Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, August 11, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 40



        Sejak jam sembilan pagi tadi kami telah dijemput oleh ajen pelancongan dengan menaiki van dan membawa kami ke satu perhentian kecil di Awana Porto Malai untuk menunggu bot. Setelah mengumpulkan semua penumpang yang mengambil khidmat agensi tersebut, kami bertolak menaiki bot untuk ke tiga pulau. Destinasi pertama ialah ke Pulau Beras Basah. Kami diberi masa selama satu jam untuk berada di pulau ini. 

            Aku dan Hadif yang telah siap berpakaian untuk mandi-manda di pantai terus meletakkan beg galas yang dibawa dan terjun ke laut. Hadif mengenakan seluar pendek dan telah menanggalkan t-shirt yang dipakainya. Aku hanya bergaya ringkas dengan seluar renang panjang dan t-shirt berlengan pendek. Hadif tidak membenarkan lebih dari ini. Ikutkan hati aku mahu memakai bikini saja seperti kebiasaannya apabila aku ke pantai atau ke kolam renang.

            Cuaca agak terik memandangkan matahari semakin bersinar. Namun kami masih boleh bergelak ketawa berendam di dalam air. Hadif dengan tenang berenang ke sana ke mari dan kadangkala menyelam ke dalam air. Aku pula sekadar memerhatikan sambil berendam sehingga ke paras leher. Tiada mood untuk berenang saat ini. 

            “Sayang sinilah. Tak dalam sangat. Takut air ke?” Hadif melambai menggamit aku kearahnya. 

            Aku menggelengkan kepala beberapa kali. “Buat apa nak takut. Sayang pandai berenanglah. Tapi tak nak jauh sangat. Ombak kuat nanti bahaya.” Laungku pula. Memang sepatutnya kami lebih berhati-hati agar tidak terjadi sebarang kejadian yang tidak diingini.

            Hadif berenang kearahku. “Jom naik sini.” Hadif menunjukkan bahunya kepadaku.

            Aku mengerutkan dahi. Biar betul Hadif nak suruh aku naik atas bahu dia? Aku ni kan beratlah juga kalau nak dipikul kat atas tu. Empat puluh tujuh kilogram tau!

            “Naiklah sayang. Abang bawa sayang meh.” Hadif menarik badanku rapat kepadanya. 

            “Larat ke? Sayang beratlah.” Aku bertanya sambil menjungkitkan kening. Macam tak yakin aje Hadif boleh pikul aku. Dia pun bukanlah sasa mana pun. Badan bolehlah dikatakan ala-ala model tapi serius memang tak berapa sasa dan besar macam Fahrin Ahmad abang ketak-ketak tu. Aku tergelak kecil melihat kesungguhan Hadif.

            “Ish takkanlah tak larat. Abang ni kuat tau!” Hadif mencebikkan bibir. Kemudian tangannya menarik aku lagi dan dengan berhati-hati aku panjat menaiki bahunya. 

            Seronok pula dah besar-besar didukung begini. Teringat pada kenangan zaman kanak-kanak yang selalu didukung begini oleh ayah apabila aku ingin bermanja. Maklumlah jarak usia aku dengan Ani adikku agak jauh, jadi sudah tentu aku manja sangat dengan mak dan ayah.

            Hadif membawa aku bergerak ke sana ke mari diatas bahunya. Aku hanya tersenyum segan apabila ada mata-mata nakal yang melihat aksi kami. Hadif nampak begitu gembira melayanku sambil diselangi dengan gurau senda. Teruk jugalah badan dia aku tampar-tampar manja apabila ada perkara yang diguraukannya terasa nakal di telingaku.

            “Jom sayang kita naik. Penat dah.” Ajak Hadif sambil cuba menoleh kearahku.

            “Oh, tahu pula penat. Dari tadi orang kata tak payah dukung, nak dukung kita jugak.” Aku menarik lembut telinga Hadif. Namun lelaki itu hanya membalas dengan gelak tawanya sahaja sambil berjalan menuju ke daratan.

