Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, November 19, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 16


             “Macam mana? Setuju tak dengan tarikh tu?” Soal Hazriq buat kali kedua setelah melihat aku masih terdiam merenung borang di tangan.

            “Saya rasa ada majlis kena uruskan pada tarikh ni. Nanti saya tengok scedule.” Borang di tangan aku letak kembali ke atas meja.

            “Kalau kena tunda pun tak apa. Tapi jangan lama sangat ye. Abang nak kita selesaikan hal ni segera.” Hazriq memandang aku dengan wajah yang serius. Tali leher di longgarkan sedikit agar lebih selesa.

            Aku mengangguk lemah. Tiada angin tiada rebut, Hazriq datang membawa borang kursus perkahwinan. Dia mahu kami mengikuti kursus pada bulan ini juga. Aku semakin tersepit untuk mencipta pelbagai alasan bagi menangguhkan semua ini.

            “Sebulan sebelum kahwin pun sempat lagi nak ambil kursus ni.” Ucapku dan kemudian membuang pandang ke tengah jalan. Restoran yang agak lengang ini terasa sempit pula secara tiba-tiba.

            “Sayang, kita tak perlu ikut tarikh asal. Kan dah janji dengan ibu nak percepatkan perkahwinan kita. Selesai aje kursus dan segala urusan dokumen, kita buat majlis secepat mungkin.” Hazriq menyedut minuman di dalam gelas. Lengan baju kemejanya dilipat sedikit sehingga ke paras siku. Rimas barangkali.

            “Terpulanglah, saya ikut aje.” Jawabku perlahan. Nak membantah sekarang, memang aku sengaja cari nahas. Tetapi aku sedar masa untuk aku bertindak semakin suntuk.

            Hazriq tersenyum lebar. “That’s my girl.”

            “Jomlah kita balik. Saya letih.” Aku kembali memandang wajahnya yang tampan. Sayangnya aku tidak mencintai dia.

            “Okey, abang hantar balik. Tapi malam nanti jam lapan abang jemput sayang.” Hazriq bangun untuk membayar minuman di kaunter.

            Malam? Nak kemana? Hish, ini yang aku tak suka dengan Si Hazriq. Selalu buat benda terkejut-terkejut. Setelah Hazriq dan aku membolos masuk ke dalam kereta, tanpa berlengah aku bertanya.

            “Kita nak kemana malam nanti? Saya letihlah.”

            Tangan Hazriq cekap memasangkan tali pinggang keledar di badanku. Aku membiarkan seketika perlakuannya sehingga selesai.

            “Abang lupa nak beritahu. Malam ni ada birthday party kawan abang. Abang nak bawa sayang sekali.” Hazriq menghidupkan enjin dan bersedia memulakan pemanduan.

         Aku menarik nafas dalam-dalam kemudian hembus. Sabar, Dean. Cakap elok-elok, aku mengingatkan diri.  “Abang, saya letih sangat hari ni. Silap abang juga tak beritahu awal-awal.”

            Hazriq menjeling sekilas. “Sekejap pun tak kan tak boleh temankan abang?”

            “Saya letih sangat. Tak sedap badan.” Balasku tenang. Tetapi sebenarnya sedang kecut perut!

            “Sayang tak sihat? Nak pergi klinik?” Tangan Hazriq menyentuh dahiku.

            Pantas aku menggeleng. “Tak sakit pun cuma letih aje. Maaflah bukan tak nak ikut. Saya betul-betul rasa tak larat. Kalau boleh malam ni nak tidur awal.”

            Hazriq menjeling sekilas sebelum kereta dipandu semakin laju. “Okeylah. Dah tak larat, nak buat macam mana. Pastikan rehat cukup-cukup malam ni.”

            Aku mengangguk dan menghadiahkannya sebuah senyuman. Nasib baik aku lepas kali ni. Perlu ke dalam satu hari aku menghadap wajah dia sampai dua tiga kali? Naik semak mata ni kalau siang malam nak jumpa dan bersama.

            Ketika aku sampai di rumah, daddy masih belum pulang. Mama Anis sedang menonton televisyen di ruang tamu. Aku mengambil tempat di sebelah Mama Anis setelah bersalaman dengannya.

