Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, August 11, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 41



             “Takutlah tengok ikan pari besar gedabak macam ni!” Aku memandang ikan pari yang berada di atas kepalaku. Memang besar sangat sampai aku terkejut melihatnya. Rasanya kalau dia nak makan aku pun boleh.

            Hadif tergelak kecil melihat keletahku yang dari tadi mengomel itu ini. Semua benda aku tegur dan memberikan komen. Macam aksi kanak-kanak Ribena pun ada juga. Maklumlah dah terlalu lama aku tidak menjejakkan kaki ke Underwater World dan tempat seumpamanya. Kali terakhir mungkin sewaktu aku berada di sekolah rendah ketika lawatan ke Melaka dan Kuala Lumpur. Entah aku pun tak berapa ingat sangat.

            “Sayang suka makan ikan pari ke? Nanti abang belikan yang besar macam ni nak?” Hadif bertanya dengan nada usikan nakal.

            Aku pantas menggeleng laju. Besar macam ni jangan kata aku, ayah aku pun ragu-ragu nak makan. Mana tahu dalam perut ikan pari tu ada manusia? “Sayang tak makan ikan pari lah.” 

            Hadif mengerutkan kening tanda hairan. “Kenapa pula? Ikan pari bakar cicah sambal asam sedap tau.” Mata Hadif bersinar semasa menyebutnya. Dia telan liur. Nampak sangatlah suka makan ikan pari.

            “Ikan pari satu-satunya ikan yang keluar darah haid. Sayang tak sampai hati nak makan.” Kataku jujur sambil mata masih menatap ikan pari yang riang berenang ke sana ke mari di atas kepala.

            “Macam tu pula? Ada-ada aje sayang ni tau.” Hadif menarik tanganku dan kami bergerak ke hadapan untuk melihat pelbagai lagi jenis haiwan air.

            “Tengok ikan jerung tu. Harap badan aje besar tapi malas pula. Dari tadi tak bergerak pun. Agaknya dia tidur ke?” Aku mendekatkan wajahku ke cermin untuk melihat ikan jerung itu dengan lebih dekat. Matanya terbuka luas tapi aku sendiri tidak tahu adakah ikan akan tidur?

            “Nanti dia ‘ngap’ sayang baru tahu! Tengok dekat-dekat buat ape?” Hadif ketawa lagi. Lucu sangat ke perbuatan aku ini? Biasalah orang yang dah lama tak pergi lawatan tentulah jakun sedikit. Semua benda aku ingin perhatikan betul-betul tandanya aku memang berminat untuk mengetahui tentang haiwan-haiwan disini. Ikan yang pelik-pelik pun ada yang aku memang tak pernah tengok pun sebelum ini.

            Hadif memelukku dari belakang sambil cuba menangkap gambar kami sendiri berlatarkan ikan jerung yang pura-pura tidur di belakang kami. Kemudian kamera digitalnya dihalakan pula ke sana sini untuk menangkap haiwan lain yang menarik perhatiannya. Aku berjalan perlahan-lahan mengikuti Hadif dari belakang sambil sesekali berhenti melihat cermin kaca itu.

            “Cik adik, boleh tolong tangkapkan gambar kite orang tak?” Tiba-tiba terasa bahuku dicuit dari belakang ketika aku leka memerhati kuda laut spesis entah apa. Berbelit benar namanya untuk aku sebut. Aku pantas menoleh dan tersenyum melihat seorang lelaki tampan menghulurkan kameranya kepadaku.

            “Okey, nak ambil kat mana?” Tanyaku dengan ramah. Orang minta tolong apa salahnya? Nak bersikap sombong pun tiada manfaatnya.

            “Sebelah sini. Tu kawan-kawan saya semua dah ready.” Lelaki itu menunjukkan tangannya ke lorong sebelah kanan tidak jauh dari tempat kami berdiri.

            Aku menjenguk sekilas dan beberapa orang lelaki sedang tersenyum sambil riuh mereka menyusun atur kedudukan untuk menangkap gambar. Aku dan lelaki itu terus mengatur langkah kearah mereka.

            “Dah ready semua? Okey, satu dua tiga say cheese!” Kataku sambil menekan punat kamera di tangan.

            One more ye. Aksi bebas pula.” Cadang salah seorang daripada kawan lelaki itu. Sesaat kemudian kedengaran riuh-rendah kelompok lelaki ini menunjukkan aksi yang lebih santai. Bermacam-macam gaya yang dilakukan sehingga aku tergelak sendiri.

            Done!” Kataku sepatah setelah berpuas hati dengan gambar yang aku tangkap. Kemudian aku menghampiri lelaki tadi untuk memberikan kameranya semula.

            “Terima kasih ye cik adik manis.” Ucap lelaki itu sambil menyambut kameranya di tanganku.

            Aku sekadar tersenyum dan mengangguk. Kemudian aku terus membuka langkah untuk kembali semula ke lorong yang aku lalui tadi. Tidak mahu berlama-lama disini bimbang dicari oleh Hadif.

            “Err, nama awak siapa?” Serentak dengan soalan itu terasa lenganku dipaut lembut.

            Aku terkejut dan tertoleh ke belakang. Ternyata aku panik dan riak itu tidak dapat aku sembunyikan dari wajahku saat ini. Aku menarik lenganku dan berundur setapak menjauhinya. Aku menelan liur. Salah aku juga kerana dengan pakaian yang moden ini tentu mana-mana lelaki memikirkan aku jenis berfikiran terbuka dalam pergaulan. Namun hakikatnya tidak! Aku memang gemar berfesyen mengikut gaya terkini namun aku bukan mahukan perhatian dari sesiapa.

            “Aida…Aida Nasuha.” Jawabku ringkas namun dalam nada yang teragak-agak. Ah, sukarnya berkahwin di usia muda remaja sebegini kerana orang lain tidak dapat meramal bahawa aku ini adalah isteri orang. Perlu ke aku tulis di dahi bahawa saya sudah berkahwin? 

            “Sedapnya nama. Saya Luqman.” Lelaki dihadapanku ini menghulurkan salam dengan senyuman yang manis. Matanya tidak lepas memandang seraut wajahku yang kebingungan.

            Lambat-lambat aku menghulurkan tangan untuk menyambut salamnya. Aku tidak mahu lelaki ini berasa malu dan dijatuhkan air mukanya dihadapan teman-teman yang dari tadi memandang sambil berbisik-bisik dengan senyuman nakal. Namun belum sempat tanganku bersentuhan dengan lelaki ini tanganku telah ditarik kembali oleh seseorang.

            “Abang.” Sepatah perkataan itu terpacul dibibirku yang dicolet gincu Simply Siti berwarna merah jambu lembut. Anak mataku pula terpaku pada wajah Hadif yang terang-terangan nampak kurang senang dengan apa yang terjadi disini.

            “Dah selesai pinjam isteri saya? Maaf, kami nak cepat ni.” Wajah Hadif nampak tegang dan serius. Dia langsung tidak menoleh memandang aku tetapi matanya tepat merenung lelaki di hadapan kami yang terpinga-pinga. Tanganku pula digenggam kemas dan kuat. Sampai rasa nak kebas pula diperlakukan begitu. Sah! Hadif nak mengamuk marahkan aku lepas ni.

            Lelaki itu menggaru kepala yang tidak gatal. “Err, dah. Dah. Terima kasih ye.” Lelaki itu terus berpaling dan menuju kearah rakan-rakannya yang menunggu sejak tadi.

            “Apa sayang buat lama-lama kat situ?” Renungan Hadif tajam menikam anak mataku yang semakin mengecil kerana rasa bersalah.

            “Dia minta sayang tolong tangkapkan gambar dia dan kawan-kawannya. Itu aje.” Jawabku sambil tertunduk. Tidak sanggup rasanya bertentang mata dengan Hadif yang sedang hangat hati itu. Berapa kali harus aku katakan yang aku tidak pandai memujuk? Nampak sangat aku bukanlah jenis perempuan kaki rayu untuk membuat lelaki cair melutut dikaki. Nak memujuk pun tak mahir apatah lagi nak merayu.

            Tanganku yang berada di genggaman Hadif aku gerakkan sedikit untuk melonggarkan pegangannya. Terasa lembap tanganku kerana berpeluh kerisauan. Namun Hadif menguatkan lagi genggamannya setiap kali aku menggerakkan jari-jemariku. Aduh, lepaskan tangan akulah Hadif.

            “Dah tu tak reti-reti nak menolak? Suka dapat peluang nak menggatal kan?” Bentak Hadif sedikit tinggi.

            Aku tersentak dan lantas menarik kuat tanganku. Aku dah tak tahan sebenarnya. Hadif pula bukan main lepas mulut menuduh yang bukan-bukan. Sampai hati Hadif! “Abang ni kenapa? Pemikiran macam orang datang dari zaman batu. Perkara biasalah tu kan? Tapi tidak bermakna sayang tolong tu niat nak menggatal.” Aku lantas mempercepatkan langkah dan berjalan terus kehadapan untuk melihat ke bahagian haiwan yang telah diawetkan.

