Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, December 12, 2013

Bila Bulan Berwarna Biru Bab 5

                                                           


           Malam itu aku duduk di atas buaian gantung yang berada di balkoni. Hati terasa resah gelisah mengingatkan kejadian petang tadi. Kenapa Vickness masih memburu aku setelah apa yang terjadi? Tiada perempuan lain ke yang dia nak jadikan mangsa? Arghhhh!! Tak mungkin lelaki itu terlalu kejam hingga ingin mempermainkan aku yang sudah punya Althea. Hati manusia siapa yang dapat membacanya Adani? Hati semakin berbisik mengocak emosi.

            Pelik tapi benar, lelaki itu kini muncul kembali. Malah mendampingi aku hampir setiap hari. Apa yang dia nak sebenarnya? I nak kahwin you. Aku tersenyum sumbing mengingatkan ayat yang sering Vickness ucapkan. Kahwin? Seingat aku yang belum pernah lagi diserang amnesia, kami tidak pernah menyebut soal kahwin satu ketika dulu. Aku sendiri tidak yakin yang lelaki tidak ‘bersunat’ itu mahu memeluk Islam. Waktu itu aku sibuk dengan latihan praktikum dan soal jodoh bukanlah keutamaan yang patut aku runsingkan. Bohonglah kalau aku tidak pernah terbawa emosi. Semua yang terjadi sememangnya mengubah perasaan dan fikiran, tetapi tidak mengubah takdir.

            Bodoh sangat ke aku sewaktu kami berkenalan aku tidak pernah bertanya apakah bangsa dan agamanya? Tak! Aku tak bodoh. Aku hanya tertipu dengan rupa luarannya yang mirip melayu dan bahasa melayunya yang sangat fasih. Apabila aku mendapat tahu hal sebenar, kami sudah saling tertarik dan aku hanya berserah pada nasib. Vick? Aku rasa biasa-biasa saja dengan sepotong nama itu. Malah kawan aku yang melayu tulen juga menggunakan nama Shawn, Jay, Billy dan seangkatan dengannya. Namun perkenalan kami singkat dan hubungan itu tidaklah semekar mana. Namun harus aku akui Vickness berjaya meniupkan rasa indah itu sekali lagi. Oh, no!

            Hidup ini memang begitu. Keindahan dan kepahitan kadangkala menjadi satu rasa yang sukar dimengerti. Aku tersenyum memandang awan kelabu yang berarak perlahan. Satu nikmat yang tidak mungkin terpadam selagi aku masih bernyawa. Senyuman. Ramai yang kata senyuman aku manis menawan sejak dari zaman sekolah sampailah sekarang. Aduh! Usah tersasar dari landasan cerita sebenar. Aku makin giat tersenyum. Ternyata senyuman saat dilanda kesulitan, menandakan aku semakin dewasa. Atau mungkin menunjukkan aku sudah tidak punya rasa? Oh, silap! Rasa ini kepunyaan aku dan akan aku simpan selama-lamanya………


                                                *****************************


              Aku berlari laju seakan pelari pecut yang akan menang pingat Olimpik.

 “Prapp!” Langkah kaki aku terhenti tiba-tiba. Aku menunduk melihat ke bawah. Ternyata sangkaan aku benar. Tumit kasut aku patah lagi buat kali yang kesebelas. Andai berlaku sekali lagi, genap sedozen kasut aku yang patah tumitnya! Harus catat dalam diari ni…hehehe

“Muka ketat aje, apahal? Rezeki belum masuk pagi-pagi ni.” Kak Shila merangkap ‘radio pagi’ di pejabat ini sudah mula ke udara.

“Rezeki memang belum masuk, tapi petanda duit nak kena keluar.” Aku menunjukkan kasut tumit tinggi yang telah bertukar menjadi rendah. Gelak sakan nampaknya Kak Shila melihat kasut berjenama Sembonia berwarna coklat muda itu.

“Itulah, akak dah pesan tak perlu pakai tumit tinggi. Lainlah kalau Adani sanggup bangun awal hari-hari.” Gelak Kak Shila makin gamat pagi-pagi ini mengundang teman-teman lain untuk memanjangkan leher melihat ke arah kami.

Aku membuat isyarat tangan agar Kak Shila memperlahankan suaranya. “Shhhh…akak ni kalau ketawa tu perlahanlah sikit.”

“Selamat pagi Adani!”

 Erk! “Pagi bos…” Aku tersengih macam kerang tertelan ubat gigi.

“Patah tumit kasut lagi ke tu? Hai, kayalah pakcik Jaafar tu lama-lama.” Perli Encik Kefli sambil menyebut nama pakcik Jaafar si tukang kasut yang bekerja di seberang bangunan ini.

Muka aku merah padam. Kasut yang berada di tangan aku pakai semula sambil berjalan terhencut-hencut ke meja kerjaku. Encik Kefli terus masuk ke dalam biliknya. Aku meletakkan beg tangan ke dalam laci dan suis komputer aku hidupkan.

“Nasib baik ada kau wahai si buruk.” Aku memandang selipar berwarna merah jambu di bawah meja. Selipar ini sering aku gunakan apabila hendak ke tandas atau mengambil wuduk ketika di pejabat.

“Yang buruklah kadangkala selalu berguna Adani.”

“Hai, ada jugak jin yang menyampuk ye?” Aku tergelak melihat Azmi yang baru duduk di meja sebelah kiriku.

“Bos dah datang, baru kau sampai. Nahaslah…” Aku sengaja mengusik.

Azmi menggelengkan kepalanya sambil mengesat peluh di dahi. “Motor aku buat hal lagi pagi-pagi. Dahlah belum gaji lagi bulan ni.”

“Sabar ajelah ye. Kena banyak berdoa agar urusan kita dipermudahkan.” Ujarku sambil mengurut dada tanda bersabar.

“Amin…” Kak Shila turut ‘mengaminkan’ sambil menaikkan ibu jarinya sebagai tanda bagus.

Suasana bertukar sunyi seketika apabila masing-masing mula fokus membuat kerja. Namun sesekali pasti terdengar suara-suara berbual itu dan ini. Aku hanya memasang telinga apabila ada cerita-cerita yang menarik. Contohnya cerita Haji Norman ketua di bahagian kewangan yang sudah mula mengedarkan kad jemputan perkahwinan. Semua orang berfikir mungkin Haji Norman bakal menerima menantu walaupun anak sulungnya baru sahaja tamat SPM. Rupa-rupanya Haji Norman yang bakal berbini dua. Kelasss kau jahhh!

Aku tersenyum-senyum macam perempuan angau sendirian mendengar perbualan tersebut. Akhirnya aku bangun menuju ke pantri untuk membancuh teh panas. Althea sedikit meragam pagi tadi apabila disuruh mandi dan bersiap ke taska. Akibatnya aku lewat dan tidak sempat bersarapan apabila sibuk memujuk dia.

“Tahun depan kau dah boleh tukar ke Adani?”

“Eh, mak kau!!” Aku terperanjat sambil menoleh ke arah suara itu.

“Apa hal terkejut beruk ni?” Raihan melabuhkan punggungnya dan meletakkan bungkusan plastik di atas meja.

“Bagilah salam dulu. Ini main sergah aje. Jangankan aku, beruk pun terkejut tau!” Aku menutup suis cerek elektrik dan mula menuang air panas ke dalam gelas.

Raihan menjelirkan lidah tanpa rasa bersalah langsung. Makcik seorang ni memang nak kena cekik pagi-pagi. Ishhh!

“Apa kau cakap tadi?” Aku mengacau teh di dalam gelas bersama gula.

“Tahun depan kau dah boleh tukar belum? Bos dah sign?” Raihan memandang muka aku dengan penuh minat.

“Ermm…belum lagi. Dia suruh aku tunggu Kak Suhaila naik cuti bersalin. Lepas tu baru boleh decide.” Ujarku sambil melabuhkan punggung berhadapan  dengan Raihan.

“Sayanglah kalau jurutera cuma duduk bahagian pentadbiran kan? Apa kes?” Raihan menjungkitkan sebelah keningnya.

Aku tergelak kecil. Teh panas didalam gelas aku hirup penuh nikmat. Leganya tekak yang kering ini setelah dibasahkan sedikit.

“Tak kisahlah jurutera ke, apa ke, aku faham kalau dah kerja dengan kerajaan ni kena ikutlah dimana pengarah nak kita berkhidmat. Lagipun Bahagian Penyelenggaraan Aset dan Pengurusan Sumber memang perlukan aku untuk deal dengan kontraktor. Banyak lagi kerja yang berkaitan ilmu kejuruteraan aku gunakan dalam unit tu.” Aku memberi jawapan yang ikhlas dari hati.

Sejujurnya aku memang tidak kisah jika bidang tugas aku berlainan sedikit seperti kebanyakan jurutera. Asalkan dapat memberikan perkhidmatan dalam sektor awam dan berbakti untuk masyarakat sudah memadai. Itu yang arwah mak inginkan sejak dulu.

“Aku buat semua ni demi arwah mak…” Suaraku sedikit mendatar.

“Sudah…aku faham Adani. Jangan teruskan atau kau akan menangis kat sini.” Raihan mengusik.

“Aku okeylah. Ehem, ehem.” Aku membetulkan suara sebelum menyambung kata.

“Kan arwah mak nak sangat tengok salah seorang anak dia kerja kerajaan. Along memang tak nak sebab kerja kerajaan gaji kecik, katanya. Angah pula dah buat keputusan nak tinggal kat Labuan tu ikut Kak Ena. So, the one and only akulah orangnya yang perlu memenuhi impian mak.” Aku melepaskan nafas perlahan.

“Aku tau Adani. Sebab tu kau tak kisah kerja kerajaan walaupun kau boleh dapat gaji berlipat kali ganda jika kerja swasta. Murni niat kau tu, insyaallah berkat. Dah, jom makan.” Raihan tersenyum dan menyuakan aku sebungkus mee yang diambilnya dari dalam beg plastik.

Mak, kalau mak ada betul ke mak akan bangga dengan Dani? Dani berkhidmat dengan kerajaan macam mak. Walaupun Dani bukan cikgu, tetapi Dani akan menaburkan khidmat bakti sebanyak mungkin untuk masyarakat. Sama macam mak yang tidak jemu mendidik anak bangsa. Aku termenung jauh. Teringat kesedihan mak selama ini. Mana tidaknya, sewaktu di universiti dulu aku langsung tak rupa macam anak seorang cikgu. Bebas dan gemar bersosial. Aku leka dengan kehidupan remaja yang kononnya indah belaka. Maafkan Dani untuk setiap perbuatan yang membuatkan airmata mak mengalir. Ya, Allah…semoga roh mak ditempatkan bersama orang-orang yang beriman...amin.

           


4 comments:

Anonymous said...

Salam Shiz... Every entry from u is always anticipated with much appreciation... Keep on writing!! - nyss

Unknown said...

best...

Anonymous said...

Always love ur karya my bff!- kinu-

Shizukaz Sue said...

Nyss: Wsalam..harap suka dgn bab baru..ehehe

Baby mio: tq ya!

Kinu: so sweet my bff..thanks for ur support