PART 1
Angin
laut bertiup lembut. Menyapa dan membelai rambutku yang panjang mengurai.
Mengapa mesti dia? Mengapa kau bodoh wahai sang hati? Aku terlalu penat untuk
mengelak dan menidakkan satu perasaan halus yang mula menjalar. Satu perasaan
yang telah lama mati, tetapi kini hadir untuk orang yang tidak sepatutnya.
“Jomlah kita bertolak sekarang.
Nanti lewat pula sampai ke rumah.” Anisah menyentuh bahuku perlahan.
Aku menoleh dan tersenyum tawar.
Anisah rakan serumahku merangkap teman baik sejak zaman di kolej kejururawatan
lagi. Sejak setahun lalu, kami sama-sama mengharungi hidup di kota atas
tuntutan kerja. Kami melangkah beriringan menuju ke kereta. Percutian tiga hari
dua malam di Port Dickson ini telah berakhir. Namun masalah aku semakin
memberat dirasakan. Ingatkan apabila pergi bercuti, perasaan akan lebih tenang.
Ternyata jangkaan aku silap, kerana aku sering termenung dan terbayang wajah si
penculik hati. Aduh!
“Mawar, esok kau kerja shif bila?”
Pertanyaan Anisah yang sudah memulakan pemanduan membuat aku tersentak. Tulah,
mengelamun aje tak kira waktu. Parah betul.
“Esok aku shif petang.” Perlahan
jawabku sambil membuang pandang ke luar tingkap. Selamat tinggal laut…nanti ada
masa aku pasti akan datang lagi…
“Seronoklah kau dapat berehat. Esok
aku shif pagilah. Penat badan tak hilang lagi.” Anisah mengeluh kecil.
“Tak apa. Malam nanti aku masak
untuk kau ye.” Kataku yang cuba untuk mengambil hati sahabatku ini.
Perancangannya, aku ingin bercuti sendirian sahaja. Tidak mahu menyusahkan
sesiapa. Tetapi Anisah berdegil mahu mengikuti percutian ini dengan alasan
bimbangkan keselamatan aku.
“Betul ni? Ini yang buat aku
sayangkan kau…” Anisah tergelak sambil menjeling pandang kearah aku. Kemudian
dia kembali fokus terhadap pemanduannya.
Suasana kembali sunyi dan hanya
ditemani oleh bunyi radio yang terpasang. Setelah tiba dirumah, aku mengangkat
barang-barang masuk ke dalam bilik. Kemudian aku keluar mendapatkan Anisah yang
sudah duduk menonton televisyen.
“Aku nak rehat sekejap. Nanti
sekejap lagi aku masak ye.”
Anisah mengangguk. “Okey, no problem.”
Aku masuk semula ke dalam bilik dan
menghempaskan badan ke atas katil. Berguling kekiri dan kanan namun mata masih
tidak mahu terlelap. Lantas aku bingkas bangun duduk di atas katil. Merenung
bingkai gambar yang terletak elok di atas meja bulat bersaiz sederhana. Gambar
aku tersenyum bahagia disamping Akid. Lelaki yang mengajar aku erti cinta dalam
sebuah perhubungan. Itu dulu…
*************************************
“Seronok
pergi bercuti?” Soalan Zalina aku sambut dengan senyuman. Kemudian aku
mengangguk perlahan.
“Aku pergi buat kerja dulu ye.” Aku
minta diri dan terus berlalu. Aku yang bertugas di wad 4 menuju ke bahagian
belakang iaitu wad kelas ketiga.
Kemudian aku menukarkan cadar pada
katil seorang pesakit yang telah kotor dicemari darah. Aku menghadiahkan
senyuman manis tatkala bertembung pandang dengan beberapa orang pelajar
kejururawatan yang sedang menjalani praktikal di hospital ini. Mereka sedang
membersihkan seorang warga emas dan menukarkan lampin pakai buang.
Setelah tugasku selesai aku mengatur
langkah untuk menuju ke kaunter hadapan. Namun baru menapak beberapa langkah,
mataku menangkap susuk tubuh yang dikenali sedang berjalan mendapatkan aku.
Aduh, masak aku! Apa nak buat ni?
“Kenapa saya telefon banyak kali
awak tak angkat?” Soal lelaki itu dengan wajah yang kusut.
Aku menelan liur. Cuba menutup
keresahan di hati saat ini. “Saya sedang bertugas sekarang ni.”
Lelaki itu meraup wajah. “Bukan
sekarang, Mawar. Sejak beberapa hari lepas.”
Pandangan matanya penuh tanda tanya.
Namun mulut ini terkunci untuk memberikan jawapan kerana jawapannya ada pada
kau, Izman. Kunci segala permasalahan ini.
“Saya…saya…sibuk sikit dua tiga hari
ni.” Jawabku teragak-agak.
“Sibuk?” Izman menjungkitkan
keningnya.
“Hal peribadi.” Jawabku pendek.
“Saya tak tahu kalau saya ada buat
salah. Tapi kalau betul ada, saya minta maaf sangat Mawar. Tolong beritahu apa
salah saya pada awak…sampai awak bersikap dingin macam ni tiba-tiba.” Nada suara
Izman separuh merayu.
Aku serba-salah. “Eh, tak ada
apa-apalah Izman. Saya memang sibuk sikit.”
“Please
Mawar…” Wajah Izman yang mendung menyentuh hatiku. Yelah, wajah yang mula
menapak di dalam hati.
“Izman, saya tahu sekarang ni waktu
melawat. Tapi awak bukan nak melawat sesiapa yang sakit disini kan? Saya tengah
kerja ni.” Aku mula tidak senang apabila Izman berlama-lama disini.
Izman mengeluh kecil sambil membuang
pandang kearah lain. “Okey, saya balik dulu. Saya tunggu awak balik kerja nanti.”
Belum sempat aku membuka mulut,
Izman telah mengatur langkah untuk keluar dari wad ini. Tunggu aku balik kerja
nanti? Oh, Izman…tolong jangan rumitkan lagi keadaan. Aku menggelengkan kepala
dan kembali menyambung tugas.
Walaupun di dalam hati ketenangan
itu sukar untuk hadir, aku gagahkan jua demi tugas. Aku disini untuk menjaga
pesakit. Kalau wajah jururawat masam mencuka, orang tak sakit pun boleh jadi
sakit. Jadi senyuman mesra perlu selalu terhias di wajah sepanjang bertugas.
Selesai sahaja waktu tugasku untuk
hari ini, seperti biasa aku singgah sebentar di wad kanak-kanak. Dalam
banyak-banyak pesakit di dunia, aku tidak rela insan sekecil ini menderita
kesakitan. Kalau mampu ditukar dengan tubuhku untuk menanggung setiap kesakitan
mereka, aku tidak teragak-agak melakukannya. Namun apalah daya, semuanya
ketetapan dan ketentuan Tuhan. Semoga kamu semua tabah wahai bidadari kecil,
bisik hatiku sayu.
Aku berlalu menuju ke lif setelah
lima minit disitu. Badan terasa letih dan mata pula sudah mula mengantuk. Aku
kerling sekilas jam ditangan. Baru jam sembilan sepuluh minit malam. Setelah
membolos masuk ke dalam lif, aku bersandar seketika. Nafasku tarik perlahan.
Kalau Akid tak pergi dahulu, pasti kami sedang bahagia bersama. Mungkin sudah
mempunyai cahaya mata.
“Dah nak balik?” Sapa Kak Suzi yang
masuk ke dalam lif apabila lif berhenti di tingkat satu.
Aku mengangguk. “Akak kerja malam?”
Walaupun sudah tahu, tetap mahu berbahasa-basi. Nama pun orang Melayu!
“Minggu ni akak kerja malam lah,
Mawar. Ni nak kena bersihkan mayat. Ada budak sembilan belas tahun bunuh diri.”
Adu Kak Suzi.
Aku membulatkan mata. “Orang kita ke
kak? Bunuh diri cara macam mana?”
“Bukan orang kita. Gadis India. Dia
terjun jambatan.” Terang Kak Suzi sambil membetulkan tudung di kepalanya.
“Selamat bertugas kak. Saya balik
dulu.” Aku bersalam dengannya sebelum keluar dari dalam lif.
Terjun jambatan? Memang agak teruk
keadaan mayat kalau macam tu. Silap haribulan dah kembung. Bukan aku tidak
pernah membersihkan mayat yang sebegitu rupa. Penuh dengan lumpur, pasir dan
sebagainya. Apabila ada sebarang kematian, kami memang perlu membersihkan mayat
agar dalam keadaan elok dan bersih. Kemudian pihak keluarga bolehlah memandikan
jenazah apabila dibawa pulang kerumah. Ada juga yang menyerahkan sepenuhnya
kepada pihak hospital untuk memandikan dan mengkafankan jenazah.