            Kami hanya berehat di tepi pantai sambil menikmati makanan ringan yang dibawa di dalam beg. Setelah bot tiba untuk mengambil semua penumpang, kami bergerak pula menuju ke Pulau Lang. Disini terdapat banyak burung helang yang terbang rendah untuk menangkap ikan sebagai makanan. Hadif sempat merakam beberapa aksi burung helang yang pantas dalam memburu. Asyik juga aku melihat pelbagai aksi dari dekat. Penumpang lain juga turut bertepuk tangan setiap kali burung helang berjaya menangkap ikan yang timbul dari dalam laut.

            Setelah hampir setengah jam, bot bergerak pula menuju ke Tasik Dayang Bunting. Aku dan Hadif yang memakai pakaian basah sejak tadi sedikit kedinginan apabila ditiup angin kuat. Bot sederhana besar ini sangat laju membelah lautan dan nampaknya pemandu bot sangat berpengalaman dalam melawan ombak. Melihat aku yang hanya berpeluk tubuh, Hadif memeluk bahuku dekat dengannya. Tanganku dielus lembut dan sesekali digosoknya untuk memberikan sedikit kehangatan.

            “Pengantin baru ye?” Tiba-tiba pasangan yang duduk di sebelahku bertanya dengan senyuman manis.

            Aku dan Hadif serentak menoleh dan turut membalas senyumannya. “Taklah baru sangat kak. Dah nak masuk empat bulan kami kahwin.” Eh? Pandai pula Si Hadif ni nak beramah-mesra dengan wanita dalam lingkungan akhir dua puluhan itu. Ringan sahaja mulutnya menjawab dengan riak wajah yang tenang.

            Wanita itu menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Patutlah inai kat kuku kaki tu dah tinggal sikit aje. Baguslah muda-muda dah kahwin. Tak macam anak-anak muda yang lain masih joli sana sini.” Wanita itu berhujah lancar. Lelaki yang duduk disebelahnya yang aku kira adalah suaminya turut menganggukkan kepala mendengar kata-kata isterinya.

            “Dah sampai jodoh, nak buat macam mana.” Aku tergelak kecil cuba melawak. Pasangan itu akhirnya turut berderai tawa mendengar sebaris ayat dari mulutku. Cuma Hadif yang berlagak bersahaja dengan muka selamba tanpa ada reaksi yang ditunjukkan. Tak betul ke apa aku cakap?

            Sesampainya kami di Tasik Dayang Bunting, kami terpaksa berjalan kaki selama beberapa minit di laluan yang berbatu untuk tiba di sana. Bermakna setelah turun daripada bot, terdapat kawasan rekreasi berbatu yang menempatkan penerangan bersejarah mengenai tempat ini dan juga tempat bermain untuk kanak-kanak. Di hujungnya barulah kelihatan Tasik Dayang Bunting yang cukup terkenal dengan kisahnya mengenai seorang isteri yang sedang hamil bertukar menjadi gunung. Memang agak jelas pada pandangan mataku gunung yang terletak betul-betul di hadapan tasik ini berbentuk seorang perempuan sedang hamil berbaring. Ajaibnya ciptaan Tuhan. Aku terlalu kagum melihatnya. Ternyata alam ini menyimpan pelbagai misteri untuk diterokai dan menyedarkan kita akan kebesaran yang Maha Esa.

            “Jaket keselamatan ni sayang jangan buka. Mandi pakai jaket sebab tasik ni dalam sangat. Kalau tenggelam mayat pun tak boleh nak jumpa.” Hadif mengetatkan jaket keselamatan berwarna oren yang tersarung di badanku sejak menaiki bot tadi.

            “Ish, janganlah cakap macam tu! Sayang takutlah.” Mukaku sudah beriak cemas. Kalau aku menjengah ke bawah melalui titi kayu sederhana besar ini, memang nampak sangat tasik ini dalam. Sudahlah airnya berwarna kehijauan dan semakin dalam semakin gelap pula warnanya. Seriau aku dibuatnya. 

            “Tak ape. Pakai aje jaket ni, Insyaallah tak ada apa-apa okey.” Hadif mencuit hidungku dan dia sudah bersiap-siap untuk turun ke bawah melalui tangga.

