Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, September 13, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 14


     “Kau ni sumbing ke?” Soal lelaki disebelahku sinis. Pandangannya tetap menghala ke hadapan menumpukan kearah pemanduan.

            Aku seperti hendak tergelak mendengar soalan bodoh itu. Tentu Hadif berasa pelik kerana aku tidak pernah membuka selendang penutup mulut sejak dari semalam lagi. Ah, lantak lah! Aku tidak mahu kau kenal muka aku.

            “Hei! Aku tanya kau tak dengar ke?” Bentak Hadif geram. Dia kemudian merengus kasar. Dia ni cepat marah betullah.

            “Tak…tak…saya cuma selesa pakai ni.” Segera aku membalas sambil memegang selendang yang menutupi mulut. Plastik betul kau Aida. Berdosa menipu tau tak. Selama ni selamba aje kau tidak bertudung menutup aurat.

            “Suka hati kau lah.” Hadif menjawab acuh tidak acuh.

            Aku menjungkit bahu. Whatever! Aku memang sudah berfikir malam tadi sebelum tidur. Aku akan teruskan penyamaran ini di hadapan Hadif. Lagi selesa kalau dia tidak mengenali wajahku. Terserempak di dalam kampus nanti tidaklah kekok. Buat tidak tahu sahaja.

            “Kau duduk kolej mana?” Soalan Hadif menerbangkan pemikiran aku sebentar tadi.

            “SME Bank.” Jawabku segera. Nanti dia marah lagi kalau soalannya lambat dijawab.

            Kereta dibelokkkan menghala kearah kolej kediaman yang aku sebutkan tadi. Dia ini memang menjengkelkan. Semua tentang aku dia tidak tahu.

            “Aku tak tahu apa-apa tentang kau. Selain daripada nama penuh kau yang aku kena sebut semasa akad nikah semalam, aku tahu kau budak Sains Kaunseling.” Seperti dapat meneka apa yang aku fikirkan Hadif bersuara.

            Ish! Dia pandai baca fikiran orang ke? Takutnya. Kebetulan aje kut, bisikku di dalam hati.  “Kau amik bidang apa?” Giliran aku pula menyoal. Dua kali lima sahaja. Aku pun bukan tahu sangat tentang dia. Nama penuh pun baru tahu semalam.

            “Kau cari sendiri.” Jawabnya ringkas. Langsung tidak memandang aku sejak kami berada di dalam kereta satu jam yang lalu.

            Aku kerling sekilas mencuri pandang ke wajahnya yang terselindung dengan kaca mata hitam yang dipakai. Mataku melirik pula kepada pakaiannya dari atas ke bawah. Bergaya sangat nak kemana agaknya? Kan tak jadi honeymoon. Eleh! Aku pun bukan teringin nak bulan madu dengan kau. Tapi aku nak pergi Pulau Langkawi. Sejak hampir dua tahun aku belajar disini belum berkesempatan aku menjejakkan kaki ke pulau itu. Padahal tidaklah jauh dari kampus ke jeti Kuala Perlis. Hanya mengambil masa empat puluh minit sahaja.

            “Dah sampai. Kau angkat barang sendiri kat belakang.” Kata-kata Hadif aku biarkan sepi sahaja.

            Lantas aku turun dari perut kereta dan membuka pintu belakang. Bagasi sederhana besar aku turunkan perlahan. Berat juga ni. Hadif bawa beg lagi besar daripada aku sebab itulah bonet kereta comel ini tidak muat untuk beg aku. Terpaksa diletakkan di bahagian penumpang belakang.

            “Terima kasih,” sempat aku mengucapkannya sebelum melangkah meninggalkan lelaki itu.

            Aku terus mendaki menuju ke paras empat dimana bilik aku dan Ema berada. Pasti bosan duduk seorang diri kerana Ema tentu masih bercuti di kampung. Cuti penggal semester masih ada seminggu lagi dan aku terpaksa menghabiskan cuti tersebut dengan cara yang tidak wajar. Alangkah seronoknya bercuti duduk di rumah bersama keluarga. Keluar bersama teman-teman lama. Melawat nenek dan bergosip dengan makcik-makcikku pasti menceriakan. Nasib….nasib….

            Pintu kubuka perlahan. Aku menarik bagasi ke dalam dan menutup pintu bilik. Seperti sudah kujangka, bilik ini kosong tidak berpenghuni. Malah suasana kolej kediaman juga sunyi sepi kerana hanya pelajar yang berasal dari Sabah dan Sarawak sahaja yang tidak pulang apabila cuti penggal. Bagi yang berkemampuan mungkin tidak menjadi masalah tapi bagi yang kurang mampu untuk ‘terbang’ selalunya akan pulang setahun sekali sahaja.

