Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, April 1, 2013

Asmira Ke Asmara? Bab 25



            Aku duduk melihat pengantin yang sedang bersanding. Entah bila giliran aku akan tiba. Walaupun aku bukan ditahap umur andalusia mahupun andartu, tetapi perjalanan untuk menemukan cinta sejati terasa amat panjang. Satu pengembaraan yang hebat! Cukuplah hanya dua lelaki yang hadir dalam hidup aku. Itu pun jadi porak-peranda. Kalau lebih, entah apa pula ceritanya nanti.

            “Teringin?” Soalan Hazriq membuatkan aku tersenyum malu-malu.

            “Belum sampai jodoh.” Jawabku ringkas.

            “Aina dah selamat jadi isteri orang. Mudah-mudahan lepas ni Dean pulak.” Hazriq meletakkan segelas minuman dihadapanku.

            “Terima kasih. Susah-susah aje. Saya dah nak balik.” Kataku sambil kembali memandang Aina yang cantik di singgahsana.

            “Kalau perangai saya tak teruk, mesti sekarang kita dah jadi suami isteri…” Ada nada kesal yang tersenbunyi pada sebaris ayat itu.

            Aku menoleh. “Dah bukan jodoh kita.”

            Hazriq menganggukkan kepala. “Maaf pasal Asmara. Awak nak saya jumpa dia?”

            Aku pantas menggeleng. Asmara tak perlu jumpa sesiapa untuk terus mempercayai cinta aku terhadapnya. Malah dia tidak sepatutnya ragu setelah lima tahun aku sanggup menantinya. Menolak cinta-cinta lain yang ingin singgah di hati ini.

            “Saya boleh uruskan sendiri.” Aku tersenyum tawar.

            “Syaza, jom balik. Lama dah kita kat sini.” Ajakku sambil mencuit lengannya.

            “Saya minta diri dulu ye. Sampaikan ucapan tahniah dan salam sayang saya pada Aina.” Aku bersalam dengan Hazriq dan bangun diikuti oleh Syaza.

            Hazriq menghantar kami sehingga ke kereta. “Terima kasih sudi datang. Jaga diri.”

            Aku melambai kearah Hazriq sebelum membolos masuk ke dalam kereta. Sebulan selepas pemergian Puan Jamaliah, akhirnya Aina ke jinjang pelamin bersama Syamsul. Tiada apa yang perlu ditangguhkan lagi. Lebih cepat, lebih baik.

            Hazriq pula masih bersendirian melayari kehidupannya. Bezanya dia dan aku kini mampu berkawan. Pemergian arwah ibunya banyak memberi kesan dalam hati Hazriq. Aku bersyukur untuk itu. Namun aku dan Asmara pula semakin menjauh. Puas aku cuba menghubunginya tetapi hampa. Apabila aku datang ke klinik, dia pasti sedang sibuk. Malas aku hendak berdrama swasta di klinik kerajaan.

            “Seronok bercuti Kak Dean?” Syaza memulakan bicara.

            “Bolehlah. Akak duduk rumah aje. Kadang-kadang ikut Mama Anis.” Jawabku acuh tidak acuh.

            “Akhirnya dapat juga akak berehat panjang. Tenangkan fikiran setelah penat menaikkan nama  butik tu.” Luah Syaza sambil tekun memandu.

            “Tenanglah sangat fikiran akak ni, Syaza.” Aku membuang pandang ke luar tingkap.

            Syaza mengeluh lemah. “Itulah Syaza nak pergi terangkan pada abang, akak tak bagi. Dah yang kat sana menjeruk rasa, yang disini ternanti-nanti.”

            “Dia tak perlu penjelasan dari mulut orang lain kalau dia betul-betul cintakan akak. Dia kenal akak bukan sehari dua Syaza.” Protesku pula.

            “Kalau saya nampak kekasih saya berpeluk macam tu pun saya marah. Encik Hazriq pula cium-cium tangan akak yang tengah menangis. Mungkin abang ingat akak dah berbaik semula dengan Hazriq.” Duga Syaza lagi.

            Aku menghela nafas panjang. “Akak nak jelaskan pada dia, langsung dia tak nak dengar. Macam mana?”

