Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Friday, September 7, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 4


LIMA TAHUN KEMUDIAN….

            “Banyaknya orang kahwin bulan ni! Tak menang tanganlah Cik Dean.” Rungut Syaza sambil membelek buku log di atas meja.

            “Itu rezeki namanya, Syaza. Tak baik merungut tau. Bulan ni elaun awak ‘lebat’ nampaknya.” Aku mengingatkan sambil tangan masih lincah menjahit manik di atas selendang. Selendang ini perlu aku siapkan sebelum petang esok kerana majlis pernikahan Fuad dan pasangannya akan berlangsung selepas Isyak.

            Syaza tersengih sambil memasukkan semula buku log ke dalam laci. “Saya bersyukur sebab kita banyak customer sejak dua menjak ni, tapi penat sangat badan saya dibuatnya. Tak ada cuti.”

            “Nak maju, kita kenalah berkorban sikit Syaza. Lagipun baru enam bulan ni butik saya dapat ‘bernafas’. Maklumlah baru setahun sebulan beroperasi. Awak pun dapat elaun lebih tiap-tiap bulan.” Aku memandang wajah Syaza sekilas kemudian meneruskan kerja menjahit manik.

            Semua yang ada di butik ini merupakan hasil kerja tangan aku sendiri. Malah sehingga kini aku masih lagi ‘berguru’ dengan Mama Anis untuk membuat pelbagai kelengkapan pengantin daripada baju, selendang, kasut, hantaran, pelamin dan sebagainya. Walaupun butik ini masih terlalu baru untuk dibanggakan, aku tetap berpuas hati dengan pencapaian aku setakat ini. Setidak-tidaknya aku mampu mengubatkan hati daddy yang kecewa setelah aku tidak mahu bekerja dalam bidang perakaunan. Minat aku beralih kearah ini setelah tamat belajar apatah lagi mendapat sokongan padu daripada ibu tiriku sendiri, Mama Anis.

            “Saya faham tu Cik Dean. Tapi, hujung bulan nanti saya minta cuti ye. Saya nak balik jenguk keluarga saya kat kampung.” Pinta Syaza sambil merapati aku yang masih duduk bersila di atas permaidani.

            Aku mengangkat wajah. Tanganku yang sedang menjahit terhenti. “Hujung bulan nanti wedding anak D.O kan? Matilah saya tak cukup kakitangan.” Ujarku memandang tepat anak mata Syaza.

            Walaupun ia bukanlah kali pertama aku menguruskan perkahwinan anak orang kenamaan, bantuan Syaza tetap sangat diperlukan. Dia adalah tulang belakang aku selama ini dalam menguruskan butik. Walaupun dia tiada kelulusan yang tinggi, tetapi dia gadis bijak yang bercita-cita tinggi. Dia jenis yang mudah diajar dan bersemangat untuk belajar. Malah, tidak dinafikan dia orang penting buat aku di dalam butik ini.

            Syaza tersengih lagi. “Lepas habis majlis tu, saya balik kampunglah. Esoknya baru saya cuti. Boleh ye Cik Dean?” Syaza bersuara penuh mengharap.

            Aku pantas mengangguk setelah Syaza menerangkan hal yang sebenarnya. “Okey,okey. Awak boleh cuti. Tetapi make sure hari Selasa tu awak masuk kerja semula. Ada banyak lagi hantaran masih belum siap.” Aku mengingatkan Syaza.

            “Baik bos! Terima kasih.” Ucap Syaza sambil memberikan tabik kepadaku.

            Aku hanya tersenyum dan kembali meneruskan kerja yang tertangguh. Bukan aku tidak mahu menggaji lebih ramai kakitangan di butik sederhana besar ini. Tetapi buat masa sekarang, cukuplah hanya aku dan Syaza yang menguruskannya. Esok-esok apabila sudah semakin stabil, pasti aku akan menambah pembantu agar Syaza tidak terbeban seperti sekarang. Yelah nak cuti pun agak sukar akibat terlalu sibuk. Bagi pemasangan pelamin, khemah dan juga catering, terdapat sekumpulan pekerja lain yang akan menguruskannya.

