Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, September 3, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 8


Kepala yang terasa berdenyut-denyut aku picit menggunakan tangan kiri. Manakala tangan kanan pula masih sibuk menyelak helaian demi helaian tesis dihadapanku. Sesekali aku melipat sedikit hujung kertas untuk ditandakan. Sungguh aku tidak mampu memberikan fokus yang sepenuhnya dalam mencari bahan untuk tugasan berkumpulan yang bakal dihantar sebelum cuti pertengahan semester ini. Kebiasaannya minggu akhir sebelum cuti adalah minggu yang paling sibuk bagi aku. Semua tugasan, pembentangan dan kuiz perlu dilangsaikan sebelum cuti pertengahan semester manakala peperiksaan akhir pula perlu ditempuh sebelum dapat bercuti panjang pada hujung semester.

“Aku rasa bahan aku dah cukup ni. Aku turun fotokopi sekejap.” Aku terus melangkah tanpa memandang teman-temanku. Langkah kaki kuhayun menuju ke tingkat bawah untuk ke kaunter fotokopi. Tesis di pepustakaan Sultanah Bahiyah ini tidak boleh dipinjam keluar. Hanya boleh difotokopi helaian yang diperlukan oleh pelajar. Kalau buku rujukan bolehlah dipinjam selama seminggu.

“Kesian Aida kan? Makin kurus aku tengok dia…” Wawa memandang Akma mendapatkan kepastian.

Akma mengangguk lemah. Matanya dipandang sekilas kepada tesis dihadapannya kemudian ditutup perlahan. “En.Tunang pun kita tak dapat cari lagi. Kalau dah tengok orangnya tentu lega sikit Aida tu,” ujar Akma.

“Minggu hadapan dah cuti. Memang tak sempatlah nak tengok En.Tunang tu. Nampaknya Aida akan kenal dia masa hari akad nikah mereka nanti.” Wawa pula berkata sambil tangannya mula menyalin sesuatu daripada tesis dihadapannya.

“Kita berdoa saja semuanya baik-baik. Jangan spesis ‘sotong’ sudahlah!” Akma tergelak kecil sambil menuturkan ayat tersebut.

Pantas tangan Wawa memukul lengannya lembut sambil menggelengkan kepala. Malah dia turut teringat kata-kata seorang pensyarah sewaktu mereka pertama kali menghadiri kuliah selepas tamat minggu orientasi.


Jumlah pelajar di UUM adalah dua puluh ribu orang semuanya. Pelajar lelaki anggarannya hanyalah lima ribu orang sahaja. Satu ribu ditolak kerana mereka adalah pelajar ‘sotong’. Satu ribu lagi ditolak kerana tidak kacak. Satu ribu lagi ditolak kerana tidak mendapat keputusan yang cemerlang. Kemudian satu ribu ditolak kerana sudah mempunyai kekasih. Jadi hanya tinggal seribu sahaja lelaki di UUM ini untuk direbut oleh pelajar perempuan yang berjumlah lima belas ribu orang! Kalau sesiapa dapat teman lelaki mahu pun berkahwin dengan pelajar lelaki di UUM ini anda adalah insan yang bertuah.


            Wawa tergelak besar. Kemudian segera menutup mulutnya dengan tangan kerana ada mata- mata sekeliling yang mula memerhati. Walaupun kata-kata Dr. Azemi Shaari itu sekadar gurauan dan perumpamaan sahaja sebagai mukadimah sesi pengenalan di dalam dewan kuliah, namun ada benarnya juga kata-kata itu. Sungguh!

            Akma memandang pelik Wawa yang duduk disisinya. “Kenapa kau gelak?” Soal Akma sambil menaikkan sedikit keningnya. Hairan dengan sikap Wawa yang tiba-tiba ketawa tanpa sebab.

            “Teringat kata-kata keramat Dr. Azemi Shaari,” bisiknya perlahan di telinga Akma. Lantas mereka berdua ketawa sambil menutup mulut. Takut menjadi perhatian pula akibat bunyi deraian ketawa yang seakan tidak mampu ditahan.

            “Semoga Aida menjadi salah seorang insan yang bertuah itu…” Bisik Wawa lagi setelah ketawa mereka reda. Akma mengangguk-angguk tanda setuju.

                                        ***********************************

Lambat betullah budak ni! Bukan main banyak nak fotokopi macam buat assignment untuk bertahun-tahun, gerutuku di dalam hati. Wajah yang sedia masam aku masamkan lagi dua kali ganda. Sebal. Sudahlah kepala ini berdenyut dari tadi. Aku ingatkan bila selesai fotokopi ini dapatlah segera pulang berehat di dalam bilik sebelum memulakan tugasan malam nanti.

            “Auchh!” Tiba-tiba aku terdorong ke hadapan setelah terasa seperti ditolak dari arah belakang. Segera aku menoleh.

            “Sorry...” ucapnya sepatah. Kemudian mata kami bertaut seketika.

            Aku menundukkan wajah yang terasa merah. “It’s okay.” Tuturku sambil membetulkan sedikit baju kurung kuning yang tersarung dibadan.