            “Mama free tak malam ni?” Aku memulakan bicara.

            “Mama tak ada buat apa. Kenapa? Dean ada nak minta mama hantarkan ke mana-mana ke?” Teka Mama Anis sambil membetulkan duduknya agar lebih selesa.

            Aku tersengih. “Amboi mentang-mentanglah Dean tak berani bawa kereta, cepat aje mama teka macam tu ye?” Aku memuncungkan bibir.

            “Taklah. Mama tanya betul-betul. Kalau Dean ada nak pergi mana-mana, mama boleh hantarkan.” Mama Anis tergelak melihat aksi yang aku pamirkan.

            “Mama temankan Dean pergi beli barang sikit boleh?”

            “Boleh aje. Lepas Maghrib kita keluar ye sayang.” Mama mengelus rambutku.

            “Terima kasih. Sayang mama…Dean nak pergi mandi dan rehat dulu.” Aku mencium pipi Mama Anis dan terus berlalu masuk ke dalam bilik.


                                                *******************************


Suasana di pusat membeli-belah ini agak sesak. Hari biasa pun ramai pengunjung. Kalau pergi hujung minggu entah macam manalah agaknya. Beli barangnya sikit aje tapi nak beratur untuk bayar di kaunter punyalah berbaris panjang. Sampai naik bosan aku beratur setakat untuk membayar barangan penjagaan diri yang  dibeli.

            Akhirnya tiba juga giliran aku di depan kaunter. Setelah selesai membayar harga barang yang dibeli, aku bergegas mencari Mama Anis di butik Gulatis. Mama Anis memang suka membeli kain untuk ditempah. Padahal raya lambat lagi.

            “Kak Dean!” Panggil satu suara dari arah kanan.

            Aku menoleh. Aina! Wajahku pucat tak berdarah. Kelihatan gadis itu datang menghampiri dengan senyuman mekar di bibir. Syamsul tunang Aina juga ada bersama. Aina memelukku dan kami berbalas mencium pipi.

            “Buat apa kat sini?” Hampir serentak aku dan Aina bertanya. Kami ketawa geli hati. Hilang sedikit wajahku yang pucat tanda bersalah.  

            “Aina cari kain untuk tempah baju nikah. Kak Dean?” Aina menjawab soalan itu terlebih dahulu.

           “Kak Dean datang dengan mama. Saje tengok-tengok cuci mata.” Aku tersengih sambil mengangguk sedikit pada Syamsul yang berdiri disisi Aina.

            “Oh, ingatkan cari baju nikah juga.” Ujar Syamsul ramah.

            “Baju nikah? Kami kahwin lambat lagi. Eh, Aina kenapa nak tempah baju nikah sekarang?” Soalku yang tiba-tiba teringat tentang Puan Jamaliah tidak mengizinkan Aina untuk langkah bendul abangnya itu.

            Aina mengerutkan dahinya. “Lagi tiga bulan Aina nak nikah dengan Syamsul. Tarikh pun kami dah pilih. Tinggal tempah kad jemputan aje. Dah elok sangat uruskan sekarang.”

            Dahi aku juga turut berkerut mendengar jawapan Aina. Lagi tiga bulan? Aku tak tahu apa-apa pun soal ni. Mungkin Puan Jamaliah dah lembut hati dan benarkan Aina berkahwin dulu, teka akalku.

            “Maaflah, Kak Dean tak tahu.” Aku menyelitkan rambut ke belakang telinga.

            “Tak apalah, Kak Dean mungkin sibuk juga uruskan perkahwinan sendiri. Kami faham.” Balas Syamsul tersengih sambil memeluk pinggang Aina.

            “Taklah! Kami belum ada perancangan nak kahwin. Nampak gayanya kau orang dulu yang naik pelamin.” Laju sahaja aku menjawab.

            Aina dan Syamsul saling berpandangan sebelum keduanya memandang wajahku penuh tanda tanya.