            Telefon bimbitku mengalunkan lagu Kasih Tak Sampai. Berlari-lari anak Syaza datang menghulurkan telefon bimbit yang berada di atas meja kepadaku.

            “Assalamualaikum mama.” Ucapku memberi salam kepada si pemanggil.

            “Waalaikumsalam, Dean balik lewat lagi ke hari ni? Kalau lewat, mama dengan daddy datang hantar makanan kat butik ye.” Lembut suara Mama Anis yang penyayang itu.

            “Sounds good. Tapi, tak payah susah-susahlah mama. Pandailah Dean makan kat sini dengan Syaza.”

            Bertuah aku mempunyai ibu tiri sebaik Mama Anis. Walaupun dia tidaklah secantik Siti Nurhaliza, ibu tiri impian aku tetapi dia penyayang dan baik hati. Mama Anis adalah seorang anak dara tua a.k.a andartu yang muda empat tahun daripada daddy. Mereka bertemu di bazar Ramadhan tiga tahun lalu. Setelah tujuh bulan berkawan, akhirnya daddy melamar Mama Anis.  Keputusan daddy aku sambut dengan penuh kesyukuran kerana aku sentiasa mahu yang terbaik buatnya. Aku tahu hati daddy telah lama sunyi dari cinta seorang wanita. Aku hanya mahu melihat daddy dijaga dan dicintai selayaknya seperti lelaki lain.

            “Mama buat ketam masak lemak cili api. Betul ni Dean tak nak? Nanti dah balik lewat, Dean terus tidur. Mana sempat nak makan.” Umpan Mama Anis yang mengetahui masakan kegemaranku.

            Aku menelan liur. Sedapnya! “Eh, nak! Itu lauk kegemaran Dean tu. Mama hantar kat butik ye” Pintaku laju. Tidak sabar rasanya hendak menjamah air tangan Mama Anis yang sememangnya lazat.

            Terdengar gelak kecil di hujung talian. “Okey, sayang. Nanti mama datang dengan daddy. Love you.”

            Setelah aku memberi salam, talian aku matikan. Hish, penangan si ketam. Apabila dah terbayang di ruangan mata, aku nak buat kerja pun tak boleh. Perut mula terasa lapar secara mendadak. Jangan nak buat gila, Dean. Selendang ni orang nak pakai masa nikah tahu tak? Jangan nak buat aniaya pula tak siap selendang pengantin! Aku mengingatkan di dalam hati. Okey,okey. Aku akan gigih menyiapkan selendang ini secepat mungkin. Tangan aku mula menjahit semula.

                                                ******************************

Seperti selalu suasana menjadi ceria apabila daddy dan Mama Anis bertandang ke butik. Ada-ada sahaja yang daddy berceloteh atau memberi komen-komen membina. Aku dan Syaza yang sedang enak menjamu makanan hanya tergelak melihat telatah daddy bersama isteri kesayangannya. Ada hati daddy aku nak mencuba pakaian pengantin berwarna hijau muda yang tergantung kemas. Jangan kata daddy nak kahwin lagi sudah!

            “Uncle bukannya apa Syaza. Saja nak cuba baju pengantin ni, sebab dulu masa uncle kahwin Dean belum pandai jahit baju pengantin. Kalau tidak, confirm tempah dengan dia. Bangga dapat pakai baju yang dijahit oleh anak sendiri.” Daddy masih mahu mencuba pakaian pengantin tersebut. Disarungnya sahaja di tengah-tengah butik ini tanpa membuka baju yang dipakai.

            Aku menggelengkan kepala beberapa kali. “Mengadalah daddy ni. Sejak kahwin daddy semakin gemuk. Mana muat baju tu.” Kataku sambil mencebikkan bibir.

            “Amboi pandai aje cakap daddy dah gemuk. Tengok, muat elok aje kat badan daddy.” Daddy memperagakan baju tersebut di hadapanku. Kekiri dan kekanan tubuhnya dipusingkan tidak ubah seperti seorang model.

            “Sudahlah tu bang. Pakai baju pengantin nanti teringin nak kahwin lagi pulak.” Mama Anis ketawa menutup mulut melihat telatah suaminya.