            Aku menggaru kepala yang tidak gatal. “Errr…kalau sayang tak payah mandi tak apa kut. Abang ajelah yang turun bawah tu.” Aku sudah mahu menarik diri. Biarlah aku hanya duduk memerhatikan Hadif dari titi ini. Lagipun sejak tadi dah penat aku berendam didalam laut.

            Hadif menoleh dan memegang lenganku kemas. “Sayang jangan takut eh. Abang kan ada untuk jaga sayang. Come.” Hadif melurut lenganku untuk menuju ke bawah.

            Hati aku sedikit gentar semasa turun dan mencecahkan kaki ke dalam air. Entah apa yang ada di bawah tasik ini langsung tidak diketahui. Entah-entah ada naga berkepala tujuh! Imaginasi aku seperti sedang membaca buku cerita dongeng kanak-kanak. Namun tidak dinafikan jantung aku berentak laju tanda cemas dan takut.

            Setelah seluruh badan masuk ke dalam air terasa sangat sejuk dan segar airnya membasahi tubuh. Tidak sama rasanya dengan air laut yang lebih hangat dan melekitkan badan. Hadif tidak lepas memegang tanganku walaupun aku memakai jaket keselamatan yang membuatkan aku terapung dengan sendirinya. Setelah beberapa ketika aku mulai tenang dan sedikit yakin untuk bergerak sendiri. Barulah timbul keseronokan untuk berenang-renang di tasik ini.

            “Rugi kalau sayang tak mandi kat sini tau. Ramai yang kata airnya mujarab untuk orang yang tidak mendapat zuriat. Dia orang datang ambil air untuk mandi dan minum. Doa-doa dalam hati mana tahu balik ni sayang ‘lekat’.” Hadif tersenyum penuh makna.

            Berderau darahku mendengar kenyataan Hadif itu. Terasa mahu terlucut keluar jantung aku dari badan dan segera tanganku memegang dada yang semakin sempit. Hadif mahu anak? Gawat kes ini! Aku lambat lagi habis belajar dan belum pernah terfikir sampai kesitu. Tiba-tiba terasa takut pula memikirkan aku menjadi seorang ibu. Mampukah aku melakukannya? Jaga anak patung ke, anak kucing ke, aku memang terror. Tapi kalau menjaga seorang bayi? Ermmm….

            “Kenapa berkerut-kerut muka sayang ni? Fikir apa?” Hadif beralih posisi dan memeluk aku dari belakang. Mesti terasa seperti memeluk Malek Noor dengan jaket keselamatan ini.

            “Abang nak baby?” Hanya ayat itu yang mampu terkeluar dari mulutku walaupun banyak lagi soalan aku nak ajukan pada suamiku. Mana tahu dia cuma bergurau tanpa maksudkan apa-apa. Tidak mahu aku malu sendiri andai tersalah tafsir niat dihati Hadif.

            “Kenapa? Sayang tak sedia lagi ye? Entah kenapa walaupun muda lagi, tapi abang dah teringin pula nak jadi ayah. Dah sampai seru agaknya.” Lembut suara Hadif berbisik di tepi telingaku. Keriuhan di sekeliling sudah tidak aku hiraukan lagi kerana aku perlu fokus pada setiap kata-kata Hadif. Masa depan…masa depan…risiko betul! 

            Aku menggerakkan tubuh dan berdepan dengan Hadif. Matanya yang redup aku tatap penuh tanda tanya. “Sayang lambat lagi habis belajar. Takut nanti baby kemana, study kemana.” Jawabku berterus-terang. Itu memang salah satu sebab kenapa aku bimbang untuk mengandung sekarang. Lainlah kalau aku dah habis belajar atau setidak-tidaknya berada di tahun akhir. Logiklah juga Si Hadif ini minta anak.

            “Kalau mengandung sekarang pun bersalin masa cuti semester nanti. Tak adalah nak kena extend semester. Baby nanti mama boleh tolong jaga atau kalau sayang nak, kita upah bibik aje. Semua yang sayang minta abang akan sediakan. Nak risau apa? Abang akan tolong jaga sama-sama juga ye sayang ye.” Hadif tersenyum dan bersuara manja. Ah, dia ingat dia budak comel yang nak minta gula-gula ke? Dia minta anak okey! ANAK.