            Apa aku nak buat ni ye? Fikirku sejenak. Tak boleh jadi aku duduk terperap seorang diri kat sini. Malam-malam nanti tentu aku takut. Lantas aku keluarkan telefon bimbit yang ada di dalam beg tangan.

            “Kau jangan lewat sangat. Cepat sikit tau kalau kau tak nak tengok kawan kau mati kebosanan kat sini. He he he!” Aku ketawa besar. Terlupa seketika masalah yang melanda aku sejak semalam. Masalah aku yang telah menjadi isteri kepada lelaki yang tidak tahu menghargai.

            “Okey. Kau tunggu aje. Dah sampai kat bawah blok kau nanti aku mesej.” Wawa menjawab.

            Aku telah menerangkan serba ringkas tentang hubungan aku dengan Hadif. Lelaki itu tidak mahu membawa aku berbulan madu dan telah menghantarku ke kolej kediaman. Jadi aku meminta untuk menumpang dirumah Wawa yang berada di Jitra. Tidak jauh sangat daripada kampus dalam setengah jam perjalanan. Dia sahaja harapanku saat ini kerana rakan-rakan lain tinggal agak jauh dari sini.

            Lagipun aku pernah beberapa kali bermalam dirumahnya terutama pada hujung minggu. Jadi tidaklah berasa kekok. Tapi kali ini aku ingin duduk seminggu. Wawa tergelak masa aku bertanyakan akan hal ini.

            “Betul ke aku boleh tumpang seminggu kat rumah kau?”

            “Kenapa pula tak boleh. Apalah kau ni…Nanti kita boleh balik kampus sama-sama. Jangan risaulah.”

            “Aku tak mahu menyusahkan kau dan keluarga.” Balasku perlahan. Serba salah.

            “Tak menyusahkan apa pun. Tentu mak aku suka kau datang. Lagipun ayah aku kursus seminggu kat Kuala Lumpur. Adik-adik aku ada lah…” Bidas Wawa tenang.

            “Thanks Wawa.” Ucapku sambil tersenyum.

            “Kau kan kawan baik aku. Tak perlu ucap terima kasih. Perkara kecil aje.” Wawa membalas. Bertuah aku mempunyai kawan seperti Wawa. Dia baik dan memahami. Tidak berkira untuk membantu apabila aku memerlukan.

            Aku berbaring memandang kipas yang berputar. Begitu juga otak aku turut ligat berputar. Memikirkan apa yang bakal terjadi selepas ini antara aku dengan Hadif. Kalau mengikut cerita-cerita yang pernah aku tonton, orang yang berkahwin tanpa kerelaan pasti merancang untuk berpisah tidak lama nanti. Adakah Hadif berniat untuk menceraikan aku dalam tempoh waktu tertentu? Aku tidak mempunyai jawapan. Tetapi mengikut cara layanannya kepadaku mungkin juga. Setelah dia mendapat semua harta papa tentu dia akan berpisah dengan aku. Ada logik juga apa yang aku fikirkan ini.

            Tetapi perasaan sebak tetap muncul perlahan-lahan meresap ke tangkai hati. Umur muda lagi aku dah dicemari dengan gelaran janda agaknya. Walaupun janda berhias ke tetapi aku tetap akan digelar seorang janda. Aku meraup muka beberapa kali. Sudahlah, aku tidak mahu memikirkan lebih jauh lagi. Biarlah masa yang menentukannya. Aku sendirian berfikir sampai nak pecah kepala tetapi lelaki itu tentu sekarang sedang bersenang-lenang barangkali. Entah-entah pergi Pulau Langkawi seorang diri. Mungkin juga membawa kekasih hati! Ah, makin berbelit otak aku jadinya.

            Empat puluh minit kemudian aku telah pun berada di dalam kereta Wawa. Aku hanya membawa bagasi yang aku bawa dari hotel pagi tadi. Wawa sejak tadi asik mengerling melihat aku namun aku diam seribu bahasa. Aku hanya melihat ke luar dan kereta yang banyak di jalan raya.

            “Kau tahu kan, yang kau boleh cerita apa saja dengan aku….” Perlahan suara Wawa memulakan bicara.

            Aku lantas menoleh. “Aku rasa macam nak menangis. Tapi tak tahu untuk apa….” Jawabku segera tanpa membuang masa. Makin lama dipendam makin menghimpit jiwa. Selama ini aku tidak pernah mengalami masalah yang besar dalam hidup. Semuanya seperti cerita dongeng yang banyak kenangan indah di dalam jalan ceritanya. Dasar aku sering dimanjakan sampaikan masalah aku pun kadang-kadang mak yang selesaikan.

            “Apa salahnya. Menangislah kalau itu dapat melegakan hati kau. Menangis bukan bererti kita lemah, tetapi bermakna kita telah terlalu lama menjadi seorang yang tabah.” Lembut jawapan Wawa menyapa telingaku.

            Aku terdiam dan kelu untuk berkata-kata. Aku memandang ke luar cermin kereta di sebelah kiriku. Air jernih mula turun perlahan. Setitis demi setitis seperti hujan yang seringkali membasahi bumi apabila tiba waktunya.

            Wawa menepuk sedikit bahu kananku. “Aku harap kau bersabar dengan ujian Allah ini. Bagi aku apabila telah selamat diijabkabulkan bermakna dia adalah jodoh yang tertulis untuk kau.” Wawa tidak memerlukan khidmat tukang tilik untuk mengetahui perasaan aku. Sememangnya dia mengetahui cerita ini daripada awal lagi.

            “Cuma aku sendiri tidak tahu sampai bila jodoh itu dipinjamkan untuk aku.” Lemah suaraku yang sedikit serak akibat menangis. Merah mata dan hidungku saat ini.

            “Kau berdoa minta dipermudahkan semua ini. Ketentuan takdir kita tak berupaya nak halang. Tapi at least kau dah buat yang terbaik dan jika ada apa-apa jadi sekalipun kau tak menyesal.” Wawa masih memberikan nasihat agar dapat memberi sedikit kekuatan untuk aku.

            “Betul cakap kau tu Wa. Tapi aku sedih Hadif layan aku macam tu. Aku cuba buka hati aku untuk dia dan berazam akan menjayakan hubungan ni. Tapi ada dia kisah?” Aku melepaskan geram.

            “Awal lagi Aida. Kau kena banyak bersabar. Kita pun tak tahu posisi sebenar dia macam mana kan. Apa yang dia rasa apabila terpaksa kahwin dengan orang yang dia tak cinta. Dia juga mangsa keadaan sama macam kau. Ambil masa untuk kau berbaik-baik dengan dia.” Wawa tersenyum manis memandangku seketika kemudian kembali menghadap jalan raya di hadapan.

            “Cinta…” Aku memetik jari. Tersenyum besar.

            “Kenapa dengan cinta?” Soal Wawa pula.

            “Aku akan buat dia jatuh cinta dengan aku! Tapi aku tak nak dia jatuh cinta kerana aku ini isteri dia.” Terangku pada Wawa.

            Wawa mengerutkan dahi. Nampak sangat dia tidak faham dengan kenyataan aku.

            “Habis tu?” Wawa bertanya lagi inginkan kepastian.

            “Aku nak dia jatuh cinta sebab aku. Untuk diri aku yang sebenar. Bukan sebab status aku sebagai isteri dia.” Balasku segera cuba memberikan Wawa gambaran yang sebenar.

            “Serius tak faham.” Wawa menjawab sambil menggelengkan kepalanya sedikit.

            Aku tergelak kecil melihat muka Wawa yang blur. “Nantilah sampai rumah aku cerita apa rancangan aku ye.” Aku mengenyitkan mata kepadanya.

            Wawa tersenyum sambil menggeleng lagi. “Ada-ada aje kau ni kan. Tapi aku happy tengok kau dah okey macam sekarang. Tak nak sedih lagi tau.”

            “Okey.” Jawabku sepatah turut tersenyum senang.

            “Macam ni lah sahabat aku!” Wawa menjerit kecil dan kami sama-sama ketawa.

6 comments:

Anonymous said...

tk sbr nk tggu n3 baru....marathon bc..besttttt!! mabeles cik writer...

>MyHaNeZa<

Shizukaz Sue said...

TQ myhaneza kerana mluangkan masa mbaca karya saya..=) happy reading dan bersantai di sini..

Unknown said...

kesian aida nasuha...simpati kat dia

Anonymous said...

kalau saya yg kna kawen paksa cam ni mau saya larik g mana2.. :) jahat tak haahaa

mohd said...

Haaa...sy suka idea "cinta" tu..

mohd said...

Haaa...sy suka idea "cinta" tu..