            “Abang beritahu ibu, lagi dua bulan dia nak nikah dengan Kak Dean. Jadi Aina akan bernikah sebulan selepas itu sebab ibu nak buat sekali majlis persandingan abang dengan Aina.”

            Aku terdiam. Nafasku seakan terhenti seketika. Kenapa Hazriq langsung tidak menyentuh soal ini petang tadi? Hanya kursus perkahwinan yang kami bicarakan, bukan tarikh perkahwinan. Hazriq melampau. Dia betul-betul jadikan aku seperti orang tawanannya.

            “Kak Dean okey tak? Pucat aje Aina tengok.” Aina memaut lenganku apabila tubuh ini seakan tidak mampu berdiri kukuh lagi.

            “Okey, Kak Dean letih sikit.” Aku juga berpaut pada tangan Aina. Bimbang jatuh tersungkur di sini.

            “Aina, tolong jangan beritahu abang yang Aina terjumpa Kak Dean kat sini ye.” Walaupun hampir rebah aku masih menitipkan pesan. Betapa aku takut pada lelaki itu.

            “Okey, okey. Tak ada masalah. Aina tahu abang tu jenis kuat cemburu, kaki control. Mesti dia tak bagi Kak Dean keluar tanpa dia ni kan?” Soal Aina lagi.

            Aku tersenyum kelat. Ingin sahaja aku khabarkan bahawa abangnya juga kaki pukul perempuan!

            “Dean kenapa ni?” Mama Anis yang kebetulan ternampak aku segera datang membantu.

            Mama Anis memaut lenganku yang sebelah lagi. “Dean tak sihat ke? Jom pergi klinik.”

            “Dean letih sikit hari ni. Tak cukup rehat, tak cukup tidur. Jomlah mama kita balik.” Kataku yang masih terasa berat di kepala. Pening-pening lalat ke apa aku ni?

            “Kami balik dulu ye Aina. Kirim salam ibu kamu.” Mama Anis meminta diri.

            “Insyaallah…Kak Dean jaga diri tau. Maklumlah lagi dua bulan nak kahwin. Tengah darah manis ni, penyakit pun senang datang.” Aina bersalam denganku dan Mama Anis.

            Walaupun Mama Anis memaparkan riak wajah yang sedikit bingung dan terkejut, mujurlah dia tidak membuka mulut untuk terus bertanya. Kami berjalan perlahan-lahan sehingga ke tempat letak kereta.

            “Lagi dua bulan Dean nak kahwin, tapi sampai sekarang masih belum bagitahu daddy dengan mama.”

            Ah, sudah! Mama Anis nak buat drama sentap pula kat sini. Pasti dia berasa kecil hati kerana aku seperti membelakangkan mereka dalam soal ini. Tetapi hakikatnya tuan punya diri juga dibelakangkan. Hazriq sesedap rasa membuat keputusan tanpa meminta pendapat aku.

            Aku mendiamkan diri sehingga kami masuk ke dalam perut kereta. Setelah keadaan selesa barulah aku membuka mulut. “Mama, Dean sendiri tak tahu. Menurut kata Aina, Hazriq dah beritahu pada ibu dia yang kami akan bernikah dalam masa dua bulan lagi.”

           “Tak kan Hazriq tak bincang dengan Dean dulu hal ni? Kahwin ni atas persetujuan dan persefahaman dua belah pihak. Macam mana Dean boleh tak tahu pula kalau yang nak kahwin tu diri Dean?” Mama Anis masih tidak berpuas hati. Mungkin dia tidak percaya aku berkata benar.

         “Itulah masalahnya dengan Hazriq. Dia langsung tak minta pendapat Dean dalam semua hal termasuklah soal kahwin. Kalau diikutkan, kami ikat bertunang selama enam bulan. Banyak masa lagi.” Aku mengeluh dan menyandarkan tubuh ke belakang.

            “Dean dengan Hazriq ada masalah ye?” Mama Anis cuba mengorek rahsia.

            “Sejak dulu lagi ma. Dean rasa yang kami tak serasi bersama. Dean lain, Hazriq lain.” Aku membuang pandang ke luar cermin kereta. Melihat kereta yang lalu-lalang di tempat parkir kereta ini.