            Aku jadi serba salah tidak menentu. Nampak sangat Hadif dah fikirkan semua ini secara serius. Bukan main-main seperti yang aku agak sebentar tadi. Siap dah kira masa yang sesuai untuk aku bersalin. Memang betul kalau bersalin dalam cuti semester langsung tidak mengganggu apa-apa jadual pembelajaran. Jika tidak cukup cuti semester atau bersalin di akhir-akhir waktu cuti juga boleh meminta tambahan selama dua minggu untuk pelajar yang melahirkan anak. Tapi itu pun kalau aku dapat hamil dalam waktu terdekat. Kalau lewat dan terlajak dari waktu cuti semester yang dijangka bersalin tahun hadapan macam mana? Naya punya kes ni.

“Erm, kalau bersalin waktu belajar macam mana? Tak sanggup nak extend rasanya. Tua kat UUM tu ajelah nampaknya kalau belajar tak habis-habis.” Aku cuba tersenyum walaupun kelat dan kekok. Tidak mahu terlalu berkeras menolak kehendak Hadif yang pelik-pelik ini.

Hadif membuat memek muka kasihan dihadapanku. Tangannya dicantum dua seperti memohon sesuatu daripadaku. “Please sayang…kalau extend satu semester tu tak adalah sampai tua. Abang sanggup tunggu walaupun abang dah habis belajar. Biar abang yang jaga anak kat rumah, buat semua kerja rumah, tolong buat assignment sayang pun abang boleh.”

Aku tergelak kecil mendengar rayuan Hadif. Amboi ayat power nak minta baby pula Si Hadif ni. “Betul ni sanggup buat macam tu semua? Jangan tipu tau.” Aku cuba menduga. Jariku dinaikkan kemuka Hadif meminta kepastian. Ah, inilah nasib kalau kahwin waktu belajar. Tetapi nak tak nak aku kena hadapi juga demi suami tersayang.

Laju sahaja Hadif menganggukkan kepalanya beberapa kali. Kemudian mengangkat tangan kanannya separas bahu seperti gaya orang nak berikrar. “Bahawa saya Muhammad Hadif Rizqie Bin Datok Musa berjanji akan melakukan apa sahaja untuk isteri saya yang tersayang, Aida Nasuha Binti Iskandar sepanjang hayat saya. Saya akan membuat apa sahaja yang disuruh tanpa bantahan. Saya juga akan menjadi seorang suami dan ayah yang penyayang dan bertanggungjawab.” Hadif menurunkan tangannya kebawah setelah selesai membuat janji.

Aku tersenyum lucu melihat kelakuannya sambil menggelengkan kepala. Hadif, Hadif…Kemaruk nak menjadi bapa rupa-rupanya dalam diam. Aku menarik nafas dalam-dalam dan menutup mata. Sesaat kemudian aku membuka kembali mata dan memandang Hadif dengan pandangan yang tersirat.

“Okey. Nanti kita usahakan.” 

Mata Hadif bersinar riang. Bercahaya seperti bintang. “Yes bos!” 

Hadif pantas menghadiahkan aku kucupan hangat di dahi tanda berterima kasih dengan jawapan yang aku berikan. Ternyata dia gembira dengan kesudian aku dalam memenuhi permintaannya. Di dalam hati aku berdoa agar semuanya dipermudahkan Allah  dan berjalan dengan baik seperti yang dirancangkan. Aku yakin Hadif akan berpegang pada janjinya untuk menjagaku dan bakal anak kami nanti.

Setelah satu jam berada disitu akhirnya bot membawa kami pulang semula ke perhentian kecil di Awana Porto Malai dan dihantar pulang ke hotel dengan menaiki van. Penat terasa badan ini seharian bermain air. Kulit pun dah nampak macam terbakar disana sini. Perit dan pedih aku rasakan. 

Setelah membersihkan diri kami bersolat berjemaah dan berehat di atas katil sambil berbual-bual sehingga akhirnya sama-sama terlena kepenatan.

No comments: