Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Tuesday, August 12, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 47




            Morning Puan Aida. Awal sampai?” Sapa satu suara dari muka pintu bilik pantri. Aku yang sedang membancuh Teh Cameron Valley berperisa strawbery yang dibeli khas dari Cameron Highlands mengangkat wajah.

            Morning. Masih awal sepuluh minit. Siapa nama? Maaflah semalam tak dapat nak cam dan ingat semua nama.” Balasku sambil tersenyum manis dipagi hari. Mulakan hari dengan senyuman, tamatkan hari dengan kejayaan.

            “Awin. Saya assistant manager kat sini. Semalam saya ambil cuti, jadi tak dapatlah nak jumpa Puan Aida semalam.” Ramah gadis ini berbicara sambil tangannya mencapai mug yang tergantung dan mengisinya dengan air panas.

            “Saya kena panggil Kak Awinlah kan? Rasanya saya lagi muda kut. Nak teh strawbery? Saya bawa dari rumah.” Aku tersengih sambil menghulurkan kotak teh kepadanya. Apa salahnya aku bawa teh dari rumah kerana ada berkotak-kotak kat rumah tu. Menurut kata Mak Dian, Pakcik Mahmod sendiri akan membelikan teh itu dari Cameron Highlands pada setiap bulan semasa mama dan papa tinggal di sini. Tekak orang kaya, nak yang terbaik aje kut.

            “Boleh juga nak panggil Kak Awin. Saya dah dua puluh sembilan tahun. Tapi masih membujang. Lainlah Puan Aida muda-muda lagi dah dipinang tuan Hadif. Bertuah badan.” Kak Awin menyambut kotak teh dan merendam satu uncang ke dalam cawannya.

            Aku tersengih dan kemudian duduk di meja yang disediakan di dalam pantri. Teh didalam cawan aku tiup dan aku hirup perlahan. Segarnya! Sedap betul rasa teh ini. Patutlah mama dan papa suka. Nasib baik ada lebihan kotak tidak dihabiskan yang tinggal di rumah. Dapatlah aku merasa sekaki. Kak Awin yang telah siap membancuh teh ikut duduk di sisiku.

            “Dah jodoh saya Kak Awin. Hah, nanti saya nak minta tolong Kak Awin tunjukkan tentang rekod prestasi kakitangan. Ada benda sikit yang saya tak faham.” Kataku sambil menghirup lagi baki teh di dalam cawan.

            Kak Awin menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Boleh, boleh. Nanti akak datang bilik puan. Puan Nageshwari tak masuk pejabat hari ni sebab pergi meeting kat Putrajaya.”

            “Oh, okey. Erm, akak panggil saya Aida ajelah. Tak payah panggil puan.” Usulku kepada Kak Awin. Walaupun aku masih ingat pesanan Hadif namun ternyata aku kekok menggunakan gelaran itu dipangkal nama. Apatah lagi terasa sukar untuk aku berkawan dengan sesiapa disini kerana mereka juga merasa segan untuk mendekatiku.

            “Mana boleh Puan Aida. Kat pejabat kenalah hormat majikan. Kalau kat luar tu bolehlah saya anggap puan macam seorang kawan.” Bidas Kak Awin sambil menyuapkan biskut gula ke dalam mulut.

            Aku terdiam dan berfikir seketika. Betul juga tu. Mesti para pekerja juga akan merasa kekok andai melayanku sebagai pekerja biasa. Hakikatnya semua orang tahu aku dan Hadif adalah pemilik baru syarikat ini.

            “Bukan kawanlah Kak Awin. Tapi seorang adik.” Aku ketawa kecil dan Kak Awin juga turut tersenyum senang. Kami menghabiskan baki minuman masing-masing sebelum sama-sama berlalu keluar dari pantri menuju ke bilik aku.



Telefon di atas meja yang berdering aku angkat sambil sebelah tangan lagi masih menekan papan kekunci komputer. “Yes, Aida Nasuha speaking.” Jawabku acuh tidak acuh. Setahu aku, aku tidak berhubung dengan pihak luar memandangkan aku hanya pekerja sementara sahaja disini. Jadi aku lebih kepada kerja-kerja pengurusan di dalam pejabat. Jadi, siapa pula yang telefon ke bilik ini?

            I miss you sayang.” Sebaris ayat itu membuatkan tanganku yang ligat menaip terhenti. Hadif rupanya, aku fikirkan siapalah tadi yang gatal tangan menghubungiku.

            I miss you too hubby. Sayang tengah sibuk sebab esok kena bagi pada Puan Nagesh awal-awal pagi, semua benda alah ni. Banyaknya faham-faham ajelah berapa ramai pekerja kat sini. Takut tak sempat siap kalau sayang curi tulang.” Lancar sahaja mulutku mengomel menceritakan kepada Hadif. Macamlah Hadif nampak apa yang sedang aku lakukan sekarang.

            “Amboi, bercakap dengan suami sendiri pun dikatakan curi tulang. Workaholic betul sayang ni! Kalau tak boleh cakap dengan abang, nanti abang pecat sayang baru tahu.” Kedengaran suara Hadif yang berbaur merajuk di hujung talian.

            Aku tergelak besar mendengar ayat manja Hadif. Ada hati nak pecat aku konon! “Mana boleh pecat, kan sayang pemilik syarikat ni jugak?” Jawabku sengaja mengusik Hadif. Mesti muka dia tengah comel gila sekarang ni. Terasa rugi pula tidak berada berhampiran dengannya.

            Terdengar keluhan dilepaskan. “Ni yang susahnya apabila isteri sama-sama berkuasa.” 

            Aku menutup mulut menahan tawa. “Alololo…sayang gurau ajelah. Nanti kita lunch sama-sama ye.” Pujukku semula.

            “Abang tak dapatlah sayang. Sekejap lagi abang kena ikut Uncle Wahab melawat site. Maybe balik petang sikit. Kalau terlewat, abang suruh Pakcik Mahmod jemput sayang okey.” Jawapan Hadif membuatkan bibirku yang menguntum senyum kembali kelat. Hadif nak tinggalkan aku sendiri pada hari kedua aku bekerja disini? Dengan siapa aku nak makan? Bukan aku kenal rapat pun pekerja kat sini. Aduh, mati kutu aku dibuatnya.

            “Okey. Take care abang.” Itu sahaja ayat yang dapat aku ucapkan. Mati mood aku tiba-tiba mendengar perkhabaran dari Hadif. Eeee, tak sensitif langsung kaum adam ni. Mana boleh kaum hawa sepertiku hidup seorang diri tanpa teman? Alangkah bagusnya kalau Wawa dan Akma ada disaat ini bersama denganku seperti di kampus. Indahnya waktu bersama-sama.

            You too. Anything you can call or text me okey. I love you so much.”

            Aku menelan liur. Nampaknya tak turun makanlah aku hari ini atau aku pergi beli nasi bungkus aje nanti. Nak makan seorang diri? Tak mahulah. Terasa macam kera sumbang pulak. “I love you more.”

            Setelah meletakkan gagang telefon aku bersandar lemah. Hilang fokus terhadap apa yang terpapar di skrin komputer sejak pagi tadi. Sudahlah, malas nak fikir. Benda remeh aje Aida Nasuha, oi! Macam mana nak jadi peneraju syarikat sebesar ini kalau makan seorang diri pun tak mampu kau lakukan? Aku mengejek diri sendiri yang masih tidak menjadi matang. Gelaran seorang isteri yang aku sandang pada umur dua puluh satu tahun dan kini tanggungjawab serta kepercayaan yang diberikan oleh papa memaksa aku menjadi insan yang lebih matang dari usia sebenar. Grow up! Grow old!



“Akak tak turun makan ke?” Aku yang lalu dihadapan bilik Kak Awin sengaja datang singgah untuk berjumpanya. 

            Kak Awin yang masih tekun menulis sesuatu di atas buku log mengangkat wajah memandang aku. “Puan Aida! Ingatkan siapa tadi. Terkejut akak.” Kak Awin tersengih sambil memegang dadanya.

            Aku menggaru kepala yang tidak gatal. “Sorry tak ketuk pintu sebelum masuk sebab tengok pintu terbuka luas aje. Akak tak turun makan ke?” Aku mengulang soalan yang sama kerana masih belum mendapat jawapan.

            “Tak apa. Erm, nak turunlah ni. Nak pergi makan kat Restoran Simpang Tiga hujung sana. Puan nak pergi makan dengan Tuan Hadif ye?” Kak Awin menutup pen dan memasukkan batang pen ke dalam cawan hiasan di sudut mejanya. Kemas dan wangi bilik Kak Awin ni apatah lagi dengan kehadiran sejambak bunga segar di dalam pasu. Mesti Kak Awin ni jenis jiwang-jiwang, teka akalku.

            Aku menggelengkan kepala lemah. “Suami saya ikut Uncle Wahab pergi melawat site. Petang baru balik. Boleh tak kalau saya ikut Kak Awin pergi makan?” Aku bertanya dengan rasa ragu-ragu. Bimbang juga mana tahu Kak Awin nak pergi dating dengan buah hati. Kacau daun aje kalau aku menyibuk sama.

            Sure, why not? Kak Awin pun pergi berdua aje dengan Abang Nizam. Jomlah join sekali.” Kak Awin tersenyum dan bingkas bangun sambil menyangkut beg tangan ke bahunya.

            Aku menggaru kepala lagi. Abang Nizam mana pula ni? Dah agak dah, Kak Awin mesti nak makan dengan buah hati. Baik aku tak payah ikut. “Eh, tak apalah kak. Saya bungkus aje makan kat bilik. Nanti marah pula boyfriend akak kalau saya ikut sama.” Aku sudah berkira-kira mahu keluar dari bilik Kak Awin.

            “Eh, Abang Nizam tu Pengurus Pemasaran kat syarikat ni. Bukannya boyfriend akak pun. Kami kawan ajelah. Jomlah ikut sekali. Dia mesti suka dapat kenal dengan puan.” Terang Kak Awin. Dia memaut lenganku untuk sama-sama melangkah.