            “Sayang tetap dihati abang. Tiada yang kedua, ketiga, keempat.” Daddy tersenyum menawan dan mencium lembut tangan Mama Anis.

            “Awak jangan tengok Syaza. Dia orang ni suka buat drama 18SX tak kira dimana saja. Kat rumah lagilah sampai boleh pengsan saya tengoknya.” Aku tergelak besar melihat Syaza asyik memerhatikan aksi pasangan berusia yang bahagia.

            “Jangan nak tipulah Dean. Takkanlah setakat daddy dengan mama duduk tengok televisyen sambil beriba-riba tu pun Dean boleh pengsan.” Sindir daddy yang sedang membuka baju pengantin di badannya. Kemudian diberikan baju tersebut kepada Mama Anis untuk digantung semula.

            “Dean belum kahwin lagilah daddy. Mestilah boleh pengsan tengok aksi romantik tak sedar diri macam tu. Lagi-lagi yang melakukannya pengantin tua.” Aku tergelak lagi. Tidak tahan dengan ayat yang aku sendiri tuturkan.

            “Inilah apabila anak dengan bapak dah berlawan kata. Masing-masing tak mahu kalah. Dua-dua mulut laser.” Celah Mama Anis sambil menggelengkan kepalanya.

            Begitulah aku apabila bersama dengan daddy. Perangai kebudak-budakan juga yang aku buat. Tetapi nasib baik Mama Anis juga jenis yang boleh diajak bergurau. Mungkin dia juga sudah lali dengan gurauan aku yang boleh dikatakan mulut tiada insurans. Well, you know me. Aku dengan daddy memang anak-beranak yang sempoi.

            “Daddy suruh kahwin cepat-cepat tak nak. So, jangan nak kompelin pula ye.” Daddy melabuhkan punggung disisiku.

            Aku yang sedang mengunyah nasi hampir tercekik! Kahwin? No, not now.

            “Belum bersedia lagilah daddy. Butik ni pun baru aje nak ‘bernafas’. Tunggulah sampai Dean dah berjaya nanti.” Aku yang baru meneguk air berasa sedikit lega untuk menjawab soalan cepu emas itu. Nasib baik tak tercekik.

            “Tak baik hampakan harapan orang Cik Dean. Encik Hazriq tu dah lama menunggu nak masuk line.” Syaza yang telah selesai membasuh tangan membuka mulut.

            Hazriq? Kenapalah disebut-sebut nama itu? Pemiliknya sudahlah seakan mempunyai kuasa ajaib. Pantang diseru, pasti dia muncul. Takut aku!

            “Dean ni sengaja jual mahal, kut. Erm…atau Dean sengaja nak menguji sejauh mana usaha Hazriq untuk mendapatkan Dean. Betul tak?” Teka Mama Anis yang tersenyum manis dengan busana muslimahnya. Walaupun berhijab, Mama Anis sangat bergaya orangnya.

            “Helo semua!” Tiba-tiba pintu utama butik ini dibuka dari luar.

            Terpacul wajah lelaki yang disebut-sebut sebentar tadi bersama senyuman manis. Semua mata memandangnya tidak berkelip. Mungkin terkejut dengan kemunculan secara tiba-tiba yang dilakukannya. Aku dah kata dah! Jangan disebut nama itu, kerana dia pasti akan muncul. Keturunan bomoh agaknya budak ni, getus aku di dalam hati.

            Hazriq melangkah masuk dengan penuh bergaya. Pakaiannya yang kemas menunjukkan dia dari tempat kerja atau baru bertemu klien. Rambutnya rapi, penampilannya segak, wajahnya kacak, tetapi entah mengapa aku masih tidak terpaut hati pada lelaki bernama Hazriq Akid ini. Setiap kali berdampingan dengannya aku agak tidak selesa. Caranya membuatkan aku lemas dan rimas. Malah lebih tepat lagi membuatkan aku ‘mencair’. Bukan cair kerana sukakannya tetapi cair dengan cara layanannya yang memualkan aku. Eeeii…meremang bulu roma apabila teringatkan lelaki ini.