            Hadif mengejarku dari belakang dan cuba untuk menyaingi langkah kakiku yang semakin laju. Aku malas bertekak dengan Hadif untuk perkara yang tidak menguntungkan. Aku dapat membaca riak cemburu di wajah Hadif tetapi tuduhannya itu melampau benar di telingaku. Pedih dan sakit hati dibuatnya. Ah, cemburu pun bertempatlah sedikit! 

            “Okey fine sayang tolong dia tangkap gambar. Tapi sampai nak bersalam-salam macam orang nak berkenalan tu kenapa? Sengaja buka peluang namanya tu.” Hadif masih bersikap sinis terhadapku. Renungan tajamnya juga masih belum surut melekap di wajah. Aku berjalan sambil melihat-lihat haiwan laut yang telah diawet dan dijadikan bahan pameran disini. Cuba berlagak selamba mungkin kerana ikutkan hati, mahu sahaja aku marah-marah pada Hadif. Inilah jadinya apabila anak tunggal bersatu dengan anak sulung. Masing-masing dah biasa jadi ketua! 

            “Sayang ni cantik. Mestilah ramai nak berkenalan. Tapi bukan salah sayang apabila ramai orang tak dapat menjangka yang sayang ni dah berkahwin. Lainlah kalau ada tulis kat dahi sayang ni.” Balasku sengaja memerli Hadif. Jangan mudah sangat menyalahkan orang lain atas sesuatu yang berlaku. Aku tidak biasa begitu. Dia sebagai suami patutnya jalan disisiku agar tiada perkara yang mencurigakan sebegini berlaku.

            Hadif mendengus kasar. Nampaknya aku memang sengaja menyimbah minyak ke hatinya yang sedang membara. “Sayang ni langsung tak pandai jaga diri sendiri kan? Pantang suami tak ada depan mata, ada aje yang nak menghimpit.”

            Aku segera menoleh dan menjeling Hadif tajam. “Selama sayang hidup dua puluh satu tahun ni, pandai aje sayang jaga diri sendiri. Kalau tidak, abang pun tak akan dapat sayang yang hari ini. Sayang seorang gadis yang suci dan tidak pernah merokok, minum arak mahupun berpoya-poya. Cuma sayang mungkin nampak moden dimata orang lain tapi itu bukan bermakna sayang ni perempuan murahan!” 

            Turun naik nafasku cuba menahan marah. Aku tidak mahu meninggikan suara kerana bimbang ada mata-mata yang memandang drama sebabak kami suami isteri. Tetapi Hadif memang tak patut terlalu sinis dengan aku kerana hal sebegini. Memang dia belum cukup mengenali aku sedalam-dalamnya namun semurah itu dia menuduh aku? Geramnya!

            Hadif mengeluh lagi. Pandangan matanya menyapu bersih segenap wajahku yang masih menahan marah. “Sayang ni boleh tahan keras kepala kan? Pantang ditegur. Kita ni separuh mati cemburukan dia yang mudah sangat dihimpit lelaki lain. Tapi dia pula yang lebih-lebih nak marah.” Nada suara Hadif sudah mulai kendur. Dia menggapai tanganku dan ditarik rapat ke dadanya.

            “Mahunya tak marah. Kalau nak tegur, bukan macam tu caranya. Itu abang menuduh sayang, bukan menegur. Kecik hati sayang tahu tak?” Aku mengalihkan pandang kearah lain. Masih belum mahu menatap mata Hadif. Masih terasa dan berbekas dengan setiap kata-katanya. 

            “Okey, okey sayang. Abang minta maaf ye. Lain kali abang tegur elok-elok kalau sayang ada buat salah. Lain kali beringat sikit yang suami sayang ni cemburu orangnya. Jangan mudah dekat dengan mana-mana lelaki tau.” Hadif memujukku tanda beralah dan mengangkat bendera putih. Pipiku disentuh lembut dan kemudian Hadif membelai rambutku yang panjang melepasi bahu. Terasa kasih-sayangnya mengalir cepat di pembuluh darah. Menyejukkan darahku yang sedang panas dan hati yang menyala sebentar tadi. Aku tesenyum dan mengangguk perlahan. Dalam hati terasa segan juga kerana tunjuk perangai keras kepala dengan Hadif. Cepat sahaja nak melenting sama, apabila suami sedang marah atau cemburu. 

Arghh, aku kena daftar masuk kelas anger management nampaknya!

No comments: