Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Friday, October 5, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 29


       Setelah membersihkan diri dan memakai gaun tidur separas lutut aku melangkah keluar dari bilik. Senyap aje rumah ni. Hadif tiada kat rumah ke? Lega dapat melelapkan mata beberapa jam tadi. Terasa lebih segar berbanding siang hari yang amat menyesakkan dada dan meletihkan otak. Aku menghala ke ruang tamu. Kosong. Aku menyelak langsir yang menutupi pintu kaca untuk menjenguk ke luar rumah. Kedua-dua kereta kami ada di tempat parkir. Maknanya Hadif ada di rumah.

            Aku mengatur langkah laju menuju ke dapur pula namun bayang Hadif tetap tidak kelihatan. Dalam bilik dia agaknya. Aku terus ke bilik belakang dan menekapkan telinga ke pintu bilik. Senyap aje, dia tidur kut. Aku memberanikan diri mengetuk perlahan pintu bilik Hadif. Tiada jawapan. Tangan aku perlahan-lahan memulas tombol pintu dan menjengukkan sedikit kepala untuk melihat ke dalam. Hadif sedang bersembahyang rupanya. Terus pintu bilik aku tutup semula.

            Aku duduk di sofa ruang tamu dan mencapai alat kawalan jauh Astro. Televisyen yang tadinya gelap bertukar cerah. Aku menaikkan kaki ke atas dan badan bersandar ke belakang. Setelah beberapa kali bertukar siaran akhirnya aku menonton saluran 732 untuk menonton Dog The Bounty Hunter. Selang beberapa minit kemudian Hadif muncul dari ruangan belakang dan duduk di sofa yang bertentangan denganku. Aku segera membetulkan duduk dan menurunkan kaki ke bawah.

            “Saya tengok pun apa salahnya? Halal….” Hadif menaikkan keningnya dengan bibir mengukir senyuman nakal. Tetapi bukan itu yang aku fikirkan saat ini. Pandangan aku jatuh pada wajah Hadif yang putih bersih, licin tanpa seketul jerawat sekalipun. Bilalah dapat kiss pipi suami sendiri? Nakal juga aku ni.

            “Ehem.” Hadif kelihatan tidak selesa dan malu-malu apabila dipandang begitu. Alah, tak mungkin aku nak rogol dia pun! Aku masih waras lagi walaupun kadang-kadang terjadinya litar pintas dalam kepala otak aku ni. Tak kuasa makcik.

            “Hadif saya nak cakap sikit.” Aku memandangnya tanpa riak bersalah. Tak luak pun kalau aku cuci mata. Tetapi hati aku sudah mula berdebar tidak menentu apabila ingin menceritakan perkara yang berlaku petang tadi.

            “Apa dia?” Soal Hadif dengan matanya tertancap kepada skrin televisyen. Mungkin dia malu aku tengok dia macam tu tadi. Yeke malu? Hadif bukan tahu malu pun selama ni. Dia lupa makan ubat kut malam ni.

            Aku menggerakkan badan kehadapan sedikit tanda apa yang ingin aku cakapkan ini serius. Aku menggigit bibir bawah dan bersedia untuk bersuara.

            “Faiz dah tahu saya ni isteri awak.” Kataku penuh berhati-hati dalam menyusun kata. Aku menanti reaksi yang bakal ditunjukkan oleh Hadif.

            “So?” Soal Hadif sepatah tidak bernada. Itu aje reaksi dia? Buang masa aje aku berdebar-debar. Ingatkan dia akan marah aku. Tetapi tekaan aku ternyata meleset sama sekali.

            “Awak pernah kenalkan saya sebagai sepupu awak sebelum ni. Jadi saya tak pasti Faiz patut tahu perkara sebenar atau tak. Tapi kawan saya dah terlepas cakap petang tadi.” Terangku dengan bersungguh-sungguh. Aku mahu perkara ini menjadi jelas antara kami.

            Hadif membetulkan duduk dan memandang aku dengan pandangannya yang biasa dia lakukan. Serius. Satu perkataan yang sepadan dengan peribadi Hadif.

            “Itu saya yang cakap. Tapi kalau ada orang tanya awak, yes awak boleh mengaku awak ni isteri saya.” Dengan selamba Hadif menuturkan ayat itu. Darah aku sudah mula menggelegak panas! Amboi, banyak cantik muka dia. Aku disuruh mengaku tapi dia tak nak mengaku pulak ye.

            Aku berdiri dan bercekak pinggang. “Apa masalah awak ni? Saya tak faham. Kalau betul nak rahsiakan, kita berdua akan rahsiakan perkahwinan ni. Tapi kalau awak nak kita umumkan yang kita adalah suami isteri yang sah, kita akan lakukan perkara yang sama!” Aku menghadiahkan sebuah jelingan maut kepadanya sebelum menyilangkan tangan kedada dan beralih pandang.

            Aku betul-betul buntu dalam melayani ragam Hadif. Baik atau buruk layanan aku dia tetap dengan caranya yang menyakitkan hati. Apa salah aku pada dia pun aku tak tahu. Dadaku berombak turun naik menahan perasaan. Sampai bila agaknya aku mampu bertahan hidup dengan lelaki seperti Hadif?

            “Okey, fine! Kita dedahkan aje. Habis cerita.” Jawab Hadif laju. Matanya memaku ke wajahku tidak berkelip. Tetapi aku tidak mampu membaca riak di wajahnya.

            “Serius?” Soalku sepatah. Tangan yang tadi kusilangkan kedada aku turunkan ke bawah pula. Kemudian aku kembali duduk di atas sofa.

            Hadif pantas menganggukkan kepalanya. “Tapi jangan sampai mereka semua tahu atas alasan apa kita berkahwin. Cakap aje kita memang bercinta then terus kahwin. Senang.”

            “Senang awak cakap? Faiz sendiri yang beritahu saya awak dah ada kekasih. Siapa nak percaya kalau saya cakap kita bercinta? Dating pun tak pernah tiba-tiba kita dah kahwin.” Oppss!! Aku terlepas cakap. Nampaknya Hadif sudah mengetahui dari mana sumber aku mendapatkan maklumat tentang dirinya. Lantaklah, nasi dah jadi bubur.

            Hadif mengerutkan dahi. “Oh, selama ni awak sengaja korek rahsia saya lah ye?” Hadif memandang tajam kearahku. Aku buat muka selamba sahaja walaupun dalam hati gentar juga.

            “Saya tak tanya pun tapi Faiz yang tercakap.” Jawabku jujur. Memang itu sebenarnya yang terjadi. Jadi tidak perlu aku memerah otak untuk menipu. Lebih baik cakap terus-terang saja.

            “Erm, cakap ajelah cinta tu buta! Jatuh cinta pandang pertama kemudian kita terus kahwin.” Balas Hadif lagi bagi menjawab pertanyaanku tadi.

            Belum sempat aku berkata apa-apa, telefon bimbit di dalam poket baju melayu Hadif berbunyi. Aku bersandar ke belakang sofa dan mencebikkan bibir. Ah, itu mesti Zati! Aku mahu terus duduk disini dan mendengar perbualan mereka.

            “Waalaikumsalam mak. Kami sihat. Saya ada duduk kat rumah dengan Aida.” Sebaris ayat yang keluar dari mulut Hadif membuatkan mataku bercahaya.

Wajah yang tadinya mendung kembali berseri. Mak ke yang telefon? Rindunya dah lama aku tak berhubung dengan mak. Mungkin sebab aku tidak mahu lebih banyak menipu apabila mak bertanyakan hubungan aku dan Hadif. Pendekatannya aku jarang sekali menghubungi mak dengan alasan aku terlalu sibuk. Tetapi rindu di dalam hati Tuhan saja yang Maha Mengetahui.

“Insyaallah mak. Nanti saya bincang dengan Aida ye. Okey, sekejap saya panggilkan.” Hadif yang sedang bercakap di telefon itu bangun dan memberikan aku telefon bimbitnya.

Aku yang sememangnya mendengar perbualan Hadif dan mak menyambut huluran Hadif. Telefon aku lekapkan di telinga dengan senyuman yang semakin lebar.

“Assalamualaikum mak, sihat ke?” Kataku dengan ceria. Lega dapat mendengar suara mak di kala kekalutan yang melanda kehidupan aku sejak kebelakangan ini.

“Minggu ni last kuliah. Akak tak kisah kalau Hadif setuju, lagi akak suka. Erm, kami baik-baik aje. Mak jangan risaulah ye.” Jawabku sambil tersenyum. Namun melalui ekor mata aku dapat melihat Hadif masih memerhatikan aku sejak tadi. Tengok aku macam nak tembus badan aku ni.

“Hadif…dia…layan akak baik mak. Tak ada apa-apa. Okey, kirim salam semua. Bye!” Aku lantas mematikan talian. Telefon di tangan aku hulurkan pada Hadif semula. Lelaki itu menyambutnya dan apabila tangan kami bersentuhan, ada getaran halus yang menjalar di lubuk hati aku.

“Mak minta kita balik sana cuti study week minggu depan. Kalau awak tak nak, saya tak paksa. Kalau awak izinkan, saya boleh balik sendiri naik bas.” Aku bersuara dengan lancar. Memang itu yang aku fikirkan apabila mak menyuarakan hasrat hatinya tadi. Tidak adil untuk aku mengatur hidup Hadif. Mungkin dia ada plan lain minggu cuti itu nanti. Jadi lebih baik aku minta izin untuk balik sendiri aje.

“Kita balik hari Khamis nanti.” Hadif menjawab perlahan kemudian bingkas bangun dan beredar masuk kebiliknya. Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Kenapalah sukar sangat untuk aku memahami sikap suamiku ini? Apa salahnya kalau dia melayan aku dengan baik? Rasanya dua-dua pihak tidak akan rugi.

 Pening aku memikirkannya.

2 comments:

Unknown said...

tak faham dgn sikap hadif...kdg2 ok,kdg2 tak..tapi msti dah syg tu...
dah tak kisah kalo kisah cinta mereka dihebohkan..

Unknown said...

Apa sebenarnya motif Hadiff ni main tarik tali ni...