            “Kebetulan Hazriq ada area sini. Jadi saja datang singgah. Apa khabar uncle dan auntie?” Sapa Hazriq menghulurkan tangan bersalaman dengan daddy dan Mama Anis. Baik budi pekerti budak Hazriq ni. Tetapi apa yang membuatkan aku kata dia melemaskan dan merimaskan? Tunggu dan lihat!

            “Baik, Alhamdulillah. Hazriq tak kerja ke hari ni? Jemput duduk.” Pelawa daddy yang bingkas bangun menarik kerusi untuk Hazriq.

            Aku yang telah selesai mengemas bekas makanan berlalu ke bahagian belakang. Lebih baik aku mengelakkan diri sebelum aku tidak cukup oksigen untuk bernafas. Bekas-bekas makanan aku cuci dan keringkan di atas rak pinggan. Setelah kering nanti, aku akan masukkan ke dalam beg plastik untuk dibawa pulang ke rumah. Aku membuka pula peti sejuk kecil untuk mengambil air soya. Aku tuangkan di dalam gelas dan meneguknya laju.

            “Cik Dean, daddy dengan mama Cik Dean nak balik tu. Pergilah temankan Encik Hazriq kat depan.” Syaza yang datang ke bahagian dapur kecil ini berbisik.

            Aku diam tidak menjawab. Setelah habis segelas air soya di tangan, aku mencuci gelas tersebut. Syaza masih berdiri di belakang memerhatikan pergerakanku. Temankan? Perlu ke menemani Hazriq? Bukan dia datang sini nak tempah baju pengantin ke, tempah pelamin ke, tapi dia datang sini nak tempah aku. Buang masa aje.

            “Okey, jomlah kita ke depan.” Ujarku dan terus berlalu ke bahagian depan.

            Bayang daddy dan Mama Anis tiada lagi di dalam butik. Pasti mereka telah pulang atau berjalan-jalan di shopping complex berhampiran sini. Kelihatan Hazriq sedang duduk membelek majalah pengantin yang disediakan untuk para pelanggan.

            “Awak duduk dulu ye. Saya ada kerja sikit nak siapkan.” Kataku sambil berdiri memandang Hazriq. Selain daripada mahu mengelak dari melayani lelaki ini, aku memang perlu menyiapkan jahitan manik pada selendang.

            Hazriq mengerutkan dahi. Majalah pengantin di tangannya diletakkan semula ke atas meja. “Saya datang sini nak jumpa awak. Boraklah dengan saya sekejap, please.” Pinta Hazriq separuh merayu.

            Aku membetulkan anak rambut yang terjuntai di dahi. Ruangan yang berpenghawa dingin ini terasa panas tiba-tiba. Boleh sakit jiwa aku kalau selalu cari akal untuk menjauhkan diri tetapi lelaki hati batu ini tetap buat selamba badak. Bukan dia terlalu bodoh untuk menilai bahawa aku seperti tidak berminat untuk berkawan rapat dengannya. Apatah lagi untuk lebih dari itu. Tak nak!

            Melihatkan aku terdiam seperti ‘pak pacak’ di dalam butik sendiri, Hazriq bangun dan memaut lenganku lembut. “Duduk sini.”

            “Okey, tanpa membuang masa sebenarnya saya nak ajak awak dating dengan saya malam ni.” Sambungnya lagi. Kemudian Hazriq meramas tanganku perlahan.

            Bulu roma aku telah mula ingin berdiri tegak. Ah, apa sahaja perbuatan Hazriq pasti bulu roma ini juga tidak setuju. Pasti memberontak ingin berdiri. Adakah aku kurang hormon keperempuanan yang sejati? Sehingga setiap perlakuan tersebut tidak mampu diterima oleh badan mahu pun hati. Akal lagilah kalau boleh nak menyumpah berbakul-bakul.

            “Saya sibuklah. Bulan ni memang sibuk sangat siang malam. Dua puluh empat jam terasa tak cukup. Awak dating dengan orang lain ajelah.” Aku menolak ajakan Hazriq.