Menjadi jururawat bukan cita-cita
sebenar aku. Aku mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Namun niat
untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading terhenti apabila ayahku meninggal
dunia. Aku lebih memilih untuk belajar di kolej kejururawatan kerana ibu tidak
perlu menanggung apa-apa yuran pembelajaran. Malah aku mendapat elaun setiap
bulan sewaktu menuntut disitu. Tamat belajar pun tak perlu fikir bagaimana nak
mencari peluang pekerjaan. Menjadi seorang kakitangan kerajaan lebih memudahkan
aku dan tidak membebankan ibu yang semakin tua.
“Lewat hampir lima belas minit.”
Aku menoleh sebelum membuka pintu
kereta. Agak gelap suasana di tempat meletak kenderaan ini. “Kenapa tunggu kat
sini?”
Izman tersenyum menampakkan lesung
pipitnya di sebelah kanan pipi. Manisnya! Kalau tengok hari-hari boleh kena
kencing manis, kut. “Nak saya tunggu kat rumah?”
Senyuman nakal yang terukir di bibir
Izman membuatkan aku menahan nafas. Kenapalah hati ini masih berdegil
inginkannya? Parah betul kalau hati sudah tidak mahu mendengar kata tuannya.
Lebih parah lagi apabila hati selalu menolak permintaan akal.
“Okey, awak nak apa sebenarnya? Saya
bagi masa lima minit.” Tegas kata-kataku kali ini.
Dahi Izman berkerut seribu. “Lima
minit? Kalau bagi masa seumur hidup pun, belum tentu saya puas menatap awak.”
“Izman, saya nak balik berehat. Apa
awak nak?” Memang aku sengaja memendekkan pertemuan ini.
“Saya nak awak. Takkan itu pun awak
tak boleh nampak?” Izman memegang tanganku erat dan dibawa ke dadanya.
Nafasku mula turun naik laju. Rasa
indah yang singgah seringkali membuatkan aku terleka seketika. “Kita, kita tak
boleh.”
Walaupun ayat itu aku tuturkan
perlahan namun Izman dapat menangkapnya. “Kenapa kita tak boleh, Mawar? Saya
sukakan awak dan awak juga rasa yang sama.”
Aku tunduk merenung jalan. Apa aku
nak jawab kali ini? Otak, cepat fikir! “Awak…awak dah ada seseorang…yang
istimewa.”
Akhirnya ayat itu terlepas juga dari
mulutku. Nasib baik waktu malam. Kalau di siang hari, memang Izman dah nampak
wajahku yang merah menahan rasa. Izman tidak pernah berterus-terang selama ini.
Tetapi aku sendiri yang mengekori dan menyiasat pergerakannya sepanjang kami
berkenalan. Aku lakukan semua itu bukan kerana aku obsess pada Izman. Tetapi
kerana aku mahu mengetahui tentang kehidupannya dengan lebih dekat. Tak salah
kan?
“Mana awak tau?” Soal Izman lemah.
Mungkin sudah dapat mengagak penyebab aku bersikap dingin.
Aku bersandar di sisi kereta sambil
jari bermain dengan anak kunci. Sesak dada untuk menjawab pertanyaan Izman yang
satu itu. Aku perlu berterus-terang. “Saya pernah nampak awak dengan dia.
Memang mesra.”
Izman juga turut bersandar disisiku.
Keluhan berat dilepaskan sebelum dia berpaling menatap wajahku. “Mawar, maafkan
saya kerana tak berterus-terang. Tapi, niat saya bukan untuk menipu awak. Saya
cuma perlukan masa untuk selesaikan hal saya dulu. Kemudian saya akan ceritakan
semuanya pada awak.”
“Siapa dia?” Soalku pula.
“Tunang saya.”
Aku menutup mata. Ingatkan teman
wanita, rupanya tunang! Pedih hati ini mendengar sendiri dari mulut Izman. Aku
rasakan aku sudah cukup kuat menghadapi segala cabaran yang mendatang setelah
ketiadaan Akid. Namun aku kembali lemah ketika Izman muncul dalam diari
kehidupan aku.
“Maafkan saya Izman. Saya tak nak
ada kaitan dengan tunang orang. Perhubungan kita biarlah tamat disini.” Kataku
dan terus membolos masuk ke dalam kereta. Izman cuba menahan namun aku dapat
melepaskan diri. Airmata turun satu persatu membasahi pipi.
Pertemuan
antara Anisah dan Izman hari ini tanpa pengetahuan Mawar Shampalis. Izman
beria-ia memujuk Anisah untuk berjumpanya di kafe ini. Semuanya demi Mawar.
Seorang gadis yang telah merubah seluruh kehidupannya, hatinya dan mindanya.
“Jadi kau nak aku tolong buat apa?
