Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Friday, October 5, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 28


Aku yang duduk tegak memandang ke hadapan sejak tadi terus mengambil telefon di dalam beg tangan apabila mendengar lagu Kembang Perawan nyanyian Gita Gutawa berkumandang dari dalam beg. Siapa pula telefon pagi-pagi ni? Hadif yang tekun memandu hanya mengerling aku sekilas.

            “Hai Wawa, ada apa?” Aku menjawab sebaik sahaja melihat nama Wawa terpapar pada skrin.

            “Oh, ada aku bawa. Tak lupalah! Hehehe.” Aku tergelak kecil apabila Wawa bersungguh-sungguh mengingatkan agar aku membawa novel yang ingin dipinjamnya. Peperiksaan dah hampir tapi dia masih ada masa membaca novel. Aku menggelengkan kepala.

            Kemudian talian dimatikan dan aku menyimpan semula telefon bimbit di dalam beg. Senyuman masih bermain di bibir. Nasib baik pointer Wawa masih bagus setakat ini. Kalau tidak, tentu aku buat macam-macam alasan tidak mahu meminjamkan novel pada dia lagi. Terasa bersalah juga kalau kerana novel-novel aku selama ini dia membuang masa tidak mengulangkaji pelajaran.

            “Mana cincin kahwin?” Tiba-tiba Hadif bertanya.

            Aku menoleh. “ Hah?” Aku megerutkan dahi. Kemudian aku melihat jari manis tangan kananku. Alamak! Aku menepuk dahi. Mesti tertinggal kat rumah masa aku membuat kerja rumah tadi.

            “Awak tak nak mengaku yang awak ni isteri orang ke?” Hadif menjeling tajam. Kata-katanya sinis menyindirku.

            “Bukanlah. Saya buka cincin tu masa buat kerja rumah tadi. Tak selesa buat kerja pakai cincin.” Aku menafikan tuduhan Hadif segera. Tidak mahu membuat dia salah faham akan tindakan aku. Eleh! Kalau dia tak mengaku boleh pulak. Siap cakap aku ni sepupu dia. Geramnya!

            “Kita patah balik ambil.” Hadif memberi isyarat untuk berhenti di tepi jalan. Dia mahu berpatah balik dan membuat pusingan U.

            “Saya dah lambat ni. Kali ini aje. Please….janji lepas ni tak akan berulang lagi.” Aku membuat muka kasihan untuk tatapan Hadif. Entah kenapa aku perlu merayu begitu sedangkan bukanlah isu besar kalau aku tidak memakai cincin perkahwinan kami. Memakai cincin pun tidak bermakna seseorang itu sudah berkahwin kan?

Lagipun memang betul masa yang ada tidak mencukupi untuk berpatah balik kerana aku akan terlewat masuk kuliah. Dan aku tidak mahu menjadi pelajar yang dihalau keluar oleh pensyarah apabila datang lewat. Malu nanti.

Hadif mendengus geram. Alah, hal kecil pun nak lebih-lebih. Aku masih membuat muka mengharapkan simpati. Kenapa pula Hadif perlu marah? Aku memikir sendirian. Namun aku sedikit lega setelah Hadif meneruskan pemanduan dan tidak berpatah balik.

            “Awak tak mengaku awak ni suami saya boleh pula? Saya terlupa pakai cincin kahwin pun awak nak bising.” Aku bersuara sambil mencebikkan bibir. Siapa boleh tahan kalau salah kita aje yang dia nampak. Salah diri sendiri dia tak kisah pun. Aku membetulkan sedikit rambut yang jatuh ke dahi dengan jari. Kemudian aku memandang Hadif yang tekun memandu.

            “Lelaki dah kahwin pun, boleh kahwin lagi. Perempuan mana boleh. Jadi jangan nak menggatal dengan jantan lain.” Hadif merengus kasar. Aik? Umur baru dua puluh dua tahun ada hati nak madukan aku ye. Eeee….sakitnya hati!

            Aku menaikkan biji mata ke atas. Sebal dengan sikap Hadif yang tidak boleh berbaik dengan aku walaupun satu hari. Apa yang keluar dari mulutnya macam berpuaka. Pasti membuatkan aku sakit hati. Selain dari sakit hati, aku juga rasa tercabar dengan kata-kata Hadif tadi. Eh, kau ingat kita zaman 60-an atau 80-an ke? Perempuan sekarang sama naik aje dengan lelaki. Jangan ingat senang-senang aje kau nak pijak kepala aku.

            “Mungkin Encik Muhammad Hadif Rizqie Bin Datok Musa terlupa agaknya, jadi biar saya ingatkan semula. Saya Aida Nasuha Binti Iskandar hanyalah menjadi isteri awak di atas kertas sahaja! Jadi kalau awak ada rasa nak kahwin lain pun saya tak kisah. Asalkan setelah awak dapat harta yang awak nak tu, awak lepaskan saya.” Dengan beraninya aku bersuara. Aku tidak peduli kalau perlu bertekak sekarang dengan lelaki yang menyakitkan hati ini. Aku tahu sebagai isteri aku perlu patuh dan taat pada suami. Tetapi dia memang dah melampau!

            Hadif menjeling tajam kepadaku. “Oh, baru tiga bulan kahwin dah pandai cakap pasal cerai?” Bentak Hadif sambil pedal minyak semakin ditekan kuat.

            “Awak sendiri tahu atas alasan apa awak menerima saya sebagai isteri kan? Jadi tak salah rasanya apa yang saya cakap tadi tu. Lagi satu, saya bukan jenis yang boleh diperbodohkan sesuka hati awak aje! Awak jangan pandai-pandai nak madukan saya. Awak boleh kahwin lain setelah semuanya selesai nanti.” Marahku pula. Aku memang tak mampu bersabar dengan mulut puaka Hadif ni. Akan aku tentang habis-habisan kalau masih nak ‘berperang’ dengan aku.

            “Bila saya kata saya nak madukan awak hah?” Hadif juga turut naik angin. Memang susah kalau masing-masing tidak mahu mengalah. Kereta dibelokkan memasuki kawasan kampus. Syukurlah dah nak sampai. Tak larat nak menghadap situasi sekarang lebih lama lagi. Boleh sakit jantung aku muda-muda macam ni.

            “Tadi awak kata lelaki dah kahwin pun boleh kahwin lagi. Saya tak boleh menggatal, tapi awak menggatal boleh sangatlah ye? Ingat, apa pun awak buat semasa masih menjadi suami saya akan melibatkan air muka dan maruah saya jugak. Jadi sebelum nak menggatal, sendiri mau ingatlah! Bukan awak aje boleh buat, saya pun boleh.” Kataku pula dengan nada suara yang sedikit tinggi. Isteri mana yang tak naik angin kalau suaminya kata lelaki yang dah kahwin masih boleh berkahwin lagi? Walaupun kami berkahwin bukan atas dasar cinta, tetapi perasaan aku perlu dijaga juga.

            Kereta diberhentikan di hadapan DKG 2 kerana aku memang ada kuliah di sini. Sebelum tangan aku membuka pintu kereta, sempat Hadif memaut lenganku. “Awak marah sangat ni kenapa? Awak cemburu ye?” Hadif merenung tepat ke dalam mataku.

            Aku mengeluh kecil. “Bukan cemburu tapi selagi awak masih suami saya, mana boleh awak buat sesuka hati aje. Memang kita kahwin bukan atas dasar cinta, tetapi awak tak boleh menzalimi saya. Selepas semuanya selesai, terpulanglah apa awak nak buat.” Aku meleraikan tangannya dari lenganku. Beg tangan aku sandang ke bahu dan fail aku dakap kemas ke dada.

            “Setelah semuanya selesai, awak memang nak berpisah dengan saya lah ye?” Soal Hadif sedikit lembut. Suaranya menggetarkan jiwa aku saat ini dan segera rasa marah lenyap perlahan. Apa yang perlu aku jawab?

            “Terpulanglah pada awak. Semua keputusan di tangan awak, Hadif.” Aku terus membuka pintu kereta dan keluar. Aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Aku berjalan pantas agar segera sampai ke dewan kuliah. Otak aku perlu pandai menyesuaikan diri. Semasa di rumah aku adalah isteri kepada Hadif dan disini aku adalah seorang mahasiswi yang perlu menuntut ilmu. Apa-apa masalah peribadi mahu pun emosi perlu ditolak ketepi.



“Seronoknya pergi ada orang hantar, balik ada orang ambil.” Tegur satu suara yang datang mendekati aku. Aku, Akma dan Wawa segera menoleh kemudian menghadiahkan senyuman kepada pemilik suara itu.

            “Dari mana ni? Tak ada kuliah lagi ke?” Akma bertanya ramah.

            Lelaki itu melabuhkan punggung di sebelahku. “Dah habis. Nak balik dah. Tengok kau orang ada kat sini, saja aku datang tegur.” Jawab Faiz pula sambil menjeling kepadaku.

            Apa yang tak kena dengan dia ni? Lain macam sahaja tengok aku hari ini. Selalu mesra aje dengan aku. Siap menggatal nak jual minyak adalah. Akma dan Wawa menganggukkan kepala setelah mendengar jawapan Faiz.

            “Kau ada apa-apa ke dengan anak datok tu?” Soalan Faiz sinis dengan pandangan dihalakan kepadaku.

Serentak aku dan dua orang temanku membuntangkan mata. Soalan jenis apa yang Faiz tanya ni? Tak ada angin tak ada rebut tiba-tiba datang menyerang.