            Hazriq bangun dan beralih kedudukan pula di belakangku. Tangannya menyentuh kedua-dua bahuku dan diurut lembut. Adoi, dia buat dah!

            “Kesian awak penat ye. Tapi, kesian juga kat saya yang tak dapat perhatian dari awak. Dah lama kita tak keluar sama. Nak dating dengan orang lain buat apa sedangkan hati dan fikiran saya ni asyik teringatkan awak aje.” Perlahan suara Hazriq menuturkan kata. Kebiasaannya kata-kata Hazriq memang sopan. Dia seorang yang soft spoken.

            Aku bangun untuk melepaskan diri dari urutan Hazriq. Tidak manis pula jika Syaza melihat kami dalam keadaan begini. “Maaflah Hazriq. Tapi saya tak berminat untuk semua tu. Saya…saya…” Aku tergagap untuk meneruskan kata.

            “Syyy…” Hazriq meletakkan jarinya dibibirku. Hey, habislah lipstick aku!

            Dia mendekatkan lagi dirinya kepadaku. Matanya menikam tepat anak mataku sehingga aku sendiri terkedu tanpa mampu berbuat apa-apa. Lelaki ini sering membuat aku serba-salah. Hendak ditolak secara kasar, dia datang dengan cara baik. Hendak dilayankan pula, hati aku tidak berminat. Eh, tak nak tipu-tipu. Minat sedikit tu ada juga sebab dia berjaya dalam kerjaya, baik budi pekerti, rupa yang menawan cuma aku tidak suka dengan cara pendekatannya.

            “Saya tak boleh terima apabila ditolak. Kalau awak tak nak keluar dengan saya malam ni, saya akan berdiri di luar pintu butik awak dari sekarang sampai esok pagi.”

            Ugutan lagi? Ini yang aku lemah dan tak sampai hati. Walaupun usia perkenalan kami baru mencecah sepuluh bulan, telah beberapa kali aku diugut dengan cara sedemikian. Aku juga pernah berdegil dan membuat tidak peduli terhadap kata-kata Hazriq. Tetapi rupanya benar. Dia tetap akan melakukan apa yang dikatakannya walau puas aku merayu. Siap drama air mata segala bagai tetapi tidak berhasil. Dia pernah berdiri di luar pagar rumahku semalaman sehingga jiran-jiran berasa curiga. Malah Hazriq juga pernah mencampakkan telefon bimbitnya yang berharga ribuan ringgit ke dalam parit di depan butik gara-gara aku berpesan agar tidak mencariku lagi. Telefon bimbit itu akhirnya dibawa arus air yang agak deras.

            Aku tersenyum pahit. “Jemput saya jam sembilan malam. Maaf tak boleh diawalkan lagi sebab saya memang banyak kerja kat butik.”

            Aku mengalah juga dengan ugutan Hazriq. Senyuman lebar menghiasi wajah kacak di hadapanku tanda dia berpuas hati. Nasib baiklah kau kacak, Hazriq Akid. Kalau rupa buruk buat perangai macam ni pulak, memang aku terus report polis aje. Jahat pula bisikan hati aku saat ini.

            “No problem. See you tonight.” Hazriq menyentuh lembut pipi kananku sebelum perlahan-lahan menjatuhkan tangannya.

            Aku sekadar mengangguk dan menghantar Hazriq keluar dari butik ini melalui pandangan yang kosong. Lambaian Hazriq juga aku biarkan sepi tanpa balasan. Setelah beberapa minit dalam keadaan begitu, aku akhirnya melangkah untuk meneruskan kerja.

***Asmira Ke Asmara? telah diupdate 2 bab terus untuk hari ini...selamat membaca dan ringankanlah tangan untuk mengomen ye...tQ

3 comments:

Unknown said...

rindu juga kat Amira dan Asmara ni...mungkinkah mereka ni adik beradik kembar?

Anonymous said...

NB - dah tak dipanggil asmira ekkk?

Shizukaz Sue said...

Seri Ayu: Hihi tak..mereka bukan kembar..

NB: Asmira kini dipanggil Dean..nak tahu kenapa? tunggu bab demi bab ye =)