Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Tuesday, May 7, 2013

Asmira Ke Asmara? Bab 27


             Pandangan mata daddy dan aku bersatu. Bibir daddy bergerak-gerak seperti ingin meluahkan sesuatu tetapi suaranya tidak kedengaran. Aku menahan getaran dada yang semakin berkecamuk. Rasa ingin tahu yang terlalu tinggi membuatkan aku tekad menyatakan hasrat kepada daddy. Namun inilah yang terjadi apabila daddy terdiam setelah aku selesai berbicara.

            “Maafkan Dean daddy. Dean harap sangat dapat jemput dia ke majlis perkahwinan tu nanti. Walaupun itu mungkin kali pertama dan terakhir Dean melihat dia. Itu aje permintaan Dean…” Aku bersuara lirih. Tidak sanggup menatap sepasang mata yang duka, akhirnya aku tertunduk memandang lantai.

            Nasib baik Mama Anis keluar bersama temannya dan masih belum pulang. Kalau tidak, mungkin aku tidak dapat berterus-terang dengan daddy tentang hasrat di hati pada hari ini. Aku rasa masanya telah cukup sesuai untuk menghadapi kenyataan. Aku telah dewasa dan bakal berumahtangga.

            “Jadi memang selama ni Dean tahu mummy masih hidup?” Daddy menanggalkan kaca matanya perlahan dan diletakkan di meja sisi.

            Aku mengangguk lemah. “Macam yang Dean ceritakan tadi. Dean terbaca diari lama daddy. Tapi Dean terpaksa berpura-pura tak tahu. Dean tak nak lukakan hati daddy. Bagilah Dean jumpa dia sekali aje, please…”

            Daddy meraup wajah yang kelihatan kusut. Permintaan aku nampaknya berat untuknya. Namun semakin lama dipendam, semakin tak tenang aku jadinya. Aku perlu berjumpa dengan mummy setelah berpuluh tahun dia meninggalkan kami dua beranak. Bukan penjelasan yang aku pinta, cukuplah sekadar mengenali wajah yang melahirkan aku ke dunia ini.

            “Dia tak pernah cari kita Dean. Dia bahagia dengan hidup dia, dengan jalan yang dia nak. Tak perlu kita datang dalam hidup dia. Tak cukup ke kasih sayang daddy selama ni?”

            Soalan daddy menghenyak aku. Perasaan serba salah mula bertandang. “Bukan macam tu. Sekali ni aje Dean nak jumpa dia, nak tengok muka dia. Dean memang membenci dia tapi, dia tetap ibu yang melahirkan Dean ke dunia ni.”

            Air jernih mula bergenang di pelupuk mata. Pada siapa aku ingin meminta bantuan kalau tidak pada daddy? Arwah nenek pula sudah lama tiada. Aku tersedu menahan tangis. Perkara ini telah banyak mengganggu perasaan aku sejak kebelakangan ini. Kadangkala aku sukar melelapkan mata memikirkan dimana agaknya mummy sekarang. Masih hidupkah dia? Kalau sudah meninggal, siapa yang tahu kuburnya?

            “Baik. Dean boleh cari dia tapi daddy tak akan bantu. Sewaktu kami berpisah dulu, dia lari ke Singapura untuk bekerja disana. Sekarang, entahlah. Mungkin dah balik ke Australia tempat asalnya.” Daddy memakai semula kaca mata dan terus beredar masuk ke dalam bilik.

            Aku memandang sepi kelibat daddy dari belakang. Ternyata hati daddy masih tidak dapat menerima perbuatan mummy. Aku bersandar ke belakang. Nafas panjang aku lepaskan perlahan untuk meredakan esakan yang semakin menjadi-jadi. Kenapa baru sekarang pintu hati aku terbuka untuk mencari perempuan itu? Setelah berpuluh tahun berlalu…dimana hendak aku mulakan pencarian? Fikiran aku buntu!

            “Assalamualaikum.”

            Aku pantas menyeka airmata yang turun laju. “Waalaikumsalam.”