            “Betul ni tak kisah saya ikut?” Aku bertanya lagi untuk mendapatkan kepastian. Manalah tahu Kak Awin hanya mahu menjaga hati majikannya sahaja. Aku tidak mahu menyusahkan Kak Awin pula nanti.

            Laju sahaja Kak Awin mengangguk. “Akak lagi suka. Tak adalah orang nak gosip kalau nampak akak berdua aje dengan Abang Nizam tu.” 

            Aku tergelak dan terus berjalan beriringan dengan Kak Awin menuju kearah lif. Di dalam lif terdapat beberapa orang pekerja yang menyapaku. Sungguh, aku masih kekok menjadi orang penting di syarikat ini. Menjadi seperti orang terkenal yang perlu tersenyum setiap masa seperti seorang artis melayan para peminatnya. Gedik sungguh bunyinya tu, Aida Nasuha!

            Setibanya kami di pintu keluar utama, lelaki yang dikatakan Abang Nizam itu sudah sedia tercegat bersandar di tepi tiang. “Nizam, aku bawa Puan Aida sekali nak pergi makan. Tuan Hadif pergi melawat site.” Tegur Kak Awin memberitahu Abang Nizam.

            “Eh, apa salahnya. Jom puan kita pergi makan kat hujung sana tu.” Abang Nizam tersenyum dan menunjukkan tangannya ke seberang sana.

            Aku hanya tersenyum dan menganggukkan kepala. Kemudian kami bertiga berjalan kaki menuju ke Restoran Simpang Tiga yang dimaksudkan. Cantik juga restoran ini yang menyediakan juadah makanan Minangkabau untuk para pengunjung. Kami memilih tempat duduk yang betul-betul dibawah kipas angin. Maklumlah keluar sahaja dari suasana berpenghawa dingin membuatkan kulit menjadi tidak selesa dan mudah panas. Itulah kelemahan bekerja di dalam pejabat.

            Setelah membuat pesanan makanan, Kak Awin berbual-bual kosong dengan Abang Nizam. Aku hanya mendiamkan diri dan sesekali bersuara apabila perlu.

            “Macam mana Tuan Hadif mengurat Puan Aida ye? Mesti ayat power nak buat gadis cantik macam puan ni cair.” Tiba-tiba Abang Nizam bertanya soalan cepu emas. Masak aku!

            Aku menelan liur dan berdehem beberapa kali. Ingatkan aku dah terlepas dari dosa menipu sejak aku dan Hadif berterus-terang mengenai status kami di kampus. Hari ini nampaknya dosa menipu itu akan dicatat semula dibahu kiriku. Melainkan aku nak bersikap mulut tempayan menceritakan hal sebenar bahawa kami kahwin atas pilihan keluarga. Nak mampus?

            “Biasa-biasa ajelah Abang Nizam. Cinta kampus.” Aku menjawab ringkas atau lebih tepat lagi jawapan selamat.

            “Cinta kampus ni seronok kan? Zaman remajalah katakan. Tapi sayangnya cinta kampus akak tak berkekalan. Lepas habis belajar masing-masing duduk jauh, tak lama tu terputus macam tu aje.” Luah Kak Awin yang mengelap dahinya dengan tisu akibat manik-manik halus yang keluar semasa kami berjalan kaki tadi.

Aku menganggukkan kepala. “Belum sampai jodoh akak lagilah tu.” Jawabku dengan rasa simpati. Aku juga takut membayangkan kalau pada umur Kak Awin aku masih tidak mempunyai teman lelaki. Aku tidak mahu menjadi ‘andartu’. Kesitu pula aku ni. Aku dah selamat jadi hak milik kekal Hadif dah pun.

“Ruginya abang tak bercinta masa belajar dulu. Konon-konon fokus study. Sekarang ni, mak abang dah bising tanya pasal calon menantu pulak. Mana abang nak cari ni?” Sampuk Abang Nizam berseloroh pula. 

Pecah ketawa aku dan Kak Awin mendengar kata-kata Abang Nizam itu. Macam-macam perihal manusia ni kan? “Kadang-kadang jodoh kita ada dekat aje dengan kita. Tapi kita tak perasan. Sampai masa nanti tentu jumpa.” Aku menjeling sekilas ke wajah Kak Awin yang masih selamba. Nampak sepadan mereka berdua ni. Masing-masing solo apa tunggu lagi? Pandai-pandai aje aku memadankan orang.

Perbualan kami terhenti seketika apabila pelayan datang membawa makanan dan minuman yang dipesan. Masing-masing mula membaca doa dan menikmati juadah tengah hari yang lazat ini. Suasana kembali tenang. Aku menarik nafas lega kerana tiada penipuan yang lebih teruk berlaku. Otak aku yang penuh dengan data pekerja sejak pagi tadi seperti tiada ruang untuk mencari modal menipu. Lembap dan berat otak aku saat ini.

Namun di dalam hati aku bersyukur kerana ada teman untuk makan tengah hari bersama. Terima kasih Kak Awin dan Abang Nizam.

No comments: