melainkan duduk menghadap komputer. Aku yang gila kerja ini tidak membuat kerja? Memang pelik. Barang-barang hantaran yang dihantar oleh pelanggan untuk digubah masih banyak. Kerja-kerja lain juga masih tertangguh. Tetapi aku tiada hati untuk melakukannya hari ini.

            “Cik Dean…” Perlahan Syaza merapati meja kaunter.

            “Hmmm…” Jawabku tanpa mengangkat kepala melihat si pemanggil.

            “Cik Dean, apa lagi Encik Hazriq dah buat pada Cik Dean?” Soal Syaza sambil memerhatikan wajahku.

            “Ha?” Aku mengangkat kepala.

            Syaza menggaru kepalanya. “Cik Dean tak pernah pun macam ni. Dari pagi tadi tak bersemangat aje. Satu kerja pun Cik Dean tak sentuh lagi.”

            “Tak ada kena-mengena dengan Hazriq.” Jawabku ringkas.

            “Cik Dean janganlah macam ni. Saya akan bantu walau apa pun masalahnya.” Suara Syaza begitu prihatin terhadap aku.

            Aku tersenyum tawar. “Jangan risau Syaza. Dia tak pukul saya. Cuma dia mendera perasaan saya.”

            Keluhan kecil terlepas dari bibir Syaza. “Siapa Asmara tu sebenarnya dalam hidup Cik Dean?”

            Aku mengerutkan dahi mendengar soalan Syaza yang tidak diduga itu. Lain yang kami bincangkan, nama orang lain pula yang timbul. Tetapi wajah Syaza benar-benar ingin tahu membuatkan aku menghela nafas panjang.

            “Kawan lama.” Jawabku pendek.

            “Kawan atau kekasih lama?” Tembak Syaza.

        Aku segera bangun dan beredar ke meja panjang. Kotak-kotak hantaran aku buka dan aku memanaskan gam elektrik. Bersedia untuk melakukan kerja sebentar lagi. Syaza pula berdiri disisiku memerhati dengan penuh minat.

            “Dia kekasih lama Cik Dean kan?” Syaza masih meminta jawapan.

            “Perkara dah lama lepas, Syaza. Saya tak kuasa nak ingat lagi.” Tanganku lincah memintal reben untuk dilekatkan di atas kotak.

            “Tapi dia sanggup datang sini cari Cik Dean. Tentulah dia masih berharap.”

        Tanganku terhenti dari melakukan kerja. Aku memandang tepat wajah Syaza disisiku. “Syaza, janganlah cakap pasal dia lagi. Saya tak berminat.”

            “Cik Dean pun masih sukakan dia. Saya tahu.” Syaza berlalu menuju ke bahagian dapur.

            Aku pula yang jadi tidak puas hati. Aku mengekori Syaza dari belakang. Macam mana ayat begitu boleh dikatakan oleh Syaza?

            “Syaza apa awak cakap ni? Saya tak nak awak cakap macam tu lagi. Saya tak suka.” Aku bersandar di dinding dengan tangan memeluk tubuh.

            Syaza tergelak kecil sambil membancuh air. “Sekilas ikan di air Cik Dean, saya tahu mana jantan mana betina.”

            Aduh, main madah-madah segala pula Si Syaza ni! “Saya tak faham.”

            “Tengok cara Cik Dean pandang dia pun saya dah tahu, hati Cik Dean masih cintakan Asmara.” Syaza masih membelakangkan aku. Tangannya mengacau air dengan sudu.

            “Eeeii memang taklah Syaza oi!” Aku menggelengkan kepala beberapa kali.

            Syaza menoleh. “Mungkin dia penyelamat yang Cik Dean cari.”

        “Penyelamat?! Dia nak selamatkan saya dari Hazriq? Dia pun bukan boleh dipercayai.” Aku mendengus perlahan. Kalau memikirkan impian untuk bersamanya yang musnah dulu memang rasa sakit akan menjalar di segenap pelusuk hati.

            Syaza menjungkitkan bahu. “Hanya Cik Dean ada jawapannya. Saya sekadar boleh merasakan. Pada saya, dia muncul tepat pada waktunya. Tanya kat sini Cik Dean. Tanya dalam-dalam.”

            Jari runcing Syaza menunjal sedikit ke dadanya. Bermakna tempat yang dimaksudkan adalah di dalam hati. Syaza menyuruh aku bertanya pada sang hati? Ah, hati juga sentiasa melakukan perkara yang tak masuk akal. Bolehkah aku mengikut kata hati? Aduh, aku bingung!

         “Assalamualaikum!” Laungan dari bahagian hadapan membuatkan aku dan Syaza saling berpandangan.

            “Biar saya pergi tengok.” Syaza terus berlalu dan meninggalkan cawannya di atas kabinet.

            Aku masih bersandar kaku pada dinding. Memang serabut memikirkan semua masalah yang tidak segan silu datang menjengah. Hal berkaitan pernikahan juga masih belum aku tanyakan pada Hazriq.        Masih mencari masa yang sesuai untuk memujuknya agar menangguhkan pernikahan kami. Lagi dua bulan? Ah, memang gila jantan tu!

            “Cik Dean, ada tetamu istimewa.” Syaza menyentuh lembut bahuku membuatkan aku berhenti mengelamun.

            “Siapa?” Soalku dengan malas.

            “Datok Husin.” Syaza tersengih. Pasti dia tahu aku agak malas melayani lelaki cerewet yang kemaruk ingin beristeri dua itu.

            “Demi tugas Cik Dean. Dia nak berurusan dengan Cik Dean sendiri.” Syaza cuba menyedapkan hati aku.

            Aku mengangguk lemah dan mengatur langkah menuju ke depan. Kelihatan Datok Husin datang bersama bakal isteri mudanya yang memang muda belia. Lebih kurang sebaya aku, mungkin. Entah apa yang gadis muda dan seksi ini pandang pada Datok Husin. Lelaki yang separuh abad dan kepalanya botak di bahagian tengah itu. Duit? Harta? Cinta? Tanggungjawab? Setia? Nilaikan sahaja sendiri.

            “Apa khabar Datok?” Aku menghulurkan salam.

            “Baik. Saya datang nak tengok rekaan pelamin dan hantaran.” Datok Husin menyambut salam dan duduk di meja bulat yang disediakan.

            Kemudian aku turut bersalam dengan gadis disisi Datok Husin yang memakai baju mendedahkan bahunya. Gadis itu kelihatan amat manja dengan bakal suaminya. Pandangan yang menggoda, senyuman yang melirik dan sentuhan-sentuhan di tubuh lelaki tua itu pasti membuatkan hati lelakinya cair. Muak aku tengok!

            “Owh, saya dah siapkan Datok. Sekejap saya ambilkan.” Aku berlalu dan menuju ke rak di bahagian sudut.

            “Ini rekaannya Datok hasil perbincangan kita tempoh hari. Mengikut citarasa Datok sendiri.” Aku menghulurkan lakaran yang telah aku siapkan.

            “Cantikkan baby? I love it.” Datok Husin menoleh gadis disisinya.

            “Cantik. I suka.” Gadis itu mengangguk dan tersenyum manis.

            “Okey, saya puas hati dengan rekaan pelamin ni. Hantaran pula saya nak fresh flower. Reka bentuk gubahan boleh tak awak tukar sikit?” Datok Husin menyelak helaian yang seterusnya.

            “Macam mana yang Datok nak?” Soalku sambil memegang pen di tangan.

            “Hmmm…saya nak macam ni, tapi nak letak dalam bekas yang berbentuk sangkar burung.” Datok Husin menunjukkan helaian yang dimaksudkannya.

            “Tapi Datok, patern sangkar burung tu dah agak lama. Saya nak bagi sentuhan yang lebih moden untuk hantaran Datok.” Aku mengerutkan dahi. Cerewet bukan main tapi nak patern lama.

            “Tak apa. Saya tak kisah. Ini simbolik untuk saya yang dapat ‘kurung’ Syikin dalam sangkar.” Datok Husin tergelak kecil.

            Syikin bakal isterinya tersenyum simpul dan menepuk peha Datok Husin mesra. “Malulah I. I bukan burung tau.”

            “But you’re my baby. I kena sangkar you supaya hidung belang kat luar sana tak curi you dari I .”

            Aduh, aku yang menyaksikan adegan asmaradana ini hampir termuntah! Namun demi tugas dan punca rezeki, aku tetap bersikap profesional. Senyuman manis aku lemparkan buat kedua-dua manusia yang sedang bercinta sakan ini.

            “Okey Datok. Saya akan buat mengikut apa yang Datok nak. No problem.” Ujarku dengan harapan aksi romantik geli-geleman ini dapat ditamatkan.

            “Good! Ni yang saya senang berurusan dengan awak.” Datok Husin mengangguk dan tersenyum memandangku.

            “Nanti baju pengantin Datok dah siap saya inform.” Aku mencatat sesuatu di atas kertas.