            “Buat keputusan betul-betul Dean. Kahwin ni bukan perkara mudah, besar tanggungjawabnya.” Nasihat Mama Anis kepadaku.

            “Dean nak berpisah dengan Hazriq. Tapi…” Ayatku tergantung disitu.

            “Tapi apa? Kalau itu yang hati Dean nak, tepuk dada tanya selera. Cuma diri sendiri yang tahu apa yang terbaik. Mama yakin daddy pasti faham dengan tindakan Dean.” Mama Anis menepuk bahuku lembut.

            Perlahan aku menoleh dan memandang wajah keibuan Mama Anis. “Dean takut dia apa-apakan keluarga kita.”

            Mata Mama Anis merenungku tajam. “Apa maksud Dean ni?”

            “Tak ada apa-apalah mama. Dean akan fikir masak-masak apa keputusan Dean.” Aku tidak mampu menyatakan hal yang sebenar. Ditelan mati ayah, diluah mati mak. Dikemam sahaja, aku juga boleh mati!

            “Hazriq ugut nak apa-apakan Dean kalau Dean tinggalkan dia?” Tembak Mama Anis yang lebih dulu makan garam daripada budak mentah sepertiku.

            Pantas aku menggeleng laju. Aku tidak mahu Mama Anis risau, apatah lagi kalau perkara ini sampai ke telinga daddy. Aku tidak mahu menyusahkan mereka dengan masalah yang aku hadapi sekarang. Cukuplah kepala otak aku sahaja yang mahu meletup hari-hari berhadapan dengan Hazriq. Tidak mahu kepala otak daddy dan Mama Anis meletup sebelum aku. Tidak adil langsung buat mereka.

            “Tak adalah sampai macam tu. Cuma dia ada juga bagi amaran jangan sekali-kali nak buat perangai dan tinggalkan dia. Lebih-lebih lagi Dean ni dah sah jadi tunang dia.” Tuturku lemah.  Ah, setiap kali berbicara mengenai lelaki itu aku memang lemah segala sendi.

            Tangan Mama Anis menyentuh lembut tanganku. Dielusnya mesra membuatkan aku tersenyum senang. Indahnya jika aku merasai nikmatnya belaian seorang ibu sejak aku kecil lagi. Pasti hari-hari aku lebih bermakna. Namun aku tetap bersyukur mempunyai daddy yang sangat bertanggungjawab.

            “Jodoh itu rahsia Allah, sayang. Walaupun dah bertunang, tak semestinya jodoh Dean dengan Hazriq. Janganlah risau sangat apa yang Hazriq cakap tu. Ketentuan Allah tak siapa boleh halang. Sebagai seorang muslim, Hazriq kena terima qada’ dan qadar.”

            Aku mengangguk dan tersenyum manis. “Terima kasih mama kerana selalu ada untuk Dean.”

            Mama Anis juga turut tersenyum. Terasa lega sedikit dari bebanan masalah melihat senyumannya. Riak-riak resah berterbangan dan menghilang perlahan-lahan.

6 comments:

baby mio said...

NAK LAGI PLEASE....

idA said...

Hazriq terlampau mengokong dan cemburu tak bertempat..akak rasa kalau Dean putus tunang pun..tak ada apa yg boleh dibuat oleh Hazriq kepadanya ..kan..kalau dulu akak tidak menyokong untuk Dean berpisah dengan mamat poyo tu..tapi bila semua perkara dia yg menentukan..susah lah kalau dah bergelar isteri..semua nak ikut telunjuk dia dan kalau engkar..abislah badan boleh jadi punching back..

Seri Ayu said...

Salam, Dean buatlah solat hajat dan istikharah semoga dilapangkan jalan untuk membuat keputusan.

Shizukaz Sue said...

Baby Mio: tQ..sbb suka baca..nnt bg lagi ye =)

idA: Wah, tepat pandangan akak tu..mabeles!!

Seri Ayu: wsalam kak..betul tu..=) sebaik2 cara kan..

ctrain7474 said...

semoga dean cepat bertindak..

Shizukaz Sue said...

ctrain7474: harap2 lah ye..=)