            “Siapa?” Soalku sepatah berpura-pura tidak faham. Tetapi sebenarnya aku dapat menangkap anak datok mana yang Faiz maksudkan. Siapa lagi kalau bukan suamiku itu.

            “Bekas roommate  aku lah! Hadif.” Faiz menjawab macam nak marah sahaja lagaknya. Kunci motor yang dipegang diketuk-ketuk kat atas meja.

              “Bekas?” Akma bertanya sambil menatap wajah Faiz yang langsung tiada riak mesra seperti selalu.

            “Sekarang dia duduk menyewa kat luar. Senang nak bawa perempuan balik kut.” Faiz menjawab acuh tidak acuh tanpa mengalihkan pandangannya dari wajahku.

Berdesing telinga aku saat ini. Faiz ni dah melebih-lebih nampaknya. Sedap mulut menuduh suami aku macam tu. Cubit peha kiri, peha kanan tetap terasa sakitnya walaupun aku dengan Hadif bukanlah ngam sangat.

“Aku tanya kau ada apa-apa hubungan dengan dia ke? Aku nampak pergi dia hantar kau, balik pun berjemput.” Faiz mengulang soalannya tadi. Masih tidak berpuas hati tanpa mendengar jawapan dari mulutku.

“Erm…Aku…dengan dia…” Entah kenapa ayat aku tesekat-sekat. Perlukah aku berterus-terang aje saat ini?

Aku berhenti untuk menarik nafas agar memberi sedikit kekuatan. Aku tidak pasti kenapa aku harus takut menghebohkan berita pernikahan kami sedangkan itu yang dimahukan oleh Hadif. Mungkin kerana usia yang terlalu muda untuk berkahwin atau aku takut dituduh dengan pelbagai andaian masyarakat sekeliling. Ah, tapi aku juga tidak pasti dengan siapa aku patut bercakap benar. Tempoh hari Hadif memperkenalkan aku sebagai sepupu dia kepada rakannya. Tetapi hari ini dia marah pula apabila aku tidak memakai cincin kahwin dan menuduh aku tidak mahu mengaku sebagai isteri orang. Kusut!

“Bercinta? Kan aku dah beritahu kau yang dia dah ada kekasih. Lima tahun tau tak? Aku betul-betul tak sangka kau sanggup jadi perampas. Selama ini aku anggap kau lain dari gadis yang ada tetapi ternyata kau sama saja! Nak kejar anak orang kaya sampai tak kisah hak orang ke laki orang ke.” Faiz menghamburkan tuduhan dan hinaan terhadap aku.

Pedih dan tajam kata-kata yang dilafazkan Faiz seperti lebih tajam daripada pisau. Dada aku bergetar hebat dan tangan aku menggigil tanda menahan marah. Ada air jernih yang mula bertakung di pelupuk mata.

“Cukup Faiz. Cukup! Kau tak berhak campur urusan aku tanpa usul periksa.” Bentakku dan terus berdiri.

Aku rasa mahu menampar sahaja mulut Faiz yang lancang menghina aku. Beban yang ada sekarang pun aku tidak tertanggung jadi tidak perlu Faiz menambah masalah aku lagi.

“Apa kau merepek ni Faiz. Mereka suami isteri.” Wawa tiba-tiba bersuara cuba untuk menyelamatkan keadaan yang semakin tegang. Wawa dah terlepas kata! Aku memandang Wawa dengan pandangan yang kosong. Tidak tahu betul atau tidak tindakan Wawa bercakap benar kepada Faiz.

“Ah, jangan nak mengarutlah! Tak ada sebab untuk Hadif kahwin muda-muda macam ni. Melainkan kalau dia dah buntingkan Si Aida ni.” Faiz masih cuba menuduh.

Matanya penuh dengan rasa marah. Jarinya pula dihalakan ke perutku yang ramping dan kempis sahaja. Aku dikatakan mengandung? Tak masuk akal.

“Mengucap Faiz. Tak baik tuduh orang melulu. Aku dengan Wawa datang masa majlis nikah mereka dulu. Dah hampir tiga bulan mereka berkahwin.” Akma turut sama membela maruah aku agar tidak sewenangnya dihina oleh Faiz. Tanganku ditarik oleh Akma agar aku duduk semula tetapi aku tetap mengeraskan diri.

“Atas sebab apa mereka berkahwin sampai Hadif langsung tak beritahu aku yang duduk sebilik dengan dia hah?! Tentu ada sebab yang tidak baik kan? Kalau itu cara untuk mendapatkan kau Aida, dah lama aku yang buat dulu.” Faiz menggenggam topi keledar yang berada di tangannya dan terus berlalu. Langkahnya pincang dan kasar.

Aku terduduk semula di atas kerusi batu. Airmata bercucuran membasahi pipi. Sungguh aku sedih dengan tuduhan dan hinaan yang dihamburkan oleh Faiz. Sekeji itukah Faiz mampu berfikir tentang diri aku? Memang kami tidak begitu rapat tapi itu tidak bermakna Faiz boleh membuat andaian yang bukan-bukan. Masalah betul. Merahsiakan perkahwinan ini salah, berterus-terang pun salah.

            “Sudahlah tu Aida. Jangan layan Si Faiz tu. Dia cemburulah tu dari dulu cuba nak rapat dengan kau. Tiba-tiba nampak kau bersama dengan Hadif pulak.” Akma merangkul lembut bahu aku cuba untuk memujuk.

            “Betul tu Aida. Sabar ye. Lama-lama nanti tentu Faiz akan faham cerita sebenar. Kau tak payahlah beritahu Hadif hal ni. Kau sendiri kata dia jenis panas baran. Silap-silap dibelasahnya budak Faiz tu.” Wawa pula mengambil tempat disebelahku. Kemudian kami sama-sama berpelukan agar aku merasa lebih tenang.

            Airmata aku seka perlahan-lahan. Aku sedar sesiapa sahaja boleh tersalah anggap dengan perkahwinan kami yang dirahsiakan selama ini. Lebih-lebih lagi berkahwin pada usia yang terlalu muda dan masih menjadi seorang pelajar.

                    Aku hanya mampu berdoa agar ditabahkan hati menempuhi semua ini.... :'(

7 comments:

AsHu ManCis :) said...

kesian betul aida,mulut faiz tu rasa nak cilicili je..hadif pon satu,ish ..

Shizukaz Sue said...

Ashu Mancis: ehehe mulut orang tak leh nak tutup kan...=)

Unknown said...

huhuhu..kesian aida...
jahat betul mulut faiz tu...geramnya lah!!

dan si hadif pulak,
mcm biasa mesti dah ade bunga2 cinta tu kan...ala sweetnye...tak sabar nak baca next punye cerita...mesti lagi2 best dan menyentuh perasaan kan :)

Anonymous said...

sian nya kat aida.. hope dia tabah :)

kak ida said...

salam dik.. E3 yg sgt akak nanti nantikan.. plot citer ni semakin menarik..

Akak suka part Hadiff dah mula nak ambil tahu akan diri Aida..sehingga kan cincin pun menjadi isu bila Aida menyatakan bahawa dia terlupa memakainya hingga isterinya dimarahi..adakah Hadiff mau satu kampus tahu dan mewar warkan bahawa Aida adalah isterinya.

Akak mmg suka bila Aida mempertahankan maruah dirinya bila Hadiff menyatakan yg tidak tidak mengenai perilakunya yg dituduh sesuka hati jiwa mamat stone tu..ambik ko kan dah kena smash dengan minah ni.. Akak rasa tidak silap bila Aida menegur suaminya begitu kerana dalam perkawenan mesti ada tolak ansur dan saling percaya mempercayai..menjaga hati pasangan dengan ikatan perkawenan..berdosa seorg isteri mencintai lelaki lain dan begitu juga pada seorg suami..sbb kedua duanya melengkapi antara satu sama lainkan..

Bila lah agaknya siHadiff tu nak merendahkan egonya sedikit dan treat Aida sebagai seorg isteri ..sahabat..dan bakal ibu kepada anak anaknya.. bersikap matang dalam tindak tanduknya sebagai seorg suami yg didambakan oleh seorg gadis yg telah bergelar isteri pada seorg suami yg bernama Hadiff tu..ek..

Apa kata kita jetus jetus kepala siHadiff tu kasi dia straight sikit..kan..

Apa pulak kena dengan si Faiz tu kan.. tak da ribut ..tetiba tsunami..dan membawa fitnah pulak tu..tak matang langsung..oleh itu Aida kau abaikan lah mamat tiga suku yg sengal tu..

Teruja nak tahu.. apa tindakan Hadiff ya..bila Aida meluah dan melontarkan perasaan tidak puas hati dia mengenai tindak tanduknya.. adakah dia akan mengambil kesempatan ini untuk menakluk minah tu dan menjadikan Aida milik kekalnya dengan menuntut haknya sebagai suami pada malam tu.. dan adakah Aida akan melunaskan tanggung jawabnya yg satu tu pada Hadiff atas dasar tanggung jawab..

Unknown said...

Salam, bestnyer citer hari ni. Nampaknya Hadiff dah mula nak ambil berat tentang hubungannya dengan Aida, tapi yang tak bestnyer Faiz tu cemburu tak tentu pasal jer...maknanya selama ni dia memang saje nak burukkan Hadiff ke? Kalau tengok gaya Hadiff bukannyer playboy...takpe Aida banyakkan lah bersabar...

wan nur aida binti wan azahar said...

hehe, nama sy pon aida ,syok betul baca