            “Tak sabar saya nak pakai baju tu.” Datok Husin tersengih-sengih. Aduhai, memang dasar betul Datok ni. Macamlah pertama kali naik pelamin.

            Aku tersenyum menyembunyikan rasa di dalam hati. “Saya pun tak sabar nak tengok hasilnya pada badan Datok dan Syikin. Dah siap nanti Datok datang untuk cuba baju tu ye. Kalau ada apa-apa kita boleh baiki sebelum majlis.”

            Datok dan Syikin mengangguk-angguk. “Okey, kami minta diri dulu. Apa-apa awak boleh call Syikin atau terus pada saya.”

            “Baik. Terima kasih Datok, Syikin. Have a good day!”

            Datok Husin dan Syikin bangun dan bersalaman denganku sebelum keluar dari  butik. Fuh, aku menarik nafas lega. Syukurlah Datok Husin berkenan dengan hasil rekaan pelamin yang aku buat. Tempoh hari berbincang bagai nak rak, kecut juga perut aku apabila Datok Husin minta macam-macam.

            Sampaikan kerusi pengantin untuk bersanding juga dia mahu yang baru. Tidak mahu yang telah digunakan sebelum ini oleh pengantin lain. Tema yang dikehendaki pula ialah ala-ala fairy tales kerana Syikin mahu kelihatan seperti Cinderella dengan gaun kembangnya. Tetapi Datok Husin aku rasa tak layak jadi putera Cinderella. Jadi Shrek okey kut, otak jahat aku mengekek ketawa.


                                                *******************************


Petang ini Hazriq lewat menjemputku. Sudah hampir setengah jam aku menunggu di luar butik tetapi bayang keretanya masih belum muncul. Menyesal aku kunci pintu awal-awal kerana kebiasaannya Hazriq sampai tepat pada waktu. Kemana saja mangkuk ni pergi? Selalunya bukan main risau tentang aku, warning itu ini tapi hari ini dia pula yang buat hal. Jumpa perempuan lain? Aku tak kisah langsung. Aku lebih suka. Pastinya kalau hal itu terjadi aku akan berjoget-joget riang sampai lupa diri.

            Telefon bimbit yang berbunyi aku jawab pantas. “Hello, kenapa lambat?” Serangku tidak berlengah. Naik lenguh aku berdiri kat luar ni.

            “Sayang, abang baru balik melawat tapak rumah tadi. Sekarang tengah sesak nak menghala ke butik sayang. Kalau macam ni gayanya, lagi satu jam abang sampai.”

            Lagi satu jam? Dia ingat aku tiang elektrik nak berdiri kat sini menunggu hari yang semakin gelap? No way.

            “Lama lagilah. Saya balik naik teksi aje.” Aku merengus kasar. Mungkin akibat geram yang terpendam selama ini, aku menunggu ruang sahaja untuk Hazriq melakukan kesilapan. Bolehlah aku hentam dia cukup-cukup.

            “Sayang sabarlah sikit. Duduk dalam butik tu tunggu abang. Kunci pintu tau.” Hazriq bersuara tegas. Eleh, dalam telefon aku tak takut pun.

            “Malaslah nak tunggu sampai satu jam. Lama sangat tu. Lagipun saya dah janji nak masak malam ni untuk daddy dan mama.” Aku sengaja mencari helah. Masak? Setahun sekali pun payah aku nak ‘bermesra’ dengan kuali dan sudip.

            Hazriq mengeluh di hujung talian. “Abang tahu abang salah sebab tak beritahu dari tadi. Tapi sayang tunggulah sekejap.”

            Aku mencebikkan bibir. Tahu mengaku salah ye? Tapi apabila nak dihukum tak nak pula. Jenis apakah orang ini? Buat sakit hati berganda-ganda.

            “Maaflah, lewat sangat nanti saya sampai rumah. Saya naik teksi aje. Bye.” Aku ingin segera menamatkan perbualan.

            “Hmmm…kenapalah sayang ni degil? Okeylah, hati-hati. Dah sampai rumah nanti, call abang.”

            Aku tidak menjawab. Talian terus aku matikan. Bukannya Hazriq tidak tahu, aku tidak pernah menelefonnya walaupun dipesan berkali-kali sampai bernanah telinga mendengarnya. Tetapi aku tidaklah kejam sangat. Aku hanya menghantar pesanan ringkas untuknya. Sekadar menyedapkan hati lelaki itu agar dia tidak naik minyak.