            “Itu yang akak buat pada dia dulu. Tak nak dengar penjelasan dia.”

            Aku menelan liur yang terasa berpasir. Terkena tepat ke muka aku! Memang benar aku tidak memberi Asmara peluang dan ruang untuk menjelaskan kedudukan sebenar. Tetapi logiklah jugak. Aku dah berpisah dengan dia selama lima tahun tanpa khabar berita. Ini, kami dah berpasangan bak kata Asmara. Dah serius macam ni, dia boleh tak percayakan aku. Geram sungguh!
                                                                                                                                                                                                                    ********************************

            “Tolonglah kak. Saya sakit sangat gigi ni. Tak sempat nak buat temujanji.” Aku membuat memek muka sakit sambil memegang pipi sebelah kiri.

            “Kad pemeriksaan gigi di klinik kerajaan pun awak tak ada. Kena buat kad dulu ye.” Jururawat yang menjaga kaunter ini mengangguk-angguk.

            Nasib baik klinik pergigian ini tidak terletak betul-betul di pusat bandar. Kalau tidak, tentu penuh dengan pesakit. Jadi tidak dapatlah aku berlakon drama sebabak sebentar tadi. aku tersengih sendirian. Lebih bernasib baik lagi, jururawat yang menjaga kaunter bukanlah jururawat yang sama sewaktu aku datang dulu. Muka ini masih selamat untuk menyamar.

            “Awak duduk dulu, nanti dah siap kad ni saya panggil masuk dalam jumpa doktor.”

           Aku mengangguk dan terus mengambil tempat untuk duduk. Televisyen yang terpasang menayangkan cerita kartun. Sementara menunggu, aku pun tumpang sekaki dengan beberapa orang kanak-kanak disitu.

            “Deandra Asmira Binti Mohamad!” Panggil jururawat yang berada di kaunter.

            “Saya.” Kataku setelah tiba di kaunter pendaftaran.

            “Boleh masuk sekarang ye jumpa doktor.”

            Aku tersenyum dan membuka pintu untuk masuk. Kelihatan Asmara sedang duduk di mejanya sambil meneliti kad yang diberikan oleh pembantunya.

            “Sakit gigi?” Tanya Asmara seolah-olah tidak mengenal wajah ini. Sampai hati!

            Aku mengangguk.

            “Okey, saya periksa dulu. Baring.” Arah Asmara dan terus memakai penutup mulut.

            Aku berbaring dan membuka mulut seperti yang diarahkan. Lampu yang agak silau membuatkan aku tidak dapat mencuri pandang wajah doktor kesayanganku itu.

            “Adoi!” Aku menjerit.

            “Kenapa?” Soal Asmara mengerutkan kening.

            “Sakitlah doktor. Periksa perlahan sikit.” Kompelin pulak.

            “Maafkan saya. Tapi tak ada gigi yang rosak.” Asmara mematikan lampu dan membuka penutup mulut.

            “Dulu, tak ada gigi rosak tetapi doktor masih boleh periksa saya. Kenapa sekarang tak boleh?” Nada suaraku seakan berjauh hati. Bimbang hati Asmara tidak mampu dipujuk lagi.

            “Kalau tak ada apa-apa lagi, cik boleh keluar sekarang.” Asmara menulis sesuatu di atas kad pemeriksaan gigi.

            “Saya boleh keluar tetapi setelah awak keluarkan saya dari hati awak.” Tegas suaraku. Tidak mahu beralah.

            Asmara mengangkat wajah. “Saya tak ada masa nak main-main.”

            “Kalau tak nak main-main, kita kahwin. Nak?” Aku mengeluarkan sekotak kecil coklat dari dalam beg tangan. Kemudian coklat kecil itu aku goyangkan dihadapan wajah Asmara.

        “Pergilah kahwin dengan bekas tunang awak tu.” Nada suara Asmara yang merajuk sangat comel. Serius tak tipu!

            Aku tersenyum lagi. Kemudian aku melutut di hadapannya sambil memegang coklat di atas telapak tangan. “Doktor Daly Asmara Bin Azman, sudikah awak menjadi raja dalam hati saya? Sudikah awak mengambil saya sebagai isteri awak? Sudikah awak menjadi pelindung buat saya?”