            “Eh, kenapa Dean menangis ni sayang? Masalah dengan Asmara ke?” Mama Anis terus meluru kearahku dan meletakkan bungkusan-bungkusan beg plastik diatas lantai.

            Pantas aku menggeleng dan bibir mengukir senyuman tawar. Di dalam otak ligat berfikir alasan yang hendak diberitahu kepada Mama Anis. Aku tidak mahu Mama Anis terasa hati apabila hal mummy berbangkit di dalam rumah ini.

            “Dean dengan Asmara okey aje.” Jawabku perlahan.

            “Then? Masalah apa kali ni?” Mama Anis mengerutkan keningnya. Wajahku ditatap penuh prihatin.

            “Er…tak ada apa-apalah. Mama tak perlu risau.” Aku tunduk dengan kedua-dua belah tangan memeluk tubuh. Serba-salah aku jadinya.

            “Dean teringin nak jumpa mummy dia!” Suara daddy yang tiba-tiba muncul dari muka pintu bilik mengejutkan kami.

            “Mummy?” Mama Anis terpinga-pinga.

            “Abang dan Deanna sebenarnya…bercerai hidup. Dia tak meninggal seperti yang abang ceritakan.”

            Mulut Mama Anis terlopong. Wajah suaminya dan wajah aku ditatap silih berganti. “Kenapa abang tipu selama ni?”

            Aku mengeluh lemah. Kan aku dah agak, pasti timbul soal lain. Kenapalah daddy dengan yakinnya berkata begitu tadi? Argh….

            “Maafkan abang. Memang kami berpisah sejak Dean berusia lapan bulan lagi. Dan sejak itu Dean juga diberitahu bahawa mummy telah meninggal dunia. Rupa-rupanya selama ni Dean tahu perempuan tu masih hidup.” Daddy melangkah dan berdiri di hadapan aku.

            “Mana dia sekarang?” Mama Anis bangun merapati tubuh suaminya.

            Daddy menjungkit bahu dan memandang tajam kearahku yang masih membisu seribu bahasa. “I don’t know. Dia nak cari, carilah sendiri. Jujurnya kami tak pernah berhubung sejak berpisah. Dah dapat apa yang dia nak, buat apa lagi dia nak tunjuk muka.”

            “Dapat apa daddy?” Aku juga bingkas bangun.

            Daddy menghela nafas keras. Dia memusingkan tubuh untuk segera beredar. Aku pantas memegang lengan daddy agar tidak jadi untuk melangkah.

            “Cakap daddy. Apa yang dia dapat?!” Suaraku tinggi tiba-tiba. Kerutan di wajah daddy dan Mama Anis menunjukkan mereka terkejut dengan reaksiku sebentar tadi.

            Sebenarnya aku tidak sedar bahawa intonasiku berubah menjadi nyaring. Sifat ingin tahu telah membuat aku mendesak daddy. Tapi itu bukan sikap aku yang biasa.

            “Seratus ribu sebagai harga untuk berikan Dean pada daddy.”

            Ayat itu umpama halilintar membelah bumi. Ya, bumi hatiku yang terasa terbakar hangus! Itukah nilainya yang mummy letakkan untuk aku? Airmata kembali menitis membasahi pipi.

            “Daddy tipu!” Jeritku sambil menutup telinga dengan tapak tangan.

            Mama Anis segera memelukku. Mungkin Mama Anis tahu bagaimana perasaan aku apabila mengetahui hal yang sebenarnya.

            “Dia minta duit tu sebagai pertukaran. Bermakna dia lebih pentingkan duit daripada zuriat dia sendiri. Sebab tu daddy tak setuju Dean cari dia. Sekarang Dean faham kan?”

            Aku menangis teresak di dalam pelukan Mama Anis. Pertanyaan daddy terbiar sepi tanpa jawapan. Siapa yang tidak berasa hancur hati apabila ibu kandung sendiri sanggup meletakkan harga untuk anaknya? Tergamak mummy….

            “Daddy tanya ni, Dean dah faham?” Soalan itu berulang lagi.