Memang salah kau.” Tempelak Anisah sebal. Sakit hatinya apabila mengetahui
punca Mawar kerap menangis sendirian di dalam bilik adalah kerana Izman.
Fikirnya, Mawar rindukan Akid.
Izman menyelak rambut ke belakang
dengan jari. Sejak pertemuan empat mata dengan Mawar tempoh hari dia tidak
dapat melelapkan mata. Siang dan malamnya seakan sama. Hebatnya penangan gadis
itu.
“Aku mengaku memang salah aku. Tapi,
aku betul-betul nakkan Mawar. Sumpah, aku tak main-main.” Izman mengangkat
tangan seperti berikrar.
Anisah senyum sinis. “Tunang kau nak
campak mana? Jangan kata kau nak dua-dua pulak!”
“Aku dengan dia memang dah lama ada
masalah. Tapi sampai sekarang belum settle.
Apabila aku kenal dengan Mawar, baru aku sedar yang perkara ni perlu
diselesaikan segera.” Luah Izman lagi.
“Masalah apa? Aku nak tahu. Demi
Mawar.” Anisah cuba mengorek rahsia.
“Susah aku nak terangkan, Anisah.
Ya, kami memang dilamun cinta pada awalnya. Kemudian bertunang. Aku selesa
dengan dia sebab cara kehidupan kami sama. Namun apabila aku ditimpa
kemalangan, aku tersedar…bahawa selama ni hidup aku dah jauh tersasar…” Izman
menghela nafas berat sebelum menyambung kata.
“Aku taklah jahat mana, tetapi aku
dah lama lupakan Tuhan. Apabila aku mula berubah perlahan-lahan, tunang aku tak
dapat terima. Pemikiran dan cara kami dah tak sama membuatkan kami sering
bertengkar. Aku tak salahkan dia, tetapi masa untuk aku berubah dah sampai.”
Anisah mencebikkan bibirnya. Anisah
memang sukar mempercayai orang. “Kenapa kau tak bimbing tunang kau?”
Izman membuang pandang, jauh ke
depan. “Aku sendiri baru bertatih, macam mana aku nak bimbing orang? Lagipun
bukan mudah aku nak buka hati dia, kalau dia sendiri belum rela untuk kearah
itu. Masalah ni berlarutan beberapa bulan sampai kami rasa dah tak sehaluan
lagi.”
Anisah menyedut minuman di
hadapannya. Kemudian membuka mulut. “Tapi kenapa masih belum berpisah?”
“Sebab aku masih beri dia peluang
untuk memahami diri aku yang baru. Dalam masa yang sama, aku dah mula sayangkan
Mawar. Rasanya lain, Anisah. Aku tak pernah sayang orang lebih dari diri aku
sendiri.” Izman meraup wajah berulang kali. Beban perasaan yang dialami memang
agak berat sejak Mawar menghuni di dalam hati dan fikirannya. Pada mulanya dia
keliru tetapi akhirnya dia bertindak mengikut kata hati.
“Kalau betul kau nak Mawar,
selesaikan cara baik dengan tunang kau. Semua orang ada alasan tersendiri. Apa
pun penyebabnya, kalau dah tak ada jodoh apa boleh buat.” Anisah mengambil kata
putus setelah mendengar luahan hati Izman.
Izman tersenyum senang. Hatinya
sedikit lega dengan penerimaan Anisah. “Terima kasih Anisah. Aku nak kau cuba
terangkan pada Mawar keadaan aku sekarang. Aku tak boleh jumpa dia sebab aku
takut, aku akan lebih mendesak dia nanti.”
Anggukan Anisah membuahkan lebih
kelegaan di hati Izman. Dia berharap Anisah akan mampu menjernihkan
perhubungannya dengan Mawar Shampalis. Nama yang telah terlakar indah dalam
jiwanya.
3 comments:
Salam, Wow post baru ya Shizukaz Sue.
Memanglah nampak Izman bersungguh terhadap Mawar, tetapi hakikatnya mengambil hak orang ni pahit sebenarnya itulah yang dirasakan Mawar.
yup! setuju sangat dengan akak..ambil hak orang ni pahit, perit, jerih hehe walaupun bukan status suami orang lagi..klau dah suami org mmg bertambah kelat ler =)
waa...cerita baru..nice ebtry kak..tp nape sket jer? erm untungnya kalau ada org boleh syg kita mcm izman syg kat kitra..kdg2 mcm ade gak situasi izman tu pada diri sy..tp bukan semua la..mmg pahit kalo sukakan seseorg,sgt suka kan seseorg...sedangkan dia milik org lain..ini pernah terjadi pada sy..huhu,sedey sgt laa...
Post a Comment