            Hampir sepuluh minit menunggu tetapi masih tiada teksi yang berhenti. Rata-rata teksi yang lalu sudah mempunyai penumpang. Nama pun waktu orang pulang dari tempat kerja. Pastinya ramai yang menggunakan perkhidmatan teksi waktu-waktu begini. Aku mengeluh lagi apabila teksi ketiga lalu dihadapanku tetap tidak berhenti. Nak naik bas awam, aku tidak pandai. Sesat pula nanti tidak sampai ke rumah.

            “Pon! Pon!”

            “Eh, mak kau!” Aku melatah!

            Bodoh punya kereta. Terkejut aku dibuatnya. Hon keretanya bukanlah bunyi hon standard tetapi bunyi hon yang telah diubahsuai. Kuat macam hon lori, gamaknya. Aku tetap memandang ke hadapan tidak mahu menoleh. Entah siapa-siapa aje lelaki miang yang nak mengurat aku di tepi jalan ini. Maaflah, saya dah bertunang. Eh, tiba-tiba mengaku pulak!

            “Jomlah naik!” Laung si jejaka yang telah menurunkan cermin tingkapnya.

          “Tak payah. Terima kasih.” Jawabku masih tidak menoleh. Kalau aku diam tidak menjawab, bimbang jejaka ini akan berlama-lama disini.

            “Asmira, saya hantarkan. Jom!”

          Sepantas kilat aku menoleh apabila sepotong nama itu disebut oleh si jejaka. Siapa yang memanggilku begitu kalau tidak….

            Sah! Memang dia! “Kenapa awak ada kat sini?” Soalku dengan wajah berkerut seribu. Pelik dan tidak terduga.

            “Kenapa? Jalan ni ada tulis nama ayah awak ke sampai saya tak boleh lalu?” Jawapan paling sengal diberikan.

            Aku menaikkan biji mata ke atas. Namun si jejaka hanya tergelak melihat perlakuanku.

            “Cepatlah, hari dah lewat petang. Tak banyak teksi yang lalu kat sini. Bahaya awak seorang tunggu lama-lama.” Pelawanya lagi sambil membukakan pintu kereta dari dalam.

            Aku melihat jam guess di pergelangan tangan. Kalau Hazriq lalu kat sini tentu bertambah bahaya. Dia bukannya betul sangat. Boleh jadi juga kalau dia lalu sekadar untuk menyiasat aku. Possible. Aku mengangguk dan terus melangkah masuk ke dalam kereta Honda CRV milik Asmara.

            “Tak bawa kereta hari ni?” Soalan Asmara yang membuatkan wajahku berubah merah.

            “Tak berani memandu.” Jawabku yang membuang pandang ke luar tingkap.

            “Ada lesen?” Soalnya lagi. Penting ke?

            “Ada.”

            “Nanti saya ajarkan memandu nak tak? Kalau dah biasa, taklah takut lagi.” Asmara mengerling sekilas kearahku yang masih tidak mahu menatapnya. Bukan tak naklah. Aku takut. Takut? Takut aku rasa pelik-pelik sampai nak peluk dia! Takut aku bertindak separuh siuman.

            “Tak perlu. Pergi dan balik kerja tunang saya yang jemput.” Aku menjawab jujur. Selindung macam mana pun Asmara memang tahu aku tunang orang.

            “I see…mana dia hari ni?” Balas Asmara dengan senyuman sinis.

            “Dia ada hal.”

            “Kan dah susah, kena tunggu teksi seorang-seorang. Kalau boleh memandu, tak payah bergantung pada orang lain.” Sindir Asmara pedas.

            “Apa masalah awak ni? Kalau tak ikhlas nak tumpangkan saya, berhenti. Saya boleh turun kat sini.” Akhirnya aku menoleh dan menatap tajam seraut wajah yang pernah dirindu.

            “Marah?” Asmara masih tersenyum.

            “Marahlah. Saya tak boleh memandu pun, tak pernah susahkan awak.” Jawabku lagi. Baru pertama kali tumpangkan aku dah pandai menyindir segala bagai. Bukannya tumpangkan aku hari-hari.

            “Okey, okey. Saya minta maaf. Macam mana dengan tawaran saya tadi?”

            “Tawaran apa?” Aku kembali memandang ke luar.

            “Saya tolong ajarkan memandu. Bila-bila awak ada masa, awak boleh telefon saya.” Asmara tersenyum dan menumpukan perhatian pada pemanduan.

            Aku mendiamkan diri tidak mahu menjawab. Suasana kembali sunyi dan sesekali kedengaran suara Asmara berdehem. Mungkin ingin bicarakan sesuatu tetapi tidak terluah. Aku pula melayan perasaan hampir sepuluh minit kerana tidak sangka kami akan berdua-duaan begini setelah lima tahun tidak berjumpa.  Sentimental betul!