            Tangisan aku semakin kuat kedengaran sehingga bahuku turut terhinjut-hinjut. Aku bangun dan terus berlari masuk kedalam bilik. Pintu bilik aku kunci dari dalam. Aku tidak mahu diganggu oleh sesiapa buat masa ini. Walaupun ada ketukan beberapa kali diselangi suara Mama Anis, aku masih diam membatu.

            Aku duduk menghadap cermin solek dengan tangisan yang masih belum reda. Aku renung dalam-dalam seraut wajahku. Setiap inci aku perhatikan. Apa salah Dean, mummy? Kenapa mummy tak pernah cari Dean? Untuk apa mummy letak harga pada diri Dean? Pelbagai persoalan mengasak fikiran. Aku yakin benar daddy tidak akan memberikan jawapan untuk setiap persoalan ini. Cara daddy sebentar tadi pun lain macam. Daddy tak pernah sebegitu rupa. Teruk sangatkah perempuan bernama Deanna Drawson? Mengapa mereka boleh berpisah pada usia anak baru lapan bulan?

            Aku tunduk melurut rambut dengan kedua belah tangan. Semakin jauh aku berfikir, semakin tersesat aku dalam permainan minda yang bercelaru. Akhirnya kaki aku hala menuju ke bilik air. Aku mengambil wuduk dan bersolat. Setelah selesai, aku duduk berteleku di atas tikar sejadah. Doa aku panjatkan agar ketenangan meresap dalam jiwa. Biarlah segala simpulan dapat dirungkai dengan petunjuk-Nya. Airmata menitis lagi. Aku sebak kerana buat pertama kalinya aku mendoakan untuk insan yang melahirkan aku. Walau dimana dia berada, biar seburuk apa pun dia, lindungilah dia Ya Allah….Berkatilah hidupnya….Ampunkan semua dosa-dosanya….kerana dia adalah ibuku, yang bersusah payah mengandungkanku selama sembilan bulan sepuluh hari dan menahan derita untuk melahirkan satu nyawa kedunia ini.

            Setelah aku meraup wajah, tangan membuka telekung perlahan-lahan. Kemudian aku melangkah merapati jendela kaca bilik ini. Mata aku tatap ke langit. Aku yakin, andai dia masih hidup kami melihat langit yang sama. Masih berdiri di bumi Allah yang luas ini. Aku menutup mata dan menarik nafas dalam-dalam. Terasa sesak dada dengan bermacam rasa. Dalam menghitung hari bahagia bersama Asmara, perkara ini pula muncul mengganggu jiwa. Hidup sentiasa ada pasang dan surut, bahagia dan duka. Aku redha.


                                                *****************************


 “Makanlah sikit lagi. Muka tu dah pucat semacam.” Sudu disua lagi mendekati bibir.

            Aku menggeleng. “Dah kenyang.”

            “Kenyang? Makan dua tiga suap boleh kenyang ke? Please sayang…makan sikit lagi okey.” Asmara masih bersabar memujuk. Sejak tadi drama sebabak untuk menyuapkan aku makan masih belum selesai. Nasiblah dapat bakal suami yang penyabar.

            “Saya tak ada selera, sebenarnya.” Aku tersenyum tawar sambil membetulkan duduk. Sejak semalam aku tidak keluar dari bilik. Baru hari ini menjamah sedikit nasi. Mana tak lemah badan tu.

            Asmara menjeling sekilas wajahku sebelum meletakkan pinggan disisinya. Kemudian lengan baju kemeja dilipat sedikit tinggi. Aku sekadar memerhati perbuatannya. Tak ada yang pelik pun. Aku bersandar di kepala katil. Kelihatan bersahaja dan santai walaupun terasa lemah.

            “Okey, saya faham. Mula-mula sayang kata tak lapar. Kemudian mulut malas nak mengunyah, dah kenyang dan last sekali tak ada selera.” Tiba-tiba wajah Asmara bertukar riak. Menjadi serius semacam.

            Aku mengerutkan kening. “So?” Soalku yang agak terpinga-pinga dengan ayat penyata tersebut.

            Kening Asmara terjungkit sedikit. “Saya nak cabut gigi sayang. Dapat sebatang pun jadilah. Nanti dah sakit, baru tahu macam mana rasanya tak boleh makan. Sihat walafiat macam ni ngada-ngada tak nak makan.”

            Aku tercengang dengan kata-kata yang keluar dari mulut bakal suamiku ini. Biar betul? Sanggup dia nak cabut gigi aku hanya kerana tak nak makan?

            “Eh, janganlah!” Aku menekup mulut. Mataku membulat melihat Asmara sudah semakin mendekati.

            “Kenapa pula jangan? Biar tahu macam mana rasanya sakit gigi.” Katanya tanpa nada. Asmara benar-benar serius? Langsung tiada segaris senyuman di wajahnya saat ini.

            Aku pantas menggeleng laju. Bayangan ngeri terasa menyapa di depan mata. Situasinya aku bersanding di atas singgahsana nan indah. Aku terasa bahagia yang amat lalu tersenyum penuh yakin. Tiba-tiba teringat bahawa aku tiada satu batang gigi!  “Macam mana nak naik pelamin kalau hilang satu gigi?”

            “Dan macam mana nak naik pelamin kalau tak nak makan? Berat badan turun, kesihatan terjejas, muka cengkung…” Belum sempat Asmara membebel panjang lebar aku terus menekup mulutnya dengan tangan.

            “Okey, okey saya makan.” Kataku sambil tersengih dengan muka tak bersalah.

            Asmara mengambil tanganku dan digenggam erat. “Good girl. Jangan buat saya risau tengok keadaan sayang macam ni. Apa pun masalah dalam hidup kita, makan tetap wajib makan. Masalah tu tak akan selesai kalau kita mogok lapar sekalipun.”

            “Yelah tu. Masalah pun tak akan selesai kalau awak cabut gigi saya!” Aku mencebikkan bibir. Mentang-mentanglah dia doktor gigi, kerjanya asyik nak cabut gigi orang. Eeeii….geram tau!

            Asmara tergelak kecil. Hilang wajah serius yang dipamirkan seketika tadi. Tangannya kembali mencapai pinggan yang terletak di sisi. “Sayang ni kelakarlah. Mana boleh cabut gigi kat sini. Saya mana ada peralatan.”

            Asmara menggelengkan kepalanya beberapa kali sambil menghabiskan sisa-sisa gelak. Aku masih mencebikkan bibir. Di dalam hati terasa malu yang amat sangat. Melayan perasaan yang gundah aje sampai berfikir logik pun tak boleh. Betul juga, mana boleh cabut gigi kat rumah. Ah, manalah aku tahu kut-kut Asmara nak kapak gigi aku. Ketuk guna lesung batu ke?

            “Sudah, sudah! Buka mulut sekarang. Cepat habiskan nasi dalam pinggan ni. Tak payah nak berfikir yang bukan-bukan. Otak sayang tu bukan boleh percaya. Saya tak guna kapak atau lesung batu untuk patahkan gigi orang. Paling dahsyat pun saya guna playar aje.”

            Gulp. Aku menelan liur yang terasa seperti berpasir. Aku ada terlepas cakap ke tadi? Mungkin otak aku ada pembesar suara yang orang luar boleh dengar? Apabila sudu disua, aku segera membuka mulut. Aku perlu menghabiskan sepinggan nasi untuk menyelamatkan sebatang gigi.

            Kesimpulannya jangan ingat doktor tak berbahaya! ^_*

2 comments:

Anonymous said...

Salam... adehh.. lama benar saya x online utk baca N3 dari Shiz..Anyway, saya fhm perasaan Dean utk mncari seorg ibu yg xprnah dia tatap.. pd saya, apa pun yg prnah terjadi, ibu tetap ibu.. walaupun kekadang apa yg prnah d laku kn x melambang kn `keibuan'nya... PS... Shiz, all the best for your future.. smoga d permudahkn segalanya.. Amin!! ~nyss

Shizukaz Sue said...

Wsalam nyss..hehe alhamdulillah so far so good..=) thanks masih mengikuti entry blog ni..kalau boleh mmg hari2 nk update tp masa terlalu padat..teruskan bg sokongan ye