            “Boleh tak saya fotokopi dulu? Saya betul-betul nak cepat.” Pinta lelaki tadi dengan wajah yang penuh mengharap. Aku terdiam seketika. Berfikir sejenak dan kemudian aku menganggukkan kepala.

            Lelaki tersebut tersenyum. Manisnya! Boleh sakit kencing manis aku melihatnya walaupun buat pertama kali. Sudahlah tu Aida Nasuha. Tidak sedarkah kau tu bakal jadi isteri orang! Akalku mengingatkan. Segera aku membuang pandang ke arah foyer perpustakaan yang dapat dilihat dengan jelas dari cermin kaca. Kelihatan ramai pelajar sedang duduk menghadap laptop masing-masing. Ada yang sendirian dan tidak kurang juga yang berteman. Ah, pelajar begitulah selalunya. Tidak berenggang dengan laptop walau dimana mereka pergi.

            Setelah memberikan laluan kepada lelaki itu untuk mengambil giliranku, aku sekadar menjadi pemerhati sahaja. Dia menunjukkan helaian-helaian yang dia mahukan kepada kakak yang bekerja di kaunter fotokopi ini. Kemudian sementara menunggu kakak tersebut membuat kerjanya, lelaki itu menoleh kepadaku.

            “Awak ni cik…” Dia menghulurkan tangan untuk bersalam.

            “Aida.” Jawabku sepatah dan menyambut huluran salamnya. Lembutnya tangan dia…Ah, dasar kau Aida…dasar….

            “Nampaknya ada masa nanti saya harus belanja Cik Aida makan ni.” Tutur lelaki itu sambil tersenyum lagi. Mungkin dia tahu yang senyumannya cukup manis dan tidak mampu ditolak oleh mana-mana perempuan sekalipun.

            “Eh, tak perlu sampai belanja makan. Cuma awak hutang saya ucapan terima kasih sahaja.” Aku mengusiknya. Tetapi memang seingat aku dia masih belum mengucapkan terima kasih setelah aku setuju memberikan giliran aku tadi.

            Dia mengangguk-anggukkan kepalanya. “Oh, ya?! He he he…maaf Aida, saya terlupa sebab nak cepat sangat. Terima kasih daun keladi, ada masa kita jumpa lagi!” Jawabnya siap ada pantun dua kerat lagi. Kelass gitu.

            Aku tergelak kecil. “Sama-sama,” balasku pula.

            Terdengar pula kakak yang sibuk membuat salinan tesis untuk lelaki itu memanggilnya. Setelah membuat bayaran dia mendekatiku semula.

            “Saya pergi dulu ye. Jumpa lagi.” Dia menunjukkan tanda mahu melangkah.

            “Er…erm…siapa nama awak?” Aku tiba-tiba bertanya. Biasalah dalam universiti ini aku ramai juga kawan lelaki. Tidak salah rasanya berkawan. Bukan ke pepatah ada mengatakan berkawan biar seribu, berkasih biar satu.

            “Fayyad” Jawabnya sambil tersenyum. Kemudian dia terus melangkah dan sempat lagi dia melambaikan tangan kepadaku.

            Fayyad…Aku menyebutnya di dalam hati. Sedap dan unik. Pasti mempunyai maksud yang elok-elok.

            Aku pula meneruskan urusanku disini yang tertangguh sebentar tadi. Tidaklah lama kerana jumlah yang ingin difotokopi sedikit sahaja. Selesai urusan di tingkat dua ini, aku naik semula ke tingkat empat dimana rakan-rakanku sedang menanti.

            “Lamanya kau pergi fotokopi. Ramai orang ke?” Soal Akma secara berbisik-bisik. Tidak mahu ada yang mengadu kami membuat bising pula di perpustakaan ini.

            “Bolehlah…” ujarku perlahan. Tanganku pula cekap mengemas alat tulis yang bersepah di atas meja untuk dimasukkan ke dalam kotak pensil.

            “Dah siap belum? Aku ingat nak balik dulu. Sakit kepala lah.” Aku menyambung bicara dan memandang ke wajah Akma dan Wawa.

            “Sikit aje lagi ni. Kalau kau nak balik dulu, baliklah. Ahad ni jangan lupa bagi tugasan yang dah siap print ye. Nanti aku pergi binding.” Kata-kata Wawa membuatkan aku mati kata. Terharu.

            Kemudian aku tersenyum menampakkan barisan gigi yang tersusun cantik. “Thanks a lot my besties…sayang kau orang ketat-ketat.” Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan mereka. Kemudian langkah aku atur untuk pulang.

            Setelah mengambil beg dari rak simpanan barang, aku terus berjalan menuju ke tempat perhentian bas. Dari jauh aku lihat tidak ramai pelajar yang sedang menunggu. Fuh, lega. Tidak perlulah aku berebut dan bertolak-tolak untuk menaiki bas ke kolej kediaman. Perasaan lega itu membuatkan aku tidak sabar-sabar untuk duduk dibawah perhentian bas yang berbumbung itu. Melihatkan manik-manik halus juga mula membasahi dahi akibat berjalan kaki dari perpustakaan yang agak jauh.

            “Ponnn!!! Ponnn!!!”

            Aku terkejut. Kaku. Otak berhenti berfikir.

            “Tak pandai lintas jalan ke hah?! Nak mati jangan kat sini lah!” Teriakan yang keluar dari cermin tingkap yang diturunkan itu membuatkan aku menoleh. Menyirap darah ke segenap lubuk hati yang sememangnya panas dibakar oleh mentari sejak tadi.

            “Ini universiti lah! Kau mana boleh bawa kereta laju-laju! Tak pakai otak ke?” Aku pula meninggikan suara setelah melihat muka yang sedang merah didalam kereta tersebut. Lantak kau lah!

            “Kau yang lintas tak tengok kiri kanan, kau nak salahkan aku pulak!” Jerkah lelaki itu. Menerusi pandangan matanya aku yakin dia masih ingat dan kenal wajahku ini. Bukan sekali kami pernah bertentang mata. Tapi dua kali!

            Belum sempat aku membidas ayat yang meluncur laju dari mulutnya itu, kereta dibelakang keretanya telah membunyikan hon beberapa kali. Lantas lelaki yang berada di dalam perut Satria Neo berwarna hitam itu menaikkan semula cermin tingkap. Terus meluncur laju bersama keretanya.

            Aku yang tidak betah lagi berdiri disisi jalan bersama bahang cuaca yang terik terus meneruskan perjalanan untuk melintas menuju ke perhentian bas. Alhamdulillah, selamat sampai kesini, kata hatiku lega. Aku terus duduk di bangku batu yang disediakan. Kalau dilanggar oleh jantan berlagak itu tadi, entah apalah nasibku. Silap haribulan dia biarkan sahaja aku terlantar di atas jalanraya tanpa membantu. Macam kes langgar lari yang biasa aku tengok dalam televisyen. Melihatkan cara dia berbicara saja sudah cukup untuk aku membuat kesimpulan akan sikapnya yang tidak beradab itu. Geramnya!

            Nasib dia tidak turun dari dalam perut kereta tadi. Kalau tidak, nahas dia aku cekik kuat-kuat. Kenapalah setiap kali bertembung dengan dia ada sahaja perkara yang menyakitkan hati? Kesian Faiz terpaksa duduk sebilik dengan lelaki kerek seperti itu. Teringatkan Faiz aku terus mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangan. Nombor-nombor telefon yang tertera aku amati satu persatu. Aku menekan punat yang mempunyai huruf F lantas meneliti lagi nombor yang terpapar pada skrin.

 Ah, kenapa aku tidak mempunyai nombor si Faiz ni, bentak hatiku. Rasanya kebanyakan nombor teman sekuliah dalam bidang yang sama ada aku simpan. Mudah untuk urusan yang melibatkan aktiviti kaunseling. Maklumlah bidang kami tidak seperti bidang yang lain dalam UUM. Kami kerap berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti luar seperti menjadi sukarelawan di rumah orang-orang tua, menjadi fasilitator untuk kem bina diri, menghadiri bengkel-bengkel kaunseling yang dianjurkan dan sebagainya.

Perasaan yang membahang tadi perlahan-lahan pergi apabila bas yang ditunggu berhenti di hadapan perhentian. Aku cepat-cepat memasukkan telefon bimbit di dalam beg dan terus bergegas untuk menaiki bas bersama beberapa orang pelajar lain. Kemudian bas bergerak laju membawa kami ke kolej kediaman masing-masing. Aku yang duduk bersendirian memejamkan mata. Seakan sukar untuk merasai kedamaian dihati sejak dua menjak ini. Ya Allah, bantulah hambaMu ini melalui hari-hari yang mendatang….pinta hatiku sayu….

8 comments:

Yin Areesa said...

Fayyad-maknanya pemurah...
Anak saya nama Fayyadh, memang pemurah dengan senyuman. Senyum je, sampaikan bangun tido pun senyum dulu...
Nice story, terus teringat UUM.

Shizukaz Sue said...

Thanks 4 d info =) sedap nama Fayyadh tu...
UUM tetap dlm hati hehe

Yin Areesa said...

Betul, UUM tetap di hati...:)
Bila baca novellog ni memang blh bayang UUM..

Shizukaz Sue said...

akk amik kos ape dulu kat UUM? walaupun jauh tersorok, uum ada keistimewaan tersendiri kan? =)

Yin Areesa said...

Amik ekonomi. dulu dok kat kolej muamalat, taktau lani dah tukaq nama ka dak lagi. dulu nama dia aseana.
betullah, rindu dgn uum. rindu melepak di perpustakaan...

Unknown said...

aduhai...kenapalah sombong sgt laki tuh?
btw ingatkan lelaki yg die jumpa kat perpustakaan tu,tunang die..kalo ye,mmg lagi kuat jodohnye..hehe..

khadijah said...

saperw la laki yg tgur 2....hehhehe.....

khadijah said...

tensionnye dgn laki 2..suka suki jerw marah2...sian aida dah la tgh xshat....wat u 2 mcm u sendiri..haishhhh