            “Simpang depan tu belok kiri kan?” Tanya Asmara.

            “Ye, belok kiri. Dah lupa?” Soalku pula sambil menjeling wajah Asmara. Inilah kelebihan Asmara kerana sekali pandang, pasti teringin nak pandang lagi.

            Asmara menggeleng. “Tak lupa, saya tanya untuk kepastian.”

            “Yelah sangat. Kalau orangnya pun awak boleh lupa, inikan pula jalan rumahnya.” Sindirku perlahan. Setelah tersedar segera aku menekup mulut. Cis, buat malu aje cakap macam tu. Nanti dia fikir aku masih menaruh harapan. Sepatutnya aku berlagak seperti biasa aje.

            Terlepas keluhan kecil dari dua ulas bibir comel Asmara. “Saya tak pernah lupakan awak, Asmira. Saya ada jelaskan semuanya dalam inbox Facebook awak. Saya jumpa awak melalui rakan-rakan lama kita. Tapi kalau awak belum baca, tak apa. Saya boleh jelaskan sekarang. Sebenarnya saya...”

            Aku segera memotong ayatnya. “Tak perlu. Saya tak perlukan apa-apa penjelasan. Lagipun saya tak pernah tunggu awak.”

            Ada sendu yang meresap ke lubuk hati tatkala aku berbohong. Lima tahun adalah satu penantian yang panjang. Bukan sedikit airmata yang mengalir. Kalau ditakung boleh jadi hantaran buat meminang Puteri Gunung Ledang. Bukan senang memujuk hati untuk merelakan ‘kehilangan’ Asmara satu ketika dulu. Perlahan-lahan hati aku seakan mati. Mati tanpa cinta, mati tanpa Asmaraku. Kini sikap Hazriq pula yang membunuh aku secara senyap.

            Asmara terdiam. Mulutnya seakan terkunci dan riak wajahnya berubah. Mungkin dia percaya apa yang aku katakan sebentar tadi.

            “Berhenti depan tu. Dah sampai.” Aku menuding jari kehadapan.

            Setelah kereta berhenti, aku segera membuka pintu. Tak pernah tunggu konon! Silap-silap aku yang melalak meraung-raung kat sini. Sebelum perkara segila itu terjadi, lebih baik aku cepat masuk rumah.

            “Terima kasih hantarkan saya.” Kataku sambil menghadiahkan sebuah senyuman tawar. Tiada guna beri senyuman semanis gula seperti dulu, kalau akhirnya aku tetap ditinggalkan jejaka pujaan hati.

            Asmara mengangguk. “Tawaran saya tiada tempoh tamat. Jaga diri.”
           
            Aku menutup pintu kereta dan terus membuka pintu pagar. Harap-harap tiada siapa yang melihat Asmara telah menghantarku pulang petang ini. Mama Anis dan daddy okey lagi. Kalau jiran-jiran macam mana? Tidak manis rasanya sudah bertunang tetapi dihantar oleh lelaki lain. 

             Mak bukan perempuan jalang, nyah!


2 comments:

kak ida said...

Amat sukar kalau hendak bicara mengenai hati..logik akal dan hati selalu berperang dan perasaan dalam diri yg penat..

Akak rasa itu yg dirasakan oleh Asmira saat ini..kehadiran 2 lelaki yg hadir dalam hidupnya..Asmara merupakan lelaki masa lalunya yg kini masih mengejari dirinya walaupun tahu dia sudah pun mengikat tali pertunangan..manakala Hazriq yg merupakan tunangannya kin seakan telah menjadi satu igauan yg menakutkan dirinya..
Teruja nak tahu adakah Hazriq akan tahu yg Asmira dihantar oleh Asmara balik ke rumah dan adakah sekali lagi dia akan dijadikan punching bag oleh mamat sengal tu yg akak rasa mempunyai sakit mental..yg perlu dirawati...dan sekiranya ia berlaku lagi adakah Asmira akan berlalu pergi kerana kehidupannya adalah milik nya semetelah lagi di masih belum terikat dengan ijab dan qabul lagi..

Anonymous said...

Salam puan penulis.. Hari2 i dok usha page u nie tau... lamanya nk update N3 baru... i x komen, u trus xde semangat nk tulis kew?? Ahahaha... prasan lebih plak... Anyway, xsabar nk tahu apa kesudahan pd manusia yg xserupaumur31 nie!! Klu i laa.. TIADA MAAF BAGI YG DAYUS, WALAU APA JUA ALASAN!! opss.. ter`emo' plak!! Keep on writing!!