            Asmara terlopong. Tidak dapat menjangka gadis berwajah mat saleh ini sanggup melamarnya sebegitu. Dia terdiam tanpa kata. Aku mula gelisah. Lenguh kaki berlutut.

            “Sudi ke tak ni?” Aku rasa mahu menangis jika ditolak.

            “Sudi, sudi sudi!” Asmara tersenyum lebar dan memautku untuk bangun.

            Aku memeluk Asmara. Rindu setelah sekian lama bermasam muka. “Maafkan saya membuatkan awak salah faham selama ni. Percayalah, cinta saya hanya untuk awak. Tidak pernah ada yang lain…”

            “Yakin nak jadi isteri orang?” Soal Asmara membalas pelukanku.

            “Sangat yakin.”

            “Tak boleh berpeluk dengan lelaki lain tau. Bagi lelaki lain cium-cium tangan lagilah tak boleh.” Perli Asmara dengan wajah yang serius.

            Aku meleraikan pelukan. Mata Asmara aku tatap dalam-dalam. “Hazriq datang nak minta maaf dan ucap terima kasih sebab saya sanggup tarik balik laporan polis. Kemudian dia sampaikan berita yang ibunya telah meninggal dunia. Dia sedih masa tu. Saya pun sedih juga. Bukan seperti apa yang awak sangka.”

            “Saya tahu sayang. Saya baca semua mesej-mesej awak. Tapi hati ni tetap juga terasa. Yelah, dulu kita dah terpisah lama. Apabila jumpa semula, awak dah jadi tunangan orang. Rasa tercabar tu tetap ada.” Asmara menerangkan perasaannya yang selama ini dia pendamkan.

            “Apa pun sejarahnya saya dan Hazriq, cinta saya hanya pada awak. Sejak zaman sekolah sampailah sekarang. Masa mungkin banyak mengubah kita, kehidupan kita, tetapi bukan cinta…”

            Asmara tersenyum senang. “Berani betul perempuan depan saya ni melamar anak teruna orang.”

            Aku tersengih lucu. “Berani sebab tahu tak akan ditolak, kut.”

            “Amboi, over confident nampak!” Sindir Asmara sambil tergelak kecil.

            “Memang betul pun kan? So Doktor Asmara dah terima lamaran saya. Bila majlisnya?”

            Soalan aku membuahkan ketawa besar dari mulut Asmara. “Hantaran saya mana? Dah melamar, kenalah bagi hantaran sekali.”

            Aku berpeluk tubuh. “Okey, kalau banyak ‘cikadak’ tak payahlah!”

            “Sayang, sayang jangan merajuk please…Nanti saya suruh keluarga saya datang meminang okey?” Pujuk Asmara.

            Aku menggeleng beberapa kali. “Tak nak meminang ke, bertunang ke, semua tak nak.”

            Asmara menjungkitkan kening. “Sayang nak apa?”

            “Nak kahwin terus.” Aku memuncungkan bibir tanda masih merajuk.

            Asmara ketawa lagi sambil menggelengkan kepala. “Apa saja permintaan sayang, akan diturutkan. No problem.”

            Aku tersenyum lebar. Membayangkan hari-hari menuju ke jinjang pelamin bersama Asmara….^_*

3 comments:

Anonymous said...

akhirnya..terubat rindu skit..cik writer jgn lma sgt nk update..hati2 dok intai citer nie..hmmm..xsbr nk tggu amjlis asmira n asmara nie.. -eil

Anonymous said...

salam... Mamat umurxserupa31 tu dh mula insaf... smoga dia sedar wanita utk d lindungi bukan d pukul sesuka hati... aaahhh... swwweeeettt sgguh Cik Dean melamar sang kekasih!! I loike... Keep on writing Ms.Writer...!! - Nyss

Shizukaz Sue said...

Eil: hehe thanks a lot ye sbb sudi intai selalu..maaflah kesibukan yang melanda membuatkan saya tak sempat update selalu. akan diusahakan insyaallah...hehe

Nyss: Wsalam..terima kasih byk sentiasa bagi sokongan..harap2 dapat kekalkan momentum menulis biarpun byk komitmen..amin!